Monday, October 26, 2009

PERUBAHAN BERANI YANG DIBUAT OLEH
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG BARU LALU --
BOLEHKAH IA DILAKSANAKAN?


Oleh: Kassim Ahmad
kassim03@streamyx.com
kassim1234@gmail.com

25 Oktober, 2009
(Nota: Ini versi baru yang diperpanjang. -- K.A.)


Dalam sejarahnya selama 60 tahun, inilah kali pertama UMNO meluluskan usul meminda perlembagaan parti yang berani seperti ini. Seperti kata orang sekarang, usul ini bertujuan untuk “merakyatkan” UMNO. Daripada bilangan perwakilan yang terbatas untuk memilih pimpinan tertinggi, iaitu Majlis Tertinggi, usul ini telah memperluas bilangan ini kepada suatu bilangan yang lebih besar. Pada dasarnya, ia akan menukarkan UMNO dari sebuah parti yang elitis kepada sebuah parti yang lebih demokratik dan bertunjangkan kepada cita-cita ahlinya yang sekarang meningkat kepada 3.2 juta orang.

Benarlah seperti yang dikatakakan oleh sesetengah penulas politik di tanahair kita, usul ini hanya boleh diluluskan dalam suasana baru kemenangan besar calun UMNO di kawasan Batang Kali mengalahkan calon parti pembangkang dari PAS. Ini suatu perubahan besar dari aliran politik yang memihak kepada parti-parti pembangkang selepas Pilihanraya Umum ke-12 yang melihat kekalahan UMNO-BN bukan saja di Kelantan, tetapi di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan.

Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Najib Abd. Razak, mengambil-alih pimpinan UMNO dan negara pada waktu negara diselubungi banyak masalah yang dihubungkan kepada Najib. Najib hanya ada satu kekuatan, iaitu warisan kepimpinan bapanya, Tun Abd. Razak, presiden UMNO yang kedua yang juga Perdana Menteri yang kedua. Dalam suasana yang tidak menyebelahi Najib, beliau mengenengahkan slogan: “UMNO mesti berubah, atau direbahkan” Satu lagi ungkapan hikmah beliau yang awal ialah “Tugas saya memerlukan saya berfikir siang dan malam”. Dua perkara yang menyegarkan ini membezakan beliau dari pemimpin-pemimpin lain serta memberi harapan baru kepada rakyat tentang kepimpinan beliau.

Adakah kemenangan UMNO di Bagan Pinang suatu kebetulan, dan bukan suatu perkembangan baru bagi politik Malaysia? Ramai juga rakyat kita yang berfikiran demikian. Mereka ini terbawa-bawa dengan slogan “anti-perkauman” baru yang mendakwa bahawa UMNO, kerana ia parti Melayu, bersifat perkauman, dan perlu ditolak oleh rakyat. Tidak perlulah kita membincang panjang untuk mendedahkan kecetekan fikiran ini.

Soalannya sekarang: “Bolehkah UMNO melaksanakan perubahan berani yang dari segi teorinya sudah diterima oleh parti itu dalam Perhimpunan Agung yang lalu? Ini jurang di antara teori dan praktik. Apakah yang perlu dilakukan untuk menyelaraskan teori dengan praktik? Inilah soalan yang akan kita kupas.

Kita harus ingat bahawa sesebuah parti politik itu seperti suatu ketumbukan perang bagi rakyat kita. Ia berada di barisan hadapan, sepereti kepala keretapi berada di depan, menarik gerabak yang panjang. Ia mengetuai perjuangan nasional kita. Demikanlah UMNO, sebuah parti politik massa. Orang kerap lupa akan hal yang asas ini, apalagi apabila politi sudah menjadi suatu perniagaan dengan ramai golongan koporat menyertainya untuk kepentingan-kepentingan perniagaan mereka. Golongan korup yang masuk UMNO untuk memperkaya diri dan kaum keluarga mereka pun ada juga.

Inilah masalah besar yang dihadapi oleh UMNO sekarang. Seperti dalam kisah legenda di zaman Yunani dulu, kerja ini memerlukan seorang Herculis, seorang mahakuat, untuk “membersihkan” kandang UMNO yang sudah terlalu kotor. Adakah Najib Herculis UMNO sekarang?

Sebenarnya, zaman kita ialah zaman kebangkitan rakyat, bukan saja di negara kita, tetapi di seluruh dunia. Dalam abad-abad ke-20 dan ke-21 ini, manusia sudah sampai ke tahap Kampung Sejagat, sebuah yang, pada praktiknya, bersifat internasional. Penubuhan P.B.B. atas nama "KAMI RAKYAT SEDUNIA ..." dengan Perisytiharan hak Asasi Manusia dan konvensi-konvensi antarabangsa yang lain memberikan kita suatu kerangka undang-undang antarabangsa yang penting, hasil warisan dari zaman silam.

Kekuatan yang sebenar ada pada rakyat yang tenaganya digembelingkan untu mencapai sesuatu tujuan. Kita tidak perlu kepada seorang orang kuat, seperti Herculis dalam legenda Yunani purba ini. Kita perlu kepada seorang pemimpin yang mendukung wawasan rakyat dan yang mempunyai komitmen, keberanian dan kebijaksanaan untuk melaksanakan wawasan ini. Najib perlu menyusun satu regu kepimpinan yang mendukung wawasan beliau. Beliau perlu merumuskan sebuah falsafah perjuangan nasional yang diajar kepada tiga juta ahli UMNO dan kepada rakyat. Falsafah perjuangan nasional inilah yang akan memimpin UMNO dan rakyat kita. Falsafah inilah pepimpin yang sebenar. Siapa juga yang memegang tampuk pimpinan UMNO, dia perlu melaksanakan konsep dan prinsip-prinsip falsafah perjuangan nasional ini.

Bolehkah Najib dan UMNO melakukan perubahan ini, seperti yang dituntut oleh Najib sendiri, atau, seperti kata beliau, UMNO akan direbahkan? Tidak ramai orang yang akan mengatakan Najib dan UMNO boleh berbuat demikian.

Kalau kita memandang ke belakang dan melihat sejarah, kemajuan masyarakat manusia tidak meningkat lurus. Ada kalanya ia meningkat; ada kalanya ia merossot, malah lebih banyak merosot daripada meningkat. Ambil contoh yang paling baik bagi umat Islam. Nabi Muhammad memimpin suatu gerakan perubahan yang revolusioner dalam abad ketujuh di Semenanjung Arab. Satu pimpinan demokratik-republikan – jiwa Islam yang sebenar – hanya bertahan selama tiga puluh tahun setelah beliau wafat! Selepas itu, masyarakat Islam berbalik ke zaman feudal hingga kepada revolusi nasional Turki dalam tahun 1924. Hari ini umat Islam berpecah kepada banyak negara yang mengamalkan banyak bentuk kenegaraan dari feudal, seperti Arab Saudi, kepada kediktatoran tentera, seperti Libya, dan kepada demokrasi berparliamen, seperti Malaysia.

Soalnya mengapa contoh kepimpinan Nabi Muhammad tidak dapat dipertahankan? Jawapan yang ringkas ialah contoh ini tidak dirumuskan menjadi suatu metodologi saintifik, seperti yang telah kita sebutkan di atas, sebuah falsafah perjuangan nasinal yang boleh memimpin masyarakat itu. Dengan berkata demikian, kita langsung tidak menafikan mutu kepimpinan Nabi Muhammad. Apa yang diutrakan di sini ialah hakikat bahawa masyarakat manusia maju melalui proses “jatuh-bangun”, dan tidak secara automatik. Sebab itu, tamadun manusia, yang bermula di Ur dalam Iraq sekarang, masih menemui pemimpin-pemimpin, seperti Bush (kedua-dua bapa dan anak) yang, kerana bencinya dan takutnya kepada Saddam Hussein dan atas hasutan Israel dan Iran, menyerang dan menakluk Iraq. Dari sejak itu, asykar-asykar A.S. sekutunya Inggeris, dan Kerajaan boneka Iraq menghadapi perang gurela bandar yang dipimpin oleh organisasi Saddam Hussein. Dilema mereka sekarang bagaimana hendak keluar dari perangkap yang mereka pasang sediri!

Oleh yang demikian, kita mestilah mewarisi pengalaman-pengalaman manusia yang baik dari zaman dulu, yang sekarang termaktub dalam Piagam P.B.B. dan konvensi-konvensinya. Ini harus merupaakan sebagian daripada falsafah perjuangan kebangsaan yang saya sebutkan di atas.

Satu tugas yang amat sukar, tetapi tidak mustahil dilakukan. Najib, UMNO dan rakyat Malaysia mesti mencubainya.



Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com