Thursday, June 16, 2005

Mencari Islam Yang Relevan

REN28N:130205


MENCARI ISLAM YANG RELEVAN

Oleh: Kassim Ahmad
Kassim03@streamyx.com

Umat Islam di Malaysia sekarang dianjurkan supaya mendukung Islam Hadhari untuk menjadi maju dan gemilang. Kita semua tahu agama yang direda oleh Tuhan ialah Islam. Yang menjadi masalah kepada kita ialah: Islam yang mana? Islam yang kita warisi turun-temurun dari ajaran-ajaran ulama dalam kitab-kitab usuluddin, tafsir, hadis dan fikah, atau Islam seperti yang termaktub dalam Quran (yang semestinya kita tafsirkan semula mengikut keadaan kita sekarang)? Inilah masalah yang dihadapi oleh seluruh umat Islam, di Malaysia dan di seluruh dunia.

Mengapakah dalam masa seratus tahun yang lalu timbul pelbagai konsep Islam? ‘Islam liberal’, ‘Islam Kiri’ ‘Islam konservatif’ dan berbagai istilah lagi, termauk yang paling terkini ‘Islam Hadhari’. Perkembangan ini membuktikan bahawa umat Islam sudah tidak berpuas hati dengan cara hidup Islam yang lama dan sedang mencari suatu bentuk Islam yang relevan untuk zaman moden. Ini sepatutnya diakui oleh semua pihak, tetapi, malangnya, hakikatnya tidak begitu. Satu golongan yang berpengaruh dalam masyarakat Islam tidak membenarkan ijtihad dan tidak membenarkan reformasi. Kata mereka, segala-segalanya sudah diputuskan dalam kitab-kitab muktabar dan kita hanya harus melaksanakan ajaran-ajaran itu untuk mendapat kejayaan dan keredaan Tuhan. Tetapi, nyatalahlah kita tidak berjaya dan tidak mendapat keredaan Tuhan

Dalam keadaan kebuntuan ini, apa akan jadi? Sepatutnya, pemimpin dan cerdik-pandai kita yang lain berunding untuk memecahkan kebuntuan ini. Malangnya, selama lebih seratus tahun sejak Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani memulakan gerakan reformasi mereka, kita masih gagal memecahkan kebuntuan ini. Malah, realiti telah meninggalkan kita di belakang. Ini amat nyata apabila kaum penjajah baru Inggeris-Amerika dan sekutunya menyerang dan menakluk Afghanistan dan Iraq untuk mengajar kita bagaimana hendak hidup dalam tamadun moden. Mungkin mereka tidak akan berhenti di situ saja. Mereka akan menyerang Iran dan Syria pula, dan selepas itu, entah negara Islam yang mana pula yang akan mereka serang untuk memaksa kita mengikut mereka?

Sebenarnya ini semua telah diperingatkan oleh Tuhan kepada kita dalam Quran bahawa orang-orang Yahudi dan Kristen tidak akan berhenti membuat komplot terhadap kita sehingga kita mengikut agama mereka. (Lihat Quran, 2: 120; 34: 32-33 dan 3:118). Ini tidak bermakna kita harus memusuhi mereka semua, kerana di antara mereka ada orang yang beriman, dan kerana itu wujud kebaikan di dalam masyarakat-masyarakat Barat. Dengan orang-orang ini kita harus berhubung, berdialog dan bekerjasama untuk kebaikan manusia. Komplotan yang dimaksudkan itu merujuk kepada komplotan kaum penjajah Eropah yang telah dan ingin terus menjajah dunia Islam dan dunia seluruhnya. Komplotan ini nyata memunucak dalam masa lima belas thaun yang lalu selepas kejatuhan Kesatuan Rusia Soviet dan bermula dengan Perang Teluk Pertama.

Apa yang akan berlaku sekarang? Apa yang harus umat Islam buat? Sebenarnya, umat Islam sebagai suatu kuasa sudah tidak ada, kerana perpecahan kita terlalu teruk dan kita duduk di bawah taklukan dan “perlindungan” kaum penjajah A.S.-Inggeris. Namun demikian, kita tidak boleh putus asa. Kita memiliki sebuah kitab suci yang kebal, Quran, yang juga terbuka kepada seluruh dunia, termasuk rakyat Amerika. Sistem Liberal Eropah, yang menjadi ideologi sistem penjajahan Eropah selama kira-kira lima ratus tahun telah sampai kepada kemuncaknya dan sedang runtuh di A.S., di Eropah sendiri dan di seluruh dunia. Buktinya dapat dilihat di dua pusat penentangannya, iaitu di Iraq dan di A.S. sendiri. Penentangan terhadap sistem penjajahan baru yang zalim ini (namanya sekarang globalisasi), tidak terbatas kepada dua pusat ini, tetapi telah merebak ke seluruh dunia. Impian Francis Fukuyama, yang mencanangkan kemenangan sistem Liberal ini, apabila sistem Komunis tumbang pada 1989-90, telah pecah berkecai!

Sistem apakah yang akan menggantikan mereka? Di sinilah peranan Islam dan orang mukmin untuk mewujudkan sebuah sistem dunia yang aman dan adil. Islam ini tidak lain daripada Islam yang diturunkan kepada semua nabi dan rasul, termasuk Ibrahim, Musa, Isa dan nabi Muhammad, nabi terakhir yang melengkap dan menyempurnakan Islam itu dalam Quran. Kepada Islam Quran inilah yang harus kita balik.

Soalnya: apakah umat Islam bersedia untuk balik kepada ajaran Quran? Dari zaman Imam Shafie (mati 204 Hijrah/820 Masehi) dan para muhaddithin (kira-kira 170 hingga270 tahun selepas Nabi Muhammad wafat) hingga sekarang, kita telah terima dua buah buku panduan yang dianggap setaraf, iaitu Quran dan Hadis. Kita tahu bahawa agama Islam dilengkap da disempurnakan oleh Tuhan dengan turunnya ayat yang masyhur; “Pada hari ini Aku lengkapkan agamamu bagimu, Aku sempurnakan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku reda Islam sebagai agama bagi kamu.” (Quran, 5:3) dua puluh dua hari sebelum Nabi Muhammad wafat. Tetapi ajaran memegang kepada dua buah kitab telah menjadi darah daging kita yang susah hendak kita buang. Tetapi, jika kita benar-benar hendak bangun balik, kita mestilah meletakkan ajaran Quran di atas segala ajaran lain, sama ada ajaran Materialisme Liberal atau Materialisme Komunis ataupun Spiritualisme Teologi (dalam masyarakat Kristen kita panggil pemerintahan Paus; dalam Islam, pemerintahan Ulama).

Masanya sudah tiba bagi suatu ideologi yang menunjuk kepada jalan yang lurus muncul dalam dunia. Sistem lama sudah bobrok dan sedang runtuh di sekeliling kita. Sistem baru yang akan membawa dunia kepada keamanan, keselamatan dan keadilan yang sebenar sedang lahir. “Dialah yang mengirim rasul dengan dengan bimbingan dan agama yang benar supaya ia mengatasi agama-agama lain.” (Quran, 48:28)

Keganasan antarabangsa yang diheboh-hebohkan oleh A.S. dan yang, sejak A.S. diserang, hendak diperangi habis-habisan ialah suatu muslihat kaum penjajah baru untuk menutup kegaganasan sistem penjajahan baru itu sendiri serta menyelamatkannya. Tetapi sistem jahat ini tidak boleh diselamatkan lagi dan masanya sudah sampai untuk manusia menguburkannya dan melahirkan sebuah dunia yang baru.

Konsep Islam Hadhari suatu jalan melencong untuk memintas jalan kaum ortodoks yang selama ini menghalang ijtihad baru dan reformasi dalam Islam. Ini mungkin suatu strategi yang baik dalam keadaan tertentu, tetapi dalam keadaan dunia sekarang, ia memerlukan kita mendudkung prinsip kebenaran. Oleh kerana kepalsuannya maka ideologi Komunisme runtuh. Demikian juga ideologi Liberalisme. Yang akan bertahan selama-lamanya ialah kebenaran. Islam itulah kebenaran. Perkataan Tuhan itulah kebenaran.

Namun demikian, kita harus tahu ajaran Quran ada dua dimensi: dimensi sejarah dan dimensi abstrak atau universal. Prinsip-prinsip seperti kebebasan, kebenaran, kerahiman, persamaan dan keadilan prinsip-prinsip universal. Apabila prinsip-prinsip ini diterjemahkan ke dalam sesuatu realiti, maka mereka menjadi kongkrit dan mengambil bentuk sejarah yang mungkin berbeza dari suatu zaman ke suatu zaman dan dari suatu tempat ke suatu tempat. Oleh yang demikian, undang-undang berubah-ubah. Apa yang dianggap adil dan saksama dalam suatu zaman tidak dianggap adil dalam zaman lain. Dari segi inilah kita harus faham perkara-perkara seperti taraf dan kedudukan wanita, undang-undang faraid, undang-undang kesaksian dan hamba-abdi dalam Quran. Kita mesti ada suatu kaedah pemahaman yang saintifik. Tetapi Quran itu lengkap dan sempurna, dijaminkan oleh Pengarangnya Sendiri. Oleh itu, lebih baiklah kita berdepan dengan kebenaran itu daripada mengelaknya dan mengambil jalan lencongan yang mungkin tidak boleh membawa kejayaan.


*****

No comments: