Saturday, April 07, 2007

SALAH TAFSIR

PUNCA KEJATUHAN UMAT ISLAM?

Oleh: Kassim Ahmad

6 April, 2007

Dalam sebuah uncapan di Kuala Lumpur baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyalahkan salah tafsir sebagai punca kejatuhan umat Islam . Beliau dilaporkan berkata, “Salah tafsir terhadap agama menjadikan orang Islam melangkah ke belakang menjadi mundur.” (Lihat Utusan Malaysia, 4 April; hal. 9.) Betulkah?

Mengikut Quran, Islam itu agama yang direda oleh Allah. Dengan demikian, Islam agama yang paling baik, yang, jika dianut oleh manusia, akan membawa kejayaan kepada mereka. Perkara ini telah pun dibuktikan oleh sejarah bangsa Arab di bawah pimpinan Nabi Muhammad dan pemerintahan-pemerintahan Islam yang awal. Dalam masa tidak sampai enam puluh tahun, agama ini telah membebaskan sebagian besar dunia pada waktu itu, yang berada di bawah kongkongan Empayar-empayar Rom dan Parsi, dan menjadikan Islam kuasa utama dunia. Dari abad ketujuh hingga abad ketiga-belas Islam telah menciptakan sebuah tamadun yang agung, yang kemudian telah meransang kebangkitan Eropah dan memberi sumbangan besar kepada tamadun saintifik moden. Selepas kejatuhan Baghdad pada 1258, sedikit demi sedikit tamadun gemilang ini hilang dari alam nyata, hanya tinggal dalam kenangan. Mengapa?

Untuk memahami fenomena ini, kita harus mengakji ciri-ciri agama Islam yang sebenar yang telah menyebabkan ia naik begitu cepat dan kemudian mengenal-pasti punca-punca ia jatuh.

Islam tidak seperti agama-agama lain. Ia agama tauhid yang ketat. Dari Nabi Ibrahim khanya, agama tauhid ini diwariskan melalui Nabi Musa dan Nabi Isa, kepada Nabi Muhammad. Agama tauhid ini menafikan semua tuhan lain, yakni semua kuasa bebas lain, kecuali kuasa yang sebenar, iaitu Tuhan Yang Esa, yang diberi nama Allah (La ilaha ill’al-Lah). Tidak ada kuasa lain, termasuk matahari dan bintang, atau batu dan pokok, yang disembah oleh banyak kaum sebelum zaman moden ini, dan juga pemimpin-pemimpin agama dan politik, yang menguasai jiwa sebagian besar bangsa-bangsa moden. Pada prinsipnya, seorang muslim ialah seorang insan yang telah dibebaskan dari semua bentuk perhambaan, kecuali perhambaan kepada yang hak saja, iaitu Kuasa Yang Bebas di Alam Raya. Seorang muslim telah membebaskan dirinya dari segala bentuk khurafat yang wujud dalam masyarakat-masyarakat dulu. Inilah yang menyebabkan mereka menjadi dinamik, aktif dan kreatif dan membolehkan mereka mencipta sebuah tamadun agung.

Mari kita lihat sifat-sifat manusia dan manusia muslim ini. Manusia dijadikan sebagai khalifah Allah di Bumi, kerana ia makhluk yang berakal dan sedar. Bumi meliputi Alam Raya. Sebagai khalifah, manusia boleh menentukan nasib atau destininya sendiri. Dia bebas. Tetapi kebebasan ini, kalau dia gunakan untuk memberontak terhadap Tuhan dengan melakukan kejahatan dan kerosakan yang dilarang oleh Tuhan, ia boleh memusnahkan dirinya dan tamadun. Tetapi jika kebebesan ini digunakan untuk melakukan kebaikan, seperti yang disuruh oleh Tuhan, ia akan membawa kepada kebahagian atau jannah (Lihat Quran, 9: 111). Oleh sebab itu, dalam cerita kejadian Adam dan Hawa, Tuhan melarang mereka mendekati pohon pengetahuan yang akan memberikan mereka kebebasan itu. (Lihat Quran, 2: 35)

Lanjutan dari konsep Adam atau manusia sebagai khalifah di Bumi, insan yang melalui ilmu boleh memiliki kuasa untuk mencipta dunianya sendiri, Tuhan memerintahkan para malaikat sujud kepada Adam. (Quran, 2: 31-34) Barang diingat konsep tauhid menghendaki kita sujud kepada Tuhan saja, tetapi di sini, aneh seribu kali aneh, Tuhan pula menyuruh para malaikat-Nya sujud kepada Adam, yakni manusia! Ini menunjukkan bahawa manusia mempunyai potensi kuasa dan penciptaan, seperti Tuhan!

Agama itu akal; tiada agama kalau tiada akal, kata sebuah hadis. Hadis ini selaras dengan ajaran Quran bahawa tiada siapa boleh beriman kecuali dengan izin Allah dan Dia menghalang mereka yang tidak menggunakan akal. (Lihat Quran: 10: 100) Jelas dari ayat ini bahawa iman dan akal itu selaras. Jika iman kita tidak dapat diterima oleh akal, maka iman itu cacat; sebaliknya, jika akal kita menolak kepercayaan kepada Tuhan dan Hari Pembalasan, maka akal kita cacat.

Sifat kesaintifikan agama Islam ini dibayangkan dalam wahyu peratma kepada Nabi Muhammad yang memerintah beliau membaca supaya dengan membaca manusia memperoleh ilmu (yakni sains dan teknologi) untuk mengubah dunia kepada yang dikehendakinya.

Inilah cirri-ciri penting agama Islam, yang membezakannya dari agama-agama lain. Walaupun falsafahnya mudah, ia meminta manusia bersikap rasional, bersikap bebas dan berusaha keras untuk mencapai kejayaan dan kebahagian bagi dirinya dan bagi semua manusia. Di sinilah punca kegagalan umat Islam kemudian. Kecenderungan-kecenderungan negatif yang wujud dalam masyarakat suku Arab yang lama, seperti khurafat-khurafat mempercayai kuasa-kuasa lain yang menentukan kehidupan seseorang, kemalasan untuk berfikir sendiri dan bergantung kepada fikiran orang lain, dan kemalasan untuk berusaha membangunkan kehidupan sendiri, merupakan punca-punca yang membawa kepada kejatuhan. Amaran Tuhan dalam Quran supaya mereka tidak mengikut agama nenek-moyang dilupakan dan satu kelas sarjana agama atau ulama muncul untuk memikirkan hal-hal agama bagi pihak mereka. Demikianlah timbul atau timbul balik kepercayaan-kepercayaan kurafat, seperti fatalisme, mistisme dan pendewaan kepada pemimpin, yang telah dibuang dari Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Kejadian-kejadian ini sebenarnya bukan salah tafsir semata-mata. Kata pepatah, orang tidur makanan orang jaga. Apabila kita mengabaikan keperluan kita untuk berfikir sendiri, orang lain akan berfikir untuk kita dan kita akan menjadi hamba mereka! Sebagian besar ialah pindaan dan tambahan yang tidak ada pada Islam yang asal, seperti dakwaan bahawa Nabi Muhammad membawa dua kitab, hukuman bunuh terhadap murtad (yang diambil dari kitab Taurat) dan hukuman rejam sampai mati untuk penzina (yang juga diambil dari kitab Taurat) . Umat Islam pula, pada umumnya, tidak mengetahui ajaran Islam yang sebenar, kerana mereka tidak digalakkan membaca Quran dalam bahasa mereka sendiri. Malah mereka diajar membaca Quran dalam bahasa Arab itu (yang mereka tidak faham) akan mendatangkan pahala yang banyak! Tidak hairanlah Surah 25, ayat 30 menyatakan bahawa umat Islam telah membelakangkan Quran. Ayat ini tersembunyi dalam Quran selama lebih seribu empat ratus tahun! Jika sarjana-sarjana kita dulu mengingatkan kita tentang ayat ini serta mengmabil tindakan-tindakan untuk mengelaknya, tentulah umat Islam hari ini tidak jadi begini!

Kita yakin tidaklah susah sangat untuk menghuraikan agama tauhid Islam ini. Salah tafsir boleh diatasi melalui perbincangan dan perbahasan. Yang harus kita elak dari sekarang ialah mengabaikan tanggungjawab kita, tiap seorang, untuk berfikir sendiri. Berkali-kali Tuhan mengingatkan kita bahaw Quran itu ialah untuk “orang yang berfikir” likaumin yatafakkarun. (Quran, 10: 24; 13: 3; 16: 11, 69; 30: 21; 39: 42 & 45: 13) Quran ialah kitab suci orang Islam dan kita harus kembali kepadanya untuk mencari panduan pokok dalam kehidupan kita dalam Abad Kedua Puluh Satu.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Lama web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com

No comments: