Wednesday, March 08, 2006

KITA PERLUKAN SATU TEORI SASTERA YANG PROGRESIF*

Kassim Ahmad
*Jernal Antropologi & Sosiologi, Bil. 1, 1972-723 Persatuan Kajimanusia & Kajimasyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia; h. 23-33.

[Petikan terakhir dalam empat]

Sekali lalu, konsep humanisme universal ini sangat menarik, kerana luasnya dan humanisnya, tetapi apabila kita memeriksa unsur-unsurnya, nyatalah humanisme universal adalah satu filasafah yang amat reaksioner. Bertopengkan kemanusiaan, ia menyamakan golongan tertindas dengan golongan penindas, menidakkan adanya penindasan di dalam masyarakat manusia dan menidakkan adanya baik dan jahat. Mengikut Idrus, masalah-masalah masyarakat terbatas kepada masalah-masalah individu. Kalau terdapat penindasan dan kemiskinan, maka kaum-kaum buruh dan tani patut menyalahkan diri mereka sendiri dan bukan kaum-kaum kapitalis dan feudal. Inilah falasafah oportunis kaum penindas guna hendak menutup penindasan mereka dan menekan rakyat dari bangun menentang penindasan itu. Idrus cuba hendak mengelirukan pembaca-pembacanya dengan memuji Maxim Gorki dan Tolstoy sebagai penulis-penulis realis anti-penindasan yang besar, tetapi sebaliknya Idrus tidak mahu adanya penulis-penulis seperti itu di negeri kita!

Konsep ‘seni untuk seni’, walaupun ia menjelma dalam bentuk humamisme universal atau ‘seni untuk manusia’, adalah konsep yang idealis, reaksioner dan salah, dan ia adalah alat kaum penindas untuk memesongkan kesusasteraan dari menyempurnakan rolnya sebagai cermin masyarakat yang betul. Pengkritik-pengkritik sastera kita yang progresif baruslah memahami rol faham humanisme universal untuk mengelirukan penulis-penulis muda kita yang sedang mencari pegangan, dan harus menelanjanginya supaya wajahnya yang buruk itu dapat dilihat oleh semua.

Bagi saya, tidak ada keberatan kalau penulis-penulis kita mempunyai pendapat yang berbeza-beza walaupun dalam masalah-masalah sastera yang pokok. Akan tetapi, kita haruslah cuba menyelesaikan perbezaan-perbezaan di antara kita dengan jalan diskusi dan polemik yang terbuka, yang sihat, berdasarkan fakta dan bahasan yang berprinsip dan rasional dan bertujuan hendak mencapai jawapan dan perpaduan. Sikap-sikap dogmatik, individualis dan subjektif dalam menghadapi masalah-masalah kita dan cara berkomplot untuk mengatasi lawan kita adalah sikap-sikap dan cara yang salah dan yang patut kita atasi sekiranya kita ingin perpaduan di kalangan penulis-penulis dan pertumbuhan kesusasteraan yang subur dan tinggi mutunya.

Tentang masalah tema, gaya, teknik dan sebagainya, tidaklah patut diadakan sekatan-sekatan yang mengongkong. Setelah kita sedar dan faham bahawa kesusasteraan adalah cermin masyarakat, bahawa keindahan seni tidak dapat dipisahkan dari isi sosialnya, dan kesusasteraan mempunyai peranan yang vital dalam evolusi kehidupan rakyat kita dan manusia seluruhnya, soal-soal ini dapat diselesaikan secara bebas dan luas di dalam kerangka prinsip-prinsip tersebut. Tema kesusasteraan kita, umpamanya, tidak ada batasnya. Kita boleh menulis tentang kehidupan kaum feudal atau kaum tani, kaum buruh atau kaum kapitalis, golongan intelektual atau golongan seniman – tetapi yang paling baik ialah sebuah gambaran yang komplit meliputi kehidupan semua kelas dan golongan. Tentang gayanya pula, tentulah yang baik itu gaya yang realis: realisma yang progresif dan mendalam dan bukan yang reaksioner dan cetek seperti gaya naturalis, realisma yang menunjukkan baik dari yang buruk. Gaya ini dapat dinamakan gaya realisme kritikal, yakni memberi satu gambaran sosial seadanya tetapi dengan megemukakan kritik dalam gambaran itu. Bagi penulis-penulis yang telah menerima faham sosialis, bolehlah mereka menggunakan gaya realisma sosialis, yakni menggambarkan gejala-gejala sosial dari pandangan sosialis dan menunjukkan perkembangan masyarakat ke arah revolusi yang akan melahirkan sistem sosialis. Soal-soal bahasa, teknik dan lain-lain ialah soal kecil yang tidak perlu saya sentuh di sini.

Dalam pertumbuhan kesusasteraan, ada dua pihak: penulis dan pembaca. Keduanya saling pengaruh mempengaruhi. Pihak pembaca mempunyai seorang wakil yang mengemukakan pendapat-pendapatnya tentang sesuatu karya sebagai kritikan dan pujian kepada penulis dan juga sebagai huraian kepada pembaca sendiri. Wakil ini, pengkritik sastera, mempunyai peranan yang besar dalam pertumbuhan sesebuah kesusasteraan. Tanggungjawabnya bukan saja menilai karya-karya sastera dan mentafsirkan karya-karya itu untuk pembaca-pembaca umum, tetapi juga membantu perkembangan sesebuah kesusasteraan dengan nilainya dan tafsirannya yang saksama, jujur dan betul.

Dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden peranan pengkritik-pengkritik kita tidak banyak memberi menafaat sama ada kepada penulis-penulis kita atau kepada kesusasteraan moden kita. Hal ini berlaku kerana masih ada beberapa soal pokok yang belum begitu jelas kepada mereka. Soal-soal seperti: Apakah tugas pengkritik? Bagaimanakah cara mengkritik? Apa yang harus dipuji dan apa yang harus dikritik? Ada baiknya kita adakan diskusi dan polemik tentang masalah-masalah ini supaya dapat kita rumuskan satu panduan kasar yang sesuai untuk kritik sastera kita. Pada pandangan saya, ramai pengkritik kita terlalu menumpukan perhatian mereka kepada soal-soal kecil atau apa yang dikatakan soal-soal estetika, seperti soal bahasa, susunan pelot, suasana cerita dan sebagainya. Soal gambaran sosial yang dikemukakan di dalam sesuatu karya – samada gambaran ini realistik dan objektif atau tidak – sama sekali dilupakan. Dengan demikian, kritikan sastera kita menjadi sempit – terbatas kepada soal-soal teknikal dan apa yang dikatakan soal-soal psikologi. Aliran kritikan sastera seperti ini tidak mungkin menyuburkan kesusasteraan kita oleh kerana ia menggalakkan pemisahan kesempurnaan seni dari isi sosial sesebuah karya dan pemisahan kesusasteraan dari kehidupan.

Hari ini hampir 20 tahun telah berlalu semenjak pembaharuan dalam kesusasteraan kita mula dilancarkan oleh Asas ’50. Dari kira-kira tahun 1948 hingga tahun 1956 kita telah menyaksikan satu letupan daya penciptaan di kalangan penulis-penulis kita. Cerpen dan sajak dan kritikan sastera begitu banyak dihasilkan. Kemudian antara tahun-tahun 1957 dengan 1962 kita mengalami satu period yang agak lengang. Sekarang kegiatan itu nampaknya telah pulih semula. Bilangan penerbit telah bertambah. Banyak novel baru dan kumpulan cerpen telah terbit. Beberapa orang penulis muda yang menunjukkan bakat dalam lapangan sajak dan kewartawanan telah timbul. Yang kurang dalam gerakan sekarang ialah satu pegangan yang sesuai bagi penulis-penulis kita semuanya. Tanpa pegangan bererti penulis-penulis muda kita akan berkembang secara spontan mengikut angina mana yang kuat. Keadaan seperti ini akan lebih banyak merugikan daripada menguntungkan perkembangan kesusasteraan kita.

Dalam ceramah ini, saya telah cuba mengembalikan perhatian penulis-penulis kita kepada beberapa hal pokok. Hal-hal pokok itu ialah:- 1) bahawa seni dan sastera cermin masyarakat 2) bahawa sastera tidak dapat dipisahkan dari kehidupan 3) bahawa sastera mempunyai peranan yang positif dalam evolusi kehidupan dan keperibadian manusia 4) bahawa pengkritik sastera tidak harus memisahkan konsepsi kesempurnaan seni dari isi sosial sebuah karya seni, dan 5) bahawa penulis-penulis kita harus menggambarkan kehidupan sosial secara realistik dalam karya-karya mereka. Saya rasa penulis-penulis dan pengkritik-pengkritik kita harus membaharukan pengakuan mereka terhadap prinsip-prinsip ini.

No comments: