Sunday, June 01, 2008

Hadis: Satu Penilaian Semula #16

Bab III: Sumber, Sebab dan Kesan Hadis


Pembukuan Hadis


Di sekitar masa ini juga hadis-hadis dari segenap pelosok dunia Islam dikumpul, ditapis dan diwujudkan apa yang dipanggil Enam Buku hadis-hadis ‘sahih’ oleh kaum Sunni, iaitu Sahih Bukhari (m.256/870), Sahih Muslim (m.261/875), Sunan Ibn Majah (m.273/886), Sunan Abu Daud (m.275/888), Jami’ al-Tirmidhi (m.279/892) dan Jami’ al-Nasa’i (m.303/915). Kaum Syi’ah pula mempunyai kumpulan-kumpulan hadis mereka sendiri iaitu kumpulan al-Kulaini (m.328/9 H.), kumpulan Ibn Babuwayh (m.381 H.) dan dua kumpulaan Ja’afar Muhammad al-Tusi (m.411 H.).

Dengan kemenangan dan penerimaan teori perundangan Shafi’i di mana Hadis diberi tempat yang utama bersama-sama Quran, penggunaan fikiran kreatif atau ijtihad, pada praktiknya, tidak diperbolehkan lagi. Inilah yang kemudiannya dikenal dengan ungkapan masyhur ‘penutupan pintu ijtihad’ dan permulaan zaman taqlid yang berlanjutan hingga akhir abad kesembilan belas dan awal abad kedua puluh.

Boleh dilihat dari apa yang telah dihuraikan di atas bahawa pertentangan di antara aliran fikiran kreatif dengan aliran Sunnah (dalam kedua-dua ertikata tradisi masyarakat dan amalan Nabi) dalam masyarakat Islam awal telah dimenangi oleh aliran Sunnah. Jika tujuan Imam Shafi’i ialah untuk menggabungkan dan mendamaikan kedua-dua aliran ini, dan dengan itu membendung perpecahan dalam masyarakat Islam, nyatakanlah beliau tidak berjaya. Perpecahan teologi dan undang-undang terus berlaku. Malah, dengan menginstitusikan Hadis untuk mencapai apa yang beliau takrifkan sebagai ijmak, beliau sekaligus telah membunuh pemikiran kreatif masyarakat Islam. Seperti kata Fazlur Rahman.19

Jelas bahawa pengertian ijmak Shafi’i amat berbeza dengan pengertian mazhab-mazhab awal. Tanggapan ijmak beliau ijmak yang formal dan menyeluruh; beliau menuntut persetujuan yang tidak membenarkan perbezaan…

Oleh itu, dengan menterbalikkan susunan wajar Ijtihad-Ijmak kepada Ijmak-Ijtihad, perhubungan sebatiannya terputus. Daripada satu proses dan satu benda yang melihat ke depan – muncul selepas satu Ijtihad bebas – Ijmak menjadi sesuatu yang beku dan melihat ke belakang. Daripada sesuatu yang akan dicapai, ia menjadi sesuatu yang telah dicapai di masa lalu. Genius al Shafi’i mewujudkan satu kaedah yang memberikan kestabilan kepada wajah sosio-agama zaman pertengahan kita, tetapi dengan membayar kerugian kehilangan daya kreatif dan keaslian dalam jangka panjang.

Proses penggantian Ijtihad dengan Hadis yang memakan masa dua ratus tahun lebih amatlah kompleks. Faktor-faktor sejarah dan sosial yang menyebabkannya masih belum begitu terang kepada kita. Namun demikian, memandang dari sudut zaman kita sekarang, kita hairan mengapakah, dengan anjuran dan gesaan Quran yang begitu terang kepada peranan kreatif manusia dan kepada kebebasan sesuatu masyarakat untuk mentadbirkan dirinya,20 tenaga-tenaga konservatif dan reaksioner dapat mengalahkan tenaga-tenaga dinamik dan progresif.

Kita menilai semula kesusasteraan Hadis bukan sebagai satu latihan akademik untuk mendapat ijazah. Satu aspek Hadis yang amat penting ialah kesannya kepada masyarakat Islam. Kita telah melihat bahawa pemalsuan hadis berlaku kerana perpecahan politik dan agama yang kemudian membawa kepada munculnya mazhab-mazhab. Kita juga telah melihat bahawa hadis-hadis telah dijadikan alat untuk menyalurkan pandangan-pandangan dan pendapat-pendapat masyarakat pada waktu itu, dan kebanyakan pandangan dan pendapat ini merupakan tahyul dan bid’ah yang jahat.

Adalah wajar sekali kalau kita membuat andaian bahawa Nabi Muhammad tidak akan menyatakan atau berbuat sesuatu yang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran. Andaian ini kita buat kerana, sebagai rasul, beliau tentu amat faham akan ajaran-ajaran itu. Walau bagaimanapun, kita juga diberitahu oleh Tuhan dalam Quran bahawa Muhammad seorang manusia,21 dan beliau telah melakukan beberapa kesilapan sebelum beliau menjadi Nabi dan juga sesudahnya.22 Ini semua membuktikan kepada kita bahawa kelemahan yang kita dapati pada kebanyakan hadis yang dianggap sahih oleh kritikan klasik adalah kerana hadis-hadis ini palsu, yakni tidak sebenarnya berasal daripada Nabi, tetapi telah dikatakan berasal daripada Nabi. Mereka sebenarnya berasal daripada pelbagai puak dan golongan dalam masyarakat pada waktu itu, yang oleh kerana sebab-sebab yang telah kita lihat, memasukkan ke dalam hadis-hadis segala macam tahyul dan bid’ah jahat.

Quran memberitahu kepada kita bahawa Tuhan masih pengasih, sentiasa menghantar bimbingannya kepada manusia melalui rasul-rasulNya untuk membimbing manusia dengan wahyu-wahyuNya ke jalan selamat.23 Rasul-rasul ini bermula dengan Nabi Adam dalam zaman primitif membawa kepada Nabi Ibrahim hingga nabi terakhir dalam zaman moden, Nabi Muhammad. Penyelewengan daripada wahyu-wahyu Tuhan dan jalan selamat ini, yakni Islam (inilah makna ayat masyhur bahawa agama di sisi Tuhan ialah Islam)24 bermakna kerosakan dan kemusnahan bagi masyarakat manusia. Quran menceritakan kerosakan dan kemusnahan beberapa masyarakat dan tamadun dalam zaman purba akibat penyelewengan ini. Dalam zaman moden (moden di sini dikira dari kemunculan Nabi Muhammad) kita telah menyaksikan kerosakan dan kehancuran beberapa buah empayar Eropah. Oleh kerana hukum sejarah berlaku secara objektif bagi semua bangsa dan tamadun, kejatuhan umat Islam tidak dapat tidak mestilah berhubung dengan penyelewengan daripada wahyu-wahyu Tuhan yang telah mereka lakukan. Kita akan mengkaji secara ringkas peranan Hadis dalam penyelewengan ini.


Sambongan: Kesan-Kesan Hadis: Faham Kepuakan

1 comment:

moloyue said...

Saya mohon Sdra Kassim menjelaskan dengan lebih terperinci apa yang dipanggil oleh beliau sebagai, "ungkapan masyhur, penutupan pintu ijtihad". Kalau masyhur tentu ramai kita telah mendengarnya dan siapakah yang menutup pintu ijtihad? Imam Shafie kah?

Saya juga tertarik dengan "pertentangan di antara aliran fikiran kreatif dan aliran sunnah". Apakah, jika ada, satu definasi mengenai aliran fikiran kreatif dan siapakah tokoh-tokohnya? Bila pula berlakunya pertentangan ini yang dikatakan akhirnya dimenangi oleh aliran Sunnah?

Imam Shfie telah memperincikan semua hukum-hukum dalam Islam dan kitab-kitab beliau telah menjadi ikutan sebagai mazhab Shafie. Ada juga imam-imam lain yang telah berbuat demikian dan mempunyai pengikut-pengikut pada zaman mereka tetapi pendapat/kajian mereka tidak dibukukan maka pengikut mereka tidak berkembang seperti empat imam/mazhab yang menjadi ikutan sampai sekarang. Kalau ada imam dari kalangan "aliran fikiran kreatif" yang telah menghasilkan kitab-kitab yang setanding atau lebih baik drps Imam Shafie mungkin kita boleh kaji dan anuti.

Saya juga hendak komen, apa kena mengenanya antara kenyataan Sdra Kassim bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ada membuaat kesilapan sebelum dan selepas menjadi Nabi, dengan perkara pemalsuan hadis. Oleh itu saya lihat ada dua perkara di sini: pertama hadis palsu dan kedua jika hadis itu betul pun mungkin hadis tersebut merekodkan kesilapan yang dibuat oleh Nabi dan kesilapan ini menjadi ikutan orang Islam yang mempercayai hadis-hadis!

"Tuhan masih pengasih"? ini mungkin kesilapan bahasa. Pengasih adalah satu sifat Tuhan yang kekal. "Tuhan masih mengasihi" adalah lebih tepat sebab kalau kita terus engkar kepadaNya mungkin kita tidak lagi dikasihi malah dimurkai.

Hadis adalah perkara pokok yang dibincangkan oleh Sdra dalam blog ini. Oleh yang demikian Sdra tidaklah boleh membincangkan "secara ringkas" akan "peranan hadis dalam pelewengan umat Islam" sekarang dalam artikel-artikel akan datang.
Wassalam.