Monday, October 19, 2015

SATU, ATAU PELBAGAI SISTEM PERSEKOLAHAN NASIONAL?



SATU, ATAU PELBAGAI SISTEM PERSEKOLAHAN KEBANGSAAN?
Oleh: Kassim Ahmad
19 Oktober, 2015

            Kebelakangan ini, beberapa pihak telah menganjurkan reformasi dalam sistem pendidikan Negara. Mereka mahu semua murid dari pelbagai kaum dan agama diletakkan di bawah satu bumbung untuk belajar. Anjuran ini sangat wajar, kerana pengasingan di bawah sekolah pelbagai aliran tidak akan membawa kepada perpaduan bangsa. Kita mesti wujudkan satu sistem pendidikan yang boleh memberi pendidikan kepada anak-anak kita di satu tempat supaya mereka akan membesar dalam satu keadaan kepelbagaian. Kesatuan dalam kepelbagaian.
            Sebaliknya, Perdana Menteri Najib mahu mengekalkan keadaan sekolah pelbagai aliran. Lihat laporan dalam akhbar The Star (keluaran 19 Oktober, hlm. 1 & 2 Hujah beliau, ini sudah dipersetuju oleh kontrak sosial kita (yang dipaksakan ke atas kita oleh penjajah Inggeris dalam perundingan kemerdekaan dulu.) Jadi, kontrak sosial ini tidak sah dan tidak boleh dipakai, kerana kita kena paksa, muslihat politik Inggeris yang licik itu. Hujah bahawa Tunku Abdul Rahman telah bersetuju dengan sistem ini tidak bermakna kita tidak boleh membuat perubahan demi untuk mencapai sistem pendidikan yang lebih baik untuk bangsa Malaysia yang sedang kita bina.   
            Konsep ‘1 Malaysia’ yang diketengahkan oleh PM Najib sendiri memerlukan kita buat anjakan paradigm ini. Mengapa beliau pula yang menentang? Beliau mahu menjadi populis kepada kaum-kaum bukan-Melayu? Bagaimana pula dengan kaum Melayu? Mahukah Najib dibantah oleh kaum Melayu?
            Persekutuan Tanah Melayu/Malaya satu kesinambungan sejarah dari Kerajaan Melayu Melaka abad ke 15 dulu. Kesultanan Melayu ini sebuah empayar yang besar. Pelabuhan Melaka termasyhur di dunia, didatangi oleh 84 buah bangsa yang berdagang di situ. Bahasa Melayu jadi bahada perantara. Kesultanan ini sebagian dari Dunia Melayu. Ia berasal dari Palembang. Kemudian Dunia Melayu ini dipecah oleh penjajah Belanda dan Inggeris – kita merdeka dari Inggeris dan Indonesia merdeka dari Belanda. Sekarang selepas zaman penjajahan Eropa, kita patut mengusahakan penyatuan Dunia Melayu.
            Pada waktu perundingan kemerdekaan, Inggeris telah mensyaratkan supaya sejuta pendatang China dan India yang telah dibawa masuk oleh penjajah Inggeris untuk melaksanakan ekonomi kolonial mereka, diberi kerakyatan terus-menerus. Raja-raja Melayu dan kebanyakan pemimpin Melayu bersetuju. Dengan satu garis pena, bangsa Melayu, pembina dan  pewaris satu tamadun yang besar, menjadi satu kaum di negara mereka sendiri!. Ini satu jenayah sejarah yang besar! Ia tidak pernah dibenarkan oleh mana-mana bangsa yang berdaulat!
            Patutkah bangsa Melayu berontak? Ya, mereka berhak memberontak. Orang Melayu masih memegang kuasa dalam tentera, dalam polis dan dalam perkhidmatan awam. Tetapi dari segi hak asasi, semua bangsa dan semua suku-bangsa ada hak yang sama, anak-cucu Adam, penghuni  ‘Bumi Manusia’, seperti judul salah sebuah karya sasterawan Indonesia, Pramudia Anata Tur.
            Oleh yang demikian, mereka harus cari jalan yang selaras dengan hak-hak mereka dengan hak-hak kemanusian semua bangsa. Satu dasar integrasi yang fitriah dalam satu kesatuan bangsa Malaysia yang sedang dibina mesti dilaksanakan. Dasar integrasi yang fitriah ini memerlukan kita melaksanakan sistem pendididkan nasional di bawah satu bumbung persekolahan nasional yang membenarkan pembelajaran dan amalan pelbagai bahasa dan budaya.
            Dari segi sistem kenegaraan untuk sebuah Negara Malaysia yang mantap dan bahagia, saya anjurkan supaya kita contohi Piagam Madinah.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com     

  

No comments: