KEDANGKALAN DAN FITNAH:
KEKELIRUAN UMAT MELAYU-ISLAM
Oleh: Kassim Ahmad
23
gos,
2012-08-23
Saya terkejut membaca apa yang
dinyatakan oleh Mufi Perlis, Dr. Juanda Jaya, Mufti Perak, Tan Sri Harussani
Zakaria dan juga Haji Ahmad Naka’ie bahawa saya pengikut mendiang Dr. Rashad
Khalifa dan menolak semua Hadis. Saya juga dikaitkan dengan Osman Ali yang
menghasilkan tafsir “Bacaan”.
Hairannya mereka merujuk kepada
semua buku saya, termasuk buku terbaru, Islamic
Renaissance” (2012: Amerika Syarikat), yang, insya Allah, akan diterbitkan
di Malaysia dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu dengan satu kata
pengantar oleh Dr. Chandra Muzaffar.
Namun demikian, rujukan mereka
terhadap buku-buku itu, nampaknya, tidak bermakna mereka telah membaca
buku-buku itu. Buku-buku itu dengan jelas menunjukkan saya bukan pengikut taksub
Dr. Rashad Khalifa dan saya bukan “anti-Hadis”, seperti yang mereka cop saya.
Itulah sebabnya saya menjudulkan esei ini “Kedangkalan dan Fitnah: Kekeliruan
Uman Melayu-Islam”
Kalau hal ini dinyatakan oleh orang
biasa, yang boleh kita sifatkan sebagai pak turut, saya tidak hairan. Tetapi
ini dinyatakan oleh tokok-tokoh agamawan yang tahu dan patut tahu.
Apa sudah jadi? Sudahlah pemahaman dangkal, buat fitnah lagi!
Satu kekeliruan dan tragedi yang besar!
Ini membuktikan kebanyakan orang
tidak membaca dengan teliti apa yang tertulis. Apa yang mereka baca itu
prasangka mereka. Lihat apa yang terjadi dalam sejarah umat Islam.
Kumpulan-kumpulan rasmi Hadis (Bukhari, Muslim dan lain-lain) tidak muncul
sehingga 200-250 tahun setelah Nabi wafat! Di antara kewafatan Nabi dan
kemunculan buku-buku rasmi Hadis, apa yang berlaku? Tiada apa. Nol. Kosong.
Nabi Muhammad tidak tahu-menahui dan tidak bertanggungjawab terhadaap
kemunculan Hadis. Lalu pereka-pereka Hadis berdusta mengatakan beliau
menginggalkan dua perkara, “ Kitab Allah dan Hadisku”.
Apabila kita mengkaji dengan lebih
teliti, kita dapati tokok perundangan Islam, Imam Besar Shafi’e, menafsirkan
ayat 4: 59 secara sabjektif dengan mendakwa bahawa “taat kepada Allah” bermakna
berpegang kepada Quran dam “taat kepada rasul” bermakna berpegang kepada Hadis!
Setelah beliau membuat doktrin baru ini, barulah pengumpul-pengumpul Hadis
muncul. Hari ini kita dapati daki Hadis ini sudah terlalu tebal; tidak dapat
dikikis dalam masa sehari, malah sedekad pun!
Hadis sudah membayangi pemahaman kita
terhadap Quran. Bolehlah kita katakan Quran tertutup bagi kita. Lalu kita
menjadi keliru. Kita berbalah tentang negara Islam, tentang hukum hudud (tidak ada hukum hudud dalam Quran), dan
tentang berbagai hal lagi.
Bolehkah kita mengatasi kekeliruan
ini? Jawabnya, boleh! “Dengar semua pendapat. Ikut yang paling baik.” (Quran, 39:
18) Dengan kita mendengar dan menganalisis semua pendapat dalam masyarakat
kita, kita akan tahu yang mana satu pendapat yang paling baik. Sejak munculnya
kasta paderi dalam masyarakat Islam (“ulama”, yang kita tiru dari agama-agama
Kristian dan Hindu) mereka (“ulama” ini: budak-budak nakal menggelar
mereka “ular dalam semak”!) jadi
diktator, mentafsirkan agama bagi rakyat.
Sesat di hujung jalan, balik ke
pangkal jalan, kata pepatah Melayu. Pangkal jalan kita Nabi Muhammad dan empat
kahlifan rasyidun. Mereka berpegang kepada Quran dan contoh-contoh Nabi yang
sahih, seperti Perjanjian Hudaibiyah, Piagam Madinah dan beberapa dokumen lain. Mereka letakkan Quran di
atas sekali (tiada kitab suci yang boleh
disamakan dengan atau mengatasi Quran) dan sumber-sumber lain, termasuk falsafah,
teologi, sejarah dan sains, terletak pada
kedudukan kedua.
-------------------------------
-------------------------------
KASSIM AHMAD
seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com