Wednesday, June 10, 2009

CADANGAN KERAJAAN PERPADUAN OLEH PRESIDEN PAS

Oleh: Kassim Ahmad

10 Jun, 2009.


Cetusan idea oleh Hj. Abd. Hadi Awang, Presiden PAS, baru-baru ini tentang penuhuan sebuah ‘Kerajaan Perpaduan’ bagi menangani masalah-masalah nasional yang mencabar, seperti kesan kemerosotan ekonomi global kepada negara, krisis politik di Negeri Perak dan peningkatan jenayah dan gejala sosial negatif dalam negeri telah menjemput reaksi berbagai-bagai, positif dan negatif dari kalangan-kalangan politik, akademik dan badan-badan bukan-Kerajaan. Beberapa orang pemimpin UMNO, termasuk Presidennya, memberi reaksi berminat, sedangkan satu puak dalam PAS sendiri, termasuk Mursyidul-Amnya (Dato’ Nik Abdul Aziz) menolak.

Istilah ‘kerajaan perpaduan’ perlu ditakrif dan dihuraikan terlebih dulu. Dalam sistem pemerintahan dwi-parti di Britain, semasa Perang Dunia Kedua, pemimpin Parti Konservatifnya Winston Churchille mewujudkan kerajaan campuran dengan Parti Buruh. Dalam sistem jamak parti di Eropah Barat, kerapkali kerajaan campuran dari pelbagai parti terpaksa dibentuk oleh kerana tiada satu parti yang cukup kuat untuk mendirikan kerajaan. Biasanya kerjaan campuran seperti ini sangat lemah, kerana ketiadaan suatu falsafah politik nasional yang dikongsi bersama oleh parti-parti itu. Kerajaan-kerajaan campuran seperti ini tidak stabil dan tidak kekal lama.

Konsep dwi-parti Kerajaan/Pembangkang hasil perkembangan sejarah di Europah. Satu daripada tujuan pokok konsep ini untuk mengdakan sekatan dan imbangan (check and balance) dalam sistem pemerintahan. Harus diingat bahawa sejarah Eropah ialah sejarah negara-negara kolonial dan imperialis (Sepanyol, Portugal, Belanda, Inggeris, Perancis, Itali dan Amerika Syarikat). Mereka menjajah negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Latin, khasnya negara-negara Islam. Mereka penjajah; negara-negara Asia, khasnya negara-negara Islam kena jajah. Jadi, amatlah wajar kita mempersoalkan konsep dwi-part Kerajaan/Pembangkang yang kita tiru dari Westminster.

Kita tidak menolak secara total kaedah sekatan dan imbangan sistem dwi-parti ini. Kaedah sekatan dan imbangan sebenarnya satu kaedah yang natural, semula jadi. Namun demikian, ia hanya satu daripada pelbagai kaedah yang wujud untuk kita pilih. Kita boleh istilahkan kaedah dwi-parti atau jamak-parti ini sebagai kaedah berlawan atau bermusuhan. Ingat apabila Adam dinyahkan oleh Tuhan ke Bumi, mereka (manusia) dinyahakan sebagai musuh antara satu sama lain. Dari ajaran inilah ahli falsafah Inggeris Thomas Hobbes (1588-1679) merusmuskan teori Leviathannya bahawa masyarakat manusia ialah “peperangan seorang melawan semua”. Kaedah ini nyatalah dipakai oleh manusia yang masih tertambat dengan kejiwaan kehaiwanan. Manusia muncul dari perut haiwan.

Dari alam kehaiwanan kita harus meningkat ke alam yang lebih tinggi, kemanusiaan dan seterusnya kemalaikatan. Kaedah yang lebih tinggi daripada bermusuhan tadi ialah kaedah perpaduan dan muafakat. Lihat contoh pemerintahan Nabi Muhammad dan empat Khalifah Al-Rasyidun. Tidak ada dwi-parti atau jamak-parti pada masa itu. Teguran dan kritikan dibuat dari dalam masyarakat politik itu, dan tidak dari luar, yang menunjukkan perpecahan.

Mari kita kaji dari segi kelogikan dua kaedah ini. Tuhan memberikan kita dua tangan. Logiklah kita menggunakan kedua-dua tangan untuk mencapai tujuan kita. Kalau kita memakai satu tangan saja, ia bermakna kita tidak memaksimumkan penggunaan kebolehan yang ada pada kita. Pencapaian kita terbatas.

Kita mahu suatu kerjaan perpaduan yang boleh membuat teguran dan kritikan dari dalam untuk menghindar pelbagai bentuk penyelewengan, seperti pembaziran, rasuah, kediktatoran, ketidak-adilan dan sebagainya. Nyatalah negara-negara Islam pasca zaman penjajahan telah gagal membentuk sebuah sistem pemerintahan yang baik. Mesir dengan revolusi nasionalnya di bawah Gamal Abdul Nasir gagal; begitu juga dengan Libya di bawah revolusi ‘Buku Hijau’ Muammar Gadaffi; begitu juga dengan revolusi Parti Ba’ath Iraq di bawah pimpinan Ahmad Hassan Abu Bakr dan Saddam Hussein gagal. Sebelum ini, Arab Saudi telah bersekongkol dengan Inggeris dan dengan membawa mazhab Wahabi ke negara itu juga gagal membentuk sebuah pemerintahan berdasarkan kaedah ini. Demikian juga Iran gagal dengan pemerintahan teokrasinya di bawah pimpinan ulama setelah apa yang dipanggil revolusi Islam Iran dan kejatuhan Raja Shah Pahlavi.

Turki yang melaksanakan revolusi nasionalnya pada 1923 serta melancarkan gerakan modenisasinya untuk menjadi sebuah negara Islam di antara yang termaju; walaupun sekarang ditadbirkan oleh sebuah parti yang berorientasikan Islam, Turki masih terikat dengan sistem pemerintahan Eropah.

Ini satu cabaran besar bagi kita sekarang. Bolehlak kita menyambut cabaran ini serta merumuskan sebuah teori pemerintahan baru lebih baik dari teori Barat yang kita pakai sekarang? Teori baru ini memerlukan kita merumuskan sebuah falsafah politik kebangsaan yang boleh kita kongsi bersama. Falsafah politik kebangsaan ini perlulah mencakupi prinsip-prinsip kebangsaan Melayu Malaysia, pemerintahan yang adil dan demokratik berdasarkan perundingan, dan kemanusiaan sejagat atau universalisme. Falsafah politik kebangsaan ini boleh mengandungi aliran-aliran ideologi yang pelbagai, dengan syarat ia dapat menunaikan kehendak-kehendak pokok negara-bangsa Malaysia, iaitu faham kebangsaan Melayu-Malaysia, pemerintahan yang adil dan demokratik, pembinaan sebuah negara-bangsa yang moden dan maju, dan faham internasionalisme.



Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com Laman web beliau