Monday, September 28, 2015

MUSIBAH BANJIR?



MUSIBAH BANJIR?
Oleh: Kassim Ahmad
28 September, 2015

            Banjir kerap berlaku di negara kita. Tahun sudah Kelantan dan beberapa buah negeri dilanda banjir yang teruk. Apakah ini musibah? Satu bala yang diturun oleh Tuhan kepada kita? Yang kena banjir itu kerakali orang miskin. Adajkah Tuhan zalim?
            Secara saintifik apakah yang menyebabkan banjir? Hujah turun lebat berjam-jam, mungkin berhari-hari, bertembung dengan air sungai yang pasang – maka air naik membanjiri bumi – jika tidak ada parit untuk air itu mengalir balik ke laut. Jadi kita harus mengadakan sistem saluran air yang bagus. Tidak ada sampah sarap yang menahan air mengalir.
Kita dapati banyak parit tiada dibuat di kedua-dua belah jalan untuk  mengalirkan air. Kadang-kadang saluran air dicampak dengan sampah-sarah yang menghalang air parit atau  longkang besar dari mengalir.
            Semua ini menyebabkan banjir. Tidak bolehkah kita mengatasi banjir? Mesti boleh. Tuhan beri kepada kita akal; gunakan! Kita ada banyak menteri – mengapa mereka tidak buat kerja? Kita ada ramai penjawat awam. Kita berikan mereka gaji berjuta-juta sebulan – mengapa mereka tidak buat kerja? Ini menunjukkan mereka tidak menjalankan amanah mereka. Mengapa? Fikirlah.
            Banding dengan Khalifah Omar Ibni Khattab. Diriwayatkan waktu beliau menjadi khalifah, beliau memasuki sebuah kampong pada malam hari. Beliau mendengar seorang kanak-kanak menangis di sebuah rumah. Didapatinya ibu seorang kanak-kanak sedang merebus air. Tidak ada makanan untu kanak-kanan itu. Lalu beliua pergi ke gudang gandum dan menangung seguni gandum, dibawa
 ke rumah itu.
Itu satu teladan pemimpin yang baik. Dalam sejarah manusia ada banyak juga pemimpin yang menunjukkan amanah dan tanggunjawab seperti itu.Kita ikutlah teladan ini. Tidak bolehkah? Fikirlah sendiri.


KASSIM AHAMD seorang penulis bebeas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com       

AMALAN HAJ



TRAJEDI DEMI TRAGEDI DI MEKAH
Oleh: Kassim Ahmad
28, September, 2015

            Dalam masa sedekad yang lalu, kita telah menyaksi banyak tragedi yang mengorbankan beribu Jemaah haji waktu melakukan ibadah haji di Mekah. Mengapa jadi begitu?
            Mengiku ajaran Quran, haji boleh dilakukan dalam mana-mana satu bulan suci, yaitu dalam bulan Zulhijjah (12), bulan Muharram (1) bulan Safar (2) dan bulan Rabi’al-awal (3). Jika 2 juta orang Islam dari seluruh pelusuk dunia datang ke Mekah untuk mengejakan haj datang dalam mana-mana bulan suci ini, kita akan dapat 500,000 jemaah haji. Jadi, tidaklah sesak, dan tidaklah akan berlaku rempuhan-rempuhan yang telah berlaku banyak kali. Pihak berkuasa Arab Saudi mestilah mengumumkan kepada masyakat Islam sedunia hal ini.
            Malangnya, selama ini Jemaah haji menuju ke Mekah untuk melakukan ibadah haj imni dalam bulan Zulhijjah, mengikut Nabi Muhammad yang kebetulan melakukan hajnya dalam bulan itu. Di sinilah silapnya. Saya amat hairan mengapa tidak ada pemimpin Islam yang menegur kesilapan ini.
            Juga ibadah haj diwajib bagi orang Islam seumur hidup sekali saja dengan syarat mereka mampu dari segi kesihatan dan kewangan. Amalan umat Islam tidak mengikut ajaran ini. Mereka bergolok-bergadai untuk melakukan haj, bukan sekali tepai berkali-kali! Ini sudah melanggar perintah Tuhan.
            Saya juga ingin mencadangkan supaya ibadah haji ini ditadbirkan oleh sebuah badan bebas yang dilantik oleh negara-negara Islam.


KASSIM AHMAD seorang penulis bebeas Malaysia. Laman webnya www.kassimahmad.blogspot.com

Sunday, September 27, 2015

KEDATANGAN NABI ISA KALI KEDUA




KEDATANGAN NABI ISA KALI KEDUA
Oleh: Kassim Ahmad
27 September, 2015

          Lawatan Paus Francis ke Amerika Syarikat sekarang mengingatkan saya kepada cerita-cerita di kalangan umat Kristian dan Islam  tentang kedatangan Nabi Isa  kali kedua. Sebuah sajak oleh Wllliam Butler Yeats yang bertajuk “The Second Coming”, sebagiannya berbunyi:-
/Things fall apart, the centre cannot hold;/Meer anarchy is loosed upon the world;/The blood-dimmed tide is loosed, and everywhere/The ceremony of innocence is drowned;/The best lack all conviction, while the worst/Are full of passionate intensity/
/Surely some revelation is at hand;/Surely the Second Coming is at hand./   
          Mengikut cerita itu, Nabi Isa akan menyeru dunia supaya kembali berpegang kepada ajaran Nabi Muhammad yang sebenar, itu Quran. Bersama Imam Mahadi, beliau akan membunuh Dajjal, musuh Tuhan dan musuh manusia, dan akan mentadbir dunia dengan adil.
          Saya mengikuti lawatan Paus Francis tiap-tiap hari dari sejak beliau turun dari kapalterbang dan terus ke Washington untuk berucap    kepada Sidang Bersama Kongres, and kemudian ke New York untuk berucap kepada PBB, dan kemudian kepada kumpulan-kumpulan lain pula, termasuk ke Dewan Bandaran tempat Perlembagaan A.S digubal oleh pemimpin-pemimpin awal Amerika.
          Pergerkannya melalui jalan-jalan di Washington, New York dan lain-lain dalam kenderaan Paus yang putih itu. Sambutan rakyat Amerika kepadanya luarbiasa ke mana juga beliau pergi sambil bersalam dengan orang ramai, merestui bayi-bayi dan kanak-kanak, malah menerima sepucuk surat dari seorang kanak-kanak.
          Ucapan-ucapan beliau langsung tidak menyebut tentang doktrin. Beliau mnyentuh  tentang nasib orang-orang miskin dan tersingkir di mana-mana dan tentang nasib orang pelarian yang lari dari peperangan di Syria, Iraq dan Afghanistan dan dari kesusahan di negara-negara Afrika. Juga tentang kebebasan beragama, dialog antara agama, tentang perlunya PBB berusaha untuk mewujudkan sebuah dunia tanpa perebutan senjata dan bebas dari senjata nukliar. Pendirian Paus Francis tentang Palestin memang sudah jelas memihak kepada Palestin.
          Selepas ini, saya jangka, keadaan tidak akan sama lagi. Umat Kristian dan Islam berjumlah 3.8 bilion sekarang, lebih separuh dari jumlah penduduk dunia. Jika dicampur dengan pemeluk agama Hindu yang berjumlah satu billion dan yang juga menyambut baik ucapan-ucapan beliau, nyatalah sejumlah besar pendududk dunia menyokong beliau.
         Di pihak Islam perubahan dalam masa lima tahun yang lalu cepat juga. Dalam masa ini, seruan saya supaya soal Hadis disemak semula (Hadis – Satu Penilaian Semula, 1986) sudah disambut di Universiti Islam Antarabangsa. Malaysia, di Arab Saudi (Raja Fahd) dan di Turki (Jabatan Agma) dalam dua tiga tahun yang lalu, dan baru-baru ini, seorng sarjana dari Arab Saudi bernama Sheikh Hassan Farhan Al-Maliki telah mengutuk budaya hadis palsu yang mengkorapsi nama Islam.
         Dua aliran fikiran ini akan bertemu menajdi satu ombak yang akan mengubah dunia. Sebuah dunia yang adil yang menjadi idaman manusia sekian lama akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.
         Segala puji bagi Allah!
------------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Sunday, September 20, 2015

KALAU SAYA PERDANA MENTERI ...



KALAU SAYA PERDANA MENTERI  MALAYSIA…

Oleh: Kassim Ahmad
18 September, 2015

            Sejarah peribadi saya membuktikan saya seorang yang memburu kesempurnaan (Ing. perfectionist). Saya boleh buat sesuatu, kalau saya mahu. Ini telah saya buktikan semasa saya menerajui Koperasi Pelaut Pulau Pinang selama empat tahun berturut-turut. Apalagi sekarang saya berpegang teguh kepada ajaran Nabi Muhammad, iaitu Quran, yang di tafsirkan melalui kaedah saintifik. Juga saya berani membantah pihak berkuasa, kalau saya yakin saya benar.
             Ingat kembali sajak saya “Dialog” yang saya tulis dalam tahun 1960. Bait akhir daripada empat bait berbunyi: “/ada besok maka pasti ada suria/aku akan pergi/dengan seribut Jebat si anak tani/kian lama kita mati dalam setia/kali ini kita hidup dalam durhaka!/ Saya seorang pemberontak tulen!
Dalam tahun-tahun 2002, 2005 dan  2008, saya telah diwawancarai akhbar-akhbar New Straits Times, The Sun dan The Star. Wawancara-wawancara itu masing-masing bertajuk “For the love of God” (“Kerana kecintaan kepada Tuhan”), “Modern day Hang Jebat” (“Hang Jebat Zaman Moden”), dan “For the love of the common people” (“Kerana sayang kepada rakyat jelata”).
             Jadi, saya ada rekod berpegang teguh kepada ajaran Quran, rekod keberanian, dan rekod perjuangan di pihak rakyat tertindas. Oleh sebab itu saya memberitahu kepada kawan-kawan saya yang rapat, kalau saya lebih muda (sekarang saya masuk umur 83), saya akan bertanding jawatan presiden UMNO, dan insya Allah saya akan menang. Saya memberitahu mereka saya memerlukan 10 tahun untuk membersihkan kandang kuda UMNO dan menyelesaikan semua masaalah (rasuah, kemiskinan, dan lain-lain)!
             Tuhan melindungi saya dari takbur. Apa yang saya cakap, akan saya buat.
Benarkah saya menjelaskan dengan lebih terperinci apa yang akan saya buat.
Saya akan ikut contoh Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad, kerana ini sebuah perlembagaan bertulis yang pertama di dunia moden, mendahului Magna Carter Inggeris. [1]
              Sistem pentadbiran ikut sistem federal. Rakyat bebas menganut agama masing-masing. Agama dan kebudayaan ditadbirkan secara autonomi oleh penganut agama dan budaya itu. Satu sistem persekolahan saja. Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, tetapi bahasa-bahasa lain boleh diajar di sekolah. 
Hal-hal laimn pula. Pertama, saya akan mengahapuskan pembaziran dan rasuah dan meningkatkan prodaktiviti dengan memotong satu pertiga daripada bilangan menteri dan bilangan perkdimatan awam, dan meninkatkan gaji menteri dan pegawai perkhidmata awam. Gaji perdana menteri dinaikkan kepada RM 100,000 dan menteri-menteri peringkat bawah kepada RM 40,000.  Gaji ketua setiausaha negara dinaikkan kepada RM 40,000. Gaji pegawai rendah dinaikkan ke RM 10,000.
Tujuan tindakan ini untuk menjimatkan perbelanjaan dan juga menghapuskan rasuah sama sekali. Barangsiapa terlibat dengan rasuah selepas ini akan menerima hukuman berat.
             Semua ahli parti, penjawat awam dan menteri akan diwajibkan menyertai kursus kepimpinan dan pentabiran supaya mereka berkhidmat kepada rakyat sepenuhnya dan meletakan diri mereka di bawah kawalan rakyat sepenuhnya.  
Tanah-terbiar akan diusahakan. Prodaktiviti akan ditingkatkan. Pembaziran akan dihapuskan. Rasuah akan akan dihapuskan.
            Kesesakan jalanraya sekarang disebabkan oleh kereta persendirian terlalu banyak dan pengakutan awam tidak cukup. Saya akan mengambil keluar dari jalan raya separuh atau sekuarang-kurangnya sepertiga dari kereta persendirian. Sistem pengangkutan awam akan diperbaiki dan dipertingkat. Kertapi laju dari utara ke selatan dan barat ke timur  akan diwujudkan. Satu sistem bas yang baik dalam bandar akan diwujudkan.
            Saya akan menggunakan sistem percukaian zakat. Semua rakyat akan dikenakan cukai pada kadar yang sesuai dengan keadaan semasa. Cukai ini akan dibahagikan kepada lapan penerima yang disebut dalam Quran. Anak yatim dan orang miskin, tanpa mengira kaum dan agama akan menerima sebagian dari cukai ini, termasuk para sarjana yang tidak ada masa untuk mendapat cukup untuk menyara keluarganya. Perbelanjaan di jalan Allah termasuk pembinaan sekolah dari sekolah rendah hingga hingga ke universiti, hospital dan klinik, dan jalanraya. Hospital awam dan universiti awam percuma. Tidak ada tol di mana-mana jalanraya.
Saya akan wujud suatu anugerah untuk karya-karya terbaik dalam semua bidang, yang akan saya namakan Augerak Za’aba tiap tahun . Nilainya RM 1 juta. Hadiah ini untuk menggalakan dan memberi habuan kepada pencipta karya-karya yang terbesar dalam semua bidang.    
             Singapura telah menunjukan kepada kita satu sistem pentadbiran yang amat baik. Kalau Singapura boleh buat, mengapa kita tidak boleh? 
             Kalau saya jadi perdana menteri, inilah yang akan saya lakukan. Dulu saya sudah buat; saya akan buat lagi, insya Allah, demi bangsa dan anak-cucu kita dari semua kaum dan agama.

-----------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com.my





[1] Lihat Kassim Ahmad, A Short Note on the Madinah Charter dalam blog saya. Perhatikan apa yang dikatakan hokum hudud tidak disebut dalam Piagam ini.

Sunday, September 13, 2015

PILIHANRAYA UMUM SINGAPURA KE-12





PILIHANRAYA UMUM SINGAPURA YANG KE-12

Oleh: Kassim Ahmad
14 September, 2015

            Pilihanraya umum Singapura yang ke-12 telah datang dan pergi. Parti Tindakan Rakyat (PAP) menang semua kerusi keculai 6 dari jumlah 89. Parti Pekerja hanya menang 6 kerusi, turun daripada 7 dalam pilihanraya umum dalam tahun 2011. PAP dapat hampir 70% undi, naik 10% dari PRU 2011.
            Mengapa begitu? Kebanyakan kita di Malaysia yang dipengaruhi oleh praktik sistem dua parti (kerajaan/pembangkang) di Barat tidak boleh berfikir di luat kotak ini. Jika tidak ada pembangkang untuk kekang dan imbang (Ing.  check and balance} tidak sah, konon. Model pemerintahan kita mestilah Nabi Muhammad, yang selain penyampai wayhu Tuhan, juga pemimpin dan pemerintah. Perlembaaan Medinah yang beliau gubal mestilah menjadi model perlembagaan negara-bangsa kita juga.[1]
            Saya sudah tulis dalam blog saya kia mesti menyusun sistem politik nasional kita sendiri berdasarkan tradisi Timur kita sendiri, khasnya perlembagaan Madinah. Ini tidak bermakna kita tolak sama sekali sistem dwiparti Barat sebagai tidak baik. Ada baiknya.Tetapi kita ada contoh yang lebih baik, iaitu pemerintahan Nabi Muhammad.
            Tidak semestinya sistem dwiparti atau jamak parti itu satu-satunya sistem pemerintahan yang wujud.  Dalam sistem Muhammad, samua jalur pemikiran, dari kiri ke kanan, dikandung dalam dan di bawah satu pimpinan. Pimpinan ini mestilah tunduk di bawah, dan dkawal oleh, satu falsafah nasional yang beramanah tinggi dan dididik untuk berpegang teguh dan melaksanakan amanah ini. Kaedah pemerintahan hendaklah berdasarkan perundingan, dan koreksi berlaku dari dalam.
            Dalam negara kita, parti UMNO, yang menjadi tulang belakang pemerintahan disyaratkan ada perhimpunan agung tiap-tiap tahun. Di sinilah kerajaan membuta laporan kepada perwakilan, dan melalui perwakilan, kepada rakyat. Para wakil mesti bebas bercakap dan membuat teguran dan kritikan kepada kerajaan. Kerajaan mestilah jujur dan menerima teguran dan kritikan yang membina. Inilah cara pemerintahan yang paling baik. Inilah yang dilakukan oleh PAP di Singapura. Itulak sebabnya rakyat memilihnya   
            Kita harus keluar dari kotak pemikiran Barat, satu bentuk penjajahan sebenarnya – penjajahan mental. Kita sususn sistem nasiona kita sendiri, berdasarkan Piagam Madinah.

KASSIM AHMAD, seorang penulis bebas Malaysia. Blognya www.kassimahmad.blogspot.com.my


[1] Lihat A Short Noteon the Madinah Charter dalam blog saya.

Tuesday, August 11, 2015

KEMELUT KEPIMPINAN NAJIB SEKARANG





KEMELUT UMNO DI BAWAH PIMPINAN NAJIB SEKARANG
Oleh: Kassim Ahmad
12 Ogos, 2015

            Sejak terdedahnya isu 1MDB dalam akhbar dan sejak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir menuntut supaya P.M. Najib diganti oleh  timbalannya Tan Sri Muhiyuddin Yassin, politik Malaysia menjadi begitu kecamuk hingga orang ramai menjadi keluh-kesah. Naiib menggunakan belantannya untuk mencantas, antara lain,  timbalannya Muhiyuddin dan Peguam Negara Gani Patail.
            Pertumpahan darah ini nyata tidak memperkukuh kedudukan Najib sebagai P.M. Sebaliknya, ia menunjukkan kelemahannnya. Tidak syak lagi, Muhiyuddin telah digalakkan oleh bekas P.M untuk menggugat kedudukan Najib.
Pada fikiran saya, ini tindakan silap. Muhiyuddin sepatutnya membahas isu 1MDB dalam kabinet dan juga majlis tertingga UMNO. Mungkin tuntutan Tun Mahathir masuk dalam perhitungan singkat Muhiyuddin.
Sekarang Najib sudah menunjukkan taringnya, dan dia mengatasi – sekurang-kurangnya buat sementara waktu.
            Apa akan berlaku seterusnya?
Kalau saya di tempatnya Najib, saya akan memanggil suatu Perhimpunan Agung Khas UMNO dengan serta-merta untuk menyelesaikan isu ini. Saya akan memberi taklimat yang sepenuhnya dan sejujurnya kepada perwakilan dan mempertaruhkan nasib saya sepenuhnya kepada perwakilan. Kalau perwakilan mendapati saya bersalah, saya akan menjawab saya manusia biasa, dan saya mohon maaf dan berjanji akan membetulkan kesilapan saya. Kalau mereka terima, bagus; kalau tidak, sayonara! Habis cerita!
Itu tindakan orang yang berani. Saya jangka kalau Najib berbuat begini, dia akan mendapat mandat yang lebih kuat. Titik.
Sebaliknya, kalau saya di tempat Mohiyuddin, saya akan berkempin untuk memanggil satu Perhimpunan Agung Khas UMNO juga. Dalam ucapan saya, saya akan menghuraikan denga terperinci kesilapan-kesilapan Najib: perihal ia tidak mahu mendengar teguran saya dalam kabinet dan majlis tertinggi, dan bagaimana ia bertindas keras dan ganas untuk membuang saya dan mereka yang  beliau fikir anti kepada beliau.
Saya akan serahkan penyelesain isu ini kepada perwakilan. Habis cerita!
Dengan demikian, isu ini akan selesai segera. Rakyat kita dan negara Malaysia akan selamat, bukan? Ayuh, buatlah!  Jangan berdolak-dalik.

KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com    


Wednesday, July 29, 2015

ROMBAKAN BESAR KABINET





ADAKAH ROMBAKAN BESAR KABINET BIJAK?
Oleh: Kassim Ahmad
29 Julai, 2015

            Rombakan kabinet yang dibuat oleh PM Najib kelmarin yang melibatkan pengguguran timbalannya Muhyuddin Yassin nampak semacam berani. Adakah ia bijak? Alasan yang diberi oleh beliau nampak semacam logikal, tetapi logikal saja dalam politik tidak cukup.  Lebih penting perpaduan dan kekuatan parti. Beliau menyatakan beliau boleh menerima perbezaan pendapat, tetapi hujah tanggungjawab bersama yang tidak bersyarat susah hendak diterima. Ada kalanya, pertimbangan lain perlu masuk ke dalam perhitungan.
            Isu 1MDB sudah sudah lama menjadi tulang dalam daging di kalangan rakyat. Rakyat patut diberi peluang yang cukup untuk membahas isu ini. Nyatalah kabinet, atau Majlis Tertinggi UMNO saja bukan forum yang layak untuk memecahkan soal ini. Taklimat kepada ketua-ketua bahagian saja pun tidak cukup.
Pada pendapat saya, Majlis Tertinggi perlu memanggil suatu Perhimpinan Agung Khas untuk membahas soal ini. Dalam Perhimpunan Agung Khas ini, presiden dan perdana menteri boleh memberi penerangan tentang isu ini, soalan dan teguran boleh diberi oleh para wakil, dan seterusnya keputusan boleh diambil. Kaedah ini akan dapat menyelesaikan isu ini dengan lebih baik, parti tidak akan berpecah. Sebaliknya parti akan menjadi bertambah kuat untuk menghadapi pilihanraya umum yang ke-14. Majlis Tertinggi dan kabinet akan menjadi bertambah kuat.
            Mendengar dan menerima kritikan yang membina bukan tanda kelemahan. Ia sebaliknya tanda kekuatan dan kejujuran pemimpin. Ini akan diterima dengan baik oleh rakyat, dan mereka akan memberi sokongan yang penuh kepada kepimpinan seperti itu.
            Masih tidak terlambat untuk Majlis Tertinggi dan kabinet mengambil langkah ini. Bertindak dengan bijaksana jauh lebih baik dari bertindak dengan terburu-buru. Mungkin ia nampak lebih berani, tetapi dari segi jangka panjang, ia mungkin membawa padah kepada parti.  Saya harap cadangan saya akan diberi perhatian yang serius.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com  

Thursday, July 09, 2015

"QURAN CUKUP BAGI KAMI"




“QURAN CUKUP BAGI KAMI”
Oleh: Kassim Ahmad
10 Mei, 2015

            Kata-kata di atas dilafazkan oleh mereka yang beriman kepada Tuhan Yang Esa dan menyembah-Nya saja. Satu-satunya syahadah mereka, “Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Tuhan Yang Esa.”  Syahadah kedua yang dilafazkan oleh puak Ahli Sunnah Wal-Jama’h (ASWJ) itu batal, dibatalkan dalam Quran dalam Surah Al-Munafiqun (63), ayat 1.
            Telah saya nyatakan di tempat-tempat lain bahawa dalam sejarahnya, manusia melakukan banyak kesilapan, sesetengahnya besar. Hudud sebagai hukum kesiksaan, seperti yang ditafsirkan oleh sesetengan ahli hukum, satu daripadanya. Itulah sebabnya wajar benar warisan yang kita terima dari generasi-generasi dulu kita nilai semula sama ada betul atau tidak. Yang betul kita teruskan; yang salah kita tinggalkan. Dengan demikian, kemajuan kita akan senantiasa meningkat. Jadi, pemikiran kritis amat penting. Kita mesti baca untuk mengetahui dan membuat, tetapi baca kita itu mesti selalu dengan kritis. Sikap taksub kepada pemimpin atau sarjana itu satu kesilapan besar.
            Sejak saya tulis buku Hadis: Satu Penilaian Semula dalam 1986, Raja Fahd di Arabia,  Jabatan Agama Kerajaan Turki dan seorang penysarah Universiti Islam Antarabangsa telah mengiyakan seruan itu. Malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri baru-baru ini menyatakan kemahuan mereka untuk menyemak semula Hadis, kerana kemunculan kumpulan IS.  Ini menunjukkan anjuran saya itu tepat pada masanya dan relevan.
            Harus diingat bahawa Nabi Muhammad tidak bertanggungjawab terhadap kemunculan Hadis. Misi beliau semata-mata menyampaikan Quran, dan tidak lain dari Quran.[1]  Hadis muncul kemudia kerana beberapa sebab; ada sebab yang ‘baik’ untuk memasukkan ajaran yang baik dari tamadaun-tamadun lain, seperti Yunani.(Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan ini menafikan sempurna dan lengkapnya ajaran Quran?) Walaupun demikian, pada dasarnya, Hadis telah menjadi saluran ajaran yang bertujuan untuk mengalih pandangan orang Islam daripada Quran. Banyak hadis mengandung ajaran-ajaran dari kitab Taurat, yang kita tahu sudah dipinda. Umpamanya, hukuman bunuh bagi orang murtad, dan rejam hingga mati untuk penzina, dan banyak lagi.[2]
            Guru Agung yang memperkenalkan doktrin baru dua sumber utama (Quran dan Hadis) tidak lain daripada pengasas ilmu perundangan Islam, Iman Shafi’e (767-820), yang lahir 136 tahun setelah nabi wafat. Sebelum ini sediki hadis sudah wujud, direka oleh pereka-pereka Hadis dengan sebab-sebab tertentu.[3]  Apabila Guru Agung ini memperkenalkan doktrin baru dua sumber utama, barulah timbul pengumpul-pengumpul Hadis bagi puak Sunni dan juga bagi puak Syi’ah kira-kira 200 hingga 250 tahun selepas nabi wafat, yakni di antara 6.6 dan 8.3 generasi kemudian. Jarak yang amat jauh ini menampakkan kelemahan Hadis dari kedua-dua  segi sanad dan matannya. Ada orang sudah membuat suatu ujian saintifik meletakan beberapa orang di sekeliling sebuah meja bundar, dibisikan satu ayat kepada orang pertama dan disuruh dia bisikan kepada orang kedua seterusnya hingga orang yang terakhir: didapati ayat itu tidak sama lagi dan sudah berubah!
            Jika kelemahan ini begitu ketara, mengapakah Hadis dipegang oleh kebanyakan umat Islam selama 1,400 tahun lebih? Ini menunjukkan kebanyakan umat Islam tidak membaca dengan kritis, seperti yang diperintah oleh Tuhan dalam Quran. Mereka taksub kepada pemimpin, padahal pendewaan kepada pemimpin ini satu punca syirik. Saya ingat waktu saya berdialog dengan ABIM pada tahun 1986, salah seorang daripada jurucakap mereka Uthman Al-Muhammady berkata kepada saya (dalam bahasa Inggeris), “Kassim, you have gargantuan courage!” (“Kassim, awak terlalu berani!”). Saya berfikir lama selepas dialog itu mengapa beliau berkata demikian kepada saya. Akhirnya, saya membuat kesimpulan kerana saya berani mengkritik tokongnya, Imam Shafi’e!
            Biar saya membuat satu pengakuan di sini. Saya lahir di pedalaman di kalangan orang miskin. Maka itu saya memberontak terhadap keadaan status quo. Perhatikan sajak saya “Dialong” yang bait akhirnya berbunyi:-
/ada besok maka pasti ada suria/aku akan pergi/dengan seribu Jebat si anak tani/kian lama kita mati dalam setia/ kali ini kita hidup dalam durhaka/. (Tekanan ditambah)
            Jadi, saya kritis terhadap apa yang saya warisi dari nenek moyang – apa yang saya panggil “Islam baka”. Saya mencari Islam yang sebenar. Maka itu kaum Haman, puak birokrasi agama di zaman kita sekarang, munuduh saya kufur (Majlis Fatwa Terengganu) dan JAKIM menuduh saya “menghina Islam”.  Birokrat agama juga mengharamkan buku saya Hadis: Satu Penilaian Semula. Sekarang sampailah masanya mereka memohon ma’af kepada saya. Saya akan meminta Kerajaan mengarahkan institusi-institusi mereka yang terbabit supaya menarik balik semua tuduhan palsu mereka terhadap saya.  
            Kebali kepada tajuk kita. “Quran cukup bagi kami.”  Tuhan tidak lupa barang satu apa pun dalam kitab suci-Nya yang terakhir, iaitu Quran. Semua yang manusia perlu sebagai petunjuk, dalam bidang apa pun, terdapat dalam Quran. Para failasuf, ahli metamatik, para saintis, ahli fizik dan lain-lain, terdapat petunjuknya dalam Quran. Ini membuktikan bahawa Hadis tidak perlu. Malah percaya kepada Hadis membawa makna Quran tidak lengkap. Apa yang dinyatakan dalam Quran itu sebaliknya. Surah Al-Furqan (25), ayat 30-31 berbunya, “Rasul berkata, ‘Kaumku telah membelakangkan Quran ini!’ … “ Ayat ini sangat dahsyat. Tiada pentafir yang berani menyentuhnya, kecuali dengan memberi pengertian yang sunglap! Umpamanya, Abdullah Yusuf Ali menyatakan ia merujuk kepada kaum Quraisy yang tidak beriman! Saya lebih cenderung menyatakan memang kebanyakan orang Arab, seperti kebanyakan orang kita membelakangkan Quran untuk mengikut Hadis. Adat orang Melayu membungkus Quran dengan kain sutera, meletanya di atas alang; bila ada orang nazak, mereka menurunkan Quran itu untuk membaca Surah Ya Sin.
            Jadi, kesimpulannya kita kena kembali kepada Quran. “Inilah kitab yang kebal, panduan untuk mereka yang takut kepada Tuhan.” (2: 1)
           
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia, Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
           
           




[1] Aduan Muhammad kepada Tuhan yang masyhur itu berbunyi, “Tuanku, kaumku telah membelakangkan Quran ini.”  (Quran, 25: 30) Ini menunjukkan bahawa kitab yang beliau bawa itu Quran, bukan Quran dan Hadis. Banyak ayat Quran menyebut misi Nabi Muhammad hanya menyampaikan Quran, umapanya 3: 20; 5: 92, 99, dll. Quran disebut sebagai ‘hadis’ (7: 185; 12: 111, dll.).  Mereka yang mengadakan sebuah buku lain, selain Quran (68: 35: 38).
[2] Lihat Kassim Ahmad, Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran (Forum Iqra’ Pulau Pinang: 2002).
[3] Lihat Kassim Ahmad, Lihat Kassim Ahmad, Hadis: Satu Penilaian Semula (Media Intelek, Petaling Jaya: 1986).