Sunday, June 19, 2005

REN:140605


GERAKAN PEMBAHARUAN DALAM PAS?

Oleh: Kassim Ahmad
kassim@pc.jaring.my

Muktamar PAS yang baru lalu nampak semacam suatu titik perubahan yang besar dalam PAS, yang berkemungkinan membawanya menjadi lebih layak untuk mewakili dan memimpin bangsa kita pada awal abad ke-21 ini. Betulkah sangkaan ini?

Tidak syak lagi, pilihanraya umum pada 2000, yang memberi kemenangan besar kepada gabungan parti pembakangan Barisan Alternatif, khasnya kepada PAS dengan kejatuhan Terengganu kepadanya, membuktikan penolakan pengundi Melayu kepada UMNO. Semua orang tahu mengapa pengaruh UMNO merosot: keruntuhan semangat perjuangan disebabkan oleh peningkatan semangat materislisme di dalamnya dengan sedikit bantuan dari kes penyingkiran Anwar Ibrahim. Ramai pengundi yang mengundi PAS dalam pilihanraya umum itu mengundi demikian bukan kerana mereka suka kepada ideologi dan dasar PAS; mereka berbuat demikian sebagai protes kepada UMNO dan Barisan Nasional yang sudah kehilangan semangat perjuangan.

Abdullah Ahmad Badawi, pengganti Dr. Mahathir Mohamad, datang dengan suatu harapan baru dan rakyat Malaysia semua kaum secara spontan memberi peluang kepada beliau untuk mengotakan kata-katanya. Itulah yang menyebabkan kemenangan Barisan Nasional yang besar dalam pilihanraya umum 2004 sehingga Terengganu dapat balik ke tangan Barisan Nasional dan Kelantan sendiri nyaris-nyaris jatuh dari tangan PAS. Kekalahan ini nyata telah menimbulkan kesedaran yang meluas di kalangan anggota-anggota PAS dan kritik diri yang kita lihat dalam Muktamar ini. Hasil dari kesedaran dan kritik diri ini, kita lihat satu barisan pimpinan baru yang menggabung kedua-dua golongan ulama dan profesional. Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Presiden dan Timbalan Presidennya selepas Muktamar itu menjanjikan suatu perubahan yang besar dalam PAS. Apakah ini akan berlaku?

Dua faktor besar harus kita ambil kira. Persekitaran Islam di Malaysia ditafsir dan dikuasai oleh teologi ortodoks. Ia menghalang pertumbuhan dan perkembangan fikiran yang progresif dan revolusioner di kalangan orang Islam. Gabungan pimpinan PAS yang progresif dan revolusioner sewaktu Allahyarham Dr. Burhanuddin al-Hilmi dan Prof. Zulkifli Muahammad memimpin parti itu tidak dapat bertahan lama. Apa yang dikatakan gerakan kebangkitan semula Islam pada awal dekad ketujuh abad lalu, yang memuncak dengan apa yang dipanggil Revolusi Islam di Iran pada 1979, menaikkan Haji Abd. Hadi Awang dan sekutunya, dengan slogan “kepimpinan ulama” dan konsep “negara Islam”, dalam PAS. Inilah kemuncak pencapaian politik kaum ortodoks di Malaysia. Walaupun kita boleh melihat kegagalan kaum ortodoks ini di Iran lama sebelum itu, eksperimen PAS di Malaysia hancur berkecai dalam pilihanraya umum 2004, dua puluh lima tahun selepas Revolusi Islam Iran.

Hakikat bahawa Hj. Abdul Hadi sendiri dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa sanggup menghadapi keadaan kehancuran itu serta memulakan kerja mengubah-suai dan mengadaptasi PAS kepada realiti di Malaysia sekarang amatlah menggalakkan.

Faktor kedua ialah teologi ortodoks itu sendiri yang berpaksikan Quran, hadis, ijmak dan qias. Adakah teologi (dalam istilah politik, ideologi) ini kudus dan tidak boleh diubah-suai? Jika jawapannya “ya”, apa yang berlaku kepada ideologi Marx akan berlaku kepada teologi ortodoks: runtuh! Jawapan yang akan diberi oleh PAS kepada soalan ini akan kita lihat dalam masa terdekat.

Haji Abd. Hadi seolah-olah membayangkan jawapannya apabila beliau menyatakan PAS bukan sebuah parti teokrasi, “kerana Islam bukan satu teokrasi”. Kenyataan ini amat menarik, kerana ia benar dan bersalahan dengan fahaman kaum ortodoks. Kaum ortodoks ini kerap memetik apa yang kononnya kata-kata Nabi Muhammad bahawa “Ulama pewaris nabi.” Dari hadis inilah mereka dapat tunjangan kepada teori “kepimpinan ulama”, yang sebenarnya datang dari amalan umat Kristian dalam Zaman Pertengahan Eropah.

Kata-kata Presiden PAS itu memang akan diterima baik oleh kebanyakan rakyat Malaysia, tetapi PAS tanpa “kepimpinan ulama” akan menjadikannya sebuah parti “sekular”, seperti UMNO dan parti-parti politik lain di Malaysia. Apakah ini akan diterima oleh kaum ortodoks yang masih besar pengaruhnya di Malaysia? Saya tidak mengatakan perubahan ini tidak boleh berlaku dalam PAS. Malah saya berharap ia akan berlaku untuk kebaikan PAS sendiri, umat Islam di Malaysia dan untuk seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Semangat Islam itu sendiri meletakkan kehidupan di dunia (kehidupan “sekular”) pada taraf yang tinggi. Ia bersifat demokratik dan humanis dan tidak teokratik dan elitis. Namun demikian, moraliti yang didukung oleh Islam itu penting sebagai mentakrifkan ekonomi-politik yang dianjurkan oleh Islam. Inilah tarikan ideologi PAS dulu. Tetapi moraliti yang tidak diisikan kehidupan praktikal ialah morality kosong yang tidak ada makna. Ia menjadi ritual semata-mata. Kita mahu membangunkan sebuah negara dan masyarakat Malaysia yang adil.

Keterbukaan dan kesediaan yang diperlihatkan oleh pimpinan baru untuk berdialog dan mencari titik pertemuan dengan UMNO itu baik, bukan saja dari segi perpaduan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia, tetapi lebih-lebih lagi dari segi mencari kebaikan bagi negara dan bangsa kita, mencari jalan yang lurus di antara jalan-jalan yang menyeleweng dalam dunia yang penuh kacau-bilau sekarang.

Dunia sekarang berada di suatu persimpangan jalan yang amat penting. Keruntuhan sistem-sistem politik yang maujud, komunisme, liberalisme dan teokrasi agama, membuka jalan bagi “jalan yang lurus” atau “jalan pertengahan”, cahaya yang bukan dari Timur atau Barat, dalam frasa Quran. Kita harus meneroka jalan ini, kerana di sinilah keselamatan dan kebahagian kita berada. UMNO, PAS dan parti-parti lain yang cintakan Malaysia mesti mencari jalan ini.

Pelawaan Hj. Abdul Hadi kepada Anwar Ibrahim untuk mengepalai Pembangkang nampak satu kejanggalan. Keterbukaan dan pragmatisme PAS yang baru mesti ada sempadan moralitinya. Pragmatisme tanpa moraliti tidak akan membawa kejayaan, malah akan menghancurkan negara kita di tangan kaum imperislis A.S. dan sekutunya, seperti yang sedang kita lihat di beberapa negara Islam lain.

No comments: