Tuesday, October 11, 2011

KAJI SISTEM DWI-PARTI DEMOKRASI BARAT DENGAN LEBIH KRITIS:
ADAKAH IA YANG PALING BAIK UNTUK KITA IKUT?


Oleh: Kassim Ahmad
Darul_hikmah33@yahoo.com.my

9 Oktober, 2011

Kita cukup kenal dengan fi’il Pembangkang. Semua yang dilakukan oleh Kerajaan, baik atau buruk, dibangkang. Di Eropah tempat tumbuhnya sistem dwi-parti ini, Pembangkang telah menjadi lebih matang, walaupun intisari falsafahnya serupa, iaitu membangkang.
Nasib baik di negara kita, kita telah mengubah-suai sedikit konsep ini hingga Kerajaan bukan saja mewakili suatu jalur ideologi, tetapi pelbagai jalor kaum dan ideologi, empat belas semuanya, terkumpul dalam gabungan Barisan Nasional. Namun demikian, dengan terciptanya media Internet dan sebagainya, Pembangkang telah menjadi lebih pintar untuk mempengaruhi rakyat memberi kuasa kepadanya. Di negara kita, ini telah berlaku dalam Pilihanraya Umum ke-12.
Saya tidak mengatakan bahawa sistem dwi-parti ini tidak ada kebaikannya langsung. Hujah yang diketengahkan oleh pendukung sistem ini mahu wujudkan suatu sistem sekat dan imbang (“check and balance”) supaya tiada Kerajaan diberi kuasa penuh sehingga boleh menjadi diktator.
Kalau kita mengkaji perkara ini dengan kritis dan teliti, kita akan dapati bahawa ia lebih bersifat mitos daripada realiti. Kita semua tahu Eropah sebagai pusat penjajahan yang telah menjajah negara-negera Dunia Ketiga: India, Indonesia, Asia Tenggara, Asia Barat dan Afrika. Mengapa sistem sekatan ini tidak menyekat sistem penjajahan Eropah. Amerika Syarikat sendiri, sebuah republik (Eropah tanpa feudalism) baru-baru ini telah menjajah Afghanistan, Iraq dan Libya. Nyatlah konsep sekatan ini metos!
Tujuan utama kita menubuhkan kerajaan untuk memberi keadilan kepada rakyat. Oleh kerana Tuhan telah menciptakan segala-galanya berpasang-pasang (Quran,13: 3), maka akan ada segelintir rakyat yang akan mensabot misi kerajaan ini. Dengan demikian, tidak ada gunanya kita mendirikan sebuah kerajaan yang lemah. Kerajaan mestilah kuat untuk menghadapi musuh dari dalam dan luar.
Di Eropah sendiri, tempat lahirnya sistem ini, kita sedang melihat kerajaan-kerajaan mereka mendirikan gabungan dengan pelbagai parti berlainan ideologi untuk membolehkan mereka memerintah. Dengan demikian, mereka lemah. Apa lagi sekarang sistem yang dipanggil Liberalisme ini sedang runtuh, kerana kebangkrapan ideologi ini. Jangan lupa ideologi Komunisme juga sudah runtuh.
Sudah sampai masanya kita di Malaysia mengkaji semula sistem ini serta menggantikannya dengan sebuah sistem pemerintahan yang lebih baik. Saya telah menyatakan bahawa sistem ini primitif dan membazir. Tuhan memberikan kita dua tangan. Bayi berumur setahun pun tahu memegang botol susunya dengan kedua-dua belah tangannya. Mengapa kita yang dewasa pula menggunakan sebelah tangan untuk merosakkan kerja sebelah tangan lagi?
Failasuf Inggeris, Thomas Hobbes (1588-1679), dalam karya politiknya Leviathan mensifatkan masyarakat sebagai medan perang “satu lawan semua”. Walaupun Quran ada menyatakan tahap kejiwaan haiwan ini (“satu musuh yang lain”) (Quran, 2: 36), kita disuruh meningkatkan kejiwaan kita ke tahap yang lebih tinggi, yang akan membolehkan kita bekerjasama dengan orang lain untuk kebaikan bersama. Inilah sistem pemerintahan yang perlu kita ciptakan sekarang untuk membawa kita kepada kemajuan yang lebih tinggi.
Semua parti dalam masyarakat kita, mewakili pelbagai suku-kaum dan ideologi, boleh wujud, tetapi mereka mesti wujud dalam suatu permuafakatan yang besar. Tuhan memerinthkan kita dalam Quran supaya mengendalikan urusan kita melalui musyawarah atau perundingan. Dia juga memerintahkan kita memerintah dengan adil. Bolehkah kita panggil ini demokrasi? Abraham Lincoln mentakfrikan demokrasi sebagai “sebuah pemerintahan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat”. Kita boleh menerima takrifan ini, tetapi konsep perundingan yang diajar dalam Quran jauh lebih baik.
Kritikan dan koreksi boleh dibuat dari dalam perkumpulan besar itu, dan juga dari luar oleh masyarakat.
Inilah sistem pemerintahan Islam. Dengan perkataan lain, “Jalan yang lurus” di antara dua penyelewengan besar. (Quran, 1: 6-7) Kita harus susun sistem ini. Setelah keruntuhan dua sistem hidup global, apakah sistem yang akan menggantinya, kalau tidak sistem yang diredai Tuhan?

---------------
KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

No comments: