Monday, October 14, 2013

ADAKAH TUHAN BERNAMA?




ADAKAH TUHAN YANG ESA ADA NAMA?

Oleh: Kassim Ahmad
15 Oktober, 2013


            Walaupun kebanyakan autoriti, termasuk kamus, menyatakan “Allah” nama khas bagi  Tuhan Yang Esa, Quran dan hukum logika menafikannya. Surah 17, ayat 110 berbunyi: “Panggillah Dia Allah atau panggillah Dia Yang Maha Pemurah; dengan nama apa juga kamu panggil Dia, milik-Nya nama-nama yang paling baik.”
            Dari segi logika, tidak pantas Tuhan itu bernama, kerana Dia bukan seperti manusia – ada nama! Dia tenaga murni, tenaga yang paling kuat. Sebab itu kalau Dia turun ke dunia, dunia akan hancur, kerana dunia tidak boleh tahan kekuatan tenaga itu.
            Sungguh aneh dan menghairankan, ada orang Islam di negara kita mendakwa bermati-matian bahawa Allah itu milik mereka saja, bukan milik orang Kristian! Tidakkah ulama mereka tahu bahawa perkataan ‘Allah’ itu bahasa Arab, ertinya ‘Tuhan itu’, yakni Tuhan Yang Esa?  
            Dalam agama Hindu, ada banyak Tuhan dengan nama yang berlainan. Dalam agama Kristian, orang percaya ada tiga Tuhan – Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Bolehkah mereka gunakan perkataan ‘Allah’ dalam kitab Taurat yang mereka terjemahkan ke dalam bahasa Melayu?  Tentu boleh, sebab tidak munasabah dibuat undang-undang  menghadkan pergunaan perkataan ‘Allah’.  Penulis Kristian ini harus ingat bahawa perkataan ‘Allah’ bahasa Arab yang bermakna ‘Tuhan itu’ dalam bahasa Melayu, yakni Tuhan Yang Esa. Bagi kebanyakan orang Kristian Tuhan ada tiga; jadi tidak logik bagi mereka menggunakan perkataan ‘Allah’. Ini soal kejahilan, bukan soal mencuri nama!
            Lebih penting daripada perbantahan dangkal ini, kita harus ingat dan faham bahawa yang beragama itu manusia, bukan negara. Alangkah aneh Perlembagaan Malaysia mengatakan “Islam agama Persekutuan”. Tiap negara-bangsa netral dari segi agama, kerana yang beragama itu penduduk negara itu. Oleh sebab itu, Piagam Madinah yang masyhur itu dan yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri menyerahkan pentadbiran urusan agama kepada penganut-penganutnya sendiri, autonomi dengan perkataan lain.  Ini boleh mengelak daripada konflik agama, seperti yang kerap berlaku di negara kita.
            Ingin saya huraikan di sini mengapa saya tidak menggunakan frasa SAW selepas nama Nabi Muhammad.  Penggunaan frasa ini sebenarnya bersalahan dengan ajaran Tuhan dalam Quran. Kita tidak dibenarkan membezakan antara para nabi. (Mengapa kita sebut frasa AS selepas nama nabi-nabi lain?) Lagipun frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin umumnya. (Quran, 33: 43).
            Jadi, saya ingin bertanya, adakah kita di Malaysia mengamalkan agama Islam seperti yang diajar oleh nabi besar kita Muhammad?  Kegagalan sarjana-sarjana kita membetulkan kesilapan-kesilapan amalan agama kita (Islam baka, bukan Islam sebenar) sangat menghairankan!
KASSIM AHMAD penulis bebas Malaysia. Laman web belaiu www.kassimahmad.blogspot.com