Friday, May 27, 2011

MENZIARAHI SEMULA NOVEL SHAHNON AHMAD
PROTES


Oleh: Kassim Ahmad

Darul_hikmah33@yahoo.com.my
27 Mei, 2011

Baru-baru ini saya ada sedikit masa lapang (dari kerja-kerja penulisan saya), lalu saya manfaatkan masa itu dengan membaca atau ulangbaca pelbagai jenis buku, khasnya novel oleh penulis-penulis kesukaan saya, Tongkat Warrant, Kris Mas, Pammoedya Ananta Toer, Shahno Ahmad, A. Samad Said, Anwar Ridhwan, Abdullah Hussein, Faisal Tehrani dari Dunia Melayu), Shakespeare, Charles Dickens, Thomas Mann, Balzac, Boris Pasternak, Tolstoy, Dostoyevsky dan Alexander Solzhnettsyn (dari Eropah).
Tergerak hati saya untuk menulis tentang novel Protes yang diterbitkan oleh penerbit Abbas Bandung, Melaka, tahun 1967. Penerbit berkata: “Bagi saya inilah pertama kalinya semenjak Hamzah Fansuri, seorang pengarang Melayu yang dengan serius dan ikhlas coba menerjuni alam filasafah dengan menggunakan bentuk sastera yang kreatif. (Ejaan disesuikan dengan kaedah ejaan baru.)
Ada beberapa sebab mengapa saya menulis esei ini. Sebab-sebab itu akan menjadi ketara sambil kita maju dalam esei ini. Saya juga bermain dengan idea untuk membuat suatu penilaian keseluruhan bagi novel-novel Shahnon. Banyak novel Shanon telah saya baca dulu, tetapi tidak semua. Namun demikian, penilain menyeluruh akan memakan masa banyak, dan saya tidak ada banyak masa.
Pada muka surat pertama dipetik kata-kata watak utama novel ini, Ferdaos, yang berbunyi: “Tujuan hidup hanya untuk mencari kebenaran, mencari kebenaran asli dengan akal dan fikiran yang tinggi.”
Novel bermula begini: “Apakah tujuan hidup?
“Soalan itu datang lagi. Dan Ferdaos coba juga memberi jawapan yang tepat. Dan jawapan yang tepat hanya satu saja.
“Hidup untuk mencari dan memburu kebenaran asli. Dan kebenaran asli itu hanya dapat dicari dan dapat diburu dengan akal yang tinggi dan fikiran yang logik. Tetapi bila Islam menetapkan adanya pula bahagian-bahagian dalam hidup ini bersifar transcendental, bahagian-bahagian yang berada di luar akal dan pemikiran manusia, bahagian-bahagian yang tidak boleh dicari dan diburu dengan akal yang sihat dan fikiran yang tinggi, maka tujuan hidup umat Islam bukan lagi untuk mencari kebenaran asli , tetapi hanya untuk hidup dalam khayalan dan angan-angan. Kiamat bersifat transcendent. Dan untuk memikirkan ada atau tidak adanya kiamat bukan soal manusia. Manusia hanya diminta percaya adanya kiamat. Syurga, pahala, bidadari, akhirat dan roh adalah berunsur transcendent. ... Islam tidak memberi sepenuh-penuh akal fikiran kepada manusia. Islam tidak memberi kemerdekaan kepada umatnya menggunakan akal dan fikiran sebebas-bebasnya.... Dan manusia yang tidak berakal dan berfikiran adalah bukan manusia sepenuhnya. Manusia Islam hanya manusia hewan.” (hlm. 1-2)
Demikian fikiran watak utama Ferdaos. Petikan panjang ini untuk menunjukkan beberapa perkara yang tidak jelas dalam fikiran Ferdaos. Pertama, makna perkataan ‘transcendent’. Kedua, perkara epistemologi, atau kaedah mengetahui. Juga Ferdaos menggunakan perkataan ‘akal tinggi’. Apakah maknanya, dan apa bezanya dengan perkataan ‘akal’?
Nampaknya, Ferdaos mendapat idea immanent dan transcendent ini dari Quran. Tuhan itu ada dalam dunia (immanent), tetapi Ia juga ada di luar dunia (transcendental). Tuhan itu Wujud Wajib, sedangkan dunia Wujud Mungkin. Suatu perkara penting yang tidak disebut dalam novel ini dua jenis ayat dalam Quran: muhkamat (jelas dengan sendirinya) dan mutasyabihat (metafora, kiasan). Konsep-konsep ‘Hari Kemudian’, ‘Akhirat’ dan sebagainya tergolong ke dalam ayat-ayat mutasybihat. Ayat-ayat jenis kedua ini tidak diketahui maknanya kecuali Tuhan, dan mereka yang membuat kajian mendalam tentangnya. Saya percaya kita mesti ada suatu kaedah saintifik untuk memahami dan mentafsir Quran. Kaedah tafsir tardisional (“Hadis mentafsirkan Quran”) tidak mencukupi lagi.
Epitemologi atau kaedah mengetahui mencakupi tiga aspek: kesaksian deria (ainu’l-yaqin) keskasian akal atau logika (ilm’ul-yaqin), dan kesaksian langsung atau supraderia atau supraakal (haqq’ul-yaqin). Ambil contoh sebuah pena di tangan kita. Pertama, kita nampak pena itu dengan mata. Kedua, kita tahu pena itu telah dibuat oleh seorang tukang (walapun kita tidak melihat perbuatan itu). Akhir sekali, pena dan tukang datang dari mana? Dari tanah dan daripda Tuhan. Kita gabungkan ketiga-tiga aspek ini lalu kita dapat pengetahuan yang lengkap tentang pena itu, dan demikianlah seterusnya. Dalam epitemologi perdana Barat, aspek ketiga ditiadakan. Inilah yang menyebabkan timbulnya anggapan bahawa dunia ini kekal abadi.
Ferdaou tidak dapat hendak membuktikan bahawa segala konsep transcendental itu tiada dan bohong saja, kerana mereka di luar jengkauan akal manusia. (Mungkin frasa ‘akal tinggi’ yang digunakan Ferdaos merujuk kepada aspek ketiga ini: kita tidak tahu.)
Lawan Ferdaos itu Lokman. Kata Lokman tentang Ferdaos: “Kau seorang munafik yang terulung... Kau menolak unsur-unsur ketuhanan yang bersifat transcendental” (hlm. 5). Jadi, kebuntuan tidak dapat diselesaikan, kerana alam transcendental, alam ketuhanan, teletak di luar jangkauan fikiran manusia.
Ferdaos ada protes yang hebat terhadap Islam. Katanya: “... Islam hanya menyuruh umatnya membuat sesuatu untuk mendapat upah. Manusia dengan pendidikan yang begitu tidak akan melakukan sesuatu yang jujur dalam hidupnya...” (hlm. 6)
Sekali lagi, nampaknya, tiada Ferdaos, tiada Lokman (lawannya), tiada watak dalam novel ini yang mengetahui bahawa manusia itu ada dua tahap moralnya: yang satu mahu balasan untuk kerjanya (apa salahnya? Ini dasar keadilan), dan yang satu lagi melakukan aktivitinya semata-mata kerana Allah dan tidak mahukan habuan (ini dasar ihsan). Ingat kata-kata Jesus Christ: “Apabila pipi kanan kamu ditampar, sualah pipi kiri!” Yakni, balas kejahatan dengan kebaikan. Inilah tahap etika yang tertinggi.
Jadi, protes ini tinggal tergantung. Tiada jawapan. Kesilapannnya terlatak pada pemahaman kita kepada ajaran Quran yang tidak kesampaian. Quran mengandungi 90% lebih ilmu daripada yang ada di dalam kitab-litab suci sebelumnya. Quran itu lautan ilmu yang amat dalam. Tujuh lautan dakwat, ditambah sekali ganda, tidak mampu memperkatakan kritivti Tuhan yang tidak terbatas.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman webnya www.kassimahmad.blogspot.com

1 comment:

Aslam Abdullah said...

Bila kita melihat durian dari luar, secara teori kita tahu isinya kekuningan, manis dan sedap (ilmu-yaqin). Bila buah dikopek, kita saksikan sendiri isi yang kekuningan dan menyelerakan itu (ainul yaqin). Bila isinya dirasa sendiri dengan lidah, ilmu dan penyaksian itu tidak perlu lagi. Kemanisan dan dan kelazatannya menyelinap ke segenap urat saraf (haqqul-yaqin). Sebelum tahap tertinggi ini dicapai, bermacam-macam ilmu teori logikal kita dengar, dan jika bernasib baik, dapat menyaksikan sendiri.

Tahu, lihat, alami.