Sunday, January 12, 2014

KITA SATU BANGSA YANG AGUNG




Di bawah saya siarkan "Surat Terbuka kepada Bangsaku" yang saya tulis pada 16 September, 2011. Surat ini belum disiarkan di mana-mana. -- K.A.

SURAT TERBUKA KEPADA BANGSAKU

KITA SATU BANGSA YANG AGUNG,
YANG BOLEH MEMBAWA KEAMANAN,
KESEJAHTERAAN DAN KEBAHAGIAN KEPADA DUNIA

Oleh: Kassim Ahmad
Darul_hikmah33@yahoo.com.my
16 September, 2011.

(Mera’ikan Hari Malaysia Yang ke-48 dan Hari Kemerdekaan Yang ke-54)

1. Ucapan Najib Yang Paling Baik
Pada mulanya saya tidak bercadang hendak menulis esei ini, tetapi apabila saya mendengar ucapan Perdana Menteri kita, hati saya berkembang dan melafazkan: “Maha Suci Allah, Yang telah menjadikan langit dan bumi dan di antara keduanya, yang telah memberi hidayat kepada Perdana Menteri kami untuk membuat ucapan yang paling baik sejak beliau mengambil-alih tampuk negara!” Tidak ada kebencian, petualang besar Anwar Ibrahim tidak disedbut; tidak juga Mat Sabu si mulut celupar itu . Ucapan itu rinkas dan padat, dalam bahasa sastera yang indah. Saya berasa hidup dan perjuangan warga Malaysia yang baik sudah terbela. Perasaan kegembiraan inilah yang mendorong saya menulis esei ini.

2. Sumpah Seorang Anak Muda
Pada waktu saya muda, berumur 26 tahun, saya menulis:
bersama-sama, bersama-sama, kita mara, wahai saudara-saudaraku
seperti Tuah dan Jebat zaman dahulu
kita telah mengangkat tanah ini tanah tumpah darah kita
sendiri kita akan mengawal di pantai-pantainya
oleh itu, datanglah, wahai petualang-petualang yang sibuk.

(Kemarau di Lembah, Pulau Pinang, 1967; hlm. 46)
Pada tahun 1958, waktu saya berumur 24 tahun, saya menulis:
ada besok maka pasti ada suria
aku akan pergi dengan seribu Jebat si anak tani
kian lama kita mati dalam setia
kali ini kita hidup dalam derhaka.

(Ibid., ; hlm. 48.)
Nyatalah saya seorang pemberontak, memberontak terhadap dunia lama yang menyongkong untuk mencipta dunia baru yang bebas. Tetapi saya juga seorang patriot. Hari ini, setelah saya memasuki tahun ke-78, pada 9 September, 2011 lalu, al-hamdulillah, saya bebas. Saya telah menyatakan hasrat yang ada di lubuk hati saya. Dengan demikian, saya juga telah melafazkan cita-cita luhur Bangsa Melayu. Saya telah melaksanakan misi hidup saya.
Saya ada dua tiga rancangan penulisan yang harus saya selesaikan. Insya Allah, menjelang akhir tahun 2013 semua kerja saya akan selesai. Selepas itu, saya siap untuk mengadap Tuan saya serta mempertanggungjawabkan kehidupan saya.

3. Kejelekan Sistem Dwi-parti Barat
Beberapa hari sebelum itu, puak pembangkang dan pengikut-pengikut mereka secara terbuka mendabik dada akan menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-13. Dalam kebongkakan mereka, mereka lupa bahawa sistem dwi-parti Pemerintah/Pembangkang itu satu kejelekan sejarah Eropah. Kanak-kanak pun tahu untuk menggunakan kedua-dua belah tangannya apabila memegang botol susunya, sedangkan sesetengah orang dewasa kita mahu jadi pengikut buta Barat menggunakan sebelah tangan untuk merosakkan kerja sebelah tangan lain! //
Mereka sudah terpengaruh dengan ahli falsafah Liberal Inggeris Thomas Hobbes yang menyifatkan masyarakat sebagai medan perang “semua lawan semua” dalam karyanya Leviathan! Saya telah menulis tentang kedangkalan falsafah ini pada banyak tempat, kerana ia bersifat primitif dan membazir. Primitif, kerana itu perangai manusia pada tahap paling rendah – haiwan! Membazir, kerana satu tolak satu jadi nol. Keadaan ini sudah pun kelihatan di Eropah sendiri dengan banyak kerajaan mereka lemah dan tidak stabil.
Kita harus kembali kepada falsafah Islam: “Bekerjasama untuk kebaikan.” Arahan tetap kepada orang baik dalam Quran berbunyai: “Seru kepada kebaikan dan larang kejahatan.” Surah 3, ayat 110 berbunyi: “Kamu sebuah masyarakat yang paling baik yang telah dilahirkan di antara manusia; kamu mengajurkan kebaikan dan melarang kejahatan, dan kamu beriman keada Tuhan …” Tidak ada yang lebih jelas daripada itu.
Jadi, kita kenalah susun suatu sistem pemeritahan yang selaras dengan falsafah ini. Semua parti yang ada dalam masyarakat kita, mewakili pelbagai jalur suku-banga dan ideologi, boleh bekerjasama dalam sutau permuafakatan besar untuk kebaikan rakyat kita yang berbilang kaum dan agama. Nyatalah ini suatu sistem yang jauh lebih baik. Nasihat, teguran dan kritikan untuk mengatasi pelbagai penyelewengan (rasuah, pembaziaran dan sebagainya) boleh dibuat dari dalam, sementara masyarakat sendiri, melalui media dan pelbagai pertubuhan lain boleh juga memainkan peranan ini.
4. Kategori Bangsa Sunnatullah, Bukan Rasisme
Sesetengah rakyat kita salah sangka bahawa kelompok suku-bangsa, seperti Melayu, atau Cina, atau India, atau lain-lain suku-bangsa yang ada dalam Malaysia bercanggah dengan konsep Malaysia. Oleh itu, apabila Timbalan Perdana Menteri kita berkata dia “Melayu dulu”, orang-orang ini menuduh beliau rasis! Tidakkah mereka tahu bahawa Malaysia itu sebuah keluarga besar yang terdiri dari pelbagai suku-bangsa? Tidak ada kontradiksi di antara kedua-dua kategori ini. Pertubuhan Bangsa-bangsa Berstau (PBB) dianggotai oleh 192 bangsa – China, India, Rusia, Indonesia, Amerika Syarikat dan lain-lain.
Manusia suatu keluarga besar yang terdiri dari pelbagai bangsa. Quran dalam Surah 49, ayat 13 mengisytiharkan: “Wahai manusia, telah Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku supaya kamu kenal satu sama lain. Yang paling baik di antara kamu di sisi Tuhan itu mereka yang bertakwa.”

5. Bangsa Melayu Satu Bangsa Yang Agung
Sudah tiba masanya kita meningkatkan jiwa kita menjadi jiwa yang besar. Bangsa Melayu yang mendiami Gugusan Pulau-pulau Melayu, khasnya Malaysia dan Indonesia, mempunyai banyak ciri yang sama. Kita satu bangsa – Melayu, yang menutur bahasa Melayu (bahasa Indonesia itu berasakan bahasa Melayu) dan yang beragama Islam. Jumlah bangsa Melayu yang beragama Islam 220 juta, keempat terbesar dalam dunia dan terbesar dalam dunia Islam.
Saya sebut perkara ini bukan kerana saya lebihkan bangsa Mealyu daripada bangsa-bangsa lain di dunia. Tidak sama sekali. Semua bangsa sama. Tiap-tiap bangsa ada kekuatannya dan kelemahannya. Dalam sejarah kita melihat tamadun Mesopotamia di Iraq, tamadun Mesir, tamadun Yunani dan tamadun Romawi naik jatuh silih-berganti. Dalam zaman moden, tamadun Arab-Islam melalui Turki-Islam kemudian diganti oleh tamadun Eropah Yahudi-Kristian. Sekarang tamadun Liberal Eropah (Amerika Syarikat itu lanjutan Eropah) nyata sedang runtuh, setelah sistem Komunis-Marxis runtuh di akhir abad ke-20.

6. Dunia Melayu Harus Pimpin Dunia
Ini menyebabkan kita berfikir tentang sistem ganti yang pasti akan muncul dalam dua tiga dekad yang akan datang. Oleh kerana kita orang Islam, dan kita tahu Islam itu agama yang direda oleh Tuhan (Quran, 3: 19). Kita yakin hanya deen Islam atau cara hidup Islam saja yang boleh membawa kemananan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada dunia. Kita yakin kerana Islam itu “Jalan yang lurus” (Quran, 1: 6) di antara dua penyelewengan besar Liberalisme dan Komunisme. Berdasarkan keyakinan yang logik ini, maka kita ingin membuat saranan supaya Bangsa Melayu di Malaysia dan Indonesia bergabung tenaga untuk memimpin dunia kepada keamanan dan kesejahteraan dalam Abad Ke-21.
Sekali lagi, tanpa melebihkan bangsa Melayu daripada bangsa-bangsa lain, bangsa Melayu itu satu bangsa yang agung. Mereka mempunyai raja, pentadbir, ulama dan sarjana, pengarang, ahli falsafah, pelukis, pelakun, penyanyi dan sebagainya yang ramai. Biar saya sebut beberapa nama saja: Sultan Muzaffar Shah dan Sultan Mansur Shah , Bendahara Tun Mutahir dan Tun Perak, dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tun Abdul Razak, Tun Mahathir, Tun Daim Zainuddin (pentadbir), Pendeta Za’aba, Prof. Ungku Aziz, Dr. Ahmad Ibrahim, Syed Hussein al-Attas, Syed Muhammad Naguib Al-Attas, Dr. Chandra Muzaffar, Dr. Hassan Ahmad (sarjana), Prof. Ismail Hussein (budayawan), Tunku Abdul Rahman, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam (ahli politik), Hamzah Fansuri (ahli Sufi), Tun Seri Lanang, Abdullah Munsyi, Raja Haji Ali, Syed Sheikh al-Hadi, Keris Mas, Osman Awang/Tongkat Prof. Asmah Hj Omar, Takdir Alisjahbana (ahli tatabahasa Melayu), Muhammad Yusoff Hashim (sejarawan), A. Samad Ismail (wartawan), Tun Ismail Mohamed Ali, (jurubank), Seniman Agung P. Ramlee (pelakon/penyanyi), Hetty Koes Endang (penyanyi keroncong), Syed Muhammad Naguib Al-Attas, Hamka (ahli falsafah), Syed Ahmad Jamal, Zakaria Ali (pelukis), dan Hijjas Kasturi (juruukir).
Bangsa Melayu tidak akan dan tidak boleh menolak penyertaan sahabat-sahabat kita dari suku-bangsa lain di Malaysia atau dari luar Malaysia yang secara jujur ingin menyertai perjuangan besar ini. Ini perjuangan semua bangsa yang mengiktiraf dan menjunjung perintah Tuhan untuk berjuang di jalan-Nya. Quran menerangkan bahawa semua masyarakat telah dikirimi rasul-rasul-Nya untuk mengajar intisari ajaran-ajaran-Nya kepada mereka. (10: 47). Saya percaya arus ini akan bertemu menjadi satu arus besar yang pasti akan membawa perubahan besar kepada dunia dalam Abad Ke-21.

7. Kaum Penentang
Tidak syak lagi, penentangan akan wujud dari dalam kalangan bangsa Melayu sendiri untuk menggagalkan perjuangan besar ini. Ini sunnatullah. Wujudnya undang-undang ini bertujuan untuk menguji siapa yang jujur siapa yang palsu. Kedua-dua masyarakat Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak etnik dengan pelbagai latarbelakang budaya. Namun demikian, mereka disatukan dalam satu kesatuan Bangsa Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam. Ini menyebabkan kita memilih Dunia Melayu untuk melaksanakan misi agung ini.
Kita mestilah mengurus penentangan ini dengan bijak supaya ia dapat dibataskan kepada minimum. Tidak syak lagi, kemenangan akhir akan berada di tangan orang Islam dan mukmin, kerana mereka memperjuangkan kebenaran Ilahi. Kemenangan bukan bergantung kepada bilangan yang besar, tetapi kepada kebenaran perjuangan ini. Kebenaran itu kebal. “Katakanlah, ‘Kebenaran telah datang dan kepalsuan hapus. Kepalsuan senantiasa akan hapus.’ ” (Quran, 17: 81).
Pada waktu ini, Islam mempunyai dua musuh besar: puak Yahudi-Kristian Barat, khususnya dilambangkan oleh negara kolonial Israel di Palestin dan pelindungnya adikuasa tunggal Amerika Syarikat. (Quran, 2: 120), dan puak musyrikin di Timur dan Barat (Quran, 25: 55). Namun demikian, kita harus ingat bahawa benteng musuh Yahudi-Kristian Barat ini bukan 100% kukuh, kerana wujud kumpulan humanis di antara mereka yang menentang permusuhan ini. Umpamanya, penubuhan negara kolonial Zionis Israel di Palestin ditentang oleh tokoh-tokoh Yahudi terkenal seperti Einstein dan Martin Bauber. Ini kerana kumpulan spiritual-humanis ini terdiri daripada mereka yang berpijak kepada ajaran spiritual Ilahi agama Yahudi. Begitu juga dalam puak musyrikin.
Oleh yang demikian, pimpinan Melayu-Islam kita mestilah bijak mencari kawan yang ramai dan musuh yang sedikit berdasarkan pandangann hidup spiritual Yahudi-Kristian dan tradisi-tradisi spiritual yang lain dalam Hinduisme, Budhaisme dan agama-agama lain-lain.

8. Seruan Kepada Kuasa Yahudi-Kristian Eropah
Berdasarkan ini, Bangsa Melayu mesti menyeru kepada kuasa Yahudi-Kristian Barat supaya bersikap adil dan saksama terhadap umat Islam dan terhadap umat manusia seluruhnya. Dalam zaman pasca Perang Dunia Kedua, mereka telah melakukan kezaliman demi kezaliman terhadap Dunia Islam dan Dunia Ketiga. Mereka terus memingggirkan, malah mengeksploitasi kedua-dua dunia ini. Negara nasionalis-kolonial Israel di tengah-tengah Dunia Islam tetap melambangkan kezaliman total yang selama 63 tahun masih tidak terurai. Penawanan mereka terhadap Iraq, campur-tangan mereka di Afghanistan dan di Libya, dan penguasaan mereka terhadap umat Islam dan umat manusia melalui Majlis Keselamatan PBB yang anti-demokratik (mendustakan laungan demokrasi Barat!). Semua ini telah menimbulkan kemarahan umat Islam. Sesetengah umat Islam, terdesak demikian, beralih memberontak – satu pemberontakan yang bersebab!

9. Dunia Musuh Yang Gelap
Mengikut seorang sejarawan Barat, Eric Hobsbawn, dalam bukunya, The Age of Extremes – A History of the World, 1914 – 1991 (London: 1994), masa depan dunia gelap sekali. Kata beliau: “Kita tidak tahu ke mana kita hendak pergi. Kita hanya tahu bahawa sejarah telah membawa kita ke sini, dan … mengapa. Walau bagaimana pun, suatu perkara jelas. Jika kemanusiaan mahu ada suatu masa depan yang boleh kita nampak, ia tidak boleh dengan memanjangkan masa lalu atau pun masa sekarang. Jika kita coba untuk membangunkan millennium yang ketiga berdasarkan itu, kita akan gagal. Dan harga kegagalan ini, yakni alternatif sebuah masyarakat yang berbeza, hanya kegelapan.” (hlm. 585)
Orang kafir itu, kata Quran, dia tidak tahu, hidup dan makan seperti binatang. (47: 12). Pesimime agung ini telah kita lihat dalam karya-karya penulis-penulis Barat dalam dalam zaman di antara dua peperangan dunia itu: dalam karya-karya Albert Camus, Jean –Paul Sartre, W.B. Yeats dan T.S. Eliot (Lihat Kassim Ahmad, Hadis – Satu Penilaian Semula, 1986; hlm. 14-16.)

10. Amaran Keras kepada Musuh, Jaminan Persahabatan kepada Sekutu
Jadi, biarlah kita beri amaran keras kepada mereka. Mansukhkan semua ketidak-adilanmu, wahai adikuasa A.S.! Kami tidak takut kepadamu. Kamu pun di ambang kehancuran. Kamu bangsa bangkrup yang hutangya sekarang sebanyak DAS 54.856 ribu trilion! Daripada 317.8 juta rakyatnya, seorang terhutang sebanyak DAS 175,800 dan DAS 666,593 per keluarga. Begitu juga dengan sekutumu di Eropah. Kamu semua bangkrup; maka itu kamu menjadi perompak! Merompak di Iraq dan di Libya!
Demikian juga kami beri amaran keras kepada bakal musuh kami dalam Malaysia. Bangsa Melayu terkenal sebagai satu bangsa yang sopan terhadap tetamu – “the gentlemen of the East”, kata seorang penulis Perancis. Kerapkali mereka mengalah kepada tetamu, bukan kerana takut, tetapi kerana kemurahan hati mereka. Tetapi apabila mereka terdesak ke tembok, mereka akan beralih dan mengamuk, seperti Hang Jebat , seperti dalam Peristiwa Mei 13 (di Malaysia), dan seperti dalam peritiwa berdarah 30 September , 1965 atau Gestapu (di Indonesia).
Sejarah membuktikan bahawa Malaysia berasal sebagai negeri-negeri Melayu, dan Cina dan India sebagai pendatang. Berkat kemurahan hati mereka, bangsa-bangsa pendatang ini telah diterima menjadi warganegara gara Malaysia. Bangsa Melayu akan menghormati perjanajian ini sampai bila-bila. Tetapi kami beri amaran keras kepada mereka supaya jangan melampaui batas. Kami memberi jaminan kepada sahabat-sahabat kami dari pelbagai suku-bangsa dan agama di Malaysia dan di seluruh dunia bahawa kami hormat dan bersikap lembut kepada kamu. Kamu sekutu kami dalam perjuangan besar ini. Ayuh, mara! Kejayaan besar di pihak kita.

-------------------------------------------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau

Saturday, December 14, 2013

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-67



PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-67
BAIK DAN BURUKNYA

Oleh; Kassim Ahmad
7 Disember, 2013

            Mengikat Quran, Tuhan menjadikan manusia berbangsa-bangsa. (Quran, 49: 13) Jadi, tidak salah bagi orang Melayu memperjuangkan nasib bangsanya. Perkauman atau asabiah itu sikap melebih-lebihkan bangsa sendiri.
            Perhimpunan Agung UMNO yang ke-67 baru selesai. Ucapan presidennya Najib meletakkan perjuangan itu di atas landasan yang betul. Namun demikian, ada beberapa anjuran yang harus ditolak, kerana bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar yang telah disempurnakan oleh nabi besar Muhammad (Quran, 5:3), penutup segala nabi.
            Quran, kitab suci yang terakhir kepada manusia, yang dipelihara oleh Tuhan Sendiri mengisytiharkan tiada paksaan dalam agama. (Quran, 2: 256). Kedudukan ayat ini selepas Ayat Kursi (255) sangat bermakna. Ia menunjukkan Tuhan, kuasa terhebat di seluruh Alam Raya, memberi kebebasan mutlak kepada manusia sama ada mahu mengikut perintah Dia atau tidak.
Perisytiharan ini memulakan hak asasi manusia, mendahului Perisytiharan Hak Asasi Bangsa-bangsa Bersatu pada 1948 selama 1,300 tahun lebih!. Ayat itu terang-terang menegaskan apa yang ia tegaskan, iaitu agama itu bebas. Siapa yang ingin memeluk Islam atau apa juga agama lain, bebas memeluknya. Ia bertanggungjawab sepenuhnya di atas perbuatan itu. Tetapi jika ia ingin keluar dari agama itu, ia juga bebas keluar. Itulah maknanya. Makna lain, walaupun diberi oleh seorang sarjana besar, batal.
            Oleh yang demikian, mazhab Ahli Sunnah Waljma’ah itu satu puak yang muncul kemudian, berlawanan dengan ajaran Nabi Muhammad. Jadi, tidak betul kalau kita meminda Perlembagaan untuk memasukkan istilah ‘Ahli Sunah Waljama’ah’. Kita harap UMNO dan Kerajaan tidak akan membuat pindaan ini.
            Quran juga melarang kita daripada membuat puak dalam agama. (Quran, 3: 103; 6: 159). Jadi, jangan kita buat puak dan mengisytiharkan puak ini sah dan puak itu tidak. Barangsiapa yang membuat puak dalam agama harus tanggung akibatnya. Tuhan yang menghukum; bukan manusia atau Kerajaan.
            Apabila kita memerintah, Tuhan menyuruh kita memerintah dengan adil. (Quran, 4: 58)  UMNO mula-mula melalui Perikatan dan kemudian melalui Barisan Nasional telah memerintah dengan adil. Satu juta pendatang berbangsa Cina dan India telah diberi kerakyatan apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 1957. Kemurahan orang Melayu ini tidak ada tolok-bandingnya dalam dunia!
            Harus diingat bahawa Persekutuan Tanah Melayu berasal dari Kesultanan Melayu Melaka dengan Melaka sebagai sebuah pelabuhan yang besar di dunia dalam abad ke-15 sebelum ia ditakluk oleh penjajah Portugis, diikuti oleh Belanda dan kemudian oleh Inggeris.
            Islam yang datang ke Malaya itu Islam pasca kejatuhan kota Baghdad, pusat Empayar Islam di Timur, pada 1258, iaitu Islam yang sudah menyeleweng dan kalah. Dengan demikian, ia turut melemahkan bangsa Melayu. Dalam pilihanraya ke-13 pada 5 Mei 2013. Barisan Nasional yang ditunjangi parti UMNO gagal mendapat kemenangan dua-pertiga. Pada ketika itu, sesetengah ahli UMNO sendiri tidak mengundi UMNO, kerana kemerosotannya dibanding dengan UMNO yang asal.
            Dalam Perhimpunan Agung ini, presidennya Najib cuba merekayasa UMNO dengan memperkenalkan sistem perkaderan. Sebelum seorang boleh menjadi ahli UMNO, ia harus melalui kursus tentang UMNO: Falsafah perjuangannya, sejarahnya, misinya dan masa depannya. Ini yang dinamakan presiden sistem perkaderan.
            Oleh sebab kehidupan Islam dibahagikan kepada dunia dan akhirat, maka orang Melayu yang beragama Islam salah faham tentang dua dunia ini, lalu kerana mereka mengutamakan akhirat, mereka mengabaikan dunia ini. Seperti yang diungkapkan di dalam pantun mereka: “//Dunia ini pinjam-pinjaman//Akhirat juga yang sugguhnya.”// Sikap ini bertanggungjawab bagi kemunduran mereka. Dibanding dengan suku-bangsa Cina dan India, mereka terkebelakang. Padahal Islam boleh disifatkan sebagai satu cara hidup revolusioner, tidak takut mati dan mendukung kehidupan. Ini dibuktikan oleh sejarah apabila dalam masa 60 tahun dalam zaman Khalifah Uthman Ibni Affan, bangsa Arab yang tidak terkenal itu melonjak naik menjadi kuasa besar nombor wahid mengalahkan Empayar Parsi dan Empayar Baizantium, dua kuasa besar pada masa itu.
            Gerakan tajdid moden yang bermula dengan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897 ) dan Sheikh Muhammad Abduh (m. 1905) hingga sekarang sudah lebih seratus tahun. Namun demikian, kebangkitan semula Islam belum nampak akan berlaku. Mengapa? Mestilah kerana Islam yang kita amalkan sekarang tidak seperti yang diajar oleh penutup segala nabi, Nabi Muhammad. Ini nyata. Cerdik pandai Islam mestilah menyiasat di mana kita telah tersilap.
            Orang Melayu sendiri mesti menyiasat mengapa mereka terkebelakang dibandingkan dengan suku-kaum Cina dan India. Penyiasatan ini akan menemukan mereka dengan sikap mereka yang tidak memberi perhatian secukupnya kepada kehidupan dunia. Mereka mesti sedar bahawa mereka tidak dapat apa-apa kecuali apa yang mereka usahakan. Alangkah ironisnya suku-bangsa Cina dan India lebih berjaya daripada mereka, walaupun orang Melayu lebih banyak menerima bantuan Kerajaan!
            Dalam pada itu, seperti yang telah saya cadangkan dulu, kita kena susun sistem nasional kita sendiri untuk menggantikan sistem dwi-parti/jamak-parti yang kita tiru dari Eropah yang tidak sesuai dengan semangat kesatuan Islam. 

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com  




Monday, October 14, 2013

ADAKAH TUHAN BERNAMA?




ADAKAH TUHAN YANG ESA ADA NAMA?

Oleh: Kassim Ahmad
15 Oktober, 2013


            Walaupun kebanyakan autoriti, termasuk kamus, menyatakan “Allah” nama khas bagi  Tuhan Yang Esa, Quran dan hukum logika menafikannya. Surah 17, ayat 110 berbunyi: “Panggillah Dia Allah atau panggillah Dia Yang Maha Pemurah; dengan nama apa juga kamu panggil Dia, milik-Nya nama-nama yang paling baik.”
            Dari segi logika, tidak pantas Tuhan itu bernama, kerana Dia bukan seperti manusia – ada nama! Dia tenaga murni, tenaga yang paling kuat. Sebab itu kalau Dia turun ke dunia, dunia akan hancur, kerana dunia tidak boleh tahan kekuatan tenaga itu.
            Sungguh aneh dan menghairankan, ada orang Islam di negara kita mendakwa bermati-matian bahawa Allah itu milik mereka saja, bukan milik orang Kristian! Tidakkah ulama mereka tahu bahawa perkataan ‘Allah’ itu bahasa Arab, ertinya ‘Tuhan itu’, yakni Tuhan Yang Esa?  
            Dalam agama Hindu, ada banyak Tuhan dengan nama yang berlainan. Dalam agama Kristian, orang percaya ada tiga Tuhan – Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Bolehkah mereka gunakan perkataan ‘Allah’ dalam kitab Taurat yang mereka terjemahkan ke dalam bahasa Melayu?  Tentu boleh, sebab tidak munasabah dibuat undang-undang  menghadkan pergunaan perkataan ‘Allah’.  Penulis Kristian ini harus ingat bahawa perkataan ‘Allah’ bahasa Arab yang bermakna ‘Tuhan itu’ dalam bahasa Melayu, yakni Tuhan Yang Esa. Bagi kebanyakan orang Kristian Tuhan ada tiga; jadi tidak logik bagi mereka menggunakan perkataan ‘Allah’. Ini soal kejahilan, bukan soal mencuri nama!
            Lebih penting daripada perbantahan dangkal ini, kita harus ingat dan faham bahawa yang beragama itu manusia, bukan negara. Alangkah aneh Perlembagaan Malaysia mengatakan “Islam agama Persekutuan”. Tiap negara-bangsa netral dari segi agama, kerana yang beragama itu penduduk negara itu. Oleh sebab itu, Piagam Madinah yang masyhur itu dan yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri menyerahkan pentadbiran urusan agama kepada penganut-penganutnya sendiri, autonomi dengan perkataan lain.  Ini boleh mengelak daripada konflik agama, seperti yang kerap berlaku di negara kita.
            Ingin saya huraikan di sini mengapa saya tidak menggunakan frasa SAW selepas nama Nabi Muhammad.  Penggunaan frasa ini sebenarnya bersalahan dengan ajaran Tuhan dalam Quran. Kita tidak dibenarkan membezakan antara para nabi. (Mengapa kita sebut frasa AS selepas nama nabi-nabi lain?) Lagipun frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin umumnya. (Quran, 33: 43).
            Jadi, saya ingin bertanya, adakah kita di Malaysia mengamalkan agama Islam seperti yang diajar oleh nabi besar kita Muhammad?  Kegagalan sarjana-sarjana kita membetulkan kesilapan-kesilapan amalan agama kita (Islam baka, bukan Islam sebenar) sangat menghairankan!
KASSIM AHMAD penulis bebas Malaysia. Laman web belaiu www.kassimahmad.blogspot.com  

Wednesday, September 18, 2013

KEMATIAN CHIN PENG




KEMATIAN CHIN  PENG:
BAGAIMAN KITA MENILAI PERJUANGANNYA?

Oleh: Kassim Ahmad
18 Septmber, 2013


            “Tunjukilah kami jalan yang lurus; jaln mereka yang Engkau restui, bukan mereka yang Engkau murkai, atau mereka yang sesat.” – Quran, 1: 6-7.
            Dari perspektif yang mutlak, Parti Komunis Malaya (PKM) tidak lain dari satu cabang gerakan komunis internasional yang tidak ada masa depan. Ia sebuah ideologi antarabangsa yang ajalnya telah ditetapkan. Chin Peng sebagai ketua PKM telah salah pilih ideologi ini sebagai ideologi perjuangannya. Malah dia degil dan tidak mahu menerima nasib yang menimpa ideologi ini apabila ideologi ini menemui ajalnya dalam tahun-tahun 1989-1991.
Orang-orang seperti beliau tidak sedar bahawa mereka bertindak, seperti binatang mengikut naluri, bukan akal. Manusia makhluk istimewa, Homo sapiens, mengikut istilah saintifiknya, kerana ia mempunyai akal rasional. Dia muncul di dunia kira-kira satu juta tahun dulu.  Dalam bahasa Quran, ia khalifah, makhluk yang  yang boleh menentukan nasibnya sendiri.
            Inilah makna dua ayat suci dalam surah Fatihah yang kita petik di atas.
            Manusia belajar mengikut kaedah jatuh bangun. Tidak ada jalan lain. Dia harus elak jalan yang silap apabila dia sedar jalan itu silap. Inilah kelebihan manusia daripada binatang. Dia makhluk rasional.
            Sesetengah orang menganggap PKM pejuang kebebasan, kerana ia menentang penjajah Jepun dalam Perang Dunia II dan menentang penjajah Inggeris selepas Pihak Berikat menang dalam Perang Dunia II. Orang-orang ini lupa bahawa PKM menentang Jepun dan Inggeris bukan kerana hendak membebaskan Malaya dari penjajahan. Ia hendak menubuhkan sebuah republik komunis di Malaya untuk diletakkan di bawah penjajahan China Komunis  atau Rusia Soviet.  Dengan kata-kata lain, dari suatu penjajahan ke suatu penjajahan lain. Terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau, seperti kata pepatah.
            Kita tahu dalam sejarah telah wujud pelbagai penjajahan. Kerajaan Melayu Melaka mula-mula telah dijajah oleh Portugis, kemudian oleh Belanda, kemudian oleh Inggeris. Dalam Perang Dunia II ia dijajah oleh Jepun.  Portugis tidak menawan Melaka untuk membebaskan Melaka dari taklukan orang Melayu, kerana orang Melayu anak negeri yang mendirikan Melaka. Demikianlah Belanda, Inggeris dan Jepun  itu penjajah.
            Oleh kerana manusia dijadikan Tuhan makhluk yang bebas, keadaannya yang sebenar itu kebebasan. Keadaan perhambaan itu bukan fitrahnya dan tidak natural. Kalimah syahadah kita “Tidak tuhan melainkan Allah” itu bermakna kita mengisytiharkan pembebasan yang total dari semua tuhan palsu kecuali Tuhan yang Sebenar, Pencipta sekalian alam. Demikianlah besar dalam dalamnya erti syahadah itu.  Dua yata suci yang kita petik di atas memerintahkan kita mencari jalan yang lurus dari dua jalan yang menyeleweng, iaitu jalan yang Tuhan murkai (jalan mereka yang memberontak terhadap Tuhan: kaum komunis termasuk ke dalam golongan ini),  dan mereka yang sesat. Mereka yang sesat merujuk kepada mereka yang tidak memberontak melawan Tuhan, tetapi mereka yang ingin mencari jalan yang lurus tetapi tidak menemuinya.
            Coba lihat kesan pemberontakan terhadap Tuhan. Dalam Rusia Soviet dan Eropah Timur berapa besar kekejaman yang berlaku di bawah rejim-rejim mereka. Demikian juga di dalam negara China Komunis. Lebih dekat, coba lihat apa yang berlaku di Indonesia dalam zaman Sukarno apabila Parti Komunis Indonesia dibenarkan sebagai sebuah parti yang bergerak bebas. Begitu juga di negara kita. Kita sudah tentang kekejaman PKM.
            Adakah ini bermakna kita memang tidak boleh membenarkan ideologi komunisme bebas dalam negara kita? Bukankah ini menafikan hak asasi untuk kaum komunis dan bertentangan dengan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu? Tetapi satu perkara kita mesti ingat. Hak kebebasan kolektif tidak boleh menafikan hak kebebasan individu. Kedua-duanya wujud dalam satu kesatuan yang harmonis.
 ------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com.