SIAPA YANG BENAR: ISRAEL ATAU ARAB?
Oleh: Kassim Ahmad
7 Januari, 2009
Menolong orang mukmin itu tanggungjawab Kami. (Quran, 30: 47)
Jika Tuhan menolong kamu, tiada siapa yang boleh mengalahkan kamu; dan
jika Ia meninggalkan kamu, siapakah yang boleh menolong kamu selepas Dia? (Quran, 3: 159)
Ayat-ayat suci yang kita petik di atas jelas maknanya. Kebenarannya telah pun dibuktikan, antara lain, dalam perjuangan nabi-nabi Ibarhim, Musa, Isa dan Muhammad. Namun demikian, dalam konflik Arab-Israel selama lebih 60 tahun dalam enam peperangan, orang Arab kalah kepada orang Israel. Mengapakah orang Arab, yang beragama Islam, dan orang-orang Islam lain, kalah kepada orang Israel, yang beragama Yahudi? Memandang kepada ayat-ayat suci di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa Tuhan tidak menolong mereka, kerana kemukminan mereka tidak diterima oleh Tuhan.
Sudah sampai masanya orang Arab, termasuk orang-orang Islam lain di dunia, berfikir secara serius tentang perkara ini. Tidak syak lagi, mereka telah membuat kesilapan-kesilapan yang besar. Apakah kesilapan-kesilapan itu?
Perkara pertama yang jelas sekarang ialah perpecahan di kalangan orang Arab terhadap Palestin. Ada puak Fatah dan penyokong-penyokongnya di kalangan bangsa-bangsa Arab; ada puak Hamas dengan penyokong-penyokongnya pula. Fatah yang sekarang menerima konsep dua negara, satu Israel dan satu lagi Palestin, dibantah oleh Hamas (yang menang dalam pilihanraya) yang tidak bersetuju dengan konsep dua negara ini dan, malah tidak mengiktiraf hak orang Israel untuk menubuhkan negara mereka sendiri.
Perkara kedua ialah sikap dan dasar negara-negara Arab dan negara-negara Islam lain terhadap Amerika Syaraikat, sekutu Israel yang paling rapat. Ada di antara mereka yang sikapnya pro-A.S., seperti Arab Saudi dan Kuwait. Malah di Arab Saudi dan Kuwait ada tentera A.S. yang bertujuan melindungi mereka dari musuh. Ada pula negara-negara Arab dan Islam, seperti Iran dan Syria, yang anti-Amerika. Secara logiknya, A.S. harus dianggap musuh oleh negara-negara Arab dan Islam, dan mereka harus memeranginya.
Seperti yang kita ketahui, perpecahan ini telah membawa kepada dua kejadian moden yang tragik. Pertama, Perang Iran-Irak dalam tahun-tahun 1981-88. Nyata perang itu dihasut oleh A.S., Israel dan Inggeris. Ia tidak akan berlaku sekiranya Iran menerima cadangan genjatan senjata oleh Iraq pada permulaan perang itu. Kedua, pencerobohan dan penaklukan A.S.-Inggeris terhadap Iraq pada 2003 dengan bantuan Arab Saudi dan Kuwait yang membenarkan bumi mereka digunakan oleh kaum penceroboh itu untuk melancarkan serangan mereka.
Kedua-dua peristiwa tragik ini tidak perlu berlaku sekiranya umat Islam bepegang teguh kepada konsep persaudaraan Islam, yang diperintahakan oleh Tuhan kepada kita. Kita ingin bertanya mengapakh pertubuhan Islam antarabangsa, OIC, gagal melakukan sesuatu untuk mengelak tragedi-tragedi ini? Sekarang negara-negara Islam, sama ada OIC atau sesuatu kumpulan lain, perlu bertindak untuk mengatasi perpecahan ini serta mengambil suatu pendekatan yang boleh menyelesaikan masalah Palestin ini.
Kita harus bertitik-tolak dari hakikat bahawa masalah ini melibatkan hak asasi dua kumpulan manusia: orang Arab Palestin dan orang Israel. Orang Arab Palestin ada hak untuk menubuhkan sebuah negara mereka yang bebas, merdeka dan berdaulat. Demikian juga orang Israel mempunyak hak untuk menubuhkan sebuah negara mereka yang bebas, merdeka dan berdaulat.
Sejak perisytiharan Balfour pada 2 November, 1917 memberi restu dan sokongan kepada orang Yahudi untuk mendirikan sebuah negara mereka sendiri di Palestin, banyak perkara sudah berlaku, termasuk pengiktirafan negara Israel merdeka dan berdaulat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Mei 15, 1948 dan enam peperangan antara negara-negara Arab dan Israel yang berakhir dengan kekalahan bangsa-bangsa Arab. Pada hari ini, masalah konflik Arab-Israel masih jauh dari penyelesaian.
Kita harus bertanya kepada diri kita: Bolehkah negera-negara Arab dan negara-negara Islam lain mengalahkan Israel? Jawabnya tidak mungkin, kecuali dengan mencetuskan suatu peperangan nuklier antara Iran dan Israel. Peperangan seperti ini akan memusnahkan tamadun, dan perlu dielak demi keselamatan semua pihak.
Adakah pilihan kita berperang semata-mata? Di atas kita telah bersetuju bahawa kedua-dua bangsa Arab Palestin dan bangsa Israel berhak menubuhkan sebuah negara-bangsa yang merdeka dan berdaulat di bumi Palestin. Inilah asas perdamain antara Israel dan bangsa Arab. Namun demikian, perpecahan di kalangan bangsa Arab dan negara-negara Islam lain, yang telah kita sebut di atas, mestilah di atasi. Dengan demikian, orang Arab dan orang Islam boleh berdamai dengan Israel dengan syarat Israel bersetuju untuk merunding dan memutuskan dengan saksama semua soal yang hak di antara orang Palestin dan orang Israel. Tidak perlu ada orang tengah, seperti A.S. dan lain-lain, untuk menjalankan perundingan ini.
Harus diingat bahawa pada asalnya, dua bangsa ini (Arab dan Israel) ialah dua beradik dari keturunan anak-anak Nabi Ibrahim, iaitu Ismail (Arab) dan Ishak (Israel). Bangsa Israel terkenal sebagai suatu bangsa yang gigih dan pandai. Einstein, Beethoven dan Marx ialah tokoh-tokoh besar Yahudi. Lihat bagaimana mereka telah membangunkan negara Israel menjadi sebuah negara yang maju dalam masa dua generasi. Bangsa Arab dan orang Islam boleh belajar daripada mereka untuk menjadi maju. Martin Buber, seorang ahli falsafah Austria-Israil (1878-1965) telah berkata dalam sepucuk surat terbukanya kepada Mahatma Gandhi pada 1939: “Penduduk kami tidak datang ke sini seperti kaum penjajah dari Barat untuk memaksa kaum pribumi bekerja untuk mereka; mereka sendiri mengenderai tenggala di bahu mereka dan mereka memeras tenaga dan darah untuk menyuburkan bumi. Tetapi bukan saja untuk kami yang kami hendakkan kesuburannya. Para petani Yahudi telah mula mengajar saudara-saudara mereka, para petani Arab, untuk mengusahakan tanah dengan lebih baik; kami mahu mengajar mereka lebih jauh: bersama mereka kami mahu mengusahakan tanah itu – untuk berkhidmat kepadanya, seperti kata pepatah Hebrew. Semakin subur tanah ini, semakinlah banyak ruang bagi kami dan bagi mereka. Kami tidak berhasrat untuk merampas harta mereka: kami mahu hidup bersama mereka. Kami tidak mahu menguasai mereka: kami mahu berkhidmat bersama mereka …”
Pada awalnya, ada juga pemimpin-peminpin Arab yang mengalu-alukan kedatangan bangsa Israel ke Palestin. Pemimpin-pemimpin ini termasuk Sherif Hussein, penjaga tempat-tempat suci Islam di Semenanjung Arab dan Dawood Barakat, editor akhbar Mesir Al-Ahram. Ingat kembali waktu Pertubuhan Pembebabsan Palestin (P.L.O.) pada Mei 1964: Piagamnya secara rasmi menuntut pembubaran negara Israel. Sekarang mereka sudah menerima konsep dua negara: Israel dan Palestin, tetapi ada satu puak Arab dan Islam yang mahu kembali kepada pendirian Fatah 45 tahun dulu! Ini hanya mengulang sejarah tanpa penyelesaian!
Tuhan memerintah kita supaya berdamai, jika musuh minta berdamai. Iktiraf hak bangsa Israel untuk menubuhkan negara mereka di bumi Palestin; pada masa yang sama, berunding untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang memenuhi kedua-dua cita-cita kebangsaan orang Palestin dan orang Israel.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim1234@gmail.com Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/