Saturday, May 30, 2009

MASALAH PERKEMBALIAN CHING PENG KE MALAYSIA

Oleh: Kassim Ahmad
30 Mei, 2009



Dalam memoirnya, My Side of History, Chin Peng, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, berkata: “Memang wajarlah saya menyimpan hasrat untuk menghabiskan sisa-sisa hidup saya di Malaysia. Suatu tempelakan sejarah bahawa saya tiada tanahair yang kerananya saya lebih dari sanggup mengorbankan nyawa saya.” (hlm. 509) Peguam beliau, Darshan Singh Khaira, menyatakan bahawa, mengikut perjanjian damai yang ditandatangani di antara PKM dengan Kerajaan Malaysia di Haadyai, Thailand pada 2 Disember, 1989, beliau berhak pulang ke tanahairnya. Kata beliau lagi, selepas perjanjian ini dimeterai, semua bekas pemimpin PKM, termasuk Rashid Mydin, telah pulang ke kampung masing-masing di Malaysia. (Lihat Utusan Malaysia, 30 Mei, 2009; hal. 3)

Tugas pimpinan negara ialah mendidik rakyat berfikiran waras dan rasional, mengarah kepada kebaikan. Malangnya, dalam masyarakat kita, lebih banyak kali pemimpin menjadi “pengikut” serta membenarkan diri mereka hanyut dalam emosi negatif yang tiada kesudahannya. Demikianlah yang berlaku kepada isu Chin Peng hendak kembali ke kampung halaman di Setiawan, Perak.

Saya jangka Tun Dr. Mahathir akan membuat ulasan tentang perkara ini, kerana perjanjian damai ini tercapai dalam zaman pemerintahan beliau. Kerajaan Malaysia juga boleh menyiarkan bahagian-bahagian yang perlu dalam perjanjian ini.

Sejarah menunjukkan bahawa PKM ditubuhkan pada 1930 sebagai sebuah sayap gerakan Komunis Antarabangsa untuk menubuhkan “sebuah Republik Malaya” yang demokratik, berdaulat dan merdeka. Mula-mula orang-orang Cina di Malaysia digerakkan untuk membantu negara China dari serangan Jepun pada 1928 dan kemudian dari pendudukan Jepun di Malaysia pada Disember, 1941. Apabila Jepun menyerah kalah pada 1945 dan penjajah Inggeris kembali memerintah Malaya serta menindas gerakan kiri, termasuk nasionalis kiri, seperti Kesatuan Melayu Muda dan Parti Kebangsaan Melayu, PKM melancarkan perjuangan bersenjata. Perjuangan bersenjata ini bermula dari 1948 apabila Darurat diisytiharkan oleh rejim kolonial Inggeris sehingga 1960 apabila Kerjaan berdaulat dan merdeka Persekuatuan Tanah Melayu menarik balik Darurat ini. Malangnya, perjumpaan Tengku Abdul Rahman, mewakili Malaya dalam rundingan Baling dalam Disember, 1955 gagal membuahkan perdamaian antara Kerajaan Tengku Abdul Rahman dan PKM.

Rundingan perdamaian ini dibuka balik antara Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dr. Mahathir Mohamad dengan PKM dalam 1989, seperti yang telah kita sebut di atas.

Adakah kebaikannya apabila sesetengah akhbar kita mengapi-apikan isu ini? Saya tidak fikir ada kebaikan apa-apa. Seperti yang kita tahu, ideologi komunisme sudah runtuh di negara-negara asalnya, Rusia dan China. Kedua-dua Rusia dan China sekarang sudah berpindah mengamalkan sistem pasaran bebas kapitalisme-liberal, walaupun di China Parti Komunis masih memerintah. Kita juga tahu bahawa, dari segi falsafah, teori komunis, mempunyai kelemahan pokok, yang telah menyebabkan ia gagal. Teori domino yang mengandaikan kejatuhan negara-negara Asia Tenggara kepada komunisme selepas Amerika kalah di Vietnam tidak berlaku. Oleh yang demikian, tidak ada sebab kita perlu takut faham komunis akan bertapak dan berkembang di Malaysia, dengan Chin Peng berada di Malaysia, atau tidak.

Apa yang perlu diutamakan oleh pimpinan kita ialah supaya kita membuat perubahan-perubahan yang sesuai supaya rakyat kita dididik berfikiran rasional dan supaya Kerajaan mengamalkan pemerintahan yang demokratik dan adil. Dalam peperangan, kedua-dua pihak membunuh dan mencederakan satu sama lain. Cuba kita bayangkan berapa banyak kejahatan dan kekejaman dalam beratus-ratus peperangan dalam Abad ke-20 saja. Cuba kita bayangkan beberapa banyak kejahatan dan kekejaman yang dilakukan oleh penjajah-penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun kepada rakyat kita selama 446 tahun mereka menjajah kita. Lepas perang kita berdamai dan lepas penjajahan kita merdeka dan meneruskan kehidupan kita. Kita sambung balik hubungan kita dengan negara-negara bekas penjajah. Kita berbaik-baik balik dengan bekas musuh-musuh kita apabila permusuhan ini sudah ditamatkan dengan perjanjian-perjanjian damai.

Ambil contoh perjuangan Nabi Besar kita. Apabila beliau menawan kota Mekah dan membebaskannya dari kaum Quraish penindas kejam itu pada 630 T.M. , adakah beliau membalas dendam dan membunuh semua mereka? Tidak. Sebaliknya, beliau memberi pengampunan. Inilah contoh yang patut kita ikut.

Fikiran kita tidak harus beku. Sebaliknya, ia patut berkembang. Tahap kejiwaan kita perlu meningkat dari tahap kehaiwanan yang rendah (nafsul-amarah) kepada tahap kemanusiaan yang lebih tinggi (nafsul-lawwamah). Kita tahu bahawa terdapat tiga garis perjuangan kebangsaan di kalangan orang Melayu pada tahun-tahun 40-an dan 50-an, iaitu perjuangan yang dipimpin oleh cerdik-pandai sekolah Melayu, yang diwakili oleh Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam dan Ishak Hj. Mohamad; perjuangan yang dipimpin oleh golongan reformis Islam, yang diwakili oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy; dan golongan yang dipimpin oleh cerdik-pandai didikan Inggeris, yang diwakili oleh Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Oleh kerana dua golongan yang pertama (Kesatuan Melayu Muda, Parti Kebangsaan Melayu dan Hizbul-Muslimin) bersifat kiri yang kurang disenangi oleh kaum penjajah Inggeris, mereka ditekan dan ditindas. Ini memberi ruang kepada UMNO untuk merundingkan kemerdekaan dengan Inggeris serta mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957.

Sepatutnya, UMNO telah meluaskan visinya untuk mengiktiraf sumbangan golongan-golongan kiri ini sebagai pejuang kemerdekaan bangsa. Dengan demikian, mereka akan lebih benar dan jujur kepada sejarah, dan, dengan demikian, akan layak untuk membawa perjuangan bangsa kita ke tahap yang lebih tinggi – demokrasi, keadilan sosial dan kemanusiaan universal. Tahap ini sudah sampai sekarang. Mahu tidak mahu, UMNO harus membesarkan jiwanya untuk membawa dan melaksanakan visi ini. Jika tidak, UMNO akan dikesampingkan oleh sejarah, “akan rebah”, seperti kata Presidennya yang baru, Dato’ Seri Najib Abdul Razak.



Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com

Wednesday, May 27, 2009

Memorandum Untok Pembaikan Sistem Pendidikan Nasional


1504, JALAN KULIM HEIGHT 3,
KULIM GOLF & COUNTRY RESORT,
09000 KULIM, KEDAH, D-A, MALAYSIA
TEL. 604-4031871
E-mel kassim1234@gmail.com

26 Mei, 2009.

Yang Berhormat,
Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Menteri Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia,
62250 Putrajaya, Selangor,
Malaysia.

Tuan,

Memorandum untuk Pembaikan Sistem Pendidikan Nasional

1. Pelajaran Bahasa Kebangsaan, Bahasa Ibunda dan Bahasa-bahasa Lain

Tiga tahun pertama di sekolah perlu ditumpukan kepada pengajaran Bahasa Kebangsaan, dan Bahasa Ibunda (bagi murid-murid bukan-Melayu). Bahasa Inggeris sebagai bahasa asing yang terpenting diajar pada tahun ketiga. Amalan sekarang mengajar Bahasa Inggersi dari tahun pertama telah menenggelamkan Bahasa Kebangsaan/Bahasa Melayu. Ini salah dan harus diperbetulkan segera.

2. Pelajaran Bahasa-bahasa selain Inggeris

Bahasa-bahasa asing, selain Inggeris, (Arab, Tamil, Mandarin, Perancis, Jerman, Rusia dan lain-lain) boleh diajar dari Tingkatan III selama 2 tahun. Tujuan pelajaran bahasa-bahasa ini untuk mendidik mereka yang ingin melanjutkan perlajaran yang memerlukan bahasa-bahasa ini, atau yang ingin memasuki Perkhidmatan Diplomastik. (Bahasa-bahasa Mandarin dan Tamil diajar untuk menggalakkan perpaduan kaum di Malaysia.)

3. Selesaikan Sukatan Pelajaran dalam Masa 5 Hari Sekolah

Sukatan pelajaran hendaklah diselesaikan dalam masa 5 hari persekolahan tiap-tiap minggu. Amalan sekarang mengadakan kelas-kelas tambahan pada hari Sabtu dan kadang-kadang Ahad mengganggu hari-hari rehat murid-murid dan juga progrem ibu-bapa yang ingin membawa anak-naka mereka pergi berjalan-jalan sambil belajar, seperi melawat museum, zoo dan sebagainya. Guru-guru juga tidak harus membebankan murid-murid dengan terlalu banyak kerja rumah. Murid-murid tidak harus disuruh membawa semua buku tiap-tiap hari ke sekolah, seperti amalan sekarang, dan dengan itu membebankan murid-murid dengan masalah “beg berat”.

4. Matlamat Pelajaran Mestilah Jelas

Membaca, mengira dan menulis – ini matlamat asas. Bangsa kita ingin menghasilkan murid-murid dalam ilmu-ilmu asas supaya mereka dapat memperoleh pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga mereka, dan menghasilkan rakyat yang berfikiran kreatif, kritikal, dinamik dan beramanah supaya mereka boleh menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan berguna. Sistem sekarang yang terlalu mementingkan peperiksaan dan pencapaian akademik harus diubah.

5. Hapuskan Campur-tangan Politik

Sistem pendidikan kita mestilah dilaksanakan secara professional, tanpa campur-tang politik yang menghalang pelaksaan professional ini. Apa saja yang perlu dilakukan bagi mendidik guru-guru, menggalakkan guru-guru bekerja dengan penuh dedikasi, memelihara disiplin murid-murid, dan mendapatkan cadangan-cadangan pembaikan dari persatuan-persataun guru-guru dan persatuan-persaatuan ibu-bapa dan guru-guru (PIBG) perlu dilakukan.

6. Kesimpulan

Sistem pendidkan nasional suatu alat dan kaedah yang penting bagi melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang beratu-padu, maju, kreatif, kritikal, dinamik, produktif dan bertanggungjawab. Dalam memorandum ini kami kemukakan cadangan-cadangan untuk pertimbangan Tuan. Moga-moga cadangan-cadangan ini ada manfaatnya.

Dengan salam takzim.


Saya yang benar,




(Kassim Ahmad)
Memorandum Untuk Pemulihan UMNO

1504 JALAN KULIM HEIGHT 3,
KULIM GOLF & COUNTRY RESORT,
09000 KULIM, KEDAH, D-A, MALAYSIA
TEL. 604-4031871
E-mel kassim1234@gmail.com

26 Mei, 2009.

Yang Amat Berhormat,
Datuk Seri Najib Tun Razak,
Presiden UMNO, merangkap
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
62250 Putrajaya, Selangor,
Malaysia.


Tuan Presiden,

Memorandum untuk Pemulihan UMNO

1. Kursus Politik yang Saintifik

Seperti yang Tuan katakan, UMNO mesti berubah. Walaupun keanggotaan UMNO sekarang 3.2 juta, yang penting ialah mutu anggota-anggota itu, bukan bilangannya. Anggota-anggota dan kader-kader parti mesti melalui kursus politik yang saintifk Kursus-kursus politik ini perlu menghuraikan (a) Nasionalisme Melayu, (b) Nasionalisme Malaysia, (c) Demokrasi, atau pemerintahah berdasarkan perundingan, (d) konsep pemerintahanh yang adil, dan (d) konsep masyarakat antarabangsa, atau kemanusiaan universal.

Melalui kursus-kursus ini, anggota-anggota parti boleh menjadi pengawas kepada parti dan Kerajaan serta menghalang kedua-duanya dari penyelewengan. Inilah konsep parti menguasai Kerajaan. Parti terdiri dari orang-orang perjuangan dari kalangan rakyat pelbagai kaum. Mereka berjuang secara sukarela. Kerajaan ialah institusi utama yang digajikan oleh rakyat untuk melaksanakan misi dan tugas bangsa yang ditetapkan oleh parti secara demokratik

2. Perubahan Organisasi

Seperti yang telah kita katakan di atas, parti merupakan orang-orang perjuangan sukarela dari kalangan rakyat pelbagai kaum. Kerajaan ialah institusi utama yang digajikan oleh rakyat untuk melaksanakan misi dan tugas bangsa yang ditetapkan oleh parti secara demokratik

UMNO mesti mengamalkan demokrasi. Semua anggota yang layak (dari segi kebolehan dan akhlak) boleh dicalonkan untuk menandingi apa jawatan juga, termasuk jawatan Presiden. Seorang pencadang dan seorang penyokong sudah mencukupi.

Parti tidak perlu dan tidak boleh berpecah kerana pertandingan yang sihat. Perpaduan parti tegak di atas falsafah perjuangannya, bukan di atas kebolehan pemimpin. Pertandingan perlu untuk memilih pimpinan yang terbaik

Perhimpunan Agung ialah institusi parti yang tertinggi yang membuat dasar. Majlis Tertinggi menjalankan peranan ini semasa Perhimpunan Agung tidak bersidang. Semua institusi parti di semua peringkat mesti mengamalkan demokrasi, yakni perundingan.

3. Perubahan dasar

Dasar Kerajaan dibuat oleh parti secara demokratik. Dasar ini, secara keseluruhan, merangkumi semua bidang kehidupan bangsa (ekonomi, kewangan, politik, kemasyarakatan, intelektual, moral dan spiritual). Dasar ini mesti bertujuan untuk mengadakan suatu kehidupan yang aman, maju, progresip dan bahagia untuk semua rakyat, tidak kira kaum, jantina dan agama.

Dasar ini mesti memastikan tiada pembaziran, rasuah dan apa juga bentuk penyelewengan. Semua rakyat, termasuk yang kurang upaya, mesti diberi hak dan peluang (dari segi pendidikan dan gaji atau upah) untuk menikmati suatu kehidupan yang selesa. Upah dan gaji mesti disusun sedemikian rupa supaya tiada rakyat (individu atau kumpulan) yang berada di bawah garis kemiskinan. Seperti yang diketahui, kemiskinan boleh membawa kepada banyak kejahatan, seperti jenayah dan rasuah. Hapuskan jenayah dan rasuah melalui sistem ganjaran yang adil dan rasional.

Dasar dan sistem pendidikan nasional penting untuk melahirkan sebuah masyarakat negara-bangsa yang dinamik, kreatif, kritikal, produktif, bersatu dan bertanggungjawab. Segala usaha mesti dilakukan untuk mewujudkan sistem pendikian nasional ini.

Terdapat pembaziran yang ketara dalam Perkhidmatan Awam sekarang. Bilangan anggotanya (1.2 juta) terlalu ramai. Sebagian perlu dikeluarkan, diberi latihan dan ditempatkan di sektor-sektor yang memerlukan tenaga dan kepakaran mereka, seperti pertanian.

Ponteng, tiada amanah, ketidak-cekapan dan birokrasi merupakan empat penyakit institusi Perkhidmatan Awam kirta sekarang. Penyakit-penyakit ini perlu diobati segera.

4. Kesimpulan

Seperti yang diketahui, UMNO dan gabungan Barisan Nasional, telah menderita kekalahan yang teruk dalam Pilihanraya Umum ke-12, kerana UMNO telah menyeleweng dari perjuangan nasionalnya yang asal dan pimpinanya telah menjadi golongan elit yang terpisah daripada rakyat. Untuk memulih semula peranan mereka sebagai pejuang bangsa, UMNO perlu kembali kepada asas-asas pejungannya yang asal dan mendedikasikan dirinya semula kepada perjuangan bangsanya dalam masa sesingkat mungkin.

Kita harap cadangan-cadangan yang diberikan dalam memorandum ini berguna untuk tujuan tersebut.

Dengan salam takzim.


Saya yang benar,



(Kassim Ahmad)