Friday, May 11, 2007

UMNO 61 TAHUN

Oleh: Kassim Ahmad

11 Mei, 2007

Dalam ucapannya menyambut ulangtahun UMNO yang ke-61, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyebut lapan atau sembilan perkara yang penting: semangat persaudaraan dan kekeluargaan ahli UMNO yang dulu hari ini sudah tiada lagi; kejayaan dan kemajuan yang dicapai kerana perjuangan dan semangat perpaduan; kejayaan dan kemajuan ini dibina setapak ke setapak, dari tahap ke tahap, dari pemimpin ke pemimpin dan dari pertambahan nilai; kerjasama kaum melalui konsep perkongsian kuasa dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional menjaminkan perpaduan kaum dan kestabilan politik; perjuangan UMNO dan Bangsa tidak akan selesai, kerana ia berterusan dari generasi ke generasi dan dari abad ke abad; UMNO ialah warisan bangsa Melayu yang perlu dipelihara dan dipertahankan; tradisi UMNO membela dan membangunkan bangsa perlu diteruskan; mesyuarat-mesyuarat UMNO yang akan diadakan harus dilakukan dalam semangat musyawarah yang baik tanpa merosakkan perpaduan parti; rupa-bangsa Malaysia akan datang bergantung kepada jati diri, kepada nilai-nilai tinggi yang kita amalkan untuk terus berusha dan berjuang memaju dan menjayakan bangsa, khasnya ia bergantung kepada orang Melayu yang beriman.

Ucapan itu memakan masa 50 minit, nampaknya tanpa teks dan diucap dari ingatan. Namun demikian, kita boleh mengatakan itu sebuah ucapan yang baik. Ia menyebut banyak perkara yang patut disebutkan dan diberi perhatian oleh ahli dan pemimpin UMNO. Umpamanya, kehilangan semangat persaudaraan dan kekeluargaan di kalangan ahli-ahli UMNO. Dengan lain perktaan, beliau mengakui semangat materislisme yang berlebihan telah melanda UMNO. Ini boleh, dan telah pun, membawa kepada perpecahan dan kelemahan UMNO. Seterusnya, ia boleh membawa kepada kehancuran UMNO. Malangnya, Presiden UMNO itu tidak menghuraikan secara langsung bagaimana hendak mengatasi bahaya yang besar ini. Tidak syak lagi, nasihat beliau kepada parti supaya mengelak daripada perbalahan dan menjaga perpaduan, khasnya dalam mesyuarat-mesyuarat parti akan datang, mempunyai tujuan demikian. Tetapi punca atau punca-punca perpecahan parti terletak pada sebab-sebab lain, seperti rasuah dan penyelewengan di peringkat-peringkat tertinggi parti dan Kerajaan tanpa tindakan tegas diambil.

Tidak syak lagi juga, rujukan beliau kepada ayat Quran tentang orang-orang yang berjaya dan meminta orang Melayu supaya menjadi orang-orang Melayu yang beriman menghuraikan perkara ini secara tidak langsung. Tetapi, sebutan ayat ini tanpa huraian yang lebih lanjut tidak memadai. Di negara kita sendiri, Kerajaan PAS yang menekankan keimanan tidak berjaya. Banyak negara Islam di dunia juga tidak berjaya. Hal ini memerlukan huraian yang lebih terperinci dari segi ajaran Islam itu sendiri.

Lebih jauh dari itu, apakah kejayaan kita capai sekarang semuanya mantap dan akan kekal? Pak Lah menunjuk kepada perangkaan kejayaan ekonomi kita sebagai bukti. Tidak syak lagi, angka-angka ini ada makna dan kepentingannya. Tetapi kita ingin mengambil perkara belanja hidup kita sekarang yang meningkat dan membebankan 60% daripada rakyat kita. Mengikut Pak Lah, kita tidak boleh balik ke zaman yang telah lalu. Kalau 50 tahun dulu harga nasi lemak sebungkus kurang daripada 10 sen dan demikian juga secawan kopi, dulu kita naik basikal atau berjalan kaki! Mahukah kita balik ke zaman itu? Jawabnya, tentulah kita tidak mahu balik ke zaman itu. Sebabnya, generasi ibu-bapa kita telah berjuang dan bekerja untuk membaiki kehidupan kita. Kalau perbelanjaan negara kita sekarang besar, kewangan kita pun sudah bertambah banyak. Mengapakah kewangan kita yang banyak itu tidak boleh menampung suatu kualiti kehidupan yang selesa tanpa membebankan rakyat? Kita harus mengurangkan perbelanjaan kita melalui sifar riba, sifar rasuah, sifar penyelewengan dan sifar pembaziran, (berapa billion ringgit kita hilang tiap-tiap tahun kerana semua ini?) dan dalam masa yang sama, kita harus meningkatkan produktivi.

Dalam ucapan itu, beliau tidak menyentuh soal konflik agama, di kalangan masyarakat Islam sendiri dan juga di dalam masyarakat majmuk kita. Nyatalah, beliau nampaknya yakin konsep dan kaedah Islam hadhari yang dibawa oleh Kerajaan beliau akan dapat menyelesaikan apa juga masalah yang timbul. Kita tidak seoptimis itu. Kita harap UMNO di bawah pimpinan beliau akan bertindak lebih rasional, lebih tegas dan lebih berani terhadap anasir-anasir fanatik dalam masyarakat kita yang bertindak di luar undang-undang untuk mencapai cita-cita fanatik mereka dengan bertopengkan agama Islam.

Dalam masyarakat kita, terlalu banyak perkara dianggap sensitif dan tidak dibenarkan dibincang. Ini menafikan kita kaedah rasional untuk menyelesaikan masaalah-maslaha kita. Ini tidak adil kepada diri kita sendiri. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan di antara kita melalui perbincangan rasional. Saya harap UMNO di bawah pimpinan Pak Lah akan menggalak dan menyuburkan perbincangan rasional sebagai kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan semua masalah kita.

Presiden UMNO juga menyentuh perkara rupa-bangsa Malaysia yang sedang kita bina. Selama ini kita nampaknya tidak berminat untuk membincang perkara ini dengan lebih mendalam. Kita menentang gagasan “Malaysian Malaysia” Lee Kuan Yew dulu, tetapi apakah gagasan UMNO? Pendapat nampaknya berbeza. Ada yang menolaknya; ada pula yang ingin meninggalkan gagasan ini sebagai idea yang tidak perlu diperincikan. Dalam konsep Wawasan 2020, yang telah menjadi dasar Kerajaan, perkara ini dianggap sudah jelas. Ini memperlihatkan falsafah dan kaedah pragmatik UMNO dan Kerajaan kita yang masyhur. Namun demikian, kita sudah ada kerangkanya dalam apa yang dipanggil Kontrak Sosial kita. Tetapi, bagaimana kalau Kontrak Sosial ini pecah, dipecahkan oleh desakan-desakan globalisasi dan konflik dalam masyarakat Melayu dan masyarakat besar Malaysia sendiri?

Kita ingin membangunkan sebuah Bangsa Malaysia dari masyarakat majmuk kita (berbilang kaum, agama dan budaya) sekarang dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan dan agama Islam sebagai agama rasmi dengan diberi kebebasan beragama kepada semua rakyat. Rumusan ini akan banyak bergantung kepada kejayaan sistem pendidikan kebangsaan kita dan juga kepada pemahaman agama Islam oleh rakyat kita sendiri. (Perhatikan bahawa Islam seperti yang diamalkan sekarang terbahagi kepada banyak mazhab dan aliran perundangan.) Sekiranya sistem pendidikan kebangsaan kita berdasarkan bahasa Melayu gagal dilaksanakan sepenuhnya, seperti yang kita rancang, apa akan jadi? Demikian juga sekiranya negara-bangsa Malaysia mendatang tidak dapat mempertahankan konsep agama rasmi negara, kerana konflik-konflik dalaman sesama agama dan juga di antara agama?

Dalam ucapan beliau, Presiden UMNO menyebut jatidiri dan iman sebagai intisari rupa-bangsa ini. Dalam perkataan lain, Bangsa Malaysia yang mendatang mestilah dibina di atas asas jatidiri Melayu yang berpandangan hidup rasional, saintifik dan progresif (Kita terjmahkan iman dalam Islam sebagai bermakna pandangan hidup rasional, saintifik dan progresif, selaras dengan konsep dan kaedah Islam hadhari yang dibawa oleh Kerajaan sekarang). Ini suatu petunjuk yang berguna yang harus dibincang lagi secara saintifik dan rasional.

Kaedah musyawarah yang diajar oleh Islam sebagai kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan semua masalah haruslah dihidupkan balik dalam UMNO dan disuburkan. UMNO sebagai parti teras dalam gabungan Barisan Nasional mestilah mendahului semua oraganisasi dan institusi lain dalam masyarakat untuk mengamal kaedah musyawarah ini. Inilah sebenarnya intisari masyarakat, negara dan pemerintahan demokratik, bahawa ia pemerintahan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Gagasan dwi-parti, satu yang Pemerintah dan satu lagi Pembangkang, yang kita tiru dari Barat bukanlah intisari demokrasi, seperti yang sudah nyata dari apa yang kita lihat di Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan lain-lain.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/

3 comments:

Anonymous said...

Dr. Kassim Ahmad Yth.,

Huraian YAB Perdana Menteri yang tidak terperinci terhadap ayat Quran tentang orang-orang yang berjaya dan beriman itu, sememangnya tidak memadai.

Yang menariknya, begitu ramai cerdik-pandai (termasuk ulama') yang membuat tafsiran terperinci terhadap setiap ayat Al-Quran. Tetapi ternyata mereka sendiri terikut-ikut dengan tafsiran klasik, sehingga gagal memberikan huraian Al-Quran sesuai dengan zaman dan suasana setempat.

Sebagaimana yang Dr. Kassim pernah singgung sebelum ini, kita gagal memahami bahawa dimensi ajaran Al-Quran itu terbahagi kepada dua; (1) dimensi universal
(2) dimensi sejarah

Maka huraian terhadap Al-Quran, walau bagaimana terperinci sekalipun, hanyalah membawa kepada salah faham umat Islam yang selari dengan tafsiran ulama' ortodoks.

Tetapi ini hanya satu daripada dua masalah besar yang melanda umat Islam selama seribu tahun ini, dalam konteks penafsiran Al-Quran. Satu masalah lagi, adalah berkenaan tafsiran Al-Quran yang bergantung kepada hadis, sedangkan hadis mempunyai kedudukan di bawah Al-Quran, iaitu separas dengan 'ijma'-qias'.

Tiada lain, dua masalah besar ini berpunca daripada sikap kita yang membelakangkan ajaran Al-Quran yang sebenar - enggan menjalankan fikiran untuk memahami agama, sebaliknya memilih untuk bertaqlid buta dan bertaksub.

Jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memperincikan ayat Quran tentang orang-orang yang berjaya dan beriman itu pada satu ketika nanti, diharapkan beliau dapat melakukannya secara rasional, saintifik dan progresif.
Wassalam.

Anonymous said...

SESAT DAN MENYESATKAN ...ITULAH KASSIM AHMAD YANG TERTIPU DENGAN "KEKUATAN AKAL" DAN LOJIKNYA

Kassim Ahmad said...

Sdr yang tidak bernama,

Bolehkah seseorang itu sesat, jika ia ikut Quran? Nabi Muhammad ikut Quran -- adakah beliau sesat? Nasihat saya: "Jangat ikut buta-tuli. Gunakan akal yang Tuhan berikan kepada anda. Anda akan menghadp Dia seorang diri. Jangan buat fitnah kepada orang!"
Kalau saya sesat, saya yang akan tanggung. Mereka yang berpegang kepada Quran tidak boleh sesat.
Wassalam.