Friday, December 28, 2007

KERJA-KERJA YANG BELUM SELESAI

Oleh: Kassim Ahmad

27 Disember, 2007

Sambil kita menutup tahun 2007, perlulah kita memikirkan tentang kerja-kerja penting kita yang belum selesai dan yang perlu kita selesaikan segera. Jangan beri alasan mengapa kita belum selesaikan kerja-kerja ini. Jangan fikir tentang pilihanraya yang hendak diadakan – mencari masa yang baik untuk Barisan Nasional menang! Kita ada sehingga Mac, 2009 untuk memanggil pilihanraya. Gunakan masa ini untuk menyelesaikan kerja-kerja ini. Jika kerja-kerja ini selesai, siapa mahu tukar Kerajaan?

Nyatalah konflik agama dan perkauman bukan makin mengurang walaupun lima puluh tahun sudah berlalu; malah ia makin menjadi-jadi. Tiap-tiap hari Perdana Menteri kita bercakap tentang pentingnya perpaduan, kerjasama dan muafakat antara kaum, tetapi apa yang berlaku ialah tiap-tiap hari ciri-ciri sosial ini tergugat, digugat oleh politik oporcunis ahli-ahli politik B.N. sendiri, oleh golongan-golongan oporcunis agama dan kaum dari semua kaum dan oleh ketidak-tegasan di pihak keadilan oleh Perdana Menteri kita sendiri. Kes yang baru ialah pengharaman perkataan “Allah” dalam sebuah mingguan gereja di Malaysia. Kes-kes yang lain berlaku silih-berganti dalam masa dua tiga tahun yang lalu, kebanyakannya belum selesai dan terpendam untuk kemudian meletup lagi!

Ini satu kerja penting yang belum selesai dan perlu diselesaikan.

Kerja kedua ialah masalah sosio-ekonomi rakyat dari golongan rakyat yang berpendapatan rendah, RM 2,500 ke bawah sebulan bagi seisi rumah lima orang. Kita anggarkan ada antara 25% hingga 35% daripada rakyat (antara 6.5 dan 9.1 juta daripada 26 juta) yang termasuk ke dalam golongan ini. Golongan ini, terdiri dari semua kaum, menderita, apalagi belanja hidup kita kian naik Kerajaan mesti selesiakan masalah ini segera dengan mengubahsuai dasar ekonomi dan kewangan kita. Sekali lagi, jangan beri alasan kita tidak boleh buat dalam sekedip mata. Kita sudah habiskan 50 tahun! Dengan menyelesaikan masalah ini, kita jangka kejadian jenayah akan banyak berkurang.

Kerja ketiga yang penting yang belum selesai dan yang perlu kita selesaikan segera ialah sistem pendidikan kita. Kita perlu perkukuh dan perbaiki dia dengan memoden dan memperkukuh tampuk kebangsaan sistem pendidikan kita supaya bukan saja ialah boleh bersaing di persada antarabangsa, tetapi juga ia mempunyai jatidirinya yang mantap. Dasar pendidikan kebangsaan, dasar Bahasa Kebangsaan dan dasar Kebudayaan Kebangsaan mesti diperkukuh tanpa tolak ansor. Dasar-dasar ini mestilah bersifat humanis dan progresif dan tidak sempit dan jumud.

Semua bangsa dan semua bahasa, pada dasarnya, sama. Yang akan meningkat naik ialah bangsa yang berjuang untuk memajukan dirinya sendiri mengikut undang-undang alamaiah atau natural law. Bangsa Arab, di bawah inspirasi dan rangsangan ajaran Quran yang optimis dan dinamik, meningkat naik dengan cepat dan menciptakan sebuah tamadun saintifik yang agung dalam sejarah. Begitu cepat naik, begitu cepat pula jatuh! Fikiran yang maju bertukar menjadi fikiran yang mundur. Eropah-Amerika Yahudi-Kristen mengambil-alih teraju tamadun. Mereka pun sekarang sedang diganti, kerana gagal memainkan peranan pimpinan yang adil yang dikehendaki oleh sejarah.

Adakah Islam yang sebenar akan muncul balik? Secara logiknya, pasti. Bila ia akan berlaku, hanya masa akan menetukan.

Dalam pada itu, kita di Malaysia mesti memainkan peranan kita yang positif.

Kita ada tanahair yang bernama MALAYSIA; kita sedang membangunkan sebuah BANGSA MALAYSIA yang terdiri dari pelbagai suku-bangsa dengan pelbagai agama. Jadi, kesetian kita yang pertama ialah kepada tanahair kita, MALAYSIA dan kepada bangsa kita, BANGSA MALAYSIA. Inilah dua nilai utama yang kita junjung bersama. Kita berjuang demi NUSA dan BANGSA. Suku-bangsa kita dan agama kita juga penting bagi kita, tetapi nilai-nilai ini khusus bagi kaum masing-masing, dan tidak dikongsi oleh semua kaum, kecuali nilai nilai-nilai universal yang mendasari agama dan kemanusiaan, seperti keadilan, kesaksamaan, kebebasan, kasih-sayang, saling-hormat dan toleransi.

Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad untuk mentadbir negara-kota Madinah dan kemudian negara-bangsa Semenanjung Arab harus menjadi ikutan kita. Piagam ini, dalam Perkara Pertama, mengisythiharkan integriti negara-kota dan negara-bangsa ini, terasing dari wilayah-wilayah lain. Semua penduduknya, dari suku-kaum Arab, Yahudi dan lain-lain, dan dari semua agama mempunyai hak yang sama. Urusan agama dan adat-istiadat diletak di bawah kuasa autonomi suku-kaum yang berkenaan. Dasar negara -- pertahanan, ekonomi, keselamatan, dan lain-lain – diletak di bawah kuasa puast, yang ditadbirkan oleh Nabi Muhammad sendiri. Tidak ada perkara yang menamakan negara-kota dan negara-bangsa ini “Negara Islam”. Aliran ini timbul dengan apa yang dipanggil kebangkitan semula Islam dalam zaman moden, bermula dari gerakan pembaharuan Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh. Sekarang nyatalah kebangkitan ini bukan kebangkitan semula Islam yang sebenar, kerana ia gagal menyatukan umat Islam serta mengembalikan maruah mereka.

Kebijaksanaan Nabi Muhammad tidak menyifatkan negara-kota Madinah yang beliau dirikan sebagai “negara Islam” nyata sekali. Jika beliau berbuat demikian, ia akan memecah-belahkan masyarakat nasional yang sedang beliau tubuhkan. (Harus diingat pengertian “nasional” di sini tidak bersifat perkauman atau anti-internasional.) Yang penting dalam pemerintahan Islam ialah pemerintahan yang adil, yang dilaksanakan mengikut undang-undang yang adil, dan yang dilaksanakan beradasarkan muafakat dan musyawarah di kalangan warganya.

Negara-bangsa Malaysia yang sedang kita tubuhkan perlu mengikut model negara-bangsa yang ditubuhkan oleh Nabi Muhammad.

Kassim Ahmad seorang pengarang Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

No comments: