Sunday, March 05, 2006

PERBINCANGAN TENTANG ISLAM DALAM ABAD KE-21

Oleh: Kassim Ahmad
25 Februari, 2006

[Second of Two Parts]

Di dalam zaman Islam awal, dalam masa tiga ratus tahun yang pertama, berlaku perkembangan intelektuil yang segar dan sihat dalam masyarakat Islam. Tepai apabila doktrin perundanagan Islam yang diciptakan oleh Imam Shafi’e dan teologi Asya’ari -- kedua-duanya bersifat konservatif dan menyongkong -- dipaksakan ke atas masyarakat Islam dari kira-kira abad ke-9 dan ke-10, maka lama-kelamaan fikiran kreatif masyarakat Islam mati dan kemajuan masyarakt Islam terbantut, dipenjarakan dalam penjara ilmu yang terbatas dan jumud.

Inilah masalah umat Islam sewaktu mereka melangkah masuk ke Abad Ke-21. Mereka terpenjara dalam ilmu-ilmu “Islam” (fikah, teologi, hadis, tafsir) yang jumud dan mereka terperangkap dalam ilmu-ilmu dunia (politik, ekonomi, pendidikan dan sains) yang dihasilkan oleh tamadun Kristen-Yahudi moden yang telah menyeleweng dari landasan-landasan kebenaran dan keadilan.

Penulis berasa amat gembira bahawa dalam perbincangan itu Prof Abdelmajid menyebut tentang kegagalan gerakan pembaharuan Sheikh Muhammad Abduh pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, kerana gerakan ini, walaupun ia dengan benarnya menolak taqlid dan mazhab dan menganjurkan pembukaan semula pintu ijtihad serta pengasimilasian tamadun Barat, ia mengabaikan tugasnya mengkritik dan membebaskan umat Islam dari kesilapan metodologi perundangan Imam Shafi’e. Rumusan Imam Sahfi’e meletakkan Hadis/Sunnah separas dengan Quran ialah punca jalan buntu bagi perkembangan perundangan dan pemikiran Islam selepas itu. Oleh kerana kritikan ini sangat penting dilakukan, marilah kita memetik kata-kata Imam Shafi’e dari bukunya, Al-Risalah, yang menjadi punca kepada kesilapan ini.

Jadi, Tuhan menyebut kitab-Nya, yakni al-Quran, dan hikmah, dan saya telah mendengar daripada mereka yang mahir dalam Quran – mereka yang saya persetujui – menyatakan bahawa hikmah itu ialah sunnah Rasulullah. Ini samalah seperti perkataan [Tuhan sendiri]; tetapi Tuhan lebih mengetahui! Kerana Quran disebut, dikuti dengan Hikmah, kemudian Tuhan menyatakan nikmat-Nya kepada manusia dengan mengajarkan Quran dengan hikmah. Jadi, tidak mungkin hikmah dikatakan apa-apa selain daripada sunnah Rasulullah … (Tekanan ditambah.)

Perhatikan bahawa Imam Shafi’e, dalam ayat itu, melompat dari petikan pendapat orang, (yang beliau sifatkan sebagai pakar, tetapi tidak menyebut nama mereka yang beliau persetujui,) kepada penegasan bahawa pendapat itu benar – lompatan dari pendapat yang boleh dipertikai kepada kepastian yang tidak boleh dipertikai. Ini penghujahan yang tidak saintifik dan tidak boleh diterima dalam wacana ilmiah.

Hujah Imam Shafi’e bahawa perkataan ‘hikmah’ dalam Quran merujuk kepada sunnah Nabi Muhammad, apabila dikaji dengan teliti, tertolak. Dengan kita membandingkan semua perkatan ‘hikmah’ yang digunakan dalam Quran, kita dapati dengan nyata bahawa perkataan itu merujuk kepada Quran atau ajaran-ajaran Quran. Perhatikan contoh-contoh ini:-

Inilah wahyu-wahyu dan perutusan hakim yang Kami bacakan kepadamu. (3: 58)

Y. S. ; dan Quran ini penuh dengan hikmah. (36: 1-2)

H. M. dan kitab yang nyata ini. Kami telah menjadikannya bacaan dalam bahasa Arab supaya kamu boleh faham. Ia tercatat dalam simpanan Kami dalam catatan induk, mulia dan penuh hikmah. (43: 1-4)

Hikmah agung, tetapi amaran-amaran nampaknya tidak berkesan. (54: 5)

Kita sedar Tuhan menyatakan bahawa Nabi Muhammad suatu contoh yang baik untuk diikut oleh kita. Tetapi contoh ini merujuk kepada pegangan beliau yang kukuh kepada Tuhan dan kepada perjuangan beliau untuk melaksanakan misi beliau, bukan kepada setiap gerak-geri beliau, yang bergantung kepada faktor-faktor budaya Arab dan juga kecenderungan peribadi beliau sendiri. Ini jelas, kerana Tuhan juga menyebut Nabi Ibrahim sebagai contoh baik kepada kita.

Hadis atau sunnah Nabi yang dibukukan kemudian setelah muncul pengumpul-pengumpul Hadis, seperti Bukhari (m. 870), Muslim (m. 875) dan lain-lain, termasuklah adat-resam, kepercayaan dan budaya yang terdapat dalam kawasan budaya Mediterranean, yang meliputi kawasan-kawasan Mesopotamia, Babylon, Palestin, Mesir, Semenanjung Arab, Yunan, Itali, Sepanyol dan Perancis. Sebab itu kita dapati Hadis banyak mengandungi ajaran-ajaran yang tidak terdapat dalam Quran, seperti hukum merejam penzina hingga mati, hukum membunuh orang murtad dan cerita-cerita tentang kedatangan Nabi Isa kali kedua, kemunculan Imam Mahdi untuk membunuh Dajjal dan mentadbirkan dunia dengan adil, dan banyak lagi.

Seperkara yang perlu kita perhatikan ialah keuniversalan dan kepraktikalan ajaran-ajaran Quran. Sifat keuniversalan ajaran Quran membolehkan kita mengubah undang-undang dan institusi-institusi kita mengikut perkembangan zaman. Kepraktikalan ajaran-ajaran Quran dengan sifat keanjalannya membebaskan kita dari bentuk-bentuk yang boleh mengongkong kekreatifan kita. Dua sifat ini menyebabkan Quran menjadi sebuah kitab panduan yang sangat cantik bagi semua bangsa pada semua zaman, dan pada masa yang sama, menjaminkan penganut-pengatutnya senantiasa berada pada landasan-landasan yang benar dan adil, dalam istilah Quran, pada jalan yang lurus, sirat’ul-mustaqim. Malangnya, dua sifat yang penting sudah tidak ada pada “Islam” sekarang dengan teologi dan kaedah perundangan yang tertutup yang dirumuskan dalam abad-abad kesembilan dan kesepuluh.

Kita sudah menyebut pandangan Prof. Abdelmajid yang menyatakan bahawa gerakan reformis atau pembaharuan yang dibawa oleh Jamlaluddin Al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 telah gagal kerana tidak memberi perhatian kepada kesilapan metodologi perundangan ini. Dengan meletakkan Hadis/ Sunnah setaraf dengan Quran, malah kadang-kadang mengatasi Quran, metodologi ini membekukan syaria’h dan kekreatifan fikiran Islam. Jalan keluar dari dilema ini ialah dengan kita berbalik kepada prinsip-prinsip perundangan dan ketaatan yang telah digariskan dalam Quran. Perhatikan ayat yang bersangkutan:-

Hai orang yang beriman, hendakhlah kamu ta’ati Allah dan hendakalah kamu ta’ati rasul, dan mereka yang berkuasa di antara kamu. Jika kamu berbalah tentang sesuatu perkara, hendaklah kamu rujuk kepada Allah dan rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Ini lebih baik bagi kamu dan memberikan kamu penyelesaian yang paling baik. (4: 59)

Ayat ini dengan padat memberikan kita dua prinsip perundangan dan dua prinsip ketaatan. Prinsip pertama menghendaki kita taat kepada perintah Allah dan rasul. Ini prinsip utama. Prinsip kedua menghendaki kita taat kepada perintah pihak berkuasa atau pemerintah. Perintah Allah dan rasul merujuk kepada Quran, kerana Allah menyampaikan perintahnya kepada manusia melalui rasulnya dan dalam Zaman Muhammad perintah itu terkandung dalam Quran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Prinsip kedua merujuk kepada undang-undang tambahan yang digubal oleh pemerintah untuk melaksanakan kewajipannya sebagai pemerintah, dan undang-undang tambahan ini dengan sendirinya tidak boleh bercanggah dengan perintah Tuhan dalam Quran.

Metodologi perundangan ini sangat jelas dan memberi ruang yang luas kepada kita untuk menggubal dan mengubah undang-undang mengikut kehendak dan keperluan masyarakat. Metodologi usul-fikh Shafi’e(Quran, Hadis/Sunnah, Ijmak dan Qias) boleh dipadankan dengan metodologi Quran di atas dengan meletakkan tajuk-tajuk kedua, ketiga dan keempat dibawah undang-undang tambahan yang berhak dibuat oleh pemerintah. Sementara Quran terletak di bawah kuasa Allah dan rasul, Hadis/Sunnah, Ijmak dan Qias, termasuk ijtihad, terletak di bawah kuasa pemerintah, dengan pengertian bahawa kuasa ini tidak boleh mengatasi kuasa Allah dan rasul.

Metodologi ini akan membolehkan kita membuat reformasi dalam undang-undang syari’ah dan juga dalam teologi Islam yang akan melayakkan umat Islam memainkan peranan mereka yang dalam dunia kontemporer di samping mengekal dan mempertahankan identiti mereka sebagai orang muslim dan mukmin yang berpegang teguh kepada agama tauhid yang mereka warisi dari Nabi Ibrahim, seperti yang termaktub dalam ayat-ayat ini:-

Katakanlah, ‘Tuhan telah mengisytiharkan yang benar bahawa kamu mengikut agama Ibrahim – agama tauhid. Dia tidak pernah menyembah berhala.’ (3: 95)

Jika kamu melihat Ya’kob bila dia hampir maut, dia berkata kepada anak-anaknya, ‘Apa yang akan kamu sembah setelah saya mati?’ Mereka jawab: ‘Kami akan
menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek-moyangmu Ibrahim, Ismail dan Ishak, Tuhan
Yang Esa. Kepada-Nya kami muslim.’ (2: 133)

Agama Islam yang direda oleh Tuhan itu satu, dari zaman Nabi Ibrahim, apabila ibadah-ibadah agama mula diperkenalkan hingga ke zaman Nabi Muhammad. Tetapi undang-undangnya berubah-ubah, mengikut zaman dan tempat, dan ilmu juga berkembang. Yang tidak berubah itu pegangan tauhid beriman kepada Tuhan Yang Esa dan ikrar untuk berbuat baik dan bertanggungjawab di atas perbuatan kita kepada Tuhan, seperti yang terbukti dalam ayat ini:-

Sesungguhnya, mereka yang beriman -- sama ada orang Yahudi, atau Kristen, atau Sab’in – sesiapa yang beriman kepada Tuhan dan kepada Hari Kemudian dan berbuat
baik akan menerima balasan dari Tuan mereka. Mereka tidak perlu takut atau bimbang.
(2: 62)

Di negara kita, usaha reformasi agama ini telah berjalan lama di bawah pimpinan tokoh-tokoh reformis Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir dan lain-lain dan usaha-usaha Kerjaan di bawah dasar-dasar “Pandang ke Timur”, memupuk nilai-nilai Islam atau nilai-nilai murni dan konsep “Islam Hadhari”, tetapi hasil-hasilnya tidak seperti yang diharap-harapkan. Ini kerana kita telah memberi kuasa tentang agama kepada suatu kelas ulama yang ortodoks yang tidak boleh menerima perubahan-perubahan ini. Malah setelah “Revolusi Islam” Iran, suatu “kebangkitan semula” Islam yang menekankan pelaksanaan syari’ah tradisional telah melanda Malaysia dan negara-negara Islam lain. Melihat kepada kejadian-kejadian yang berlaku, seperti penolakan cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Antara-agama sebagai sebuah forum untuk menggalakkan dialog antara agama di peringkat kebangsaan, kekeliruan dalm kes mayat pendaki Mt. Everest M.Murthy dan kekecohan besar dalam kes kartun Nabi Muhammad, banyak masalah tidak dapat diselesaikan selagi tembok kejumudan dalam perundangan dan teologi “Islam” tidak diatasi dari segi akar umbinya.

Diharapkan bahawa cerdik-pandai dan kepimpinan Islam yang berfikiran jauh dan terbuka akan segera bergabung tenaga untu menyelesaikan kebuntuan yang dihadapi oleh umat Islam demi masa depan mereka sendiri dan masa depan dunia.


*****
4) Lihat Majid Khaduri (pent.) Islamic Jurisprudence – Shafi’I’s Risala, John Hopkins Press, Baltimore, 1961; hl. 11.

5) Di dalam buku nya, Al-Risala, Shafi’e mendakwa sebua sunnah tidak boleh diatasi oleh Quran, kecuali ada sebuah sunnah lain yang memansukhkan sunnah itu. Lihat hal. 184-85.

6) Dikatakan bahawa larangan menggambarkan Nabi Muhamad bertujuan untuk mengelak pendewaan terhadap beliau, tetapi hal ini tidak terbukti. Malah tunjuk-tunjuk perasaan yang telah berlaku itu menunukkan sebaliknya. Walau bagaimanapun, tidak ada ayat Quran yang melarang penggambaran Nabi Muhammad atau penggambaran manusia atau binatang: yang dilarang penyembahan terhadap gambar itu . Larangan membuat gambar secara umum terdapat dalam kitab Taurat. Lihat Exodus, 20: 4. .

No comments: