Saturday, July 30, 2005

MEMORANDUM KEPADA PRESIDEN UMNO
DAN YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA


Pendahuluan

Saya mengambil kesempatan untuk menulis Memorandum ini kepada Datuk Seri kerana, selaku seorang rakyat Malaysia yang taat dan prihatin, saya amat bimbang tentang masa depan bangsa kita. Saya bimbang kerana perkara-perkara yang nyata kepada kebanyakan rakyat kita dalam masa dua tiga dekad yang lalu. Dunia kita bertambah canggih, manusia bertambah maju, tetapi moral dan jiwa manusia bertambah merosot. Tidak ada keselamatan dari bahaya dan ancaman perang, termasuk perang nuklier; tidak ada keselamatan dari ancaman bahaya dalam masyarakat kita sendiri; dan tidak ada jaminan bagi masa depan kita dan anak-cucu kita.

Saya tidak memegang apa-apa jawatan besar atau yang berpengaruh dalam negara kita. Hanya kebimbangan saya dan kecintaan saya kepada bangsa dan tanahair, kepada anak-cucu kita dan kepada manusia seluruhnya yang mendorong saya menulis Memorandum ini kepada Datuk Seri moga-moga Datuk Seri dan pimpinan negara kita boleh mengambil tindakan-tindakan yang sesuai untuk menghalang dan mengatasi bencana besar yang menunggu. Sebenarnya, banyak bencana telah menimpa kita dalam masa setengah abad ini, tetapi bencana yang lebih besar mungkin datang. Jika manusia mahu meneruskan kehidupnnya, mereka mesti mengatasi bencana besar ini.

Niat untuk Membuat Perubahan

Dari kata-kata dan ucapan-ucapan Datuk Seri, Datuk Seri mahukan kebaikan yang terbaik untuk negara dan bangsa kita. Ini satu pertanda yang baik. Kita mahukan perubahan dalam sistem hidup kita dari sistem liberal yang bobrok, yang sedang runtuh yang kita warisi dari penjajahan Eropah, kepada sistem “jalan yang lurus” Islam. Ini bukan tugas yang mudah, tetapi kita mesti cari jalan itu sehingga dapat, kerana di situlah terletak kejayaan, yang dijamin oleh Tuhan Sendiri.

Syarat Perubahan

Syarat perubahan yang pertama ialah keinginan bangsa kita sendiri untuk berubah. Jentera perubahan kita ialah UMNO. Dengan 3.2 juta anggota, UMNO suatu potensi yang besar. Seperempat dari bilangan itu saja, apalagi semua, boleh memimpin dan menggerakan perubahan nasional yang kita perlukan. Malangnya, semangat perjuangan kebangsaan UMNO hari ini sudah jauh merosost dibanding dengan semangat perjuangan UMNO pada tahun-tahun awal, dekad-dekad 40-an, 50-an dan 60-an. Semangat perjuangan ini mesti dipulihkan balik melalui suatu dasar dan program pemulihan parti (3-5 tahun). UMNO yang dipulihkan seperti itu (tentunya dengan tafsiran ‘kebangsaan’ yang selaras dengan Islam dan selaran dengan internasionalisme) itu akan dapat melaksanakan revolusi mental orang Melayu yang boleh melayakkan mereka hidup berjaya dalam dunia moden abad ke-21 ini. UMNO seperti itu mesti memainkan peranan pimpinan dan pejuang orang Melayu, malah orang Malaysia, dalam semua bidang kehidupan: politik, ekonomi, sosial, intelektual, moral dan spiritual.

Matlamat Perjuangan Bangsa Sekarang

Tidak syak lagi, dalam UMNO sendiri sudah muncul unsur-unsur negatif yang akan menghalang perjuangan kebangsaan yang baru ini. Mereka berselindung di sebalik nama kebangsaan, tetapi sebenarnya mereka oporcunis dan agen kaum imperialis dalam badan politik kita sendiri. Namun demikian, selagi UMNO berpegang teguh kepada falsafah kebangsaan yang progresif-humanis ini, ia akan dapat meminggirkan dan mengatasi golongan-golongan musuh dalam selimut ini.

Sebelum kita mencapai kemerdekaan, matlamat perjuangan UMNO dan orang Melayu ialah kemerdekaan. Setelah itu, matlamat kita ialah mengsisi kemerdekaan itu, atau pembangunan bangsa dari semua segi. Tepai kita harus waspada terhadap istilah ‘pembangunan bangsa’, kerana kita boleh membangunkan 20 orang Melayu atau 20 rakyat Malaysia dan mendakwa kita telah membangunkan bangsa, sedangkan 80 orang lagi rakyat kita tercicir. Matlamat kebangsaan kita mestilah juga membangunkan sebuah ekonomi dan sebuah masyarakat yang adil. Untuk mencapai matlamat ini, kita perlukan sebuah falsafah dan sebuah sistem sosio-ekonomi yang baru, yang boleh menjaminkan pencapaian matlamat ini, yang kita sebut (dengan meminjam istilah Quran) ‘jalan yang lurus’.

Senarai Masalah Besar

Benarkan saya menyenaraikan penyakit-penyakit besar yang sedang kita hadapi dan yang harus kita ubati:- (a) Ketiadaan falsafah hidup “jalan yang lurus” untuk menggantikan liberalisme Inggeris-Belanda yang kita anuti dan yang sedang runtuh, (b) Kemerosotan semangat perjuangan dalam UMNO dan parti-parti lain dalam B.N., (c) korapsi dalam masyarakat, khasnya dalam Kerajaan dan UMNO, (d) keruntuhan moral dalam masyarakat, dan (e) penagihan dadah.

Di antara lima penyakit besar ini, penyakit-penyakit (a) dan (b), kalau dapat kita ubati, penyakit-penyakit lain akan mudah kita ubati. Sebaliknya, jika kita tidak atasi penyakit-penyakit (a) dan (b), sampai bila-bila kita tidak akan boleh mengubati penyakit-penyakit lain. Oleh yang demikian, penting sekali kita tumpu segala tenaga kita kepada masalah-masalah (a) dan (b).

Kaedah Perundingan

Islam memerintah kita supaya berunding untuk menyelesaikan semua masalah. Kaedah perundingan dalam mentadbirkan parti, kerajaan dan masyarakat amatlah penting kita amalkan. Konsep demokrasi Barat tidaklah demokratik, seperti yang didakwa. Ia memihak kepada suatu golongan elit kecil yang kaya, membawa perpecahan dalam masyarakat: kepada perpecahan Parti Kerajaan dan Parti Pembangkang; dan kepada puak-puak dengan kepentingan masing-masing. Contoh bagaimana media Barat dikuasi oleh segelintir kaum oligarki yang mendakyahkan ideologi mereka serta menguasai pemikiran rakyat sangat baik untuk menjadi pelajaran kepada kita bagaimana demokrasi diperalatkan oleh kaum oligarki. Yang harus kita amalkan bukan demokrasi, tetapi perundingan, kerana perundiangn kaedah yang paling baik untuk menyelesaian semua masalah.

Adakah UMNO dan Kerajaan melaksanakan kaedah perundingan untuk menggubal dan melaksanakan dasar? Perundingan bermakna proses membincang sesuatu masalah secara mendalam dari segala segi di semua peringkat sehingga mencapai muafakat, dan setelah mencapai muafakat dan dijadikan dasar, dilaksanakan dengan tegas. Jika kaedah perundingan ini diamalkan, kita mesti mencapai kejayaan, kerana keputusan itu dibuat oleh rakyat dan pasti akan dilaksanakan oleh rakyat dengan penuh minat dan semangat. Banyak dasar dan program Kerajaan gagal atau kurang berjaya, kerana tidak mengamalkan kaedah perundingan dan tidak dipersetujui oleh rakyat.

Kebebasan Media

Satu kaedah perundingan yang baik ialah melalui perbincangan dan perbahasan dalam media cetak dan elektronik. Kebebasan harus diberi kepada media untuk masyarakat mengadakan perbincangan dan perbahasan yang sihat untuk mencari muafakat dalam semua perkara bagi kebaikan bangsa dan negara.

Falsafah Hidup “Jalan Yang Lurus”

Kita perlukan bimbingan dalam kehidupan kita. Demikian juga kita perlukan bimbingan dalam kehidupan bermasyarakat: kehidupan politik, ekonomi dan sosial. Sebagai orang Islam, kita tahu bimbingan yang terbaik terdapat dalam kita suci Tuhan yang terakhir, iaitu Quran. Dalam abad ke-20 manusia berpandu kepada tiga buah kitab, iaitu (i) kitab Liberal (Eropah Barat dan Amerika Syarikat), (ii) kitab Komunis (Rusia, China dan Eropah Timur) dan (iii) kitab Teologi/Paus/Ulama (Eropah dalam Zaman Pertengahan dan Iran di bawah pimpinan Ulama) Ketiga-tiga sistem pemerintahan ini telah gagal dan runtuh. Ini semua kerana ketiga-tiga sistem ini menyeleweng dari “jalan yang lurus”. Sebab itu sekarang, pada saat dunia berada dalam krisis sistem yang tenat, kita mesti mencarai “jalan yang lurus” ini.

Jalan yang lurus ini ialah jalan yang paling baik untuk kita mencari kebaikan di dunia dan akhirat. Ia mengajar konsep kesatuan kehidupan. Tidak ada pemisahan mutlak antara kehidupan dunia dan akhirat. Dunia perlu kepada kita sebagai tempat kita mendapat benda dan akhirat perlu kepada kita untuk meningkatkan dunia benda kepada dunia moral dan spiritual. Sebagai khalifah di dunia dan sebagai orang mukmin, kita perlu memerintahkan kebaikan dan melarang kejahatan supaya kita boleh membangunkan sebuah dunia yang lebih adil dan lebih baik dari dunia yang kita warisi dari nenek-moyang kita. Dari Quran kita boleh mendapat petunjuk untuk melaksanakan kehidupan politik, ekonomi dan sosial kita. Sistem Komunis telah gagal kerana ia menafikan kreativiti dan tanggungjawab individu. Sistem Liberal telah gagal kerana ia menafikan tanggungjawab masyarakat terhadap individu. Sistem Teologi pula gagal kerana ia menafikan hak dan tanggungjawab manusia terhadap kehidupannya. Islam, seperti yang diajar dalam Quran, saja yang mengambil-kira pelbagai aspek dalam kehidupan manusia serta menggabungkan aspek-aspek ini dalam satu gabungan yang harmonis untuk membangukan sebuah dunia yang baik.

Kejayaan Islam Yang Awal

Kegagalan umat Islam setelah Zaman Kebangkitannya pada peringkat awal ialah kerana Islam diambil-alih oleh suatu kasta paderi yang mendakwa merekalah penjaga dan pentafsir agama. Dari titik ini Islam bertukar dari sebuah agama yang dinamik dan progresif kepada sebuah agama yang beku dan kolot, terasing dari dunia moden. Oleh sebab itulah timbul gerakan-gerakan islah untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam. Kegagalan gerakan-gerakan ini ialah kerana mereka tidak teguh kembali memegang ajaran Quran.[1]

Falsafah sosial berdasarkan ajaran Quran perlu kita bangunkan untuk memimpin Kerajaan dan masyarakat kita membangunkan sebuah Malaysia yang benar-benar berjaya, yang boleh memberi sumbangan kepada tamadun dunia yang baru yang sedang dibangunkan.


Semangat Perjuangan UMNO Perlu Dipulihkan Semula

Jentera yang memimpin bangsa kita ialah parti, kerana parti dianggotai oleh rakyat secara sukarela untuk memperjuangkan cita-cita bangsa. Anggota parti bukan saja mendukung cita-cita bangsa, tetapi mestilah diajar dan dididik dengan falsafah parti dan falsafah kebangsaan. Tidak harus ada sifat tamak atau kepentingan diri semata-mata pada anggota-anggota parti. Mereka mesti berjuang dengan jiwa-raga mereka untuk membangunkan tamadun Malaysia baru seiring dengan pembangunan tamadun dunia baru dan, dengan demikian, mereka juga membangunkan kehidupan diri dan keluarga mereka masing-masing.

Oleh kerana semangat materislisme sudah menular ke dalam dada anggota-anggota parti dalam masa tiga puluh tahun yang lalu, maka semangat perjuangan bangsa sudah banyak luntur. Keadaan ini harus diubah dengan segera.

Tuhan telah berjanji dalam Quran bahawa sepuluh orang mukmin boleh melawan dua puluh orang kafir, malah, ada kalanya, sepuluh orang mukmin boleh mengalahkan setarus orang kafir. Ini kerana orang mukmin mempunyai semangat perjuangan yang tinggi dan perjuangan mereka berada di jalan kebenaran. Tetapi pada hari ini umat Islam sudah kehilangan pedoman mereka dan ideologi materialis sudah menenggelamkan mereka dalam kancah rasuah dan kelumpuhan.

Membanteras Korapsi dan Rasuah dalam Masyarakat

Perkhidmatan terhadap orang ramai baik dalam perkhidmatan awam mahupun dalam swasta merosost kerana rasuah. Umpamanya, pernah terdengar sungutan orang ramai yang hendak membuat pinjaman bank bahawa lebih mudah mendapat pinjaman dari Along (lintah darat) daripada dari bank! Kita mempunyai sebuah perkhidmatan awam yang besar – 800,000 kakitangan – yang menelan belanja yang besar, tetapi mutu perkhidmatan ini, oleh kerana unsur korapsi dan rasuah, tidak setanding dengan bilangan kakitangan itu.

Mesti ada suatu kaedah untuk kita mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang bersih dan cekap tanpa rasuah. Kaedah ini tidak dapat tidak mesti terdiri dari dua aspek: aspek pemupukan etika kerja yang baik dan aspek pemantauan dan pengawalan terhadapnya oleh masyarakat supaya seorang kakitangan bukan saja menolak rasuah dari segi mentalnya, tetapi ia juga menolak rasuah kerana sistem pemantauan dan pengawalan akan menghukumnya jika ia melakukan rasuah.

Penutup

Negara kita mempunyai sumber-sumber kekayaan yang banyak dan yang boleh menampung suatu tahap kehidupan yang cukup baik bagi dua puluh empat juga rakyat kita. Tetapi kita mestilah mengembangkan sumber-sumber ini serta menggunakannya dengan cara yang paling baik. Gembelingkan tenaga rakyat kita dan tenaga bijak-pandai kita untuk mencari kebaikan kita di dunia dan akhirat. Walaupun kerja ini berat dan halangan yang kita hadapi banyak, kita mesti melakukan kerja ini. Ini tanggungjawab kita kepada Tuhan, kepada bangsa kita dan kepada anak-cucu kita. Jika kita melakukannya dengan tekun, berani dan jujur, Tuhan pasti menolong kita. Jika kita gagal melakukannnya, kita akan jatuh ke dalam suatu Zaman Gelap yang lama dan dahsyat.

Saya harap Datuk Seri akan memberi pertimbangan yang berat kepada apa yang saya nyatakan dalam Memorandun ini. Saya percaya rakyat dan cerdik-pandai kita yang jujur dan prihatin senantiasa berdoa dan memberi sokongan kuat kepada Datuk Seri dan dan rakan-rakan Datuk Seri dalam pimpinan parti dan Kerajaan untuk membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, aman, makmur dan bahagia untuk rakyat Malaysia dan untuk masyarakat sedunia.


KASSIM AHMAD
31 Mac, 2005.

Email: kassim03@streamyx.com

Nota: Memo ini telah diserah dengan tangan kepada beliau pada 7 Mei, 2005 di pejabat beliau di Putrajaya. – K.A.
[1] Selogan “Kembali kepada Quran” tidak bermakna kita menolak Hadis. Ia bermakna kita menjadikan Quran bimbingan yang utama; ajaran-ajaran lain, termasuk Hadis, ajaran-ajaran kedua yang kita terima selagi mereka tidak bercanggah dengan ajaran Quran.

2 comments:

fathi aris omar said...

Dr Kassim, saya dukung sepenuhnya prinsip dan idealisme ini:

Kebebasan Media

Satu kaedah perundingan yang baik ialah melalui perbincangan dan perbahasan dalam media cetak dan elektronik. Kebebasan harus diberi kepada media untuk masyarakat mengadakan perbincangan dan perbahasan yang sihat untuk mencari muafakat dalam semua perkara bagi kebaikan bangsa dan negara.

Kebebasan untuk bersuara, memperbaiki keburukan dan memajukan idea-idea baru. Kebebasan bersuara untuk meninggikan mutu suara juga.

Kassim Ahmad said...

Sdr Fathi Aris Omar yang budiman,

Terima kasih banyak kerana sokong penuh itu. Inilah masanya Presiden dan pimpinan tertinggi UMNO(Perhimpunan Agung) membuat perubahan-perubahan yang dicadangkan dalam Memo ini. Ini saja yang akan menyelamatkan kita.

Wassalam,
Kassim