Thursday, February 18, 2010

POLITIK DI MALAYSIA KINI – CABARABN DAN HARAPAN

Oleh: Kassim Ahmad
kassim1234@gmail.com


16 Februari, 2010

Politik di Malaysia kini kecamuk. Pakatan Rakyat yang memenangi and menguasai lima negeri telah menampakkan apa yang kita sudah ketahui – ketiadaan asas suatu gabungan yang kukuh dan mantap. Mereka sendiri sebenarnya tidak menyangka mereka akan menang begitu besar dalam Pilihanray Umum yang ke-12 . Kemantapan dan kelansungan pakatan oporcunis ini diselubungi tanda-tanya. Idealisme, yang bertanggungjawab bagi perubahan ini, tidak boleh kekal tanpa realisme untuk melahirkan sistem yang lebih adil.

Mari kita selidik anasir-anasir yang bergabung untuk membawa perubahan dalam pilihanraya umum itu. PAS, asalnya serpihan daripada UMNO sudah berubah dari suatu pimpinan yang progresif di bawah Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Dzulkifli Muhammad dalam dekad-dekan 50-an dan 60-an, melalui “Islam Melayu” di bawah pimpinan Asri Muda, kepada pimpinan yang konservatif-agresif dan jumud di bawah “pimpinan ulama” acuan Iran sejak Hj. Yusof Rawa mengambil-alih pimpinan PAS. Oleh kerana pandangan hidup mereka bertunjangkan Akhirat, yang makna sebenarnya kabur dan mereka sendiri tidak tahu, tidak ada konsep dan dasar perkembangan ekonomi dalam sistem mereka.

DAP pula sebuah parti democratik-sosial yang didominasi oleh kaum Cina dengan dasar cauvinis “Malaysian Malaysia” warisan PAP Lee Kuan Yew. Jika mereka berkuasa di Pusat, Perlembagaan kita akan mereka ubah dan banyak dasar akan bertukar. Huru-hara akan berlaku. Kita katakana ini bukan untuk menakutkan rakyat Malaysia kepada DAP. Kita mahu melihat DAP mengubah ideologi dan dasarnya supaya lebih sesuai dengan reality di Malaysia.

PKR pula lahir dari “gerakan reformasi” Anwar Ibrahim (yang telah disingkir dari jawatan Timbalan Presiden UMNO). Gerakan “reformasi” ini menarik pelbagai aliraan ideolgi yang mahukan perubahan, termasuk anasir-anasir sosialis yang berpecah dari Parti Rakyat. Ia bergantung kepada karisma Anwar Ibrahim tanpa suatu ideologi perjuangan dan dasar yang jelas dan kukuh.

Gabungan cacamarba ini bukan tidak boleh berkembang menjadi kukuh dan kuat, tetapi ia memerlukan lebih daripda karisma seorang individu dan tempelan serpihan satu sosialisme. Ia memerlukan rumusan sebuah falsafah politik nasional yang boleh menyatukan rakyat Malaysia dan mewujudkan sebuah sistem pemerintahan yang lebih baik.

Dalam pada itu, kemampuan UMNO dan B.N. untuk bangkit semula masih belum jelas. Penyakit UMNO – “politik wang” – sebenarnya rasuah, pembaziran, pimpinan elitis yang terpisah daripada rakyat, suatu bentuk hegemoni – bolehkah UMNO obati? Pimpinan baru Najib Abd. Razak menunjukkan sedikit harapan. Jika beliau boleh mengikuti jejak-langkah bapanya mendiang Tun Razak, pimpinannya mempunyai harapan yang cerah. Cogankatanya “1 Malaysia: Rakyat didahulukan; Pencapaian diutamakan” menaraik dan sarat dengan makna dan kemungkinan.

Najib menghadapi cabaran yang lebih besar daripada bapanya, kerana kemerosotan UMNO yang teruk dan krisis ekonomi dunia yang parah sekarang. Beberapa dayausahanya yang mengutamakan golongan miskin memberi sinar baru. Amalannya “pergi kepada rakyat” menggalakkan, tetapi beliau kena mengelak pembaziran, seperti yang ditunjkukkan dalam lawatannya ke Melaka baru-baru ini. Malah beliau kena memberi arahan yang jelas dan tegas supaya Kerajaan pimpinannya bukan saja menolak tetapi mahu menghapuskan pembaziran, baik dari segi wang atau gunatenaga. Pembaziran suatu daripada bentuk penyelewengan besar yang meruntun masyarakat kita ke bawah.

Pada dasarnya hanya ada dua jenis politik dalam dunia ini – politik puak humanis yang berjuang untuk melaksanakan keadilan, dan puak oligarki (segelintir) yang menekan massa. Kita tentu tahu sistem politik mana yang kita mahu. Kita mesti ada suatu falsafah politik nasional yang boleh mewujudkan sistem ini serta menididik rakyat kita untuk mewujudkan sistem ini. Falsafah ini mesti merangkumi semua aliran politik nasional dalam negara kita, iaitu nasionalisme Melayu, nasionalisme Malaysia, Kerjaan yang adil berdasarkan permuafakan nasional, dan internasionalisme dan humanisme yang tulen..

Sistem dwi-parti (Kerajaan dan Pembangkang) lahir dari sejarah Eropah yang tidak sama dengan sejarah Dunia Ketiga (yang kena jajah). Oleh itu seruan supaya kita mewujudkan dwi-sistem (sistem dua parti) harus dicurigai. Sistem B.N. lebih mirip kepada sistem nasional yang kita sebut dan yang lebih sesuai dengan sejarah dan tradisi politik Dunia Ketiga.

Kita amabil iktibar dari politik PAS kini. Seperti yang telah kita sebutkan, PAS asalnya serpihan dari UNMO dan telah melalui tahap politik progresif di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin, politik ke-Melayuan dibawah pimpinan Asri Muda, dan politik “pimpinan ulama” acuan Iran sejak Haji Yusof Rawa memegang tampuk pimpinannya hingga hari ini. Oleh kerana kumpulan ini tidak mempunyai dasar ekonomi-politik yang boleh membangunkan rakyat, Kelantan yang mereka tadbir tidak boleh maju dan ketinggalan di belakang. Sekarang di dalam Pakatan Rakyat, masih tidak jelas apakah dasar ekonomi-politik mereka. Kerjasama dengan DAP mengharuskan mereka menyokong dasar cauvinis parti itu. Keresahan timbul sekarang dalam PAS supaya mencari perpaduan dengan UMNO untuk mempertahankan Islam dan kepentingan orang Melayu.

Seperti kata Tun Dr. Mahathir, oleh kerana rakyat kurang percaya kepada parti-parti politik, baik Kerajaan atau pun Pembangkang, maka timbul Badan-badan bukan-Kerajaan (BBK atau NGO) memainkan peranan yang lebih aktif menyuarakan hasrat dan cita-cita rakyat. Kelemahan BBK jelas, iaitu ketiadaan ideologi yang sama dan hanya wujud sebagai kumpulan pendesak yang tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir negara.

Kecamuk politik di Malaysia sekarang, dari satu segi, merupakan refleksi kecamuk politik dunia. Kuasa-kuasa besar yang menguasai Majlis Keselamtan PBB mahu mengongkong Iran daripada menjadi kuasa nuklier. Dulu mereka takut Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein menjadi kuasa nuklier dan mengamcam kewujudan anak emas mereka, Israel. Aneh dan malangya pada waktu itu Iran bersekongkol dengan Barat untuk menghapuskan Saddam Hussein. Berjaya dalam strategi ini, Barat sekarang menghadapkan kemarahannya dan ketidak-adilannya kepada Iran pula. Akan berlakukah satu peperangan besar? Perang nuklier yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel, di satu pihak, dan Iran dan sekutunya, di pihak lain?

Seperti di dunia internasional, kecamuk politik kita boleh mengundang bahaya besar. Satu mala-petaka besar semacam “Mei 13” atau lebih buruk boleh berlaku jika kecamuk politik ini berterusan. Menjadi tugas besar Najib dan tugas besar pimpinan UMNO-BN, termasuk pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat yang rasional, mesti duduk semeja serta merumuskan suatu falsafah politik nasional Malaysia yan g lebih kukuh dan mantap untuk mengatasi kecamuk politik ini serta membolehkan Malaysia terus maju ke hadapan.

16 comments:

Juang said...

Salam,

Jika politik hanya menjadi medan berebut kuasa, pasti akan membawa kepada kecamukan. Nafsu gila kuasa itu menyebabkan ada manusia bertindak melampaui rasional.

Politik perlu dibersihkan daripada memikirkan kuasa, tetapi fikirkan amanah untuk membela nasib rakyat.

Rakyat sebenarnya tidak kisah siapa yang memimpin mereka asalkan pemimpin itu menjaga hak2 asasi mereka seperti hak mendapat makanan, tempat tinggal, pendidikan, peluang pekerjaan, keselamatan, kebebasan kepercayaan dan pandangan.

Namun bila ada pemimpin yang curang terhadap amanah dan kepercayaan yang diberi, seperti menjadikan statusnya itu untuk membolot kekayaan diri sendiri sehingga nasib rakyat tidak terbela, maka rakyat mula hilang kepercayaan.

Dalam rakyat tercari-cari pemimpin yang boleh diharap, ada pula puak2 mengambil kesempatan untuk agenda mereka pula. Akibatnya rakyat seperti keluar daripada mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

Anonymous said...

macam mana orang lama boleh menulis macam ni. terlalu prejudis.

zahirsyabin said...

Salam

Tulisan tuan sangat saya minati tapi Tuan kurang update artikel. Secara purata hanya sbulan sekali. Minta ditambah kekerapan

Terima kasih

Anonymous said...

Satu analisis yg terlalu cetek dan mudah (simplistic) dan di masa yg sama cuba mengampu Najib (saya tak faham apa tujuannya).

Kassim Ahmad said...

Kepada orang yang tak bernama,
1)Anda mendakwa saya tidak saksama.Maksud anda saya tak saksama kepada PKR.Ini kerana saya kritik PKR kerana ia bergantung banyak kepada karisma Anwar Ibrahim.Namun demikian saya beri satu jalan keluar kepada PKR.
2)Anda juga mendakwa artikel saya cetek.Itu pendapat anda yang subjektif.
3)Anda mendakwa saya mengampu Najib,anda berdusta kerana saya juga mengkritik Najib dalam hal pembaziran.

Allan's said...

Hi there En Kassim,

I respect your opinions and have followed your blog off and on over the years.

However on this article, I must say that the parties that make up the PR have really made an effort to move to the middle to accomodate the plural wishes of the Malaysian public.

hardliners from all parties within the PR have seen their dissenting voices drowned by this ground realities. (e.g you do not see Karpal Singh harping about Anwar Ibrahim or Islam..ditto with those in PKR (Zul Noordin) and Pas (Nasharuddin)

As to the point about DAPs chauvinistic "Malaysian Malaysia", I do think you will agree with me that Malaysia as a nation state consists of...well..Malaysians. So what is wrong with a Malaysia for Malaysians. I do not understand where "chauvinism" factors in that. I do believe Islam teaches us not to discriminate each other based on race and I would expect you to at least see that.

The reality that Malaysia is in right now is that the poor are getting poorer. The middle class is largely emasculated by the poor state the economy is in. We have largely lost our competitiveness to neighbour nations. People on the ground are genuinely fed up with the racial baiting that's been going on for these last 30 years.

Perhaps you could shed some light on what the "realities" of Malaysia are in paragraph 3.

Thanks and keep on writing

Anonymous said...

Sdra Kassim,
Saya akui sebhg drpd masalah yg dihadapi oleh kerajaan2 negeri PR adalah disebabkan oleh ketiadaan satu parti gabungan yg mantap. Tetapi, faktor yg lebih besar ialah tekanan-tekanan kotor yg dilakukan oleh Kerajaan Pusat/umno terhadap kerajaan2 ini. Ini melanggar prinsip2 demokrasi dan hubungan persekutuan/pusat dan negeri.

Pembunuhan TBH oleh SPRM adalah epitome kejahatan umno/kerajaan pusat terhadap negeri2 PR. Selain drpd itu ialah rampasan kuasa di Perak, rampasan royalti minyak Kelantan, isu perarakan maulud di P.Pinang, "police harassment" terhadap pemimpin2 PR, kehakiman yg dikuasai oleh Umno, propaganda dan fitnah oleh media perdana yg dikuasai sepenuhnya oleh umno dan lain2 lagi.

Kecamuk politik Malaysia hampir tiada kena mengena dng kecamuk politik dunia. Kecamuk politik Malaysia berpunca drpd kejahatan UMNO yg bersekongkol dng sultan2 dan taukeh2 besar. Ia bermula dng pentadbiran diktator Dr. Mahathir yg telah merosakkan sistem pentadbiran negara ini. Dollah Badawi cuba membetulkannya tetapi gagal dan Najib menyambung semula kejatanan Mahathir.

Anwar Ibrahim hanyalah simbol perjuangan rakyat menentang kezaliman rejim umno-mahathir-najib.

Sekian sedikit kritik terhadap penulisan sdra.

Anonymous said...

Sdra Kassim,
"mengkritik Najib kerana pembaziran". Pembaziran adalah satu ketidak-cekapan tetapi apa yg Najib telah lakukan ialah penyelewengan/rasuah dlm kes pembelian kapal selam; penyalahgunaan kuasa dlm kes pembunuhan altantuya; penyalahgunaan kuasa dlm kes rampasan kuasa di Perak; penyalahgunaan kuasa dan kezaliman dlm kes liwat Anwar Ibrahim; dan banyak kes rasuah yg ditutup. Bagaimana dgn pembunuhan Teoh Beng Hock yg cuba dikaburi. Ini adalah jenayah-jenayah (bukan ketidakcekapan spt pembaziran) yg dilakukan oleh Najib yg sdra tidak kritik.

Siapa berdusta?

Juang said...

Salam,

Saya lihat, kalau kita setakat menuduh seseorang itu tanpa bukti, kita pun tidak terlepas daripada berdusta malah membawa kepada memfitnah.

Janganlah kerana mengikut api kemarahan, dosa memfitnah itu ditolak tepi.

Anonymous said...

Sdra Juang,

Adakah sdra percaya 100% bahawa Perdana Menteri kita YAB Najib bin Tun Abdul Razak bersih drpd sebarang jenayah rasuah? Sdra bermimpi disiang buta!

Anonymous said...

sdra kassim, juang dan yang tak bernama....
perbahasan saudara bertiga menarik perhatian saya untuk menyatakan sesuatu....
saudara kassim telah mengatakan sesuatu tentang pentadbiran PAS di kelantan, kenapa saudara hanya mempersoalkan kemunduran kelantan sahaja, mengapa saudara tidak sentuh berkenaan usaha kerajaan PAS menyelesaikan "HUTANG" yang di buat semasa pemerintahan UMNO.apakah segala usaha yang di buat PAS itu jahat semuanya. PAS ni tak adakah baiknya. AKUI JE LAH!!!

Juang said...

Salam Anon 1:35am,

Saudara juga tidak 100% bersih daripada dosa. Jadi kenapa tidak melihat kekurangan diri sendiri daripada sibuk menghukum atau memfitnah mana-mana individu tanpa bukti?

Mungkin pada penilaian kita, dosa kita lebih ringan daripada seseorang individu yang kita benci itu. Tetapi di sisi Allah, barangkali orang yang kita anggap buruk itu lebih banyak buat kebaikan yang kita tidak sedari.

Fikir-fikirkanlah apa erti hidup yang sebenarnya...

Kassim Ahmad said...

1. Saya jarang-jarang menulis dalam blog saya, kerana saya sibuk menulis sebuah buku baru.
2. Namun demikian, apa yang patut saya tulis mengenai keadaan semasa telah saya tulis. Cuba perhati baik-baik.
3. Dari 11-18 Mac lalu saya terpaksa melalui pembedahan kedua-dua belah mata saya. Walaupun penglihatan saya sekarang sudah terang, kata doktor (pakar) mata itu, saya kena "bercuti" selama dua bulan sebelum menulis (dan membaca) semula.

Juang said...

Salam Pak Kassim,

Jika mata zahir yang kabur boleh dibedah dan dipulihkan secara fizikal, maka mata hati yang kabur boleh dirawat secara mental.

Saya doakan semoga Pak Kassim sentiasa dalam kesejahteraan.

Kassim Ahmad said...

Salam Sdr Juang,

Berbanyak terima kasih.

ella. said...

penyelewengan/rasuah dlm kes pembelian kapal selam; penyalahgunaan kuasa dlm kes pembunuhan altantuya; penyalahgunaan kuasa dlm kes rampasan kuasa di Perak; penyalahgunaan kuasa dan kezaliman dlm kes liwat Anwar Ibrahim; dan banyak kes rasuah yg ditutup. Bagaimana dgn pembunuhan Teoh Beng Hock yg cuba dikaburi. Ini adalah jenayah-jenayah (bukan ketidakcekapan spt pembaziran) yg dilakukan oleh Najib yg sdra tidak kritik.
...................................

-semua fitnah diatas nampak macam real aje, lebih2 lg kes TBHock, mcm cerita hindustanpun ada, tp saya rasa saudara Kassim bukanlah seorang yg terlalu hina utk propaganda murahan