UMNO PERLU MEREKAYASA UNTUK TERUS MENJADI RELEVAN
Oleh: Kassim Ahmad
Disember, 2011
Presiden UMNO sekarang, Najid Abdul Razak, tahu bahawa ahli-ahli UMNO perlu faham dan dukung falsafah dan prinsip-prinsip perjuangan UMNO, jika bilangan 3.4 juta itu mahu dijadikan kekuatan yang tidak terkalahkan. Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008 telah membuktikan bahawa tidak semua ahli UMNO menyokong UMNO lagi. Sesuatu operasi besar perlu dilakukan terhadap batang-tubuh UMNO untuk menyegarkannya dan menyuntik darah baru supaya ia kuat kembali. Operasi ini perlu untuk membolehkan UMNO terus menjadi teras dan sokoguru bangsa dan tamadun Melayu.
Parti politik itu seperti kepala keretapi. Dialah yang menarik beratus gerabak keretapi yang memuat penumpang dan barang-barang. Tanpa dia, keretapi tidak berguna, tersadai dalam stesyen tidak boleh bergerak ke mana-mana. Ahli-ahli parti memasuki parti secara sukarela kerana perjuangan bangsa dan nusa. Tidak siapa memaksa dia. Inilah sifat sebuah perjuangan. Inilah sifat asal UMNO waktu ia ditubuhkan pada 1946 untuk menumbangkan ‘Malayan Union’, projek penjajah Inggeris untuk terus menjajah negeri-negeri Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Berkat kebangkitan massa orang Melayu di seluruh Malaya pada waktu itu maka Kerajaan Buruh Britain menukar rancanganya dan berunding dengan delegasi wakil-wakil Raja-raja Melayu, dan parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC untuk menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu serta menyerahkan kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957.
Tiap benda hidup akan merosot dan mati. Demikian juga yang terjadi kepada UMNO. Setelah mencapai kemerdekaan, kemewahan mula merosakkan UMNO. Rebutan kuasa, rasuah dan pelbagai bentuk penyelewengan meresap masuk ke dalam batang-tubuhnya, sehingga tiba-tiba parti UMNO dan Barisan Nasional nyaris-nyaris kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang telah saya sebut itu. Sekarang UMNO sedang mengadakan Perhimpunan Agungnya pada tahun ini. Timbalan Presiden Muhiyuddin Yassin, dalam ucapan perasmian sayap Wanita-Pemuda-Puteri, terpaksa menggesa supaya ahli-ahli UMNO “jangan sabo, jangan boikot, jangan cah keting ...” Gesaan ini menggambarkan masalah UMNO sekarang.
Apakah yang harus UMNO buat? Operasi bagaimana yang harus dilakukan terhadap batang-tubuh UMNO?UMNO perlu balik kepada semangat perjuangan yang asal. Tanpa apa-apa habuan ahli-ahlinya sanggup berkorban. Bolehkah ini dilakukan? Jawabnya, boleh. Tetapi ia memerlukan sedikit masa. Pertama, ahli-ahli parti mesti dididik dengan falsafah dan prinsip-prinsip perjuangan parti. Hanya ahli-ahli yang melalui proses pendidikan ini boleh menjadi ahli parti. Kedua, kader dan pemimpin mesti melalui proses pendidikan yang lebih tinggi untuk melayakkan diri mereka menjadi kader dan pemimpin. Ketiga, semua perkara, termasuk dasar parti dan memilih pemimpin hendaklah dilakukan melalui perundingan. Ini kaedah yang diajar dalam Islam. Kaedah ini lebih baik dari proses demokrasi Barat mengundi. Perundingan membolehkan sesuatu perkara dikaji secara mendalam, dan tidak di permukaan saja. Keempat, kemiskinan perlu dihapuskan dalam masyarakat kita supaya ahli-ahli UMNO tidak masuk untuk mendapat habuan material. Ini boleh dilakukan.
Sejak timbulnya “politik wang” dalam UMNO, cawangan-cawangan UMNO menjadi milik sesuatu keluarga. Seseorang ahli masuk untuk mencari habuan material, bukan untuk perjuangan bangsa lagi. Orang-orang yang berkaliber dihalang daripada memasuki sesatu cawangan, kerana ketua cawangan takut kedudukannya akan hilang!
Operasi pembedahan besar inilah yang perlu dilakukan untuk UMNO pulih menjadi kuat seperti di peringkat awal. Matalamat inilah yang patut disasarkan pucuk piminan parti. Saya tidak menjamin operasi besar ini akan berjaya, tetapi jika 75% daripada matlamatnya boleh dicapai, itu sudah cukup bagus. Kesempurnaan itu milik Tuhan saja. Manusia tidak boleh mencapai kesempurnaan.
------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas. Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com


0 Comments:
Post a Comment
<< Home