Sunday, August 27, 2006

“KEINDAHAN ITU KEBENARAN DAN KEBENARAN ITU KEINDAHAN”
IDEAL DAN REALITI: TAFKUR 50 TAHUN MERDEKA

Oleh: Kassim Ahmad
25 Ogos, 2006

Kata-kata dari pujangga Inggeris, John Keats, yang kita petik di atas, bertujuan untuk menunjukkan kepada kita suatu hakikat yang hari ini kebanyakan kita lupa. Kita terlalu materialistik hingga kita lupa akan kewujudan alam-alam moral dan spiritual yang lebih kekal dari alam materialistik. Kita tidak punya akal lain kecuali menggunakan kuasa atau kekerasan untuk mempertahankan apa yang kita anggap kebenaran. Malah, mungkin apa yang ingin kita pertahankan dengan kuasa itu tidak pun bersifat kebenaran. Ia hanya suatu warisan dari nenek moyang kita – “Islam” seperti yang kita amalkan hari ini, “Islam Baka”, kata orang.

Kita orang Islam patut bersyukur kepada Tuhan, jika kita masih beragama Islam, kerana Islam ialah agama yang direda oleh Tuhan (Quran, 3: 19), Agama Kebenaran (Quran, 48: 28) dan Agama Allah (Quran, 110: 2). Kita mahu melihat agama in mengatasi agama-agama palsu yang lain. Tetapi sebelum Islam dapat mengatasi agama-agama lain dalam dunia global moden yang canggih ini, ia mesti boleh menahan ujian-ujian intelektual dari agama-agama lain, malah ia boleh mengalahkan hujah-hujah agama-agama lain.

Anehnya, kita tidak sanggup berbuat demikian, kerana kita tidak punyai hujah untuk menjawab banyak soalan. Kita mencari perlindungan di sebalik undang-undang (yakni menggunakan kuasa negara) untuk menghalang pendakwah agama-agama lain daripada berdakwah kepada masyarakat Islam. Sebaliknya, kita mahu berdakwah kepada orang-orang bukan Islam untuk mengajak mereka menganut agama Islam.

Adakah sikap dan perbuatan ini adil? Adakah ia adil kepada kita dan kepada orang-orang bukan Islam? Bagaimana kita boleh menjadi adil kepada orang lain kalau kita tidak boleh berlaku adil kepada diri kita sendiri?

Atas alasan keharmonian awam, kita juga menghalang perbincangan isu-isu “sensitif” yang bersifat keagamaan ini. Isu-isu Lina Joy, Murthy dan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama dan sikap-sikap masyarakat, termasuk sikap pemimpin-pemimpin Islam sendiri, membuat masyarakat menjadi tegang. Kita pun tidak punyai jalan keluar yang baik dari perangkap “isu sensitif” yang kita pasang sendiri!

Memang Keats seorang pujangga. Pujangga dan ahli falsafah bercakap terus dari hati dan jiwa puitis atau intelektual dan rasionalis mereka tanpa mengira keadaan realiti masyarakat. Ahli politik mesti mengambil kira keadaan semasa. Kedua-dua kenyataan ini memang betul. Tetapi ahli-ahli politik gemar mengambil jalan mudah. Mereka lupa peranan mereka sebagai pemimpin (konsep “khalifah” dalam Quran) yang mesti mendidik msyarakat kepada keadilan dan kebenaran yang diutamakan oleh ahli falsafah dan pujangga. Pada akhirnya, sikap dan pendirian pujangga dan ahli falsafah itulah yang sebenarnya betul, betul dari segi jangka panjang.

Cuba kita ingat kembali apa yang telah berlaku dalam masyarakat kita dalam masa setahun yang lalu, sejak cadangan penubuhan badan Suruhanjaya Antara Agama dikemukakan. Reaksi awal daripada pemimpin kita ialah: “Tangguhlah dulu.” Setahun kemudian ia menjadi “Lupakanlah cadangan ini! Bahaya!” Ia merbahaya, kerana ia boleh membawa kepada ketegangan kaum dan agama, dan seterusnya boleh membawa kepada pertumpahan darah.

Memang kita tidak mahu pertumpahan darah. Malah apa bentuk kekacauan pun kita tidak mahu. Tetapi kita mesti sedar bahawa kekacauan dan pertumpahan darah berpunca dari sesuatu atau beberapa masalah sosial, yang gagal kita selesaikan. Ambil isu Murthy dan Lina Joy, (isu kebebasan agama atau murtad), isu penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (sebenarnya isu dialog antara agama yang sebenarnya pemimpin-pemimpin kita alu-alukan), isu kedaulatan undang-undang Islam dan isu kedaulatan Perlembagaan Persekutuan (isu sistem).

Isu murtad atau kebebasan beragama itu sebenarnya mudah saja. Adakah Murthy waktu beliau mati itu bergama Islam, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, atau beragama Hindu, seperti yang didakwa oleh isterinya. Perkara ini boleh diselesaikan dengan mengambil keterangan dari kedua-dua belah pihak supaya taraf keagamaan beliau pada waktu ia mati jelas. Kes Azlina Jilani atau Lina Joy pun mudah juga. Beliau telah memeluk Islam dan kemudian ingin keluar dari Islam. Mengikut undang-undan Islam kita sekarang, orang-orang Islam yang ingin keluar dari Islam tidak dibenarkan. Ia dikatakan murtad dan telah melakukan suatu jenayah. Mengikut sebuah hadis, ia perlu dihukum bunuh. Tetapi, pihak berkuasa agama kita harus sedar bahawa hadis palsu ini bercanggah dengan ajaran Quran yang terang-terang mengisytiharkan kebebasan beragama yang mutlak kepada manusia. Hukuman ini dengan sendirinya batal dari segi ajaran Islam yang sebenar.

Akhir sekali, isu yang paling besar: undang-undang apakah yang berdaulat di negara kita? Jawapan yang jelas ialah Perlembagaan Persekutuan. Dalam beberapa hal, Perlembagaan Persekutuan memberi lalu kepada undang-undang Islam, dan ini telah dimaktubkan dalam Artikel 121 (1A) yang menobatkan undang-undang Syari’ah. Peguam-peguam Islam telah berhujah bahawa undang-undang Syaria’h telah mendahului undang-undang sivil, yang telah diperkenalkan oleh kaum penjajah Inggeris, lama sebelum pelbagai kaum penjajah menjajah Malaysia. Ini memang benar. Soalnya bukan undang-undang Islam atau undang-undang sekular Inggeris. Soalnya, undang-undang mana yang lebih adil?

Jawapan kepada soalan ini bukan mudah. Kedua-dua kategori undang-undang ada baik dan buruknya. Kita memerlukan masa untuk membahas dan menguji ketegori-kategori undang-undang ini untuk menggubal undang-undang yang adil dan bersifat kemanusiaan untuk rakyat kita. Di sinilah kita memerlukan kebebasan untuk berbahas. Jika kita menekan kebebasan itu dan menghalang perbahasan, bagaimana kita boleh mendapat undang-undang, atau sistem yang baik bagi negara kita.

Kita sudah merdeka selama 50 tahun. Kita sudah melalui dua generasi. Sepatutnya, generasi tua mendidik generasi muda beerfikiran kristis terhadap warisan lama, ambil dan teruskan yang baik, buang dan gantikan yang buruk dengan yang lebih baik. Dengan demikian barulah kita boleh maju. Malangnya, bukan saja generasi muda, tetapi juga generasi tua juga, telah merosot dari segi moral mereka dalam masa lima puluh tahun ini. Ini kerana penjajahan budaya dan fikiran hedonis yang melanda dari Barat dalam masa itu, dan masyarkat kita tidak punyai benteng intelektual dan budaya yang lebih kuat untuk melawan penjajahan ini.

Tidak syak lagi, dari ajaran-ajaran Quran, kita boleh mengubah-suai sistem separuh sekular dan separuh tradisional yang kita amalkan hari ini menjadi sebuah sistem ekonomi-politik, sosial, intelektual, moral dan spiritual yang jauh lebih baik dari sekarang. Tetapi ini memerlukan sebuah pimpinan politik dan intelektual yang kuat dan visi yang jelas, yang dapat melihat kelemahan-kelemahan dalam kedua-dua sistem, Barat dan Timur, dan membangunkan sebuah sistem yang baru dari ajaran-ajaran yang baik dalam Islam dan dalam semua tamadun. Inilah yang patut kita lakukan. Adakah pemimpin-pemimpin kita mengajak rakyat ke jalan itu?



Kassim Ahmad seorang penulis bebas yang tinggal di Pulau Pinang. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my . Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Thursday, August 10, 2006

MEMPERTAHANKAN KEDUDUKAN AGAMA ISLAM
DALAM PERLEMBAGAAN

Oleh: Kassim Ahmad
9 Ogos, 2006

Sejak akhir-akhir ini, suatu reaksi emosional yang keras telah muncul di kalangan masyarakat Islam kita terhadap beberapa isu agama, khasnya isu kebebasan beragama atau lebih popular disebut “murtad” dan cadangan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Antara Agama. Gerakan ini diplopori oleh beberapa kumpulan ortodoks, tradisional dan konservatif dalam masyarakat Islam yang bimbangkan perkembangan apa yang disebut “Islam Liberal” dan amalan-amalan yang mereka anggap mengancam akidah umat Islam, termasuk adat kongsi raya, yang telah diperkenalkan di negara kita oleh Kerajaan. Satu sepanduk besar dalam perjumpaan pada 23 Julai, 2006 di Mesjid Wilayah Persekutuan berbunyi: “Wahai Puak Islam Liberal, IFC, Sis-in-Islam, Tamadun, Artikel 11, Ingatlah Kami Sanggup Mati Demi Mempertahankan Allah, Rasul-Nya dan Islam”. (Lihat Harakah, 1-15 Ogos, 2006; hal. 32)

Anehnya, kumpulan-kumpulan ini bertitik-tolak dari Perlembagaan Persekutuan yang dulunya mereka cap sebagai “sekular” dan “berbau penjajah”. Fasal 3 dalam Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan Islam sebagai “agama negara” atau “agama rasmi”. Sehingga ini, frasa ini dirujuk hanya kepada upacara-upacara negara, seperti penabalan Yang Dipertuan Agung, perasmian Parlimen dan pelantikan Perdana Menteri yang dilakukan mengikut adat-istiadat dan tradisi Islam.

Ahli-ahli hukum kita kebanyakannya mentafsir Perlembagaan Persekutuan sebagai bersifat sekular dan negara kita bukan sebuah teokrasi, seperti negara Iran sekarang. Namun demikian, dengan ternobatnya “Undang-undang Syariah” dengan pindaan Perkara 121 tidak mustahil akan timbul desakan supaya negara ini dijadikan “negara Islam” dengan “Undang-undang Syariah” menjadi undang-undang negara.

Sebagai seorang Islam, penulis tidak bersetuju dengan perkembangan ini. Sebabnya ada dua. Pertama, tidak dalam Quran, kitab Suci orang Islam, dan tidak juga dalam Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad untuk mentadbirkan, mula-mula negara-kota Madinah dan kemudian negara-bangsa pertama di Semenanjung Arab, terdapat sebutan istilah atau konsep “negara Islam”. Sebabnya mudah difaham. Sebuah konsep negara beradasarkan agama, dengan sendirinya, akan bersifat perkauman atau kepuakan, kerana tidak semua warganegara negara itu menganut agama yang sama.

Sebab kedua, tidak semua orang Islam bersetuju dan menyokong “Undang-undang Islam”, seperti yang termaktub dalam kitab-kitab Fikah tradisional. Undang-undang ini telah digubal mengikut tafsiran ahli-ahli hukum klasik, seribut tahun lebih dulu, dan mengikut keadaan semasa dan setempat. Keadaan masyarakat sekarang sudah banyak berubah dan ilmu dan praktik undang-undang antarabangsa juga sudah banyak berubah. Dengan ini saya tidak bermaksud bahawa ajaran Islam sudah tidak relevan dalam masyarakat moden kita sekarang. Prinsip-prinsip Islam yang universal, seperti keadilan dan kesaksamaan dan kerjasama antarabangsa untuk kebaikan semua bangsa dan semua manusia, malah sangat relevan dan diperlukan dalam pentadbiran masyarakat moden yang sudah menjadi terlalu materialistik dan perkauman.

Jadi, bagaimanakah masyarakat kita harus menangani isu-isu keagamaan yang kita sebutkan tadi? Menyedari bahawa Malaysia sebuah negara majmuk dari segi ras atau kaum, budaya dan agama, kita mesti bertitik-tolak dari semangat ingin bekerjasama untuk kebaikan semua kaum, budaya dan agama dalam karangka paradigma politik negara-bangsa Malaysia baru. Kita sudah ada Rukunegara, kita ada konsep kongsi kuasa dan beberapa kaedah ekonomi-politik yang lain, seperti sistem politik demokrasi berparlimen, sistem ekonomi pasaran bebas, yang boleh kita pakai, dengan syarat kita tidak terlalu taksub kepada kaedah-kaedah ini, untuk membolehkan kita membuat pindaan apabila perlu, tanpa mengorbankan prinsip-prinsip pokok keadilan, kesaksamaan dan kebajikan semua kaum di negara kita.

Jika kita menemui sesuatu masalah lalu kita ambil sikap tidak menangani masalah itu, kerana takut ia akan membawa kepada masalah yang lebih besar, kita mungkin dianggap bijak dan kita mungkin dapat “menyelesaikan” masalah itu buat beberapa ketika. Tetapi masalah itu tidak akan dan tidak boleh hilang. Oleh yang demikian, sikap yang bijak dan realistik ialah dengan kita mencari kaedak untuk menyelesaikannya. Satu daripada kaedah yang baik ialah dengan mengadakan sebuah badan penasihat dan perundingan yang telah dicadangkan itu, iaitu Suruhanjaya Antara Agama. Di dalam forum itu, wakil-wakil dari semua kumpulan agama boleh menimbulkan apa juga masalah dan berbahas secara tertutup dan beradab untuk mencari jalan yang terbaik bagi semua kumpulan agama dalam masyarakat majmuk kita. Apa yang dianggap sudah menjadi undang-undang atau tradisi bagi sesuatu kumpulan dan tidak menimbulkan apa-apa masalah, ia pasti akan diterima baik oleh semua kumpulan. Tetapi jika ia menimbulkan masalah, ia boleh dijadikan tajuk perbahasan yang rasional dan intelektual dengan mengundang pakar-pakar dari pelbagai aliran fikiran untuk hadir dan mengambil bahagian dalam perbincangan itu.

Kita merujuk kepada kes murtad. “Murtad” ertinya “keluar dari sesuatu agama”. Kebanyakan orang Islam, mengikut fahaman Syariah tradisional, menganggap murtad sebagai suatu perbuatan yang keji dan perlu dihukum berat. Tetapi jika perbuatan murtad itu perbuatan keluar dari agama-agama selain Islam, apalagi untuk memeluk agama Islam, tentulah ia akan dialu-alukan oleh masyarakat Islam. Ini tidak saksama dan tidak logik.

Apa yang kita perkatakan bukan “murtad” dari sesuatu agama, tetapi kebebasan untuk menganut sesuatu agama atau tidak. Lebih tepat, kebebasan untuk beriman kepada Tuhan Yang Esa, atau tidak. Kebebasan beragama ini telah diisytiharkan buat pertama kali dalam sejarah tamadun manusia, dengan kata-kata yang begitu jelas, dalam kitab suci, Al-Quran, mendahului Perisytiharan P.B.B. tentang Hak Asasi Manusia lebih 1,300 tahun!

Sepatutnya orang Islam boleh berasa bangga dengan hal ini. Penentangan yang ditunjukkan oleh sesetengah mereka di negara kita sekarang terhadap kebebsan asasi ini ialah kerana salah faham, malah kita boleh katakan kekeliruan, mereka tentang perkara ini. Mereka anggap ayat-ayat Quran ini telah diatasi, atau dengan kata-kata yang lebih lunak, dijelaskan, oleh hadis Nabi yang kononya menghukum si murtad dengan hukuman bunuh! Sebenarnya, hadis palsu ini diseludup ke dalam hadis melalui kitab Taurat, kerana ia tersebut dalam kitab Taurat.

Tidak ada seorang Islam, termasuk ulama, yang akan menerima mana-mana ajaran yang terang-terang bercanggah dengan ajaran Quran. Perihal ajaran hadis tentang murtad ini diterima oleh masyarakat Islam sangatlah aneh. “Aneh” itu bahasa yang lunak. Bahasa yang tepat ialah penyelewengan. Musuh-musuh Islam, khasnya dari kalangan Ahlu’l-Kitab (iaitu Yahudi dan Kristen), telah berjaya menobrosi benteng Islam dengan menggunakan kaedah Hadis! (Kerana Hadis telah disamakan dengan kata-kata Nabi oleh kebanyakan umat Islam!)

Adakah salah kalau kita menyemak semula perkara ini? Kalau salah, masakan Tuhan membuat Nabi Ibrahim bertanya tentang kebangkitan manusia di Akhirat? (Lihat Quran, 2: 260) Kalau salah, masakan Tuhan membuat Nabi Muhammad nyaris-nyaris putus asa dengan pertolongan Tuhan kepada beliau dan pengikut-pengikutnya? (Lihat Quran, 2: 214) Kalau salah, masakan Tuhan menceritakan tentang keangkuhan Raja Firaun (pada zaman Nabi Musa) mendakwa dia Tuhan? Tidak salah, dari segi Islam, kita berbincang tentang apa perkara pun, termasuk tentang kewujudan Tuhan! Ini kerana manusia itu makhluk berakal yang mampu mengetahui dan yang diberi taraf khalifah di Bumi oleh Tuhan Sendiri!

Semua kalangan dan pihak, termasuk masyarakat Islam, akan beruntung, jika kita belajar menangani masalah-masalah kita secara rasional dan beradab. Ugutan terhadap mereka yang ingin mengadakan wacana ini, atau paksaan mengharamkan wacana ini, seperti yang kita lihat sedang berlaku sekarang, tidak akan menguntungkan sesiapa, termasuk masyarakat Islam sendiri. Sebenarnya, ia memalukan kita. Masyarakat Islam di negara kita patut mendahului masyarakat-masyarakat lain untuk membawa suatu kebangkitan kepada negara Malaysia baru yang sedang kita bina – sebuah Malaysia yang aman, adil dan bahagia bagi kita dan anak-cucu kita.


_______________________________
Kassim Ahmad seroang penulis bebas yang tinggal di Pulau Pinang. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.con

Wednesday, August 02, 2006

MENCARI PERPADUAN UMMAH SEKARANG?

Oleh: Kassim Ahmad
25 Julai, 2006

Pada hari ini, sejak 12 Julai, 2006, apabila Israel diberi laluan oleh Presiden A.S. George W. Bush untuk menyerang Lubnan atas alasan untuk menghapuskan gerila-gerila Hisbullah, apakah gunanya kita bercakap tentang perpaduan umat Islam? Setelah Perang Iran-Iraq (1982-88) apabila umat Islam berpecah (kerana komplot musuh), setelah Perang Teluk Pertama (1990-91) apabila orang Arab berpecah (dengan sesetengah menyebelahi musuh), dan setelah Perang Teluk Kedua (April, 2003 hingga sekarang) apabila pemimpin Arab-Islam yang ulung untuk menentang pakatan anti-Islam A.S.-Inggeris-Zionis dijatuhkan dengan bantuan orang Arab dan orang Islam sendiri, tidak ada makna kita bercakap tentang perkara itu.

Lebih awal, mari kita balik kepada penubuhan negara kolonial-Zionis Israel di Palestin selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua Apakah syarat-syarat yang membolehkan negara ini ditubuhkan di tengah-tengah negara-negara Arab-Islam? Lebih awal lagi, mari kita kaji sejarah orang-orang Yahudi dan Kristen dan mengapa mereka bekerjasama untuk memusuhi umat Islam dan menghancurkan Islam.

Jangan sangka kita berputus asa untuk melawan dan mengalahkan pakatan A.S.-Inggeris-Zionis sekarang? Tidak. Kita tidak pernah takut dan gentar kepada apa yang dikatakan adikuasa militer yang terkuat dalam sejarah manusia. Kita tahu kuasa tidak ada pada besi yang tidak boleh berfikir! Kuasa terletak pada akal, tetapi bukan semata-mata pada akal (kerana komplot Bush-Blair juga ada sedikit akal -- yang jahat!). Kuasa sebenar terletak pada akal yang bermoral, yakni Tuhan Yang Maha Berkuasa. Inilah makna ayat Quran yang memproklamirkan bahwa kekuatan itu milik Allah semata-mata. (Lihat Quran, 10: 65) Sejarah tamadun manusia dari dulu hingga sekarang membuktikan kebenaran perisytiharan ini.

Jangan kita buat silap bahwa Empayar A.S.-Inggeris-Zionis ini akan kekal. Dua generasi dalam sejarah atau enam puluh tahun (umur empayar ini) sangat pendek. Jangankan dua generasi; sepuluh generasi (300 tahun) pun masih pendek! Quran menerangkan bahawa apabila Kiamat berlaku, penghunian dunia oleh manusia berlangsunh hanya selama sehari atau separuh hari!

Kita tidak harus sangsi bahawa kebenaran akan menang dan kepalsuan akan hapus. Gerombolan samseng-samseng dunia yang dipimpin oleh George W. Bush akan kalah dan akan hapus dari muka bumi ini dalam sekejap masa lagi. Kapal Titanic, yang mereka naiki sekarang, yang mereka sangka tidak akan tenggelam, akan tenggelam. Kapal itu sekarang, pada waktu kita menulis ini, sebagian besarnya sudah bocor dan akan tenggelam! Ini diakui oleh beberapa orang ahli ekonomi dan politik Barat sendiri.

Lebih baik kita bertanya di mana kita telah buat silap dan perbetulkan. Pertama, kita orang Islam, dari zaman awal, sebelum Nabi Muhammad, malah sebelum Nabi Ibrahim, diperintahkan oleh Tuhan supaya berpegang teguh kepada agama tauhid, iaitu agama yang mengiktiraf dan menyembah Satu Tuhan saja, Tuhan Yang Esa. Tetapi hanya sesetengah dari kita yang berpegang kepada agama tauhid ini sekarang dan mereka terdiri dari orang Islam dan orang bukan Islam juga, sedangkan kebanyakan telah menyeleweng dari agam tauhid ini.

Apabila Nabi Muhammad bangkit di Semenanjung Arab, setelah Nabi Musa dan Nabi Isa, sesetengah mereka (yang disebut Ahlu’l-Kitab dalam Quran) menolak Nabi Muhammad dan membuat komplot untuk merosak dan menjatuhkan Islam. Baca Quran dan sejarah awal Islam di bawah Nabi Muhammad dan kita akan tahu tentang komplotan ini. Apa yang berlaku kemudiannya sehingga hari ini – dari Perang Salib hingga Perang Anti-Keganasan yang diisytiharkan oleh George W. Bush – tidak lain ialah ulangan dari sifat anti-Islam satu golongan Ahlu’l-Kitab ini. (Penting kita sebutkan “satu golongan”, kerana bukan semua orang Yahudi, Kristen dan agama-agama lain telah masuk ke dalam komplot jahat ini. Hal ini telah dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 62 dan ayat-ayat lain yang sama maknanya.)

Kita tidak harus lupa bahawa wujud orang-orang Islam sendiri yang telah menjadikan kuasa-kuasa musuh ini sebagai kawan dan sekutu mereka. Perang terhadap negara republik Iraq dan penaklukannya oleh pakatan A.S.-Inggeris-Zinist pada April, 2003 tidak boleh berlaku, jika sesetengah negara Arab dan Islam tidak membenarkan wilayahnya digunakan oleh pakatan penceroboh ini untuk berbuat demikian. Inilah sebab utama pencerobohan pakatan Yahudi-Kristen terhadap Islam dan umat Islam telah berjaya – perpecahan dalam umat Islam sendiri.

Jika kita bertanya apakah punca perpecahan umat Islam, jawapannya ialah penyelewengan kita sendiri. Seperti yang termaktub dalam ayat 30 Surah Al-Furqan, kita membelakangkan Quran dengan membacanya tanpa faham dan menjadikannya sebagai buku azimat. Kita tidak mengikut perintah Tuhan supaya bersatu dan tidak berpuak-puak dan kita memecahkan ilmu kepada ilmu agama dan ilmu dunia serta mengabaikan ilmu dunia. Fahaman tauhid yang bertunjangkan kesatuan pandangan hidup tauhid bertukar menjadi jamak fahaman berdasarkan puak. Kita masuk perangkap syaitan dan kaum penjajah yang menjalankan dasar dan taktik klasik “pecah-pecahkan dan perintah” dan kita menjadi lemah, hina dan ditindas oleh mereka.

Apakah yang patut kita buat sekarang? Kata pepatah, “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.” Pangkal jalan kita ialah Tuhan yang Esa. Kita bermula dengan Dia, dan kita akan berakhir dengan Dia. Berbalik kepada Tuhan Yang Esa bermakna berpegang kepada Kitab Suci-Nya yang akhir, iaitu Quran. Inilah keperluan kita yang pokok sekali. Perkara-perkara lain, yang kita pegang juga selama ini, berdasarkan fahaman kepuakan masing-masing, (tidak kira bangsa, agama, falsafah atau ideologi) harus kita letak pada tempat nombor dua kepada Kitab Suci ini.

Apabila kita sudah sanggup berbuat demikian, bermakna kita akan tunduk kepada Tuhan Yang Esa saja dan tidak kepada patung-patung selain Allah. Atas dasar ini, kita boleh menyatukan bukan saja orang Islam, tetapi juga orang bukan Islam (Yahudi, Kristen, Hindu, Buddhis, Konfusius, Shinto, Bahai dan lain-lain), mengikut perisytiharan ayat 62, Surah Al-Baqarah tadi. Dari perspektif ini, seluruh dunia akan menerima saranan kita, kerana saranan ini benar-benar universal.

Umat Islam, sebagai umat yang terbaik yang dibangkitkan untuk manusia (persis kerana fahaman tauhid ini), mestilah mendahului umat-umat lain, untuk melakukan perjuangan ini. Kita tidak perlukan bilangan ramai. Sepertimana Nabi Muhammad bermula dengan bilangan yang kecil, demikinalah juga kita sekarang. Yang perlu ialah pegangan tauhid, perpaduan yang kukuh dan semangat perjuangan yang tinggi. Kita sedang melihat kejatuhan A.S. di Iraq dan di A.S. sendiri. Kemenangan yang dilaungkan oleh Bush setahun kemudian itu kosong semata-mata!

Senjata nuklier di tangan negara atau negara-negara Islam, yang sangat ditakuti oleh Israel dan kuasa-kuasa nuklier Barat, cuba disekat oleh mereka dari diperoleh oleh negara-negara lain, khasnya Islam (lihat kes-kes Libya, Iraq dan sekarang Iran) melalui pakatan Perjanjian Anti-Rebakan. Namun demikian, Pakistan sudah pun mempunyai senjata ini. Jika pemimpin-pemimpin Islam tiga puluh tahun dulu memberi keutamaan kepada perpaduan umat Islam serta membangunkan ekonomi dan pertahanan mereka dari segi falsafah politik-ekonomi Islam, dunia tidak akan melihat Kacau-Bilau Agung yang memuncak pada hari ini dengan kemaharaja-lelaan kaum oligarki A.S.-Inggeris di bawah pentadbiran dua Bush.

Tiada gunaya kita menyesali apa yang sudah berlalu. Kita harus berfikir apa yang harus kita buat sekarang dan akan datang. Kita perlu ada dua rancangan: rancangan jangka-pendek (1-5 tahun dari sekarang) dan rancangan jangka-panjang (untu 30 tahun akan datang). Kita kena kenalpasti punca-punca kelemahan kita dan bertindak membetulkannya. Kita kena kenalpasti musuh dan kawan kita dan bersatu untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan kita. Akhir sekali, kita kena memainkan peranan kita untuk memimpin dunia keluar dari kegelapan Zaman Jahiliah moden ini kepada satu Zaman Kebangkitan yang baru – kepada sebuah dunia baru yang adil, aman dan bahagia untuk semua manusia.



Kassim Ahmad seorang penulis bebas yang tinggal di Pulau Pinang. Beliau boleh dihubungi di alamat kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com