Sunday, January 14, 2007

ADAKAH MASA HADAPAN UNTUK BANGSA KITA?

Oleh: Kassim Ahmad

1 Disember, 2006

(Tiga Bahagian)

Bahagian I

Esei ini ditulis dengan tujuan untuk mengkaji masa depan bangsa kita ketika kita melangkah masuk generasi merdeka yang ketiga, sempena perayaan 50 tahun merdeka. Ada dua sebab kita berbuat demikian. Pertama, sama ada kita sedar atau tidak, kita hidup sekarang dalam sebuah sistem antarabangsa (global) yang sedang menuju kehancuran total yang cepat, akibat angkara makhluk perosak dari kalangan manusia sendiri, khasnya kaum oligarki Inggeris-Amerika-Israel. Oleh yang demikian, kita sebagai sebuah bangsa yang berdaulat, secara sedar, harus memikirkan suatu sistem alternatif untuk keluar dari kegelapan yang bakal menyelubungi kita. Kedua, kita harus kaji secara lebih terperinci soal falsafah hidup bangsa kita supaya asas kehidupan kita lebih kukuh dan mantap untuk menjaminkan kelansungan bangsa kita dalam dunia mendatang yang akan melalui perubahan besar dan cepat.

Malaysia sebuah negara baru yang dibina di atas asas Kesultanan Melayu Melaka, setelah dijajah oleh pelbagai penjajah, Barat dan Timur, selama 446 tahun pada waktu kita merdeka pada 1957. (Sebelum ini, Nusantara hidup di bawah Empayar Sriwijaya yang beragam Buddhis dari abad ke-7 hingga ke-13, yang berpengkalan di Palembang, Sumatera, dan berinteraksi dengan China dan India, saksi bahawa tamadun Melayu sebuah tamadun yang tua.) Oleh kerana dalam masa itu, bangsa-bangsa imigeran lain, khasnya Cina dan India, termasuk juga Arab dari Asia Barat, (tetapi tidak termasuk sukubangsa-sukubangsa lain di Nusantara atau Kepulauan Melayu, kerana mereka termasuk di dalam kumpulan rumpun Melayu), maka Malaysia telah menjadi sebuah negara majmuk dengan penduduk dan warganegaranya terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan budaya. Oleh sebab itu, Perlembagaan Persekutuan melindungi hak ketuanan Melayu melalui institusi Raja-raja Melayu yang beperlembagaan, kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Di samping itu, hak-hak kebebasan untuk mengamalkan agama dan kebudayaan masing-masing bagi semua sukubangsa juga dilindungi oleh Perlembagaan.

Inilah yang disebut sebagai Kontrak Sosial yang dipersetujui oleh Pengasas-pengasas bangsa dan yang ditekankan dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO yang ke-57 pada 15 November lalu. Agak menarik untuk diberi perhatian bahawa apa yang dipanggil Perlembagaan Rakyat yang dikemukakan oleh pakatan Kiri (PUTERA-AMCJA) [1] pada 1948 tidak jauh lari dari Kontrak Sosial yang dipersetujui oleh gabungan politik UMNO-MCA-MIC. Malah nama identiti bangsa baru yang hendak dibangunkan itu ialah Melayu.[2]

Dipendekkan cerita, Malaya dan kemudian Malaysia mencapai kemerdekaannya melalui perundingan dengan Kerajaan Inggeris serta mengambil-alih sistem ekonomi-politik liberal-kapitalis Barat. Dasar luar kita pun pro-Barat pada peringkat permulaannya. Ini berbeza dengan sesetengah negara Islam lain, seperti Mesir, Iraq dan Libya, termasuk jiran dan bangsa serumpun dengan kita, Indonesia. Negara-negara ini lebih mirip ke blok Timur, membuat perubahan melalui kaedah-kaedah revolusioner dan bereksperimen dengan sistem sosialis. Namun demikian, setelah tiga puluh tahun, apabila sistem Sosialis Timur runtuh di Rusia, Eropah Timur dan China dan sistem kapitalis neoliberal Barat menang dalam pertembungan ideologi ini, keadaan negara kita dari segi ekonomi, politik, pendidikan dan kemajuan sains dan teknologi, secara perbandingan, tidak jauh beza; malah mungkin lebih baik.

Sistem liberal-kapitalis kita roboh dalam peristiwa rusuhan kaum Mei 13, 1969. Perdana Menteri pertama, Tungku Abdul Rahman, terpaksa menyerah kuasanya kepada timbalannya Tun Abdul Razak yang kemudian, setelah melalui pemerintahan darurat MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) selama dua tahun, melakukan beberapa perubahan dasar. Perubahan dasar ini termasuk Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Kebangsaan, dasar Bahasa Kebangsaan dan dasar luar dari yang pro-Barat kepada dasar berkecuali. Di bawah pimpinan Tun Razak juga, PAS, sebuah parti Melayu yang berdasarkan agama, yang ditubuhkan pada 1951, dibawa masuk pada 1973 ke dalam Barisan Nasional, yang sekarang bukan lagi terdiri dari tiga buah parti, tetapi empat belas buah.

Pada waktu ini, orang Melayu bersatu di dalam Barisan Nasional, diwakili oleh UMNO dan PAS. Dasar Ekonomi Baru membuka peluang kepada orang Melayu memasuki pelajaran tinggi dan memasuki bidang-bidang perniagaan kecil, sederhana dan juga besar, dan dalam masa tiga puluh tahun bilangan orang Melayu dalam bidang-bidang iktisas meningkat berkali ganda. Demikian juga bilangan orang Melayu dalam bidang perniagaan dan koporat meningkat. Wajah UMNO bertukar dari sebuah parti marhaen kepada sebuah parti kelas menengah yang berideologikan kapitalisme. DEB menghasilkan kontradiksinya: peluang ekonomi dan sosial membawa kepada kemewahan, materialisme dan perasaan tamak. Pada masa inilah “politik wang” masuk ke dalam parti. Perjuangan bangsa menjadi pudar. Undi, jawatan dan pangkat dalam parti boleh dijual-beli: yang mahu jawatan dan pangkat ada wang untuk membeli; yang ada undi dan kuasa mahu jual untu mendapat wang lebih! Perhitungan moral tidak ada lagi!

Demikianlah dasar liberal Barat merosakkan UMNO. Lalu UMNO berpecah kepada Semangat 46 pada tahun 1987-88 dan kepada Parti Keadilan yang menubuhkan Barisan Alternatif dengan PAS dan Semangat 46 (PAS keluar dari B.N. pada tahun 1977 dan dikuasai oleh golongan ulama radikal pada 1983). Dalam pilihanraya umum 1999, Barisan Nasional kalah di Terengganu dan Kelantan dan hilang banyak kerusi di Kedah, Perlis, Perak dan Selangor.

Dalam pilihanraya umum 1999, walaupun majoritinya merosot, Barisan Nasional masih dapat mempertahankan majoriti dua pertiga dalam Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri yang dikuasainya. Walau bagaimanapun, peremajaan UMNO tercapai apabila sayap puterinya ditubuhkan pada 2001.Setelah keadaan dalam UMNO kembali stabil berikutan pemecatan Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memegang teraju pimpinan UMNO dan Kerajaan selama 22 tahun meletak jawatan dan menyerahkan pimpinan parti dan negara kepada pengganti yang dipilihnya, Abdullah Haji Ahmad Badawi, pada 31 Oktober, 2003. Dalam pilihanraya umum 2004, di bawah pimpinan Abdullah, Barisan Nasional mendapat mandat yang terbesar sejak pilihanraya umun 1978. Nyatlah, rakyat Malaysia ingin memberi peluang kepada Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang baru, terkenal dengana nama mesranya Pak Lah, untuk melaksanakan janji-janjinya dalam pilihanraya itu, khasnya penghapusan rasuah.

Masalah pertumbuhan dan kemajuan ekonomi bukan saja masalah mengembangkan kek ekonomi, tetapi juga membahagikannya dengan adil, termasuk menghapuskan pembaziran dalam perbelanjaan awam yang sekarang sedia tinggi dan perlu dikurangkan untuk mengoptimumkan kegunaan sumber-sumber kita.[3] Rasuah perlu dibendung dan dihapuskan melalui penghayatan falsafah baru dan hukuman yang tegas dan saksama. Berhubung dengan gejala sosial negatif dan perkembangan jenayah, kita perlu memberi perhatian yang lebih kepada pendidikan kanak-kanak dan remaja. Selain daripada kursus kepada ibu-bapa tentang perkara ini, Kerajaan perlu menimbang masa kerja yang lebih fleksibel bagi wanita ibu yang bekerja supaya mereka boleh memainkan peranan mereka sebagai pendidik dengan lebih baik dan mengadakan bilik-bilik perpustakaan dan bilik-bilik permainan di flat-flat dan taman-taman perumahan.

Pokok segala masalah ialah falsafah perjuangan UMNO dan rakyat. Dari falsafah kebangsaan Melayu, ia telah berkembang menjadi falsafah kebangsaan Malaysia, tetapi juga telah merosot teruk, terhakis oleh faham materialisme yang pokok pangkalnya ialah ideologi liberalisme Barat. Kerosakan ini perlu dibaiki segera dengan menggantikannya dengan falsafah kemanusiaan Islam. Kita akan mengkaji masalah Islam dalam artikel akan datang.




[1] PUTERA= Pusat Tenaga Rakyat, yang terdiri dari beberapa pertubuhan Kiri Melayu. AMCJA= All Malaya Council of Joint Action, teridiri dari pertubuhan-pertubuhan Kiri bukan-Melayu. Perhatikan bahawa Pengasas MCA, Tan Cheng Lock, ialah Pengerusi AMCJA.

[2] Lihat Ramlah Adam, Ahmad Boestamam –Satu Biografi Politik; hal. 193.

[3] Kita boleh dan perlu memotong sepertiga daripada perkhidmatan awam yang berat di atas dan dengan itu menjimatkan perbelanjaan, yang perlu dialihkan kepada penghapusan kemiskinan dan meringankan bebanan perbelanjaan golongan-golongan yang berpendapatan rendah dengan menampung kos barang-barang keperluan dan kemudahan-kemudahan awam.

4 comments:

Anonymous said...

ya Kassim Ahamd!

Apakah perkerjaan orang UMNO yang kau persoalkan tanpa mahu menjilat jari menatap daging bangsa dan partai-partai yang lain?

Bercakap pasal kerja hati maka kau cakap bawa Islam mahu menegakan kebenaran. Kebenaran itu bukankah Adil namanya.

Kau Kassim masih dalam gua tanpa lampu dan mulutnya terkambus. Bakri memuji-muji kamu tapi kamu menghampakan kami.

Siapa? kami yang masih hormat dan sayang kamu, kassim.

Anonymous said...

assalamualaykum sdr kassim,
i bumped into u when i read an article on the website-islam/submission. strongly feel called to drop u a line coz really i just thot WHY oh why didnt the education in malaysia hv QURAN for its syllibus instead of what we are doing now! myself a product of the education bfore n so far really i felt so inadept in matters of Quran especially when i'm encountering muslims from other parts of the world n the non-muslims here in france! at least alhamdulillaah though that some fellow sisters i met here from iran, saudi, morocco n mauratania n we're all starting to recite n discuss Quran together alhamdulillaah..
u can imagine my surprise when i was reading the website about focusing on Quran n denying the hadiths as it is so contrary to what i've been accustomed to back in malaysia.. that was when i bumped into ur article! insyaAllah i'll keep on reading n learning more on these matters, will hv to find n read ur book too i think :) but till then may Allah bless us all, amiin..
wallahua'lam.

Anonymous said...

Wahai mika angelo-0

Dalam tradisi ilmu yang sejati, sepatutnya saudara mengemukakan hujah-hujah saudara dan menunjukkan dimana kesalahan atau kesilapan hujah yang terdalam didalam tulisan Sdr Kassim Ahmad.

Lawanlah hujah dengan hujah. Barulah sesuatu ilmu itu dapat berkembang. Sebagai seorang pemikir,penulis dan cendiakawan yang telah lama bergelut dalam dunia akedemik dan penulisan, saya pasti tentunya sdr Kassim Ahmad tidak mempunyai masalah sekiranya anda berjaya mengemukakan hujah yang lebih kuat untuk menyanggah atau membantah pernyataan yang dibuat oleh Sdr Kassim didalam tulisannya ini. Sdr Kassim dan kita semua adalah manusia yang tentunya tidak lari dari kesilapan dan kadangkala terlepas pandangan untuk melihat sudut-sudut pandangan yang lain.

Amat menyedihkan bagi saya apabila anak bangsa kita sendiri menggunakan kaedah bahasa yang begitu kasar dan menghina semata-mata ingin menundukkan hujah seorang,terutamanya terhadap seorang yang sudah berumur 74 tahun seperti sdr Kassim Ahmad.

Sdr mika angelo-0

Belajarlah menghormati pendapat orang lain yang berbeza dengan kita. Anda tidak perlu menggunakan kata-kata kasar lebih-lebih lagi terhadap orang yang lebih tua dan sudah amat berumur seperti Kassim Ahmad. Fahamilah perasaan orang dan janganlah menjadi manusia yang cenderung menghiris dan merosakkan perasaan orang lain semata-mata kerana kita tidak sealiran pendapat dengan seseorang itu. Anda mungkin tidak bersetuju dengan pendapatnya tetapi ianya bukanlah sebab untuk anda berlaku kasar terhadapnya.

Anda mungkin tidak memahami atau menghargai nilai pemikiran dan tulisan saudara Kassim tetapi saya percaya ada yang menghargai analisa dan renungan dari saudara Kassim Ahmad.

Saudara Kassim,

Untuk pengetahuan sdr saya adalah sudah lama mengikuti laman blog saudara secara senyap. Pertama kali saya mendengar nama saudara ketika saya masih dibangku sekolah ketika kemuncak polemik isu Hadith dan pendapat yang dikemukakan oleh saudara berkenaan Hadith.

Saya telah menghadamkan buku saudara, 'Teori Sosial Moden Islam' ketika saya masih belajar ditingkatan dua. Buku yang terdapat dalam koleksi pustaka keluarga kami itu saya baca akibat keinginan yang kuat untuk mengetahui aliran pemikiran saudara. Walaupun terasa berat juga, maklumlah ketika itu usia saya masih muda, saya gagahkan juga pembacaan buku itu sehingga selesai. Ternyata karya saudara itu tidak menghampakan dan dari situ bermulalah pencarian saya sendiri untuk memahami permasalahan yang timbul didalam pemahaman Islam akibat dari sikap taklid buta dan kesetiaan terhadap tradisi dan conservatism. Buku tulisan saudara itu besar jasanya kepada saya kerana ianya telah mencetuskan kesedaran baru bagi saya pada waktu yang begitu muda. Malangnya buku itu atas sebab yang tidak diketahui telah hilang didalam simpanan keluarga saya apabila saya melangkah keluar dari alam persekolahan.

Selain dari itu buku "Universiti Kedua" juga telah saya baca sebelum tamat peperiksaan SPM. Buku saudara tentang kisah tahanan saudara dibawah ISA itu adalah karya tulisan pertama seumpama itu yang masuk kedalam minda saya. Buku itu telah membuatkan saya berfikir panjang dan mula menyoal realiti sebenar yang ada disekeliling kehidupan saya. Buku saudara itu juga adalah pencetus awal dan menimbulkan minat untuk saya mengkaji aliran politik kiri. Minat itu berterusan dan memuncak ketika saya berpeluang belajar diluar negara. Minat itu kekal sehingga kini.

Sebagai seorang yang muda belia ketika membaca buku "Universiti Kedua", saya masih 'berseronok-seronok' dengan apa yang saya lihat sebagai 'realiti' disekeliling saya yang lahir didalam keluarga menengah atasan.

Selepas alam persekolahan, universiti dan kemudian melangkah ke alam pekerjaan, saya bertemu kembali dengan karya saudara "Hadith- A Re-evaluation" di laman internet. Saya tidak berkesempatan untuk membeli atau membaca judul dan cetakan asli buku saudara sebelum ianya diharamkan. Buku 'e-book' saudara itu saya baca perlahan-lahan didepan komputer untuk menghadamkan maksud dan hujah-hujah saudara.

Saya akui tidak semua hujah dan thesis yang dikemukakan oleh saudara dapat saya persetujui dengan mudah, tetapi perlu saya nyatakan disini, saya kagum dengan keberanian saudara untuk 'melawan arus' dan berani mengungkapkan pendapat saudara berdasarkan kajian dan perenungan saudara. Tidak ramai pemikir dan cendikiawan tempatan yang seberani dan sejujur saudara dalam mengemukakan pendapat, lebih-lebih lagi pendapat itu menyanggah sesuatu yang dianggap 'benar' dan 'mutlak kebenarannya'.

Setelah saya menjadi dewasa, (kini usia saya 32) saya menyusun (suatu proses yang berterusan) sendiri pendapat-pendapat saya berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya dan tentunya ada percanggahan-percanggahan dengan teori atau pendapat yang dikemukakan oleh saudara, tetapi suka untuk saya merakamkan penghargaan saya kepada saudara bahawa saudara telah mencetuskan minat kepada saya untuk berfikir dan menyoal perkara-perkara yang dianggap telah 'selesai' semenjak usia saya diperingkat sekolah menengah dan mendorong saya untuk menyoal dan berfikir tentang apa yang saya lihat dan fahami sebagai 'realiti'.

Terima kasih saudara Kassim dan saya berhadap saudara dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus menulis dan semoga saudara mendapat petunjukan dan keredhaan Allah SWT dalam usaha-usaha yang saudara lakukan untuk mendorong masyarakat dan negara menjadi masyarakat yang berfikir.

Anonymous said...

semekom pd sdra kassim...
sye ingin bertanye ngan sdra apa maksu falsafah kebangsaan??