Thursday, September 06, 2012

BANGSA MANUSIA




BANGSA MANUSIA
Oleh: Kassim Ahmad
7 September, 2012

            Menjelang 9 September ini, usia saya meningkat 79. Biasanya anak-anak saya mera’ikan saya dengan jamuan makan saja. Tiada lilin yang ditiup.
            Saya ada dua, mungkin tiga projek penulisan, yang perlu saya selesaikan sebelum akhir tahun 2014/15. Selepas itu saya bercadang untuk mengambil cuti panjang, 3-8 tahun, untuk melakukan haj (bersama isteri saya; sepuluh tahun dulu waktu kami patut pergi, saya jatuh sakit) dan melawat semula Indonesia dan Australia, yang belum pernah saya lawat. Insya Allah.
            Selepas cuti panjang itu, saya akan mengadap Dia untuk  mempertanggung-jawabkan kehidupan saya di dunia.
            Penulis besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer, antara lain, telah menghasilkan novel-novel, Bumi Manusia (1980 ), Anak Semua Bangsa (1980) dan Arus Balik (1995). Baru-baru ini saya telah menulis sebuah esei bertajuk “Misi Besar Dunia Melayu” yang telah saya siarkan dalam blog saya. Sekarang dengan esei ini, “Bangsa Manusia”, saya ingin menarik perhatian kita kepada hakikat bahawa kita semua anak-cucu Adam, Homo sapiens dalam bahasa saintifiknya, khalifah Allah di Bumi dalam istilah Quran – ringkasnya BANGSA MANUSIA.
            Seorang sejarawan, J.M. Roberts, menyifatkan kelahiran makhluk ini di dunia sebagai amat penting. Apabila Tuhan memberitahu para malaikat Dia hendak menciptakan seorang khalifah, mereka membantah. Ini kerana makhluk baru ini benar-benar seorang makhluk yang luar biasa. Dia makhluk berakal dan boleh memerintah dan mengubah dunia. Lihat dalam masa satu juta tahun ini dia sudah mengubah hutan-rimba menjadi pusat-pusat tamaduan dengan kota-raya, parlimen, mahkamah, istana, lebuhraya dan rumah-rumah cantik, termasuk ladang-ladang gandum, padi dan jagung. Malah dia telah mendarat di beberapa planet. Akan datang banyak lagi hasil yang menakjubkan akan lahir dari tangannya. Tentunya semua ini berlaku dengan izin Allah. Ingat jawapan Tuhan kepada bantahan malaikat itu: “Aku lebih tahu daripada kamu.”
            Jadi, bangsa apa pun kita, Melayu, Cina, India, Arab, Eropah, Jepun – bangsa apa pun – kita BANGSA MANUSIA. Dunia pun sudah menjadi sebuah Kampung Sejagat sekarang. Kesudahan dunia ini sebuah dunia yang adil. Inilah Rancangan Agung Tuhan. Dari sinilah lahirnya syurga dan neraka; baik di balas baik, jahat dibalas jahat. Akhirnya, kerana sifat kerahiman Tuhan yang mengatasi sifat-sifat-Nya yang lain, semua yang disiksa di dalam neraka akan dikeluarkan daripadanya dan akan masuk syurga.
            Sebagai manusia yang berbangsa-bangsa, tiada bangsa yang lebih daripada bangsa lain. Semua bangsa sama. Ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Tidak ada bangsa yang dipilih kasih oleh Tuhan, seperti yang disangka oleh orang Yahudi. Orang yang baik memang Tuhan pilih untuk Dia restui; demikian juga untuk bangsa yang baik. Restu Tuhan itu akibat dari kebaikan kelakuan mereka, bukan dari pilih kasih Tuhan.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Saturday, September 01, 2012

ULANGTAHUN KE-55 KEMERDEKAAN MALAYSIA




SEMPENA ULANGTAHUN KE-55
KEMERDEKAAN MALAYSIA

Oleh: Kassim Ahmad
31 ogos, 2012

            Esei ini saya tulis untuk mera’i dan merayakan ulangtahun ke-55 kemerdekaan Malaysia. Jangan lupa Malaysia berasal dari Bt. Siguntang di Palembang, Sumatera, sebagian dari Kepulauan Melayu. Dunia Melayu, pada asasnya, Persekutuan Tanah Melayu dan Indonesia moden, tetapi ia termasuk Kerajaan Melayu Patani dan Kerajaan Melayu Brunei (dulunya termasuk Sabah dan Sarawak).
            Dalam abad ke-15 (1400-1511), Melaka sebuah pelabuhan perdagangan antarabangsa yang besar, setanding dengan pelabuhan perdagangan Venice di Eropah. Penulis Portugis, Duarte Barbosa (m. 1521), menyatakan, “Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia.”  Mengiku sejarawan Muhammad Yusoff, 84 buah bahasa, termasuk dialek, dipertuturkan di pelabuhan Melaka dan bahasa Melayu menjadi bahasa perantara.
  Demikianlah besar dan masyhurnya kota Melaka pada zaman itu.
           Dalam sebuah esei lain, bertajuk “Misi Besi Besar Dunia Melayu”, saya menganjurkan supaya Dunia Melayu menjadi pemangkin kebangkitan semula Islam untuk menyelamatkan dunia liberal yang sedang karam. Memang sejarah perhubungan Malaysia dan Indonesia telah melalui tahap-tahap pahit-getir, seperti semasa konfrontasi pada tahun 1963. Namun demikian, peristiwa seperti ini tidak perlu berulang, kerana kedua-dua rakyat Malaysia dan Indonesia mempunyai misi yang lebih besar yang harus diutamakan.
            Saya juga telah menunjukkan bahawa bangsa Melayu, tanpa hendak melebihkan bangsa kita daripada bangsa-bangsa lain di dunia, suatu bangsa yang besar yang mempunyai pentadbir, sarjana, ahli falsafah, pengarang, seniman dan lain-lain yang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia.
            Namun demikian, kita harus belajar dari sejarah. Sejarah kejatuhan Melaka membuka jalan bagi penjajahan Eropah dan Asia selama 447 tahun! Jangan sejarah ini dilulang!
            Gerakan kemerdekaan kita diteraju oleh orang Melayu, sebagai warga asal negara Malaysia, dengan kerjasama rapat oleh suku-kaum Cina, India dan lain-lain dalam parti gabungan Perikatan.
            Hari ini, parti UMNO, yang memainkan peranan pimpinan dalam gerakan kemerdekaan ini, ahlinya 3.2 juta. UMNO nyata sebuah parti massa. Oleh kerana kemerdekaan membawa kemewahan maka rebutan kuasa dan jawatan di kalangan ahli-ahli UMNO sudah mula berlaku. Ini telah membawa kejatuhan UMNO di beberapa buah negeri dalam pilihanraya umum 2008. Jika rebutan kuasa dan jawatan ini tidak dibendung, UMNO akan kalah lagi dalam pilihanraya umum akan datang.
            Bagaimana kek yang terhad hendak dibahagikan? Ada tiga cara. Pertama, perbesarkan kek. Kedua, didik ahli-ahli UMNO supaya tidak meminta terlalu banyak. Ketiga, gabungkan cara pertama dan kedua.
            Pada praktiknya, kita harus menghapuskan amalan-amalan rasuah dan pembaziran  dan mendidik rakyat kita, khasnya ahli-ahli parti, supaya menunjukkan teladan yang baik dan menyayangi bangsa. Kita harus kreatif dan dinamik untuk memperkaya negara kita, dan kita harus perkukuh semangat patriotisme di kalangan rakyat kita.
            Jangan kata ini mustahil dapat dilakukan. Tidak ada yang mustahil, dengan izin Allah!

KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com.  







 




Wednesday, August 29, 2012

RANCANGAN MENGHAPUSKAN KEMISKINAN



Bolehkah kemiskinan dihapuskan? Sesetengah cerdik-pandai menyatakan, ‘Tidak’. Sebab itu, hujah mereka, dalam  sistem sosio-ekonomi Islam, cukai zakat dikenakan sekian peratus ke atas kelebihan pendapatan untuk dipulangkan kepada fakir-miskin. Saya tidak beresetuju dengan pendapat ini. Sistem Islam bertujuan mencipatkan sebuah dunia adil.
Di bawah disiarkan surat saya kepada Perdana Menteri Malaysia tentang tajuk
ini – K.A.  

1504 Jalan Kulim Height 3,Kulim Golf & Country Resort,
09000 Kulim, Kedah, Malaysia. TEL. 604-4031871. FAKS. 604-4080035
TB 012-4291152

Dafar A. R
17 Ogos, 2012.

Yang Amat Berhormat

Dato’  Sri Najib  Abdul Razak,

Perdana Menteri Malayisa,

Blok Utama, Bangunan Perdana Putera,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,

62502  Putrajaya.

Tuan Perdana Menteri,
Menghapuskan Kemiskinan di Malaysia

            Dengan hormatnya, saya ingin mengemukakan rancangan untuk menghapuskan kemiskinanan di negara kita.
            Kemiskinan satu daripada tiga malang besar, diikuti dengan kejahilan dan kebodohan, yang dideritai oleh masyarakat manusia, termasuk masyarakat kita. Selepas 55 tahun merdeka, malang besar ini masih berada di tengah-tengah kita, tiap minggu ditunjuk dalam t.v. kita. Kita mesti menghapuskannya dengan segera.
            Saya harap Tuan akan memberi perhatian berat kepadaanya. Rancangan diperturunkan di bawah.

Rancangan Menghapuskan Kemiskinan di Malaysia
Dalam Masa  Setahun 

Nota:  Warganegara Malaysia sekarang 26 juta. Berdasarkan lima orang sekeluarga, kita ada 5.2 juta keluaraga. Jika hetong panjang kita ada  3,000 keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan, dan kita memperuntukkan RM 7,000 [1] untuk sebuah keluarga miskin, kita memerlukan RM 7,000x3,000x13 buah negeri untuk menghapuskan kemiskinan di negara kita. Jumlah peruntukan ini hanya RM 273 juta. Jumlah ini, berbanding dengan peruntukan kepada  perkhidmatan sosial (5.9%) dalam Bajet 2012 (RM 230.8 bilion) berjumlah RM 13.8 bilion.  Angka ini jauh lebih besar daripada angka yang kami unjurkan. Oleh yang demikian,  mengapakah  kita belum berjaya menghapuskan kemiskinan?
            Jika kita gandakan unjuran ini, jumlahnya (RM 546 juta) masih rendah.
            Di bawah bajet kami untuk menghapuskan kemiskinan:- 
A.      Perbelanjaan     …   …   …  …   …  …   …   …   …  …   …      RM 273,000,000.00

1.      3000xRM7,000x13: RM 273,000,000
2.      Lain-lain:                         000,000,000
---------------------
JUMLAH                                                                                             273,000,000.00
                                                                                                          ===============

B.      Pendapatan      …   …   …   …   …  …   …   …   …   …    …          273,000,000.00

1.      Daripada Kerajaan Pusat:  RM 136,500,000
2.      Daripada  Kerajaan Negeri:      136,500,000
3.      Daripada lain-lain                     000,000,000
               ---------------------
            JUMLAH                                                                                 273,000,000.00
                                                                                                             ===============

*****
            Sekian dimaklumkan.
            Selamat Hari Raya
          Dengan salam takzim,
         Tt ……………………
             (Kassim Ahmad)


[1] Jumlah ini untuk membiayai keluarga miskin itu menyewa tapak rumah, membuat sebuah rumah kayu dan tiga bulan sara hidup. Pemberian ini mesti dikelolakan dan dipantau oleh pihak berkuasa, termasuk pekerjaan yang boleh dilakukan oleh keluarga miskin untuk keluar dari kemiskinan.

Wednesday, August 22, 2012

KEDANGKALAN DAN FITNAH




KEDANGKALAN DAN FITNAH:
KEKELIRUAN UMAT MELAYU-ISLAM

Oleh: Kassim Ahmad
23    gos, 2012-08-23
           
        
            Saya terkejut membaca apa yang dinyatakan oleh Mufi Perlis, Dr. Juanda Jaya, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan juga Haji Ahmad Naka’ie bahawa saya pengikut mendiang Dr. Rashad Khalifa dan menolak semua Hadis. Saya juga dikaitkan dengan Osman Ali yang menghasilkan tafsir “Bacaan”.
            Hairannya mereka merujuk kepada semua buku saya, termasuk buku terbaru, Islamic Renaissance” (2012: Amerika Syarikat), yang, insya Allah, akan diterbitkan di Malaysia dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu dengan satu kata pengantar oleh Dr. Chandra Muzaffar.
            Namun demikian, rujukan mereka terhadap buku-buku itu, nampaknya, tidak bermakna mereka telah membaca buku-buku itu. Buku-buku itu dengan jelas menunjukkan saya bukan pengikut taksub Dr. Rashad Khalifa dan saya bukan “anti-Hadis”, seperti yang mereka cop saya. Itulah sebabnya saya menjudulkan esei ini “Kedangkalan dan Fitnah: Kekeliruan Uman Melayu-Islam”
            Kalau hal ini dinyatakan oleh orang biasa, yang boleh kita sifatkan sebagai pak turut, saya tidak hairan. Tetapi ini dinyatakan oleh tokok-tokoh agamawan yang tahu dan patut tahu.
Apa sudah jadi? Sudahlah pemahaman dangkal, buat fitnah lagi! Satu kekeliruan dan tragedi yang  besar!
            Ini membuktikan kebanyakan orang tidak membaca dengan teliti apa yang tertulis. Apa yang mereka baca itu prasangka mereka. Lihat apa yang terjadi dalam sejarah umat Islam. Kumpulan-kumpulan rasmi Hadis (Bukhari, Muslim dan lain-lain) tidak muncul sehingga 200-250 tahun setelah Nabi wafat! Di antara kewafatan Nabi dan kemunculan buku-buku rasmi Hadis, apa yang berlaku? Tiada apa. Nol. Kosong. Nabi Muhammad tidak tahu-menahui dan tidak bertanggungjawab terhadaap kemunculan Hadis. Lalu pereka-pereka Hadis berdusta mengatakan beliau menginggalkan dua perkara, “ Kitab Allah dan Hadisku”.
            Apabila kita mengkaji dengan lebih teliti, kita dapati tokok perundangan Islam, Imam Besar Shafi’e, menafsirkan ayat 4: 59 secara sabjektif dengan mendakwa bahawa “taat kepada Allah” bermakna berpegang kepada Quran dam “taat kepada rasul” bermakna berpegang kepada Hadis! Setelah beliau membuat doktrin baru ini, barulah pengumpul-pengumpul Hadis muncul.  Hari ini kita dapati daki Hadis ini sudah terlalu tebal; tidak dapat dikikis dalam masa sehari, malah sedekad pun!
            Hadis sudah membayangi pemahaman kita terhadap Quran. Bolehlah kita katakan Quran tertutup bagi kita. Lalu kita menjadi keliru. Kita berbalah tentang negara Islam, tentang hukum hudud (tidak ada hukum hudud dalam Quran), dan tentang berbagai hal lagi.  
            Bolehkah kita mengatasi kekeliruan ini? Jawabnya, boleh! “Dengar semua pendapat. Ikut yang paling baik.” (Quran, 39: 18) Dengan kita mendengar dan menganalisis semua pendapat dalam masyarakat kita, kita akan tahu yang mana satu pendapat yang paling baik. Sejak munculnya kasta paderi dalam masyarakat Islam (“ulama”, yang kita tiru dari agama-agama Kristian dan Hindu) mereka (“ulama” ini: budak-budak nakal menggelar mereka  “ular dalam semak”!) jadi diktator, mentafsirkan agama bagi rakyat.
            Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan, kata pepatah Melayu. Pangkal jalan kita Nabi Muhammad dan empat kahlifan rasyidun. Mereka berpegang kepada Quran dan contoh-contoh Nabi yang sahih, seperti Perjanjian Hudaibiyah, Piagam Madinah dan beberapa dokumen lain. Mereka letakkan Quran di atas sekali  (tiada kitab suci yang boleh disamakan dengan atau mengatasi Quran) dan sumber-sumber lain, termasuk falsafah, teologi, sejarah dan  sains, terletak pada kedudukan kedua.
-------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com