Monday, November 28, 2011

TRIBUNAL RAKYAT:MENGHUKUM BUSH DAN BLAIR KERANA JENAYAH PERANG TERHADAP IRAQ

Oleh: Kassim Ahmad
29 November, 2011

Rakyat Malaysia boleh berbangga kerana negara mereka, walaupun kecil dan baru merdeka 54 tahun, telah mendahului banyak negara lain dalam beberapa hal. Membicara dan menghukum bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, kerana, tanpa kebenaran Majlis Keselamatan PBB, telah melanggar dan menawan Iraq pada 19 Mac, 2003, dan dengan itu mengorbankan nyawa 1.4 juta rakyat Iraq. Bukti menunjukkan mereka telah merancang untuk menakluk Iraq sejak 15 September, 2001 dengan cuba mendapatkan kebenaran Majlis Keselamatan PBB. Kebenaran ini gagal mereka dapat. Perbicaraan dan penghukuman ini telah dibuat oleh sebuah Tribunal Rakyat atas dayausaha bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tribunal ini terdiri daripada lima orang hakim, diketui oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul kadir Sulaiman. Anngota-anggota lain termasuk peguam dan pakar undang-undang antarabangsa, Prof. Salleh Buang, dan pakar undang-undang antarabangsa, Prof Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi. Tertuduh mendakwa kononnya Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Dakwaan ini, mengikut badan penyiasat, tidak benar, dan kemudian didapati memang tidak benar. Dua faktor menyebabkan pencerobohan ini dilakukan oleh Bush dan Blair. Pertama, kecurigaan anak emas A.S., negara haram Israil, terhadap Iraq. Ingat serangan Israil terhadap loji nukler Iraq di Osirak berhampiran dengan Baghdad pada 7 Jun, 1981. Kedua, kemunafiqan Iran. Kerana Perang Iran-Iraq (1980-88), yang sebenarnya dihasut oleh Khomieni dan kuasa-kuasa imperialis Barat, Iran menjadi musuh ketat Iraq. Kerana dendam Khomieni ini, maka Iraq ditikam dari belakang dan ini menjemput pencerobohan A.S. dan Britain terhadap Iraq. Ini membawa kepada penaklukan Iraq oleh mereka hingga hari ini. Dari hari penaklukan itu hingga hari ini, Iraq tidak pernah aman. Rantau Asia Barat memang sebuah rantau yang amat strategik. Bukan saja ia pusat tamadun manusia (nabi-nabi Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad muncul di sana), ia juga telah dijadikan tanahair negara anak emas Amerika, iaitu Israel. Walaupun umat Islam sedunia telah banyak dizalimi oleh kuasa imperialis Anglo-Amerika, pusat suatu peperangan dunia yang baru, Perang Dunia III, berlegar di antara Israel (yakni A.S.) dengan Iran. Tribunal mencapai keputusan sebulat suara bahawa Bush dan Blair telah melakukan jenayah terhadap keamanan di Iraq. Keputusan ini akan diumumkan ke seluruh dunia. Tun Dr. Mahathir, Presiden Yayasan Keamanan Global, mencadangkan supaya keputusan ini dikemukakan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Juga dikemukakan kepada PBB untuk dibuat resolusi menghentikan peperangan di Iraq, mengembalikan keamanan di sana dan menghantar keputusan itu kepada semua negara yang menandatangani Statut Rom untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua penjenayah itu mengikut bidang kuasa masing-masing. Nyatalah Tribunal Rakyat ini tribunal pertama dalam dunia. Syabas Malaysia! Syabas Tun Dr. Mahathir!

------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

No comments: