Tuesday, January 18, 2011

KONSEP "RAKYAT DIDAHULUKAN": ADAKAH MUTLAK ATAU BERSEMPADAN?

Kassim Ahmad

kassim311@yahoo.com

18 Januari, 2011



Presiden UMNO yang ke-7, Najib, ingin mengembalikan sokong rakyat terhadap BN setelah kekalahan mereka dalam Pilihanraya Umum ke-12, memperkenalkan konnsep “Rakyat didahulukan; pencapaian diutamakan” sebaik saja beliau ambil-alih daripada Abdullah Ahmad Badawi. Sekali lalu, ia nampak suatu konsep yang bagus sekali. Namun demikian, setelah dua tahun, kita terpaksa menilai kembali konsep ini.

Tidak dapat tidak, kita harus bermula dengan pemahaman bahawa tiada manusia mana pun yang sempurna. Yang sempurna hanyalah Tuhan. Seorang manusia atau sesebuah masyarakat tidak ada nilai sama sekali di sisi Tuhan, kecuali nilai-nilai baik yang didukung dan diamalkannya.

Oleh itu, bukan semua kehendak rakyat itu adil, atau boleh diterima. Umpamanya, cita-cita komunisme untuk kebebasan tulen dengan menghapuskan entiti negara dalam konteks kejiwaan manusia sekarang satu impian kosong dan tidak mungkin dicapai. Juga kita tidak boleh menghapuskan kemiskinan sama sekali dalam kerangka sistem sosio-ekonomi yang kita amalkan sekarang. Juga kita tidak boleh mewujudkan suatu sistem pergajian dan upahan yang dikawal untuk membataskan gaji atau upah yang terendah atau tertinggi; dalam sistem pasaran bebas, semuanya terserah kepada pasaran. Demikianlah banyak lagi perkara yang dikehendaki rakyat tidak boleh dilayan. Terdapat satu sempadan yang tidak boleh dilanggar dalam kehidupan manusia. Dalam Quran sempadan abstrak ini disebut had.

Oleh yang demikian, konsep "Rakyat didahulukan" tidak benar, dan perlu dinilaikan semula.

Satu akibat daripada konsep ini ternampak dari ketaksuban yang timbul dalam masyarakat kita akhir-akhir ini. Ambil contoh kontroversi tentang novel Interlok, karangan Sasterawan Negara Abdullah Hussein. Bantahan terhadap pemakain novel ini sebagai teks di sekolah menengah, kerana terdapat satu dua perkataan "pariah" di dalamnya, sama sekali tidak menasabah. Novel itu memerikan suatu fenomena dalam sejarah, seperti sistem perhambaan, sistem feudal, sistem penjajahan dan sebagainya. Kalau kita menutup mata kita kepada sejarah, bagaimana kita hendak berlajar dari sejarah?

Namun demikian, bantahan terhadap novel itu sudah melampaui batas: novel dibakar sekali dengan gambar pengarangnya! Inikah kemahuan rakyat yang harus kita dahulukan? Kononnya, kita tidak harus mendedahkan kanak-kanak sekolah kepada realiti kasta pariah! Kalau ini "kehendak rakyat" yang harus kita dahulukan, kita melakukan sesuatu yang sama sekali tidak wajar.

Tidak salahlah kalau Tuhan menyuruh kita memerintah dengan adil. Yang benar-benar dikehandaki rakyat itu keadilan, bukan sembarangan, apalagi ketidak-adilan! Tetapi, persis ini yang telah berlaku. Buku dibakar! Pengarangnya dihina! Inikah yang dikehendaki rakyat Malaysia? Tentu tidak. Jadi eloklah slogan ini diubah menjadi "Keadilan didahulukan; Pencapain diutamakan."

8 comments:

Nirnama said...

Pada asasnya, pemimpin harus mendahulukan rakyat berbanding kepentingan peribadi, dalam urusan pemerintahan, kerana dia dipilih oleh rakyat, dan untuk rakyat. Selagi kepentingan rakyat itu tidak menyanggahi keadilan, selagi itu rakyat harus didahulukan.

Kadangkala suara rakyat tidak didengar, asap dan api pun menyampaikan mesej dengan jauh sekali, dan mendapat liputan meluas pula. Pemimpin bijak menggunakan perundingan untuk mendengar mesej itu dengan jelas dan menyampaikan pula mesejnya, lalu membuat keputusan berlandaskan keadilan.

Jika kehendak rakyat tidak selaras dengan keadilan, pemimpin juga ada "asap" dan "api". Kadangkala pemimpin harus bertindak keras demi keadilan.

Nasib "Interlok" baik sekali, kerana tidak diharamkan kerajaan, dan mesejnya tetap berlegar bebas di ruang minda anak-anak sekolah. "Hadis:Satu Penilaian semula" ditimpa nasib yang sungguh malang. Ia tidak dibakar, kerana apa ada pada kertas? Sebaliknya ia diharamkan. Inilah ketidakadilan.

Kassim Ahmad said...

1. Saya setuju dengan pendapat anda bahawa rakyat harus didahulukan, dengan syarat permintaan mereka wajar.
2. Dalam kes "Interlok:, adakah bantahan dan permintaan mereka wajar?
3. Banyak buku, yang dipakai di sekolah, mengkritik diri kita, umpamanya "Kisah Pelayaran Abdullah" Adakah kita patut bakar buku itu dan bakar gambar pengarangnya?
4. Pemerintah kena tegas. Ketaksuban atau prasangka orang ramai TIDAK HARUS dilayan.
5. Buku HSPS diharamkan kerana mengkritik karya Imam Besar. Shafi'e. Interlok hanya merakam sejarah tentang suatu adat jahat.

Nirnama said...

"HSPS" mengandungi nilai akademik dan saintifik, dan rasional. Kupasannya jujur. Patutkah ia diharamkan semata-mata kerana mengkritik Imam Besar Shafi'e yang memperkenalkan Teori Keselarasan Hadis? Tidak ada teori dalam dunia ini yang tidak boleh disanggah.

Ada intelektual membantah pambakaran "Interlok" dengan lantang sekali. Ini bagus. Tetapi pernahkah mereka membantah pengharaman "HSPS"? Sebahagian mereka turut terlibat dalam pengharaman ini. Kenapa berlaku tidak adil? Ini suatu kesilapan besar. Jangan kita berfikiran dangkal!

Saya membantah pengharaman buku HSPS dan pembakaran buku Interlok.

MERBOK TIMES said...

Salam Pak Kassim,

Do visit my latest entry - JANGAN LUPA KISAH INI - ANEKDOT SATU : Tunku mengheret bag di lapangan terbang Kaherah.

Kisah-kisah yang jarang dipaparkan untuk generasi baru netizen yang kurang membaca.

Juang said...

Salam,

Sebiji epal dinilai sebagai baik jika isinya baik. Kalau kulitnya cantik tetapi isinya busuk, maka epal itu tidak bernilai lagi.

Begitulah dengan negara. Jika masyarakatnya mengutamakan nilai-nilai baik, sudah pasti negara itu akan mempunyai nilai yang tinggi di sisi Tuhan.

Konsep "rakyat didahulukan" hanya perlu dipakai jika rakyat itu mahukan kebaikan. Tetapi jika rakyat itu mahu nilai-nilai buruk, sebagai pemimpin yang adil kena bertegas di situ.

Buku HSPS adalah cetusan seorang rakyat yang ingin masyarakat mengutamakan nilai-nilai baik. Mengharamkan tulisan mengajak ke arah kebaikan, samalah seperti Firaun yang marahkan Nabi Musa menyampaikan nilai-nilai baik dalam masyarakat Mesir pada waktu itu.

Unknown said...

Salam,
Betul kata saudara Juang itu. Nabi Musa mengajarkan nilai-nilai baik kepada masyarakat Mesir, di mana terasnya adalah tauhid. Firaun tidak suka dengan fenomena ini, yang menafikan segala benda sebagai tuhan, dan menetapkan kewujudan Allah semata. Mana-mana masyarakat yang mendewakan manusia, sebagai contoh, tidak akan rela mendengar kritikan terhadap objek dewaan mereka itu, walaupun kritikan itu bersifat akademik, saintifik, dan rasional. Padahal tidak ada manusia yang sempurna, sebab manusia bukan Tuhan.

Nilai-nilai itu baik hanya jika ia berpaksikan tauhid. Apa sahaja tindakan yang diambil oleh rakyat dan pemimpin menggambarkan dua nilai yang mungkin, iaitu baik dan buruk, berdasarkan paksi ini. Orang yang faham hakikat ini tahu di mana kedudukan masyarakatnya dan pemimpin mereka.

Moga-moga buku seperti HSPS diberi penilaian semula oleh masyarakat dan pemerintah kita.
Wassalam.

Pemuda said...

Nampaknya keadilan itu perkara yang harus dipikul oleh semua pihak; rakyat, termasuklah intelektual di satu pihak, dan juga pemimpin di pihak yang lain. Semua orang harus jujur dalam menganjurkan keadilan; kita tidak boleh menonjolkan keadilan dalam suatu perkara, tetapi menyembunyikannya dalam perkara yang lain kerana kepentingan peribadi.

Hanya jika segenap pihak seia dan sekata dalam menjulang keadilan, barulah gabungan 'akal-akal kreatif' ini mampu memberi impak besar dalam pembentukan sebuah 'negara baik'.

Bunting_laser said...

Jangan dibakar novel interlok semata-mata kerana ia membicarakan sejarah yang benar sejujurnya.

Sejarah anugerah Tuhan. Walaupun kadangkala sejarah tampak buruk, kita harus menerimanya dengan fikiran lapang dan terbuka. Hanya dengan fikiran lapang kita boleh belajar daripada sejarah, dan meningkat ke tingkatan yang lebih tinggi (berevolusi), bahkan lebih tinggi lagi, berasaskan prinsip-prinsip kebaikan dan penaakulan yang benar. Sejarah rahmat Tuhan, maka ia patut disyukuri.