Tuesday, April 24, 2007

ANTARA REALITI DAN KEHENDAK AGAMA

Oleh: Kassim Ahmad

23 April, 2007

Suatu peristiwa yang berlaku dalam negara kita baru-baru ini boleh mengajar kita membezakan antara realiti dengan impian, atau antara sejarah dengan realiti sekarang. Pameran hantu di Muzium Negeri Sembilan dihentikan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan “sebagai menghormati pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa pameran seumpama itu boleh menjurus kepada haram.” (Lihat Utusan Malaysia, 14 April, 2007; hal. 1)

Pameran ini bermula pada 10 Mac lalu dan dijadualkan berakhir pada 31 Mei.

Nampaknya, pameran ini disukai ramai. Oleh sebab itu, tempohnya lebih dari dua bulan. Secara perbandingan, masyarakat Melayu lebih tertarik kepada perkara-perkara metos, seperti kewujudan hantu, jin, jembalang dan sebagainya, walaupun kita mesti akui minat ini wujud di kalangan bangsa-bangsa lain juga, termasuk di Eropah dan Amerika. Ini kerana tarikan kepada benda-benda yang ajaib itu suatu fitrah manusia.

Yang menarik perhatian kita dalam peristiwa ini ialah anggapan bahawa pameran ini boleh menjejaskan keimanan orang Islam. Memang betul jika pameran ini menggalakkan orang-orang Islam meletakkan kepercayaan kepada kuasa-kuasa palsu, seperti hantu, jin, syaitan dan sebagainya. Adakah itu tujuan pameran itu? Jika ya, ini memang salah dan patutlah dihentikan. Tetapi, mungkin bukan ini tujuan pameran itu. Kita ada banyak muzium yang mempamerkan adat-istiada, kebudayaan dan kepercayaan nenek-moyang kita pada zaman silam. Adakan ini salah? Tentu tidak, kerana ini sejarah bangsa kita, yang perlu kita tahu dan ingat.

Dulu, sebelum kedatangan Islam ke Nusantara, orang Melayu beragama Hindu. Salah satu dari peninggalan dari zaman ini ialah di Muzium Bujang, Kedah. Sebelum dari itu, kita beragama animisme – sembah pokok dan busut. Di Mesir, umpamanya, tinggalan-tinggalan zaman Raja-raja Firaun purba banyak sekali, khasnya, piramid-piramid. Demikianlah semua bangsa mempunyai sejarah masing-masing, yang perlu diketahui dan dingati oleh generasi-generasi kemudian untuk dijadikan iktibar.

Manakala sejarah ialah masa yang telah lalu, yang tidak boleh diubah, masa sekarang ialah masa yang terbuka bagi kita, yang boleh kita isikan dengan apa yang kita mahu. Sejak orang Melayu memeluk Islam lima ratus tahun dulu, mereka dikehendaki beriman kepada Tuhan Yang Esa dan menyembah-Nya saja. Kepercayaan dan pergantungan kepada kuasa-kuasa lain, selain daripada Allah s.w.t., merupakan syirik dan haram. Namun demikian, konsep tauhid Islam yang murni ini tidak tergambar seratus peratus dalam kehidupan umat Islam di Malaysia, atau di mana-mana, kerana tinggalan daripada kepercayaan-kepercayaan tahayul dan khurafat zaman pra-Islam masih belum sepenuhnya terbuang dari kehidupan mereka. Malah pendewaan kepada pemimpin-pemimpin agama, seperti yang terbukti dalam kes-kes ketaksuban mereka terhadap pemimpin-pemimpin ini, berdiri sebagai bukti bahawa konsep tauhid murni ini tidak dipraktikkan.

Inilah yang patut mendapat perhatian daripada pemimpin dan cerdik-pandai kita. Apabila kita bercakap tentang mengubah minda masyarakat kita supaya kita boleh mencapai kejayaan di dunia dan akhirat, inilah perubahan yang diperlukan, iaitu pembebasan minda kita dari segala kuasa palsu. Kita orang Islam diperintahkan oleh Tuhan supaya membebaskan diri kita dari segala macam tahayul dan khurafat dan berdiri tegak sebagai khalifah Tuhan di Bumi untuk menentukan nasib kita sendiri, tidak seperti sekarang apabila nasib kita ditentukan oleh kuasa-kuasa lain.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Wednesday, April 18, 2007

MESYUARAT AGUNG FORUM IQRA’ YANG KEENAM

KENYATAAN MEDIA

17 April, 2007

Mesyuarat Agung Forum Iqra’ yang keenam telah selamat diadakan di Hotel Seri Malaysia Pulau Pinang pada 15 April, 2007 mulai pukul 9.30 pagi. Mesyuarat dihadiri oleh anggota-anggota dan pemerhati-pemerhati dari Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Sdr Kassim Ahmad, Presiden Forum Iqra’, mempengerusikan mesyuarat itu.

Dalam ucapan dasar merasmikan Mesyuarat Agung itu, Sdr Kassim mengulang bahawa perjuangan pertubuhan Foriq mengajak rakyat Malaysia yang berugama Islam kembali kepada ajaran Quran tidak menjadikan pertubuhan itu sebagai anti-Hadis, seperti yang dituduh oleh sesetengah kalangan. Kedudukan kita suci Al-Quran tetap di tempat nombor satu sebagai panduan pokok, manakala ajaran-ajaran lain, termasuk falsafah Yunani, falsafah moden Barat, Hadis dan Ijmak ulama di tempat nombor dua. Mana-mana ajaran yang selaras dengan ajaran Quran boleh dan perlu diterima, tetapi mana-mana ajaran yang bercanggah dengan ajaran Quran dengan sendirinya tertolak.

Sdr Kassim menegaskan bahawa Islam datang untuk mengeluarkan manusia dari gelap kepada terang dan untuk membebaskan mereka dari segala macam tahayul dan khurafat untuk melayakkan diri mereka menjadi khalifah di Bumi Allah serta menentukan nasib mereka sendiri. Inilah misi Islam yang besar sekali. Islam ialah agama rasional yang anti-khurafat yang telah memberansang dan mencetuskan sains dan teknologi moden. Segala macam tahayul dan khurafat yang masuk kembali ke dalam Islam dalam bentuk adat-resam dan kebudayaan kemudiannya telah menjatuhkan Islam, dan hendaklah disingkirkan dari Islam untuk membangunkannya kembali.

Mesyuarat mencadangkan supaya Foriq mengadakan sebuah pejabat di Kuala Lumpur untuk meningkatkan aktivitinya dan dalam masa dekat menganjurkan suatu perbincangan dengan pihak Kerajaan Malayisa bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan lain untuk mengadakan reformasi dalam sistem pendidikan Islam dan tentang masalah perpaduan kaum dan harmoni antara agama.

Mesyuarat juga mencadangkan supaya Foriq menganjurkan suatu persidangan antarabangsa untuk membincang perpaduan umat Islam berdasarkan panduan Al-Quran.

dalam jangka masa satu hingga tiga tahun akan datang.

Sebuah Jawatakuasa Kerja untuk penggal 2007-2009 (dua) tahun telah dipilih, seperti berikut:-

1. Presiden: Kassim Ahmad

2. Naib-Presiden: Azeem Aras

3. Pegawai Pentadbir: Warsa Mohamad

4. Bendahari: Ahmad Shauqi Kassim

5. Ahmad Othman

6. Shuib Ismail

7. Hesmel F. Faisal

8. Nik Abd. Aziz Hassan

9. Suzana Mohd. Zahir

10. Mohd. Azahari Ariffin

11. Mahmud Ahmad

Mesyuarat bersurai pada pukul 12.30 tengahari.

Forum di atas tajuk “Islam dalam Abad Ke-21 – Cabaran Sains dan Teknologi Moden”, yang dijadualkan pada 2.30 – 5.0 petang, tidak dapat diadakan oleh kerana dua daripada tiga ahli panel tidak dapat hadir. Juga ada suatu usaha oleh pihak tertentu yang cuba hendak menggagalkan forum ini dengan membuat sibaran-sibaran yang bersifat fitnah. Forum Iqra’ akan mengkaji kejadian ini dari segi undang-undang dan akan mengambil tindakan-tindakan yang sesuai untuk membela hak-haknya.

Dikeluarkan oleh Sekretariat Foriq,

d/a 1054 jalan Kulim Height 3,

Persiaran Kulim Golf,

09000 Kulim, Kedah, D-A, Malaysia.

TEL. 04-4031871/T.B. 016-4711779 (Warsa Mohamad)

E-mel: kasmad172@yahoo.com.my

Laman web www.kassimahmad.blogspot.com

UCAPAN PERASMIAN MESYUARAT AGUNG

FORUM IQRA’ YANG KEENAM

DI HOTEL SERI MALAYSIA PULAU PINANG

PADA 15 APRIL, 2007

Saya mengucapkan “Selamat Datang” kepada saudara/i, ahli-ahli Foriq, yang datang dari jauh dan dekat, untuk menghadiri dan menjayakan MAT kita yang keenam pada pagi ini. Walaupun pertubuhan kita sebuah pertubuhan yang berdaftar dan sah dari segi undang-undang negara, kita masih dicurigai oleh sesetengah masyarakat Islam sebagai sebuah badan yang berkemungkinan menjejaskan keimanan mereka. Oleh yang demikian, kita menghadapi masalah untuk bergerak, bukan saja di kampung-kampung tetapi juga di bandar-bandar. Walau bagaimanapun, kita terus memperjuangkan cita-cita kita, iaitu mengembalikan ajaran Quran kepada masyarakat Islam kita dan juga mengajak masyarakat Malaysia dan masyarakt dunia kepada Quran, kitab suci Tuhan kepada manusia yang lengkap dan sempurna.[1]

Kita boleh lihat, dalam masa dua puluh tahun ini, sejak buku saya Hadis – Satu Penilaian Semula diterbitkan, pelbagai pertubuhan, kumpulan dan individu, telah bangun untuk mengajak umat Islam kembali kepada Quran. Secara langsung atau tidak langsung, ini hasil kerja kita.

Sesetengah orang mendakwa jika tiada Hadis, kita tidak boleh melakukan salat. Ini nyata tidak benar, kerana kita belajar sembahyang dari kecil dari ibu-bapa kita atau dari guru. Kita melakukan salat tiap-tiap hari dari zaman Nabi Ibrahim, membawa kepada zaman Nabi Musa, zaman Nabi Isa hingga kepada Nabi Muhammad, salah seorang hanif di Mekah pada ketika itu, dan beliau salat sebelum beliau menjadi nabi dan rasul.

Sesetengah orang juga mendakwa Hadis mentafsirkan Quran. Kita tahu isi kandungan Quran itu banyak yang tidak diketahui oleh Nabi Muhammad sendiri, khasnya tentang kejadian langit dan bumi dan tentang masa depan. Nabi Muhammad menerima wahyu dari Tuhan dan tanggungjawab beliau ialah menyampaikan wahyu ini kepada manusia, bukan menghuraikannya.[2]

Berbalik kepada tuduhan sesetengah orang terhadap kita bahawa kita mengancam keimanan masyarakat Islam dengan seruan kita untuk kembali berpegang kepada Quran sebagai sumber Islam yang pertama. Jika mereka jahil bahawa keimanan seseorang Islam itu akan hilang jika ia melakukan syirik yang terang, iaitu mempertuhankan tuhan-tuhan lain selain Allah, maka mereka jahil tentang Islam. Dalam Islam hanya ada lima tuhan-tuhan lain yang jika dipertuhankan boleh melibatkan seseorang ke dalam perbuatan syirik. Lima tuhan lain itu ialah patung (batu dan pokok), matahari dan bintang, harta-benda, pemimpin dan ego. Selain dari lima kesalahan ini bukan syirik.

Kita diutuduh sebagai anti-Hadis, kerana kita dituduh mengikut ajaran Dr. Rashad Khalifa. Pertama sekali, kita tidak mengikut ajaran Dr Rashad Khalifa secara membabi-buta. Kita juga tidak ikut ajaran-ajaran mana-mana sarjana atau pemimpin agama secara membabi-buta. Ini bersalahan dengan ajaran Quran menyuruh kita menggunakan akal dan menyuruh kita bersikap kritikal terhadap semua ajaran. Sikap kita yang kritikal terhadap Hadis dan terhadap warisan-warisan Islam yang lain selaras dengan ajaran Tuhan dalam Quran.

Quran datang untuk membebaskan manusia dari segala khurafat [3] dan mengeluarkan manusia dari gelap kepada terang.[4] Inilah misi Islam yang terbesar. Jika kita tidak faham ini, kita tidak faham Islam.

Quranlah kitab panduan yang utama bagi orang Islam. Kitab-kitab lain tarafnya nombor dua, tidak boleh sama dengan Quran. Perkara ini sangat terang dinyatakan dalam Quran.[5] Malangnya, kira-kira dua ratus lima puluh tahun setelah Nabi wafat, pereka-pereka hadis menciptakan hadis dan mendakwa bahawa nabi Muhammad meninggalkan dua buah buku, iatu Quran dan Hadis. Ini merupakan tambahan kepada ajaran Quran yang sudah pun lengkap dan sempurna. Inilah yang perlu kita perbetulkan.

Pengalaman kita selama dua puluh tahun ini menunjukkan bahawa soal ini sangat sensitif kepada masyarakat Islam. Pemimpin-pemimpin kita mengelak berhadapan dengan masalah ini dengan menggunakan pelbagai kaedah, seperti “nilai-nilai murni”, “nilai-nilai Islam, dan sekarang “Islam hadhari”. Adakah mereka akan berjaya? Biar apa pun kita buat, kita tidak boleh mengelak daripada menegaskan bahawa agama Islam itu agama yang rasional. Apa juga yang tidak rasional yang telah masuk ke dalamnya melalui adat-resam dan budaya, untuk sesuatu kepentingan yang tidak rasional dan tidak sah, harus dikritik dan dibuang.

Dalam beragama, kita tidak harus bersikap fanatik. Tuhan menyuruh kita mengamalkan siskap toleransi terhadap agama-agama lain. Agama itu satu cara hidup. Dalam zaman pra zaman sains dan teknologi moden, agama mengajar kita bagaimana untuk hidup, bukan saja dalam bidang-bidang ekonomi, politik dan undang-undang, tetapi juga dalam bidang-bidang yang diliputi oleh adat dan budaya, seperti adat-adat kelahiran, perkahwinan dan kematian. Agama dalam ertikata ini mengandungi banyak aspek mistisme, seperti mukjizat kepada nabi-nabi untuk meyakinkan pengikut-pengikut mereka. Tetapi Nabi Muhammad tidak mempunyai mukjizat, kecuali Quran. Seperti yang kita tahu, Quran menyeru kepada akal dan ilmu.[6] Seperti yang dikatakan oleh ahli falsafah Pakistan, Muhammad Iqbal, Muhammad memulakan zaman moden (yakni Zaman Sains dan Teknologi) dalam sejarah dunia. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad penutup segala nabi. Tiada nabi lagi selepas Muhammad, kerana selepas Muhammad, sains dan teknologi menjadi kaedah kehidupan manusia yang utama, bukan mistisme lagi.

Islam tidak seperti agama-agama lain. Ia agama tauhid yang ketat. Dari Nabi Ibrahim khanya, agama tauhid ini diwariskan melalui Nabi Musa dan Nabi Isa, kepada Nabi Muhammad. Agama tauhid ini menafikan semua tuhan lain, yakni semua kuasa bebas lain, kecuali kuasa yang sebenar, iaitu Tuhan Yang Esa, yang diberi nama Allah (La ilaha ill’al-Lah). Tidak ada kuasa lain, termasuk matahari dan bintang, atau batu dan pokok, yang disembah oleh banyak kaum sebelum zaman moden ini, dan juga pemimpin-pemimpin agama dan politik, yang menguasai jiwa sebagian besar bangsa-bangsa moden. Pada prinsipnya, seorang muslim ialah seorang insan yang telah dibebaskan dari semua bentuk perhambaan, kecuali perhambaan kepada yang hak saja, iaitu Kuasa Yang Bebas di Alam Raya. Seorang muslim telah membebaskan dirinya dari segala bentuk khurafat yang wujud dalam masyarakat-masyarakat dulu. Inilah yang menyebabkan mereka menjadi aktif, dinamik, kritikal dan kreatif dan membolehkan mereka mencipta sebuah tamadun agung.

Mari kita lihat sifat-sifat manusia dan manusia muslim ini. Manusia dijadikan sebagai khalifah Allah di Bumi, kerana ia makhluk yang berakal dan sedar. Bumi meliputi Alam Raya. Sebagai khalifah, manusia boleh menentukan nasib atau destininya sendiri. Dia bebas. Tetapi kebebasan ini, kalau dia gunakan untuk memberontak terhadap Tuhan dengan melakukan kejahatan dan kerosakan yang dilarang oleh Tuhan, ia boleh memusnahkan dirinya dan tamadun. Tetapi jika kebebesan ini digunakan untuk melakukan kebaikan, seperti yang disuruh oleh Tuhan, ia akan membawa kepada kebahagian atau jannah (Lihat Quran, 9: 111). Oleh sebab itu, dalam cerita kejadian Adam dan Hawa, Tuhan melarang mereka mendekati pohon pengetahuan yang akan memberikan mereka kebebasan itu. (Lihat Quran, 2: 35)

Lanjutan dari konsep Adam atau manusia sebagai khalifah di Bumi, insan yang melalui ilmu boleh memiliki kuasa untuk mencipta dunianya sendiri, Tuhan memerintahkan para malaikat sujud kepada Adam. (Quran, 2: 31-34) Barang diingat konsep tauhid menghendaki kita sujud kepada Tuhan saja, tetapi di sini, aneh seribu kali aneh, Tuhan pula menyuruh para malaikat-Nya sujud kepada Adam, yakni manusia! Ini menunjukkan bahawa manusia mempunyai potensi kuasa dan penciptaan, seperti Tuhan!

Agama itu akal; tiada agama kalau tiada akal, kata sebuah hadis. Hadis ini selaras dengan ajaran Quran bahawa tiada siapa boleh beriman kecuali dengan izin Allah dan Dia menghalang mereka yang tidak menggunakan akal. (Lihat Quran: 10: 100) Jelas dari ayat ini bahawa iman dan akal itu selaras. Jika iman kita tidak dapat diterima oleh akal, maka iman itu cacat; sebaliknya, jika akal kita menolak kepercayaan kepada Tuhan dan Hari Pembalasan, maka akal kita cacat.

Sifat kesaintifikan agama Islam ini dibayangkan dalam wahyu peratma kepada Nabi Muhammad yang memerintah beliau membaca supaya dengan membaca manusia memperoleh ilmu (yakni sains dan teknologi) untuk mengubah dunia kepada yang dikehendakinya.

Inilah cirri-ciri penting agama Islam, yang membezakannya dari agama-agama lain. Walaupun falsafahnya mudah, ia meminta manusia bersikap rasional, bersikap bebas dan berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan dan kebahagian bagi dirinya dan bagi semua manusia. Di sinilah punca kegagalan umat Islam kemudian. Kecenderungan-kecenderungan negatif yang wujud dalam masyarakat suku Arab yang lama, seperti khurafat-khurafat mempercayai kuasa-kuasa lain yang menentukan kehidupan seseorang, kemalasan untuk berfikir sendiri dan bergantung kepada fikiran orang lain, dan kurang atau ketiadaan dayausaha untuk membangunkan kehidupannya sendiri, merupakan punca-punca yang membawa kepada kejatuhan. Amaran Tuhan dalam Quran supaya mereka tidak mengikut agama nenek-moyang dilupakan dan satu kelas sarjana agama atau ulama muncul untuk memikirkan hal-hal agama bagi pihak mereka. Demikianlah timbul atau timbul balik kepercayaan-kepercayaan kurafat, seperti fatalisme, mistisme dan pendewaan kepada pemimpin, yang telah dibuang dari Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam sebuah ucapan di Kuala Lumpur pada 3 April, 2007 menyatakan salah tafsir sebagai punca kejatuhan umat Islam . Beliau dilaporkan berkata, “Salah tafsir terhadap agama menjadikan orang Islam melangkah ke belakang menjadi mundur.” (Lihat Utusan Malaysia, 4 April; hal. 9.)

Walaupun saya menyanjung tinggi ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin Islam yang banyak bercakap tentang kejatuhan umat Islam, saya tidak bersetuju dengan huraian ini. Salah tafsir tentang Quran dan tentang Hadith boleh diatasi melalui perbincangan dan perbahasan saintifik. Kesalahan umat Islam ialah mengadakan dua buah buku panduan (Quran dan Hadith), sedangkan Nabi Muhammad membawa sebuah buku saja, iaitu Quran. Ini bukan salah tafsir, tetapi tambahan atau pindaan kepada ajaran yang asal.

Pendirian ini tidak menjadikan kami anti-Hadith, seperti yang dituduh oleh sesetengah kalangan dalam masyarakat kita. Seperti ajaran-ajaran lain, selain Quran, termasuk falsafah Yunani dan falsafah moden Barat, termasuk juga ajaran-ajaran Hadith dan Ijmak, diterima oleh kami selagi ajaran-ajaran itu tidak bercanggah terang-terang dengan ajaran Quran.[7]

Umat Islam pula, pada umumnya, tidak mengetahui ajaran Islam yang sebenar, kerana mereka tidak digalakkan membaca Quran dalam bahasa mereka sendiri. Malah mereka diajar membaca Quran dalam bahasa Arab itu (yang mereka tidak faham) akan mendatangkan pahala yang banyak! Tidak hairanlah Surah 25, ayat 30 menyatakan bahawa umat Islam telah membelakangkan Quran. Ayat ini tersembunyi dalam Quran selama lebih seribu empat ratus tahun! Jika sarjana-sarjana kita dulu mengingatkan kita tentang ayat ini serta mengmabil tindakan-tindakan untuk mengelaknya, tentulah umat Islam hari ini tidak jadi begini!

Kita yakin tidaklah susah sangat untuk menghuraikan agama tauhid Islam ini. Salah tafsir boleh diatasi melalui perbincangan dan perbahasan. Yang harus kita elak dari sekarang ialah mengabaikan tanggungjawab kita, tiap seorang, untuk berfikir sendiri. Berkali-kali Tuhan mengingatkan kita bahaw Quran itu ialah untuk “orang yang berfikir” likaumin yatafakkarun. (Quran, 10: 24; 13: 3; 16: 11, 69; 30: 21; 39: 42 & 45: 13) Quran ialah kitab suci orang Islam dan kita harus kembali kepadanya untuk mencari panduan pokok dalam kehidupan kita dalam Abad Kedua Puluh Satu.

Di Malaysia hari ini, setelah 50 tahun merdeka, kita masih mengahadapi banyak masalah: pengangguran atau dengan kata-kata lain, bagaimana mengembangkan ekonomi untuk menyara kehidupan 25 juta rakyat kita sekarang; membangunkan suatu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan hidup dalam harmoni dalam tempoh yang tidak begitu lama, katalah, satu atau dua generasi lagi; dan membendung dan mengatasai gejala sosial yang mengancam tenaga muda kita. Mengembangkan ekonomi harus meliputi usaha-usaha menghapuskan riba dan rasuah, yang meningkatkan kos perniagaan, menghapuskan pembaziran dan meningkatkan produktiviti. Saya tidak hendak bercakap panjang tenatng perkara-perkara ini. Pemimpin dan cerdik-pandai kita harus mencari penyelesaian kepada perkara-perkara ini dari ajaran-ajaran Quran yang difahami secara menyeluruh, bersepadu dan saintifik.

Untuk penggal yang lalu, 2006-2007, kita hanya berjaya mengadakan dua kali mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan dua buah perbincangan. Dua buah perbincangan itu mengenai gerakan pembaharuan dalam Islam (yang dibentanagkan oleh Sdr Astora Jabat) dan penggunaan bahasa kiasan dalam Quran (yang dibentangkan oleh saya) . Dari segi in kegiatan kita amat terbatas. Kita harus memikirkan untuk mengubah ibupejabat kita ke Kuala Lumpur, kerana Kuala Lumpur pusat kehidupan negara kita. Kita akan dapat menggembeling lebih banyak tenaga untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kita di sana.

Tetapi dari segi penulisan, hasil kita lebih banyak. Kita sekarang ada suatu laman web di www.kassimahmad.blogspot.com yang memuatkan tulisan-tulisan saya dan juga berita-berita kita. Dulu kita ada satu laman web di www.stormloader.com/qsmjam, tetapi sudah lama tidak dikemaskini.

Kita harap tahun depan (penggal 2007-2008) kita akan mengadakan lebih banyak aktiviti.

Bendahari kita, Sdr Ahmad Shauqi, terlibat dalam suatu kemalangan jalan-raya baru-baru ini. Beliau tidak dapat menyediakan laporan kewangan bagi tahun ini. Pendapat kita dalam setahun lalu ialah RM 6,044.00 yang kita peroleh melalui yuran masuk dan yuran tahunan ahli-ahli kita dan juga derma ahli dan orang ramai. Perbelanjaan kita RM 3,400.00. Ada baki RM 2,644.00. Kita harus memutuskan hari ini sama ada untuk memanggil suatu Mesyuarat Agung Khas dalam masa sebulan untuk mendengar dan meluluskan laporan ini, atau menyerahkan tugas ini kepada Jawatankuasa Kerja yang akan datang.

Dengan lafaz Bismillah, saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Forum Iqra’ yang keenam. Selamat bersidang!

KASSIM AHMAD,

Presiden.

Bandaraya Tanjung, Pulau Pinang,

15 April, 2007.

[1] “Akan kucarikah selain Allah sebagai sumber hukum, sedangkan Dia telah mewahyukan kepadamu buku ini dengan terperinci? Mereka yang menerima kitab-kitab suci dulu pun mengiktiraf bahawa ia diturunkan dari Tuanmu dengan benarnya. Oleh itu, jangan kamu menaruh apa-apa keraguan. Perkataan Tuanmu lengkap dengan hak dan adilnya.” (Quran, 6: 114-115)

[2] “Janganlah gerakkan lidahmu untuk mempercepatkan wahyu ini. Kamilah bertanggunjawab mengumpulkannya menjadi Quran. Bila Kami membacanya, hendaklah kamu ikut Quran ini. Kemudian Kamilah yang akan menghuraikannya.” (Quran, 75: 16-19)

[3] “Juga bagi mereka yang mengikuti rasul, nabi ummi, yang mereka dapati tercatat dalam kitab-kitab Taurat dan Injil mereka. Beliau menyuruh mereka berbuat baik dan menjauhi kejahatan, dan beliau menghalalkan bagi mereka benda-benda yang baik dan mengharamkan benda-benda yang buruk, dan beliau membebaskan mereka dari bebanan-bebanan perjanjian mereka dan membuang belenggu yang mengikat mereka. Dengan demikian, mereka yang percaya kepadanya, memuliakannya, menyokongnya dan mengikut cahaya yang diturunkan bersamanya, merekalah yang menang.” (Quran, 7: 157)

[4] Seorang rasul yang membacakan kepada kamu wahyu-wahyu Tuhan yang jelas untuk memimpin mereka yang beriman dan berbuat baik keluar dari kegelapan kepada terang.” (Quran, 65: 11)

[5] “Inilah kitab – tidak syak baginya – bimbingan untuk mereka yang bertakwa.” (Quran, 2: 2)

[6] “Tiada siapa boleh beriman kecuali dengan izin Tuhan, dan Dia menghalang mereka yang tidak menggunakan akal.” (Quran, 10: 100) Ayat ini membuktikan keselarasan iman dan akal. “Baca, dengan nama Tuanmu yang menjadikan. Dia menjadikan manusia dari segumpal darah. Baca, dan Tuanmu Paling Mulia. Dia mengajar melalui pena. Dia mengajar manusia apa yang dia tidak tahu.” (Quran, 96: 1-5). Wahyu yang pertama ini menunjukkan kepentingan ilmu dalam Islam.

[7] Kami telah menghuraikan perkara ini dalam risalah Dilema Umat Islam – Antara Hadith dan Quran, Forum Iqra’, Pulau Pinang, 2000.

Sunday, April 08, 2007

FORUM AWAM

TAJUK: “ Islam Dalam Abad Ke-21: Cabaran Sains

& Teknologi Moden”

TEMPAT: Hotel Seri Malaysia Pulau Pinang,

Bandar Bayan Baru.

MASA: 15 April, 2007; pukul 2.30 – 5.00 petang.

AHLI PANEL: Dr. Ahmad Fauzi Abd. Hamid, Pensyarah USM; Sdr. Astora Jabat, Bekas Editor Al-Islam & Sdr Kassim Ahmad, Presiden Forum Iqra’.

Kehadiran percuma. Semua dijemput.

Anjuran Forum Iqra’

d/a 1504, Jalan Kulim Height 3,

Persiaran Kulim Golf,

09000 Kulim, Kedah.

TEL. 04-4031871

T/B: 016-4711779.

Saturday, April 07, 2007

SALAH TAFSIR

PUNCA KEJATUHAN UMAT ISLAM?

Oleh: Kassim Ahmad

6 April, 2007

Dalam sebuah uncapan di Kuala Lumpur baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyalahkan salah tafsir sebagai punca kejatuhan umat Islam . Beliau dilaporkan berkata, “Salah tafsir terhadap agama menjadikan orang Islam melangkah ke belakang menjadi mundur.” (Lihat Utusan Malaysia, 4 April; hal. 9.) Betulkah?

Mengikut Quran, Islam itu agama yang direda oleh Allah. Dengan demikian, Islam agama yang paling baik, yang, jika dianut oleh manusia, akan membawa kejayaan kepada mereka. Perkara ini telah pun dibuktikan oleh sejarah bangsa Arab di bawah pimpinan Nabi Muhammad dan pemerintahan-pemerintahan Islam yang awal. Dalam masa tidak sampai enam puluh tahun, agama ini telah membebaskan sebagian besar dunia pada waktu itu, yang berada di bawah kongkongan Empayar-empayar Rom dan Parsi, dan menjadikan Islam kuasa utama dunia. Dari abad ketujuh hingga abad ketiga-belas Islam telah menciptakan sebuah tamadun yang agung, yang kemudian telah meransang kebangkitan Eropah dan memberi sumbangan besar kepada tamadun saintifik moden. Selepas kejatuhan Baghdad pada 1258, sedikit demi sedikit tamadun gemilang ini hilang dari alam nyata, hanya tinggal dalam kenangan. Mengapa?

Untuk memahami fenomena ini, kita harus mengakji ciri-ciri agama Islam yang sebenar yang telah menyebabkan ia naik begitu cepat dan kemudian mengenal-pasti punca-punca ia jatuh.

Islam tidak seperti agama-agama lain. Ia agama tauhid yang ketat. Dari Nabi Ibrahim khanya, agama tauhid ini diwariskan melalui Nabi Musa dan Nabi Isa, kepada Nabi Muhammad. Agama tauhid ini menafikan semua tuhan lain, yakni semua kuasa bebas lain, kecuali kuasa yang sebenar, iaitu Tuhan Yang Esa, yang diberi nama Allah (La ilaha ill’al-Lah). Tidak ada kuasa lain, termasuk matahari dan bintang, atau batu dan pokok, yang disembah oleh banyak kaum sebelum zaman moden ini, dan juga pemimpin-pemimpin agama dan politik, yang menguasai jiwa sebagian besar bangsa-bangsa moden. Pada prinsipnya, seorang muslim ialah seorang insan yang telah dibebaskan dari semua bentuk perhambaan, kecuali perhambaan kepada yang hak saja, iaitu Kuasa Yang Bebas di Alam Raya. Seorang muslim telah membebaskan dirinya dari segala bentuk khurafat yang wujud dalam masyarakat-masyarakat dulu. Inilah yang menyebabkan mereka menjadi dinamik, aktif dan kreatif dan membolehkan mereka mencipta sebuah tamadun agung.

Mari kita lihat sifat-sifat manusia dan manusia muslim ini. Manusia dijadikan sebagai khalifah Allah di Bumi, kerana ia makhluk yang berakal dan sedar. Bumi meliputi Alam Raya. Sebagai khalifah, manusia boleh menentukan nasib atau destininya sendiri. Dia bebas. Tetapi kebebasan ini, kalau dia gunakan untuk memberontak terhadap Tuhan dengan melakukan kejahatan dan kerosakan yang dilarang oleh Tuhan, ia boleh memusnahkan dirinya dan tamadun. Tetapi jika kebebesan ini digunakan untuk melakukan kebaikan, seperti yang disuruh oleh Tuhan, ia akan membawa kepada kebahagian atau jannah (Lihat Quran, 9: 111). Oleh sebab itu, dalam cerita kejadian Adam dan Hawa, Tuhan melarang mereka mendekati pohon pengetahuan yang akan memberikan mereka kebebasan itu. (Lihat Quran, 2: 35)

Lanjutan dari konsep Adam atau manusia sebagai khalifah di Bumi, insan yang melalui ilmu boleh memiliki kuasa untuk mencipta dunianya sendiri, Tuhan memerintahkan para malaikat sujud kepada Adam. (Quran, 2: 31-34) Barang diingat konsep tauhid menghendaki kita sujud kepada Tuhan saja, tetapi di sini, aneh seribu kali aneh, Tuhan pula menyuruh para malaikat-Nya sujud kepada Adam, yakni manusia! Ini menunjukkan bahawa manusia mempunyai potensi kuasa dan penciptaan, seperti Tuhan!

Agama itu akal; tiada agama kalau tiada akal, kata sebuah hadis. Hadis ini selaras dengan ajaran Quran bahawa tiada siapa boleh beriman kecuali dengan izin Allah dan Dia menghalang mereka yang tidak menggunakan akal. (Lihat Quran: 10: 100) Jelas dari ayat ini bahawa iman dan akal itu selaras. Jika iman kita tidak dapat diterima oleh akal, maka iman itu cacat; sebaliknya, jika akal kita menolak kepercayaan kepada Tuhan dan Hari Pembalasan, maka akal kita cacat.

Sifat kesaintifikan agama Islam ini dibayangkan dalam wahyu peratma kepada Nabi Muhammad yang memerintah beliau membaca supaya dengan membaca manusia memperoleh ilmu (yakni sains dan teknologi) untuk mengubah dunia kepada yang dikehendakinya.

Inilah cirri-ciri penting agama Islam, yang membezakannya dari agama-agama lain. Walaupun falsafahnya mudah, ia meminta manusia bersikap rasional, bersikap bebas dan berusaha keras untuk mencapai kejayaan dan kebahagian bagi dirinya dan bagi semua manusia. Di sinilah punca kegagalan umat Islam kemudian. Kecenderungan-kecenderungan negatif yang wujud dalam masyarakat suku Arab yang lama, seperti khurafat-khurafat mempercayai kuasa-kuasa lain yang menentukan kehidupan seseorang, kemalasan untuk berfikir sendiri dan bergantung kepada fikiran orang lain, dan kemalasan untuk berusaha membangunkan kehidupan sendiri, merupakan punca-punca yang membawa kepada kejatuhan. Amaran Tuhan dalam Quran supaya mereka tidak mengikut agama nenek-moyang dilupakan dan satu kelas sarjana agama atau ulama muncul untuk memikirkan hal-hal agama bagi pihak mereka. Demikianlah timbul atau timbul balik kepercayaan-kepercayaan kurafat, seperti fatalisme, mistisme dan pendewaan kepada pemimpin, yang telah dibuang dari Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Kejadian-kejadian ini sebenarnya bukan salah tafsir semata-mata. Kata pepatah, orang tidur makanan orang jaga. Apabila kita mengabaikan keperluan kita untuk berfikir sendiri, orang lain akan berfikir untuk kita dan kita akan menjadi hamba mereka! Sebagian besar ialah pindaan dan tambahan yang tidak ada pada Islam yang asal, seperti dakwaan bahawa Nabi Muhammad membawa dua kitab, hukuman bunuh terhadap murtad (yang diambil dari kitab Taurat) dan hukuman rejam sampai mati untuk penzina (yang juga diambil dari kitab Taurat) . Umat Islam pula, pada umumnya, tidak mengetahui ajaran Islam yang sebenar, kerana mereka tidak digalakkan membaca Quran dalam bahasa mereka sendiri. Malah mereka diajar membaca Quran dalam bahasa Arab itu (yang mereka tidak faham) akan mendatangkan pahala yang banyak! Tidak hairanlah Surah 25, ayat 30 menyatakan bahawa umat Islam telah membelakangkan Quran. Ayat ini tersembunyi dalam Quran selama lebih seribu empat ratus tahun! Jika sarjana-sarjana kita dulu mengingatkan kita tentang ayat ini serta mengmabil tindakan-tindakan untuk mengelaknya, tentulah umat Islam hari ini tidak jadi begini!

Kita yakin tidaklah susah sangat untuk menghuraikan agama tauhid Islam ini. Salah tafsir boleh diatasi melalui perbincangan dan perbahasan. Yang harus kita elak dari sekarang ialah mengabaikan tanggungjawab kita, tiap seorang, untuk berfikir sendiri. Berkali-kali Tuhan mengingatkan kita bahaw Quran itu ialah untuk “orang yang berfikir” likaumin yatafakkarun. (Quran, 10: 24; 13: 3; 16: 11, 69; 30: 21; 39: 42 & 45: 13) Quran ialah kitab suci orang Islam dan kita harus kembali kepadanya untuk mencari panduan pokok dalam kehidupan kita dalam Abad Kedua Puluh Satu.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Lama web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com

Sunday, April 01, 2007

(f) Kepercayaan kepada qada dan qadar

Kepercayaan ini, yang diajar dalam rukum iman yang keenam dan datang melalui saluran Hadis, ditafsirkan dengan makna untung baik dan jahat daripada Tuhan. Akibat ajaran ini, umat Islam menerima segala kejahatan yang berlaku kepada mereka sebagai takdir Tuhan. Ini menimbulkan sikap fatalis di kalangan mereka. Sikap ini membunuh daya kreativiti untuk membaiki kehidupan mereka.

Kepercayaan ini ditolak dalam Quran dalam ayat-ayat 4:136 dan 4:78-79. Ayat 4:136 menyenaraikan lima kepercayaan saja, iaitu kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Ayat 4:78-79 mengajar kita bahawa segala yang baik itu daripada Allah, tetapi segala yang jahat itu akibat daripada perbuatan manusia.

Menolak qada dan qadar dalam ertikata ini tidak bermakna kita menolak undang-undang Tuhan. Memang Tuhan yang menjadikan segala-galanya dan yang mentadbirkan alam ini. Tetapi kejahatan bukan berasal dari Tuhan; ia berasal dari kecenderungan manusia untuk memberontak terhadap Tuhan. Tuhan melarang manusia melakukan kejahatan. Namun, di bawah hasutan syaitan, kecenderungan manusia untuk melanggar undang-undang Tuhan menjadi kenyataan. Inilah makna ayat Tuhan bahawa kejahatan itu akibat perbuatan manusia.

Qada dan qadar, atau undang-undang Tuhan, memang wujud. Di alam tabi`i , ia disebut taqdir [1]; di alam sosial atau sejarah, ia disebut sunnat 'ul-Allah [2]. Tetapi, harus diingat bahawa undang-undang Tuhan di alam manusia termasuk memberi kebebasan kepada manusia untuk menentukan kehidupannya.[3]

Kepercayaan kepada qada dan qadar telah membunuh jiwa kreatif dalam masyarakat Islam. Inilah punca kejatuhan sains dalam masyarakat Islam dan juga punca keruntuhan tamadun Islam, yang telahpun digantikan oleh sains dan tamadun Barat.

Mensahkan puak dalam Islam.

Hadis-hadis yang meramalkan umat Islam akan bepecah kepada 73 puak telah mensahkan perpecahan dan puak dalam masyarakat Islam. Pada mulanya, masyarakat Islam itu satu, di bawah pimpinan Nabi Muhammad dan pengganti-pengganti awal beliau. Tetapi tidak lama kemudian, kerana rebutan kuasa, maka timbullah perpecahan yang kemudian kekal menjadi puak dan disahkan oleh autoriti baru Hadis, sehingga timbullah puak Ahli Sunnah wa’1-Jamaah, puak Syiah dan puak-puak lain dengan teologi masing-masing.

Perpecahan dan membuat puak ini ditolak oleh Quran dalam ayat-ayat 3:103, yang menyuruh kita berpegang kepada ikatan Allah, iaitu kitab-Nya, dan tidak berpecah-belah; 6:159, yang memerintah supaya jangan membuat puak dengan Nabi Muhammad membuang kita dari golongannya, jika kita berbuat demikian; dan 61:4, yang memerintahkan kita bersatu dan berjuang di jalan Allah dalam satu barisan. Ayat-ayat melarang perpecahan memang banyak. Jadi, perpecahan umat Islam sekarang, yang menyebabkan kelemahan mereka, ialah akibat kita melanggar perintah Tuhan supaya bersatu-padu, dan akibat kita mengikut ajaran musuh-musuh Islam yang dibawa melalui saluran Hadis yang menggalakkan kita berpecah dan berpuak.

Fahaman majoriti masyarakat Islam tidak menyeleweng.

Hadis membuat dakwaan bahwa majoriti masyarakat Islam tidak akan menyeleweng. Ini tidak selaras dengan ajaran Quran. Quran mengajar kita bahawa kebenaran kerapkali berada pada minoriti dan majoriti kerapkali meneyeleweng. [4] Atas dasar majoriti inilah (ijmak), maka Hadis sebagai sumber hukum kedua di samping Quran telah diwujudkan, walaupun terdapat hadis-hadis yang bercanggah dengan Quran. Atas dasar inilah juga apa yang dikatakan syariah Islam telah diputuskan.[5] Perbuatan ini nyata melanggar ajaran Tuhan tentang asas hukum dalam Islam, yang dijelaskan dalam ayat 4:59.[6] Ayat ini menjelaskan bahawa undang-undang dasar terdapat dalam Quran, dengan pemerintah atau pihak berkuasa boleh menggubal undang-undang tambahan selagi undang-undang ini tidak bercanggah dengan ajaran Quran.

Hadis mentafsirkan Quran

Ulama Hadis klasik, dengan merujuk kepada beberapa ayat Quran dan memberikan tafsiran yang sabjektif,[7] mendakwa Hadis mentafsirkan Quran. Kita dapat melihat bahawa pendapat ini tidak secocok dengan ajaran Quran tentang ilmu tafsir. Ada beberapa ayat Quran yang menolak pendapat ini.

Pertama, Tuhan menerangkan bahawa Dialah yang mengajar Quran.[8] Kedua, dalam hal ayat-ayat mutasyabihat atau kiasan, Tuhan menyatakan tiada siapa yang mengetahui tafsirannya kecuali Dia dan mereka yang pakar dalam hal itu.[9] Ketiga, Tuhan memberitahu kita bahawa Dia dan agen-agennya (kata nama "Kami " bagi Tuhan bermakna Dia dan agen-agennya) akan menghuraikan Quran.[10] Ke dalam kategori "Kami" ini, tentulah termasuk nabi dan rasul, termasuk Nabi Muhammad, dan mereka yang Tuhan beri hidayah. Keempat, kategori akhir yang diberi ilmu tafsir oleh Tuhan ialah mereka yang Dia pilih dari hamba-hamba-Nya.[11]

Ayat-ayat Quran yang jelas yang telah kita petik di atas menunjukkan bahawa fahaman bahawa Hadis mentafsirkan Quran itu tidak tepat. Dari segi hukum logika, fahaman ini tidak menasabah, kerana ilmu dan fahaman Nabi Muhammad terbatas kepada zamannya.

Fahaman ini telah menyebabkan sebagian tafsir Quran menjadi kabur dan kacau. Ambil satu contoh saja, iaitu tafsiran ayat tentang ketaatan, dalam Surah 4, ayat 59; di sini Tuhan memerintahkan orang mukmin supaya taat kepada Dia dan rasul-Nya dan kepada ulil-amr. Kebanyakan pentafsir menghuraikan frasa "taat kepada Tuhan" sebagai berpegang kepada Quran, dan frasa "taat kepada rasul" sebagai berpegang kepada Hadis/Sunnah, sedangkan makna yang sebenar bagi frasa "taat kepada Tuhan dan taat kepafa rasul" ialah taat kepada Tuhan dan berpegang kepada kitab-Nya Quran yang dibawa oleh rasul-nya, Muhammad.

2. Undang-undang

Dalam bidang undang-undang, terdapat dua kes percanggahan yang menonjol antara ajaran Quran dengan ajaran Hadis.

Kesalahan murtad.

Hadis mengenakan hukuman bunuh terhadap orang Islam yang murtad. Hukuman ini berasal dari kitab Taurat [12] dan bercanggah dengan ajaran Quran. Hukuman ini bermakna tiada kebebasan beragama bagi orang Islam. Ini bercanggah dengan perisytiharan Tuhan yang masyhur dalam Quran bahawa tiada paksaan dalam agama.[13]

Harus dibezakan antara perbuatan murtad dari perbuatan menghina Islam atau perbuatan memberontak terhadap sebuah pemerintahan Islam yang sah.[14] Dua jenis perbuatan ini, murtad dan menghina atau memberontak, tidak sama.[15]

Kesalahan zina.

Hadis mengenakan hukuman rejam dengan batu hingga mati bagi pasangan yang telah berkhwin, jika didapati telah melakukan perzinaan. Hukuman ini juga berasal dari kitab Taurat [16] dan bercanggah dengan hukuman Tuhan yang ditetapkan dalam Quran, iaitu, jika sabit kesalahan dengan adanya empat orang saksi, seratus rotan bagi kedua-dua pesalah, sama ada sudah berkahwin atau belum.[17]

Perhatikan bahawa undang-undang ini telah meminda hukuman Tuhan tentang penzina, iaitu bagi yang telah berkahwin, hukumnya rejam hingga mati. Ini satu contoh yang dinamakan oleh ulama Hadis sebagai “Hadis mentafsir Quran”. Nyatalah ini bukan tafsiran, tetapi pindaan!

Sejarah

Asal-usul sembahyang

Mengikut ajaran Hadis, sembahyang sehari semalam lima waktu diperintahkan kepada Nabi Muhammad pada malam mikraj apabila beliau diangkat ke langit untuk menerima perintah itu daripada Tuhan. Ini bersalahan dengan ajaran Quran dan fakta sejarah. Quran memaklumkan kepada kita semua ibadah agama telah diturunkan kepada Nabi Ibrahim, seperti jelas dari ayat berikut:-

Sambil Ibrahim meletakkan asas Ka'bah bersama dengan Ismail, mereka berdoa: "Tuan kami, terimalah daripada kami. Kau Pendengar, Maha Mengetahui. Tuan kami, jadikanlah kami muslim kepada-Mu dan dari keturunan kami suatu umat muslim kepada-Mu. Ajarlah kepada kami cara-cara ibadah kami, dan ampunilah kami. Engkaulah Pengampun, Maha Penyayang." [18]

Semua nabi, dari zaman Nabi Ibrahim, melakukan sembahyang. Sebagai seorang yang beragama hanif (yang berasal dari agama Nabi Ibrahim), Muhammad melakukan sembahyang sebelum dia diangkat menjadi nabi.[19] Pada malam israk dan mikraj itu, beliau dilaporkan bersembahyang `isyak di rumah Umm Hani.[20]

Salah satu hujah Ahlul-Hadis ialah bahawa tanpa Hadis sembahyang tidak dapat dilakukan kerana mereka dakwa kaedah sembahyang tidak terdapat dalam Quran. Dakwaan ini tidak tepat, kerana beberapa kaedah sembahyang disebut dalam Quran, seperti wuduk, memakai pakaian bersih, berdiri mengadap qiblat, rukuk dan sujud. Malah Quran juga memberikan cara-cara untuk memudahkan sembahyang dalam keadaan-keadaan luar biasa.

Mereka juga harus ingat bahawa sembahyang itu sudah diajar oleh Tuhan kepada manusia dari sejak zaman Nabi Ibrahim[21] dan wujud dalam kumpulan-kumpulan hanif, iaitu pengikut-pengikut agama Nabi Ibrahim. Salah seorang anggota kumpulan ini Muhammad sendiri.[22]

Malam isra’ dan mikra’ itu memang ada, iaitu malam Lailat’ul-Qadr, malam kitab suci Quran diberi kepada jiwa Nabi Muhammad. Peristiwa ini dirujuk dalam Quran dalam Surah 17, ayat 1, Surah 53, ayat-ayat 1-18 dan Surah 97, ayat 1.



[1] Perkataan Arab taqdir digunakan dalam Quran untuk merujuk kepada undang-undang fizikal. Perhatikan ayat ini, yang datang selepas beberapa ayat yang menceritakan fe`el bumi yang bertindak mengikut undang-undang fizikal itu, "Demikianlah taqdir Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Mengetahui." (36:38)

[2] Frasa sunnat'ul-Allah digunakan dalam Quran untuk merujuk kepada undang-undang sejarah. Perhatikan ayat ini, yang datang setelah menceritakan sebuah kejadian yang menunjukkan perlakuan undang-undang sejarah ini, "Inilah cara Tuhan sejak berzaman-zaman. Perintah Tuhan tetap berlaku." (33:38)

[3] Konsep manusia sebagai khalifah, yang diajar dalam Quran (lihat 2:30-34), meletakkan manusia sebagai raja yang boleh menentukan nasibnya sendiri.

[4] "Kami telah membawa kepadamu kebenaran, tetapi kebanyakan orang benci kepada kebenaran." (Quran, 43:78)

[5] Tentang ini, Prof. Ahmad Ibrahim telah berkata, "Walaupun dari segi teori, ijmak atau permuafakatan memainkana peranan sampingan kepada Quran dan Sunnah sebagai sumber hukum, pada praktiknya, ia telah menjadi pancang yang muktamad bagi teori perundangan dan undang-undang yang berlaku dalam bentuk muktamadnya. Ijmak menjaminkan keabsahan dan tafsiran yang betul kepada Quran, periwayatan yang betul bagi Sunnah Nabi, penggunaan yang sah dan hasil-hasilnya bagi qias; pendek kata, ia meliputi setiap perincian undang-undang, termasuk perbezaan-perbezaan mazhab yang diiktiraf. Apa juga yang dibenarkan oleh ijmak betul dan tidak boleh dipersalahkan dengan merujuk kepada prinsip-prinsip lain." (Islamic Law in Malaysia, Malaysian Sociological Research Institute, Singapura, 1965; h. 25.)

[6] "Hai orang yang beriman, hendaklah kamu taati Allah dan hendakalah kamu taati rasul, and mereka yang berkuasa di antara kamu. Jika kamu berbalah tentang sesuatu perkara, hendaklah kamu rujuk kepada Allah dan rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Inilah yang baik dan cara yang paling bagus."

[7] Penulis telah membahas dan menolak hujah-hujah mereka. Lihat Kassim Ahmad, Hadis -- Satu Penilaian Semula, hal.42-44.

[8] Quran, 55: 1-2.

[9] Quran, 3: 7.

[10] Quran, 75: 16-19.

[11] Quran, 35: 32.

[12] "Tetapi bunuhlah seorang penta'bir mimpi atau nabi yang melawan Tuhan … Walau abangmu atau anak lelaki atau anak lelaki atau anak perempuan atau isteri yang kamu kasihi atau sahabatmu yang paling karib sekalipun boleh menggalakkan kamu menyembah tuhan-tuhan kaum lain yang duduk berhampiran dengan kamu, ataupun tuhan-tuhan mereka yang tinggal jauh daripada kamu. Tetapi jangan biarkan dia memujuk kamu; jangan dengar dia pun. Jangan berlembut atau kasihan kepadanya dan jangan melindungi dia. Bunuhlah dia! Dululah kamu merejam dia dengan batu dan kemudian biar semua orang merejam dia dengan batu. Rejamlah dengan batu hingga mati! Dia cuba membawa kamu daripada Tuhan kamu yang telah menyelamatkan kamu dari pengabdian di Mesir …" (Deuteronomy, 13: 5-10)

[13] Ayat yang memberi kebebasan mutlak kepada seseorang untuk memilih agamanya banyak. Tetapi yang paling kuat ialah ayat 2:256 yang berbunyi, "Tidak ada paksaan dalam agama; jalan yang betul sekarang dibezaan dengan jalan yang salah. Oleh itu, barangsiapa yang mengutuk syaitan dan beriman dengan Allah telah berpaut pada ikatan yang tidak mungkin putus." Perhatikan ayat ini datang selepas ayat yang paling agung yang mengisytiharkan kuasa Tuhan yang tidak ada tolok-bandingnya. Makna tersiratnya, jika Tuhan Yang Maha Berkuasa tidak memaksa manusia beriman kepada-Nya, bolehkah pula manusia berbuat demikian?

[14] Peperangan yang dilancarkan oleh Khalifah Abu Bakr (632-34) terhadap suku-suku Arab yang ingkar membayar zakat kepada negara dianggap telah memberontak terhadap pemerintahan Islam. Mereka dibunuh bukan kerana murtad, tetapi kerana pemberontakan mereka.

[15] Lihat Mohammad Hashim Kamali, Punishment in Islamic Law, hal. 33-37.

[16] "Tetapi jika tuduhan ini benar dan tiada bukti bahawa pengantin perempuan itu dara, hendaklah mereka memawa dia keluar ke pintu rumah bapanya, dan di sini hendaklah mereka rejam dia dengan batu hingga mati. Dia telah mengaibkan keluarganya dengan mengadakan persetubuhan sebelum dia berkahwin … Jika seseorang lelaki ditangkap mengadakan persetubuhan dengan isteri orang lain, kedua-duanya hendaklah dibunuh … Katalah seorang lelaki ditangkap di sebuah bandar melakukan persetubuhan dengan seorang gadis tunangan orang. Hendaklah kamu membawa mereka ke pinggir bandar dan rejam mereka dengan batu hingga mati …" (Deuteronomy, 22: 20-32)

[17] Lihat Quran, 24: 2 dan 13.

[18] 2: 127-28.

[19] Lihat Ibn Ishaq, The Life of Muhammad, (pent. A. Guillaume), h. 105.

[20] Ibid., hal. 184.

[21] Lihat Quran, 2: 127-28.

[22] Lihat Malek Bennabi, The Quranic Phenomenon (pent. Abu Bilal Kirkari), American Trust Publication, 1983; h. 154.