Thursday, December 21, 2006

Bahagian II

DARI NASIONALISME MELAYU

DAN NEOLIBERALISME

KE NASIONALISME MALAYSIA DAN ISLAM?

Pada peringkat permulaan ini, kita ingin mengingatkan UMNO, jika mereka mahu konsisten dalam perjuangan mereka untuk mewakili bangsa Melayu, mereka haruslah mengiktiraf sumbangan kumpulan-kumpulan pejuang politik yang terdahulu, khasnya Kesatuan Melayu Muda (tertubuh 1930) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (tertubuh 1945) yang berhaluan kiri kepada perjuangan nasional anti-kolonial untuk kemerdekaan.

Tanpa melibatkan diri kita, pada waktu ini, dalam perdebatan soal taktik, segala faktor objektif – politik, ekonomi, intelektual dan ketenteraan – memihak kepada taktik sederhana atau perundingan untuk mencapai kemerdekaan. Taktik ini menyebabkan kita terpaksa berkompromi dengan kaum penjajah dalam beberapa hal, khasnya dalam ekonomi dan ketenteraan. Pada tahun 1957 waktu Malaya merdeka, Gerakan Negara-negara Berkecuali baru saja ditubuhkan (1955, di Bandung), tetapi tiga puluh tahun kemudian (1986) gerakan ini sebagai suatu organisasi bebas menjadi tidak berkesan lagi. Tokoh-tokoh besarnya Nehru, Sukarno, Nasser, Ben Bella dan Tito pergi meninggalkan kita dengan pengganti-pengganti yang tidak lagi berjiwa revolusioner. Rusia di bawah Gorvacheh mencari penyesuaian dan kerjasama dengan kuasa-kuasa Barat; demikian juga China, Mesir dan India. Kemudian benteng sosialisme dunia pecah di Rusia (secara paksa) dan juga di China (secara sukarela). Pengimbang kuasa liberalisme-neokolonialisme Barat tiada lagi dan in membawa kepada hegemoni total oleh Inggeris-A.S.-Israel untuk memaksakan sebuah Tatadunia Baru dengan serangan A.S. dan sekutunya terhadap Iraq dalam Perang Teluk Pertama (1999-2001) dan Perang Teluk Kedua (2003-06).

Pada masa sistem neoliberal Barat menguasai seluruh dunia di bawah riayah globalisasi, pada masa itulah sistem ini yang berserabut dengan riba dan tipu-helah politik yang dahsyat, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini, sedang runtuh. Bukti-bukti kegagalan A.S. dan sekutunya di Afghanistan dan di Iraq dan kekalahan Parti George W. Bush (Republikan) dalam pilihanraya pertengahan penggal Kongres dan Senat A.S. pada awal 7 November, 2006.

Walaupun kita tidak dapat memberi contoh-contoh negara sosialis Dunia Ketiga yang berjaya dengan jelas, mungkin dua buah negara ini, Iraq (sebelum ia diceroboh oleh A.S.) dan Kuba, boleh diketengahkan. Namun demikian, kejatuhan sistem in di Rusia dan di China membuktikan kelemahan dalamannya, yang sebenarnya merupakan kelemahan kerana sistem in gagal memberi peranan yang wajar dan sah kepada kreativiti individu. Kelemahan dalaman sistem kapitalis liberal ialah kerana kegagalan melindungi kepentingan kolektif yang sah. Kerana inilah dalam dekad-dekad 60-an hingga 80an, setelah berlaku dua peperangan besar dunia yang menghancurkan kepercayaan ramai manusia kepada kemujaraban sains dan teknologi moden untuk membawa kemajuan yang berterusan kepada dunia diganti dengan suatu rasa pesimisme yang meluas yang membawa kepada pencarian baru kepada kepercayaan agama dan spiritual, [1] dunia, termasuk umat Islam, mencari suatu jalan tengah di antara dua jalan yang telah gagal ini.

Demikianlah bermulanya apa yang dipanggil “Kebangkitan semula Islam” yang mencapai kemuncaknya di Iran apabila berlakunya revolusi anti-Shah dan disebut Revolusi Islam Iran oleh golongan teokrasi Iran yang mendapat kuasa dalam revolusi itu. Di Malaysia, ia bermula dengan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan kenaikan Anwar Ibarahim dalam UMNO dan Kerajaan. Semangat ini turut melanda PAS yang menyingkir pimpinan Mohd. Asri dan menggantikannya dengan Hj Yusuf Rawa yang memberi laluan kepada pimpinan ulama yang radikal mulai 1983.

Pada masa inilah, dari kira-kira tahun 80-an hingga kenaikan Abdullah Ahmad Badawi (2003), tuntutan untuk mendaulatkan Undang-undang Islam dan menjadikan Islam sebagai dasar negara meningkat di Malaysia. Namun demikian, contoh-contoh kegagalan dasar in di Pakistan, Sudan dan juga Iran patut mencelekkan mata rakyat kita yang beragama Islam kepada kesukaran menjadikan Islam sebagai dasar negara. Kesukarannya terletak pada perbezaan di antara Islam sebagai geopolitik semasa dengan Islam sebagai cita-cita yang diajar dalam Quran dan dilaksanakan oleh Nabi Muhammad di Madinah dan kemudian di seluruh Semenanjung Arab sebelum beliau wafat, mengikut Piagam Madinah yang digubal oleh beliau sendiri. Hal perbezaan ini tidak disedari dan malah tidak diakui oleh kebanyakan orang Islam hari ini.

Contohnya, apa yang dipanggil Undang-undang Islam atau Syari’ah terdapat dalam buku-buku undang-undang yang dikarang dan diterima oleh umat Islam sejak seribu tahun dulu. Apa yang gagal disedari oleh umat Islam, termasuk di Malaysia, ialah bahawa undang-undang itu tidak lain dari hasil ijtihad kaum fuqaha dulu. Tiap-tiap generasi perlu menilai semula apa yang ia warisi dari generasi dulu, sama ada warisan itu baik (dalam ertikata ia selaras dengan semangat ajaran Quran) dan sesuai dengan perubahan zaman (umpamanya teknologi perang sekarang berbeza dengan teknologi perang zaman Nabi).

Kita sebenarnya ada dua tugas yang perlu kita selesaikan terhadap warisan kita. Pertama, kita perlu kaji balik apakah ia selaras dengan semangat ajaran Quran; kedua, kita perlu selaraskan praktik kita dengan perubahan zaman. Oleh sebab itu, kita mempunyai agenda reformasi dari sejak zaman Muhammad ibn Abdul Wahhab (m. 1792) Kita juga tahu bahawa agenda reformasi ini tidak berjalan dengan licin dan lancar dan masih jauh terkebelakang, kerana ia ditentang oleh golongan konservatif dan ortodoks yang pengaruhnya masih kuat dalam masyarakat Islam. Inilah punca kegagalan Islam dilaksanakan sebagai dasar negara. Harus ditekankan di sini bahawa bukan Islam yang salah, tetapi pemahaman kita tentang Islam itu yang salah.

Apa yang harus kita buat sekarang, seperti kata pepatah, ialah kembali ke pangkal jalan. Pangkal jalan kita ialah Tuhan Yang Esa dan agama tauhid. Semua rasul membawa ajaran pokok yang sama daripada Tuhan, ialah tiada Tuhan melainkan Allah, dan sembahlah Tuhan sahaja. [2] Nabi Muhamamad yang menjadi penutup kepada segala nabi membawa kitab Tuhan yang terakhir, yang lengkap dan sempurna, mengandungi semua ajaran yang baik dari semua nabi. Kitab itu ialah Quran. Kita harus menjadikan Quran sebagai panduan dan ajaran yang asas dan pokok kepada kita dalam semua hal, tanpa membuang apa-apa ajaran lain yang telah kita ikut selama ini dengan syarat ajaran itu tidak bercanggah dengan ajaran pokok tadi. Ini bermakna kita harus mengkaji semula warisan kita (tafsir, kalam, hadis, ijmak dan sebagainya) supaya kerja reformasi kita lengkap dan sempurna.

Saya ingin memberi suatu contoh saja. Quran menyebut dua prinsip pokok undang-undang, iaitu keadilan atau hukuman setimpal,[3] dan ihsan atau hukuman berdasarkan kerahiman yang membolehkan hakim meringankan hukuman, malah mengampunkan pesalah. [4] Sekiranya undang-undang kita memenuhi dua kehendak ini, itulah yang kita namakan undang-undang Islam. Bentuk-bentuk hukuman boleh bertukar-tukar mengikut zaman, tempat dan keadaan, tetapi dua prinsip pokok ini tidak boleh bertukar.

Inilah yang perlu kita lakukan untuk membolehkan kita sekarang hidup mengikut cara hidup Islam, bukan saja dalam ibadah, tetapi dalam semua kerja dan aktiviti kita: politik, ekonomi, pendidikan, intelektual, kesenian dan kebudayaan.

Saya yakin, apabila kita berbuat demikian (mengajar dan mendidik rakyat kita falsafah hidup kemanusiaan serta mengamalkannya), kita akan berjaya menyelesaikan semua masalah yang kita hadapi, termasuk rasuah dan gejala sosial negatif. Kita juga telah melihat bagaimana Nabi Muhammad berjaya melaksanakan misi reformasi ini dalam masa dua puluh tiga tahun sahaja, sedangkan kita sudah merdeka selama 50 tahun! Contoh gemilang ini boleh dan patut menjadi inspirasi dan galakan kepada kita.

[1] Rasa kekecewaan ini khasnya dirakamkan secara puitis dalam karya dua orang penyair Eropah, W.B. Yeats (1865-1939) dan T. S. Eliot (1888-1965). Lihat sajak-sajak mereka “The Second Coming” dan “The Waste Land”.

[2] “Kami tidak mengirim rasul sebelummu kecuali dengan wahyu: ‘Tiada tuhan melainkan Aku; hendaklah kamu sembah Aku saja.’” (Quran, 21:25)

[3] Lihat Quran, 4: 123 dan 10: 27.

[4] Lihat Quran, 13: 22 dan 23: 96.

2 comments:

Anonymous said...

Pak Kassim

Nasib baik Pak Kassim tulis seminggu satu kali. kalau tidak, saya tak akan baca langsung coretan anda.

Bukan saperti anak perempuan Tun. Itu satu orang perempuan pintar dan degil!! Huuh!

Namun, saya kena bagi Pak Kassim lagu hari itu: sono novius
sambil saya CUBA-CUBA berfikir tonjolan ini.

Ya! Boleh tak Pak Kassim buat satu cerita mudah supaya ia lebih grafik melakarkan apa yang terpapar di layar perak dalam kepala Pak Kassim. Harapnya nanti, jelmaan gambaran-gambaran dalam perkataan ia tidaklah terlalu singkat sehingga ternganga mulut dan terkebil-kebil mata angkara 'paralisis minda', Pak kassim.

Buat la satu cerita. banyak-banyak pun tak apa. Biar cerdik pembaca atau reader friendly.

Okay, lah, Pak Kassim nanti orang bersaksi bahawa Pak Kassim bercerita macam Pak Hamka atau Pak Toers bercerita. Penuh dengan ketawa dan air mata.

Dengan Salaam yang amat hiba-seronok.(happy sad macam billy shakes. T.S Elliot amat grafik dan warna-warni puisi nya.

Anonymous said...

Assalamualikum Pak Kassim,

Saya tidaklah pintar tetapi meminati sejarah. Hmmm...

Undang-undang Islam adalah keperluan hidup tetapi bukan satu tuntutan. Salah ke? Kerana yang paling dituntut ialah keimanan.

Kalau ada anak kecil bertanya Apa tu Iman? Bagaimana kita menjelaskan? Secara mudahnya kita kata begini..

"Iman adalah percaya kepada perkara-perkara yang tak nampak"

Mudah kan?? Contohnya Allah, malaikat, hari kiamat, qada qadar..

Ini semua terkandung dalam ayat-ayat awal Al-Quran. Lebih kurang mafhumnya begini "Kami turunkan Kitab ini untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang yg yakin dengan perkara-perkara ghaib..."

Jadi anak kecil itu tanya lagi..
"Bagaimana nak tahu kita beriman?"

Jadi Allah beri dua panduan mengenali orang beriman:

1) Orang beriman itu bila mendengar nama Allah bergetar hatinya dan bila mendengar ayat-ayat Allah bertambah imannya. (tapi ini terlalu subjektif, kita tak nampak getaran hati seseorang)

2) Orang beriman bila melihat kemungkaran akan mencegah dengan tangan, bila tidak berupaya dengan lidah dan bila tak upaya lagi dengan hati..inilah selemah-lemah Iman. Ini lebih mudah dijelaskan tapi sering disalah tafsirkan.

Maka wujudlah golongan extrimis yang kononnya mencegah kemungkaran dengan Iman tertinggi. Lucunya... extrimis ini tidak pulak menutup kepalanya sedangkan Allah beritahu..mereka yang berjalan-jalan tanpa menutup kepalanya..sesungguhnya dia adalah orang yg fasik.

Apa kemungkaran paling besar dalam Islam?? Menyengutukan Allah. Betul? Itu paling besar, tiada ampun. Dan apakah tindakan menyengutukan Allah yang paling besar sekarang?? Meninggalkan solat...

Orang yg meninggalkan solat adalah orang kafir dan org itu kafir kerana ketika disuruh menyembah Allah, justeru dia menyembah selain dari Allah..panggung wayang, kedai kopi, pejabat dan sebagainya.. Betul tak??

Jadi apa kata kita lihat orang tak solat??? Bagaimana rasa hati kita??

Di sinilah ukuran iman kita?

Dan kemerosotan Imanlah punca kemerosotan Islam.

Kita kena berbalik juga kepada kehidupan Nabi sama ada kita hendak atau tidak.

Ketika Nabi belum dilantik menjadi Rasul, keadaan masyarakat Jahiliah sangat buruk sehingga menimbulkan kebencian masyarakat lain sekitar tanah Arab.

Mereka tidak mahu menjajah bangsa ini kerana bimbang memberikan pengaruh buruk kepada masyarakat mereka. Dan kebencian itulah juga yg ada dalam hati Nabi. Kebencian yang teramat sangat.

Kalau Pak Kassim nak tahu, inilah Iman yang lemah tu. Yang sepatutnya kita ada. Bila kita tengok orang minum arak atau bercumbu di taman, kita marah dan benci tapi bila lihat org tak solat kita tak terusik pun hati. Ini tak beriman namanya. Ini kafir.

Bila disuruh oleh Allah untuk Nabi menyeru umatnya beriman kepada Allah.... Nabi menyeru dengan lidah, mengajak dengan lemah lembut dan sesekali keras tapi tetap dengan lidah.

Membawa kepada keimanan ibarat membawa seseorang ke dalam bilik gelap kemudian diberikan cahaya..gelap akan lari sendiri.

Begitu juga hati..kegelapan hati akan sirna kalau cahaya iman dah sampai...tak payah marah marah.

Iman Nabi dan sahabatnya meningkat lagi kepada paras kedua. Pada ketika ini tak banyak perintah dan hukum-hakam diturunkan oleh Allah kerana iman masyarakat ketika itu masih ditahap pertengahan.

Sepuluh tahun lamanya terhenti di paras ini iman mereka. Kemudian bila difardukan solat, cerita Israk Mikraj dan disuruh berhijrah ke Yathrib, ramai yang hilang imannya.

Ramai yang tidak sanggup berkorban harta benda meninggalkan keluarga dan ramai yg tak sanggup dipersenda mempercayai cerita Muhammad yg dia ke baitulmukadis dan naik ke langit lalu pulang dlm tempoh satu malam.

Tapi yang mengikut Nabi ke Yathrib itulah yang beriman benar-benar tahap kedua.

Di Yahtrib dan kemudiannya Madinah... perintah Allah untuk org-org islam mengorbankan nyawa dalam peperangan sebagai syahid telah menyebabkan keimanan mereka terus meningkat ke tahap tertinggi di mana kata Umar Assiddiq 'Kalau diletakkan Neraka dan Syurga di depan kami pun iman kami takkan berubah'

Pada masa inilah bermacam-macam perintah Allah, hukum hakam dan peraturan diturunkan Allah. Semuanya diikuti tanpa dipersoal mengapa dan tanpa ragu-ragu.

Jadi Pak Kassim, untuk undang-undang islam dilaksanakan, umat Islam perlu bersedia dari segi iman mereka atau mungkin dipersediakan.

Orang bukan Islam tak penting dalam hal ini. Kalau iman orang-orang islam adalah seperti sekarang, sekalipun undang-undang Islam dibenarkan pasti takkan berjaya... pasti akan ditentang oleh umat islam sendiri.

Wallahualam..abis