Wednesday, March 05, 2008

Hadis: Satu Penilian Semula #7

Perkataan-Perkataan ‘Sunnah’ dan ‘Hadis dalam Quran

Selanjutnya, sungguh menarik kalau kita perhatikan penggunaan perkataan-perkataan ‘sunnah’ dan ‘hadis’ dalam Quran. Perkataan ‘sunnah’ digunakan dengan tiga makna: institusi atau adat-resam, kelakuan, tabiat atau sistem, dan nasib. Tiada satu pun perkataan ‘sunnah’ merujuk kepada kelakuan atau tabiat Nabi. Banyak perkataan ‘sunnah’ merujuk kepada sistem Tuhan, seperti:

Demikianlah dengan semua rasul yang lalu, dan engkau akan mendapati sunnah kami tidak berubah. (17:77)

Inilah sunnah Tuhan yang senantiasa berlaku. Sunnah Tuhan tidak berubah-ubah. (48:23)

Nabi memberitahu kepada setengah isterinya suatu rahsia (hadis), tetapi seorang daripada mereka membocorkannya…” (66:3)

Sebaliknya, perkataan ‘hadis’ digunakan sebanyak sebelas kali dalam Quran untuk merujuk kepada Quran. Umpamanya:

Inilah wahyu-wahyu Tuhan yang kami bacakan kepadamua dengan sebenarnya; hadis yang manakah selain wahyu-wahyu ini yang mereka percayai? (45:6)

Tuhan menurunkan hadis terbaik, sebuah kitab yang tidak bercanggah, dan menyatakan kedua-dua jalan (ke syurga dan neraka). (39:23)

Ini sebuah kitab yang mulia. Dalam sebuah kitab yang sepenuhnya terpelihara. Tiada siapa boleh menyentuhnya kecuali yang terbaik. Ini sebuah wahyu dari Tuhan sekalian alam. Kamu ingin mengelak hadis inikah? (56:77-81)

Perlu diperhatikan juga bahawa dalam Quran perkataan ‘hadis’ digunakan dalam dua pengertian yang bertentangan untuk membezakan antara yang benar dengan yang palsu. Hadis Quran diungkapkan sebagai ‘hadis terbaik’ (ahsan’al-hadis) dalam ayat 23, Surah 39, yang telah kita petik di atas dan hadis-hadis lain diungkapkan sebagai ‘omong kosong’ (lahw’al-hadis) dalam ayat 6, Surah 31. Ayat ini sepenuhnya berbunyi:

Setengah orang menegakkan omong kosong (lahw’al-hadis) untuk menyesatkan manusia dari jalan Tuhan tanpa pengetahuan, dan untuk memperolok-olokkannya. Mereka akan mendapat seksaan yang menghinakan.

Untuk menguatkan lagi dakwaan mereka bahawa Hadis juga wahyu, kaum ahlul-Hadis mendatangkan ayat Quran berikut, yang telah pun kita sebutkan:

Beliau tidak bercakap menurut keinginannya sendiri. Ini wahyu Ilahi. (53:3-4)

Sambil memetik ayat ini, Fazlul Karim menyatakan: “Quran menggesa rakyat mempercayai Hadis Nabi sebagai tidak lain daripada wahyu juga…Perbezaan di antara kedua-duanya hanyalah manakala Quran diwahyukan tanpa bentuk huruf dan perkataan.”4 Tetapi, jika kita meneliti konteks ayat-ayat tersebut, nyatalah ayat-ayat ini merujuk kepada proses wahyu dan bukan kepada percakapan biasa beliau. Perhatikan konteksnya:

Demi bintang jatuh. Kawanmu tiadalah sesat, atau pendusta. Dia tidak bercakap menurut keinginannya sendiri. Ini wahyu Ilahi. Satu ajaran daripada yang amat kuat. Pemilik kuasa tertinggi, yang mengendalikan (semua kuasa). Dari ukuf tertinggi. Ia menghampiri dengan bergerak turun. Hingga ia datang sedekat-dekatnya. Lalu ia wahyukan kepada hambaNya apa yang Ia wahyukan. (53:1-10)

Ayat-ayat ini nyata memerikan proses wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad. Hal ini disahkan oleh ahli-ahli tafsir yang masyhur.5 Di mana dan bagaimana wahyu itu diberikan, tidak ada manusia yang mengetahui, tetapi ayat-ayat tersebut jelas merujuk kepada proses wahyu, dan bukan kepada percakapan biasa Nabi. Bahawa Muhammad juga seorang manusia biasa atelah diterangkan dalam Quran6 dan telah dibuktikan dengan menunjukkan kepada beberapa kesilapan yang telah dilakukannya dalam Quran7 dan juga dalam beberapa buah hadis.8

Hujah Fazlul Karim di atas bahawa Hadis ialah wahyu tanpa bentuk huruf dan perkataan dibantah dan dibatalkan oleh ayat Quran sendiri yang menegaskan bahawa Nabi Muhammad berpegang kepada kalimah Allah.9 Jadi, mengikut Nabi Muhammad bermakna berpegang kepada Quran, dan bukan Hadis/Sunnah.


Hujah ‘Taat Kepada Rasul’: Bermakna ‘Berpegang Kepada Hadis’

Alasan pokok kedua yang didatangkan oleh ahlul-Hadis berhubung dengan perintah Tuhan menyuruh orang-orang mukmin mentaati rasul, yang telah mereka salah-tafsirkan sebagai berpegang kepada Hadis/Sunnah. Imam Shafi’i menggunakan hujah ini sebagai hujah pokok dan mengulangnya berkali-kali dalam buku beliau, al-Risala. Beliau berkata: “Tetapi apa juga yang ditetapkan oleh beliau dalam sunnah telah diperintahkan kita taati oleh Tuhan, dan Dia menganggap ketaatan [kita] kepadanya sebagai ketaatan kepadaNya, dan keingkaran [kita] mentaatinya sebagai keingkaran kepadaNya, yang tidak akan dimaafkan…”10 Di antara ayat-ayat Quran yang digunakan oleh ahlul-Hadis untuk menyandarkan pendapat ini ialah:

Wahai kamu yang beriman hendaklah kamu taat kepada Tuhan dan hendaklah kamu taat kepada rasul dan kepada mereka yang berkuasa di antara kamu. (4:59)

Apa-apa harta rampasan perang yang diberi oleh rasul kepadamu hendaklah kamu terima, dan apa yang ditegahnya hendaklah kamu tinggalkan. (59:7)11

Tidak! Oleh Tuhanmu mereka tidak akan dianggap beriman sehingga mereka meminta engkau menghakimi mereka, kemudian tidak teragak-agak di dalam hati mereka mengenai keputusanmu, dan sehingga mereka tunduk sepenuhnya. (4:65)

Ada dua idea yang hendak diketengahkan oleh pendukung-pendukung Hadis di sini. Pertama, Nabi harus dipatuhi tanpa syarat, sama ada sebagai rasul atau sebagai pemimpin dan hakim, dan kedua, kepatuhan kepada Nabi bermakna berpegang kepada Hadis/Sunnah. Benarkah pendapat ini? Dalam ayat pertama, ketaatan kepada rasul bermakna ketaatan kepada Tuhan, kerana rasul utusan Tuhan, yang menyampaikan Quran. Quran memaklumi kita bahawa, “Satu-satunya tugas rasul ialah menyampaikan perutusan.”12 Perhatikan juga bahawa Tuhan menggunakan perkataan ‘rasul’dan tidak ‘Muhammad’ dalam ayat itu. Ini terang menunjukkan bahawa perutusan rasul yang dikehendaki kita taat, dan bukan perkataan Muhammad.

Bahawa ketaatan kepada rasul bermakna ketaatan kepada Tuhan dapat dibuktikan lagi dari ayat-ayat Quran yang banyak yang menyuruh manusia tunduk kepada Tuhan semata-mata, umpamanya:

Katakanlah, ‘Aku menggesa kamu melakukan satu perkara: bahawa kamu tunduk sepenuhnya kepada Tuhan berpasang-pasang atau seorang diri, kemudian berfikir’. (34:46)

Kenalah kamu berpegang kepada Tuhan supaya kamu beroleh rahmat. (49:10)

Barangsiapa menundukkan dirinya kepada Tuhan dan berbuat baik telah berpegang kepada ikatan yang kuat. (31:22)

Hendaklah kamu patuh kepada Tuhanmu dan tunduk sepenuhnya kepadaNya sebelum seksaan datang kepadamu; kemudian kamu akan mendapati terlalu lewat untuk mendapat pertolongan. (39:54)

Ayat-ayat Quran mentafsirkan satu sama lain. Nyatalah ayat-ayat di atas menjelaskan makna ketaatan kepada rasul, yang membawa makna ketaatan kepada Tuhan, kerana Tuhan tidak datang kepada manusia kecuali melalui rasul-rasulNya.


Sambongan: Peranan Nabi Sebagai Pemimpin (‘Ulil-Amr’)

1 comment:

the indie story said...

Lim Guan Eng sepatutnya lebih berhati-hati bila mengeluarkan kenyataan. Tersalah cakap buruk padahnya. Silap-silap kerajaan DAP di Penang hanya sempat bertahan tak sampai 3 bulan. Tolong jaga sikit perasaan hati kaum Pribumi Melayu Islam. Agaknya beliau terlupa bahawa kemenangan besar DAP di Pulau Pinang adalah hasil undi daripada semua kaum, termasuklah melayu. Jadi beliau tidak seharusnya bermegah diri mendabik dada dengan beranggapan bahawa itu adalah kemenangan mutlak untuk Democratic Action Party (DAP) yang terkenal dengan konsep slogan ‘Malaysian Malaysia’.

Sila baca artikel seterusnya di:

http://theindiestory.blogspot.com

tQ