Thursday, September 25, 2014

PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL-JAMA'AH




PEGANGAN AHLI SUNNAH-WAL-JAMA’AH:
ADAKAH SAMA DENGAN AJARAN NABI MUHAMMAD?

Oleh: Kassim Ahmad
18 September, 2014

           “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada agama yang satu ini dan jangan buat
puak.”                                                                                                        Quran, 42: 13
            Saya petik ayat di atas, perintah yang diberikan Tuhan kepada semua nabi, untuk  menunjukkan bahawa agam Islam itu satu, agama tauhid, yang terkandung sepenuhnya, dan terpelihara dari korupsi, dalam Quran.
            Tetapi sejarah yang ditempa manusia diwarnai oleh sabjektiviti manusia, sabjektiviti yang menukar objektiviti, yakni alam atau dunia. Ajaran nabi yang terakhir, Nabi Muhammad, yang terkandung sepenuhnya dalam Quran tidak berkembang menurut garis yang menegak lurus. Perkembangan ini dipengaruhi oleh kepercayaan, termasuk prejudis, masyarakat. Oleh sebab ini, maka tidak lama kemudian, antara 200-250 tahun, ajaran yang satu ini terbahagi kepada dua puak yang besar, iaitu apa yang dipanggil Ahli Sunnah Wal-Jamah atau kaum Sunni(puak majoriti), dan kaum Syi’ah (puak minoriti). Pada permulaannya perpecahan ini bersifat politik, tetapi kemudian berkembang menjadi puak-puak dengan teologi masing-masing. Kedua-duanya menyimpang dari ajaran-ajaran pokok yang dibawa oleh Nabi Muhammad dalam Quran. Hadis/Sunnah satu penyelewengan yang besar.
            Bagi kaum Sunni, syahadah kedua ditambah (untuk mendewa-dewakan Nabi Muhammad), bersalahan dengan ajaran beliau sendiri dalam Quran. [1]  Selawat kepada Nabi (selawat ertinya restu, sokong) satu lagi penyelewengan. Dalam Quran dalam Surah Al-Ahzab (33) frasa ini (“Tuhan dan para malaikat”) disebut dua kali, yang pertama dituju kepada orang mukmin (ayat 43) dan yang kedua (ayat 56) dituju kepada Nabi (jangan lupa Nabi juga bertindak sebagai pemimpin masyarakat pada ketika itu). Mengapa ayat 33 dilupakan? Lagi pun, kita hanya boleh merestui dan menolong orang yang hidup, bukan orang yang telah mati.  Nabi Muhammad telah wafat.
            Berbalik kepada penyelewengan yang biasanya berlaku dalam masyarakat manusia, (ia berlaku dalam kes-kes agama Hindu dan agama Kristian) dalam kes ajaran Nabi Muhammad, orang Islam boleh berbalik ke pangkal jalan dengan merujuk kepada Quran. Tiap-tiap generasi boleh mengkritik generasi yang dahulu dengan berpandukan Quran. Umpamanya, doktrin dua sumber utama (Quran dan Hadis) yang diperkenalkan oleh Imam Shafi’e (m. 820) boleh ditolak dengan berpandukan Quran. (Malang bagi umat Islam, mereka telah mendewa-dewakan Imam Shafi’e dan dengan itu beliau tidak boleh dikritik.)
            Pada hari ini, kebanyakan umat Islam umat Islam  (kedua-dua puak Sunni dan Syi’ah) boleh kembali kepada ajaran Nabi Muhammad dalam Quran. Umat-umat lain tidak boleh, kerana kitab-kitab suci mereka sudah dikorapsi oleh tangan manusia. Mereka juga kena rujuk kepada Quran. Itulah sebabnya Nabi Muhammad disifatkan sebagai rahmat kepada seluruh dunia.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahamad.blogspot.com  

           


[1] Lihat Quran, 63: 1 yang membataalkan syahadajh kedua. Ingat apa yang berlaku kepada Surah 9 (tanpa Basmallah)- pembahan dua ayat (128 an 129) untuk mendewa-dewakan Nabi Muhammad.

Thursday, September 04, 2014

PERTANYAAN DARIPADA SEORANG PEMINAT



Thursday, September 04, 2014
 
PERTANYAAN DARIPADA SEORANG PEMINAT 

Seorang hamba Allah baru-baru ini telah menanyakan empat soalan kepada saya. Berikut saya perturunkan soalan dan jawapannya. -- Kassim

Soalan 1:
   Tuan pernah menyatakan tuan menolak hadis yang bercanggah dengan Quran. Tolong berikan contoh hadis yang bercanggah dengan Quran. 

Jawapan
   Seperti yang terjadi kepada Nabi Isa, setelah 300 tahun Nabi Muhammad wafat, kebanyakan  pengikutnnya menyeleweng dari ajaran beliau yang asal. Mereka berpecah menjadi dua puak: Ahli Sunnah Wa'l-Jama'ah, dan Syiah. Beliau didewa-dewakan menjadi "kekasih Allah", "penghulu segala nabi", "maksum" dan sebagainya. Satu daripada tanda mereka telah mendewa-dewakan beliau, syahadah kedua. Perhatikan syahadah ini dibatalkan dalam Quran, Surah 63, ayat 1. Juga perhatikan di kebayakan mesjid, rumah dan kereta mereka ditulis nama Allah dan Muhammad separas dan sama besar!
   Mereka juga mengada-ngadakan hadis yang tidak direstui oleh Nabi Muhammad, sedangkan mereka mendakwa hadis-hadis ini berasal daripada beliau.

Soalan 2
   Tuan pernah menyatakan kedudukan Quran lebih tinggi dari kitab-kitab lain. Apakah kaedah yang tuan gunakan untuk memahami isi Quran.
Jawapan
   Tiga kaedah yang dikenal dalam ilmu falsafah sebagai epistimologi, yakni ilmu bagaimana kita mengetahu. Guru Quran yang pertama dan terakhir itu Tuhan. Tuhanlah yang mengajar Quran kepada orang mukmin.
    Kita mengetahui sesuatu perkara dengan menggabungkan tiga cara. Pertama, kesaksian deria; kedua, kesaksian logika; dan akhir sekali, kesaksian mutlak. Ambil contoh pena. Kita berkata, “Saya memegang sebatang pena.” (kesaksian deria). Lalu kita mengatakan, “Saya tahu pena ini dibuat oleh seorang tukang dalam sebuah kilang.” (kesaksian logika). Akhir sekali kita mengatakan tukang dan kilang itu datang dari seorang Pencipta (kesaksiaan mutlak). Pencipta ini tidak dicipta oleh sesiapa; Ia Jadi Sendiri. Kia gabungkan ketiga-tiga kesaksian ini lalu kita dapat apa yang kita panggil Kebenaran, dengan ‘K’ huruf besar. Sebab itu Kebenaran itu Tuhan.

Soalan 3
     Tolong beritahu saya bagaimana caranya saya boleh memahami Quran secara mudah dan tepat.
Jawapan
   Quran menjelaskan dirinya sendiri. Ertinya ayat menjelaskan ayat, bukan seperti dalam kaedah klasik, Hadis menjelaskan Quran. Misi utama Nabi Muhammad menerima dan menyampaikan Quran, bukan menerangkan kandungannya.

Soalan 4
   Di mana saya boleh belajar kefahaman Quran? Adakan university atau institut yang mengajar ilmu ini?
Jawapan
    Saya percaya sesetengan university, umpamanya Universiti Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur, mengajar ilmu ini. Tetapi saya fikir kita boleh belajar ilmu ini dari Quran sendiri. Seperti yang telah saya katakan, Quran menjelaskan dirinya sendiri. Namun demikian, kaedah ini hendaklah bersifat saintifik, yakni ia boleh menghadapi kritikan saintifik. Saya telah mengemukakan kaedah ini dalm buku saya, Hadis – Jawapan kepada Pengkritik,  (Media Indah, Kuala Lumpur: 1992). Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul, Hadith: A Re-evaluation (Monotheist Productions International: U.S.A. 1996).