Thursday, April 15, 2010

SETAHUN KEPIMPINAN NAJIB

Oleh: Kassim Ahmad

kassim1234@gmail.com

16 April, 2010
Diperpanjang sedikit pada 1 Mei, 2010

Seorang ahli falsafah Amerika telah berkata: “Jangan bercakap tentang jenayah. Siapa yang tidak melakukan jenayah?” Benar. Musa telah membunuh seorang rakyat Mesir pada zaman kuno. Beliau diampun oleh Tuhan Maha Pengampun dan diangkat pula menjadi nabi. Najib telah dikaitkan dengan pelbagai jenayah. Namun partinya, dan melalui partinya, rakyat Malaysia telah mengangkatnya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima, menggantikan Abdullah Ahmad Badawi.

Setelah setahun, banyak dasar dan program yang telah beliau lancarkan: gagasan “1 Malaysia: Rakyat didahulukan; pencapaian diutamakan”, Transformasi Kerajaan, Transformasi Ekonomi (Model Ekonomi Baru/MEB), pendekatan beliau “turun ke bawah” secara spontan tanpa dijadualkan, dan lain-lain telah “menimbulkan harapan dan rangsangan yang besar di kalangan rakyat,” mengikut kata-kata president MCA yang baru, Dr. Chua Soi Lek. Surat-surat kepada akhbar telah memuji beliau. Beberapa orang cerdik-pandai dalam temu-bual di t.v. telah memberi sokongan kuat kepada dasar-dasar belaiu. Satu tinjauan yang dilakukan oleh sebuah badan bebas, Pusat Merdeka, telah menunjukkan markah yang telah meningkat bagi beliau (68%), dibanding dengan yang diperolehnya waktu beliau mengambil-alih teraju kerajaan dan parti(44%).

Dalam sebuah artikel tidak lama dulu, saya menyebut beliau mungkin mengikut jejak-langkah bapanya serta mencapai kejayaan-kejayaan besar, seperti yang dicapai oleh bapanya. Dalam pada itu, saya menyatakan beliau menghadapi cabaran-cabaran yang lebih besar daripada bapanya. Beliau mewarisi sebuah parti yang sudah banyak rosak, dan ekonomi global yang berada dalam keadaan krisis besar. Walau bagaimana pun, petunjuk-petunjuk awal bagi ekonomi Malaysia dan bagi beberapa bidang lain menampakan keberkesanan prestasi beliau. Dalam wawancara beliau dengan dua orang wartawan di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini, beliau menunjukkan pengertian dan pemahaman beliau yang mendalam tentang pelbagai isu. Jawapan-jawapan beliau mengalir keluar deras seperti air anak sungai yang jernih turun dari bukit!

Saya tidak bertujuan untuk mengulas panjang tentang dasar-dasar besar yang telah beliau lancarkan. Saya yakin tentang keseriousan beliau. Beliau sendiri telah membuktikan komitmen beliau kepada dasar-dasar ini, walaupun beliau menunjukkan beliau seorang ahli politik yang bijak yang sanggup mengulangkaji sesuatu dasar serta memindanya untuk mempastikan dasar-dasar itu berjaya.

Sesetengah kalangan gusar tentang MEB beliau; mereka bimbang dasar afirmatif menolong kaum yang masih di belakang akan dihapuskan. Sesetengah pula bimbang tentang dasar dialog antara agama. Apa yang perlu dipastikan oleh semua kaum ialah bahawa dasar-dasar itu adil, mengutamakan merit, di samping menolong mereka yang perlu dibantu. Semua rakyat dari semua kaum mesti yakin akan kebolehan mereka sendiri dan bekerja bersungguh-sungguh. Biar banyak kerja daripada banyak berbantah!

Apa yang ingin saya timbulkan ialah transformasi parti. Saya belum melihat dasar beliau tentang transformasi UMNO, tonggak kepada gabungan Barisan Nasional, yang ditubuhkan oleh bapanya. Saya sungguh gembira apabila beliau menyatakan pada awal beliau memegang jawatan presiden UMNO bahawa semua ahli dan kader UMNO perlu diberi kursus politik. Kursus politik yang saintifik, bukan nostalgia! Sudahkan ini dijalankan? Apakah isi kursus politik ini? Rakyat ingin tahu tentang trasformasi UMNO.

Parti terdiri daripada para pejuang bangsa. Mereka memasuki parti dengan sukarela, sedangkan kerajaan terdiri dari anggota-anggota yang dibayar gaji. Inilah perbezaan polok antara parti dengan kerajaan. Parti boleh disifatkan sebagai enjin bagi sebuah kereta, atau sebagai kepala keretapi kepada sebuah keretapi. Tanpa kepalanya, keretapi tidak boleh bergerak. Tanpa parti (dalam satu bentuk atau lain), masyarakat tidak boleh bergerak. Kerana inilah timbul teori “Parti menguasai Kerajaan”, bukan sebaliknya, yakni kerajaan menguasai parti.

Falsafah penting bagi sebuah masyarakat, kerana falsafahlah dalam suatu bentuk atau lain yang memandu masyarakat itu. Dalam hal ini, ia boleh disamakan dengan agama. Tetapi, manakala agama terdiri dari unsur-unsur kepercayaan, yang biasanya tidak boleh dipertikai (Islam sebenar dikecualikan, kerana ia agama kebenaraan), falsafah bersifat rasional dan unsur-unsurnya boleh didebat.

Apakah falsafah UMNO? Pragmatisme? Pragmatisme ialah nama lain bagi oporcunisme, yang UMNO tidak perlukan. UMNO mesti ada sebuah falsafah perjuangan kebangsaan. Dalam satu artikel lain, saya telah menyebutkan lima kandungan falsafah kebangsaan ini, iaitu Nasionalisme Melayu, Nasionalisme Malaysia, Keadilan, Musyawarah, dan Internasionalisme atau Humanisme. Semua unsur ini mestilah berdasarkan kebenaran. Nasionalisme Melayu itu benar kerana ia tonggak kepada masyarakat Malaysia. Nasionalisme Malaysia itu benar kerana ia menjadi asas kepada masyarakat Malaysia. Keadilan itu benar kerana ia bertapak di hati semua semua rakyat Malaysia. Musyawarah itu benar kerana ia mewakili kaedah pertadbiran yang terbaik bagi parti/kerajaan/kumpulan. Akhir sekali, internasionalisme atau humanisme itu benar kerana negara dan rakyat Malaysia sebagian dari masyarakat dunia.

Apabila ahli-ahli UMNO diajar falsafah perjuangan ini, secara automatik parti akan terpelihara dari penyelewengan dan kerosakan. Ahli-ahli UMNO sendiri akan menjaga partinya. Pada peringkat awal, orang Melayu dan kaum-kaum lain bersatu untuk memperjuangkan kemerdekaan. Semangat dan teriakan kemerdekaan melancarkan kita ke arah negara-bangsa Malaysia. Sekarang kita sudah mencapai kemerdekaan itu, semangat dan emosi kemerdekaan tidak cukup, dan mungkin tidak sesuai lagi. Apa yang diperlukan ialah suatu kaedah yang rasional atau saintifik untuk membawa kita ke depan.

Kita beri suatu contoh tentang parti sebagai enjin masyarakat. Sekarang setelah lebih 50 tahun kita merdeka, kemiskinan masih ada di kalangan kita. Progrem t.v.1 "Bersamamu" mempamerkan masalah ini tiap-tiap minggu. Kita tahu bahawa cawangan parti UMNO atau sekutunya ada di semua bandar dan kampung. Jika parti ini betul-betul menjalankan tugasnya sebagai pemimpin rakyat, cawangan-cawangan ini harus tahu taraf sosio-ekonomi setiap penduduk di kawasan mereka. Mereka boleh melaprkan penduduk-penduduk yang miskin yang memerlukan bantuan. Kemudian kerajaan, termasuk parti boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya (bantuan kewangan, dan kursus-kursus motivasi dan ekonomi) untuk membasmi kemiskinan ini. Denagn demikian, masalah kemiskinan di negara kita dapat diatasi dalam masa yang singkat.

Itulah peranan parti sebagai pemimpin rakyat. Dengan bersenjatakan falsafah politik kebangsaan yang telah kita gariskan di atas, parti boleh menjalankan tugasnya sebagai pemimpin rakyat dan bangsa. Kita hendak melihat Najid dan pimpinan tinggi parti merumuskan dasar transformasi UMNO supaya UMNO sebagai tonggak Barisan Nasional boleh bangkita semula dan menjadi enjin transformasi-transformasi negara keseluruhannya.


Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Tuesday, April 13, 2010

ADAKAH SALAH MENGADAKAN DIALOG ANTARA AGAMA?

Oleh: Kassim Ahmad

13 April, 2010

kassim1234@gmail.com


Jawatankuasa Khas Dialog Antara Agama yang telah ditubuhkan oleh Kabinet telah dibantah oleh PERKASA dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak atas alasan bahawa Islam sebagai agama negara Malaysia duduk di bawah bidang kuasa Majlis Raja-raja Melayu, bahawa Islam ialah agama yang direda oleh Tuhan (Quran, 3: 19) dan dengan itu tidak sama dengan agama-agama lain, dan agama Islam tidak boleh dibincang oleh orang-orang bukan Islam dan orang-orang yang tidak faham Islam. (Lihat Utusam Malaysia, 13 April, hlm 1 & 2) Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menyatakan bahawa Jawatankuasa Khas itu bertujuan menganjurkan persefahaman antara agama dan tidak mempunyai kuasa, kecuali untuk memberi nasihat kepada Kerajaan semata-mata. (Lihat The Star, 13 April, hlm 8)

Apakah bantahan PERKASA dan Majlis Fatwa Negeri Perak itu menasabah? Untuk menjawab soalan ini, fikiran rasional berdasarkan fakta dan akal rasional diperlukan, bukan emosi, apalagi ketaksuban.

Sejarah telah membuktikan bahawa agama boleh membawa kepada kebaikan yang besar, tetapi ia juga boleh membawa kepada keburukan yang besar. Ajaran para nabi dan rasul, khasnya nabi-nabi dan rasul-rasul yang besar, seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad, telah membawa kebaikan yang besar kepada masyarakat dan tamadun manusia. Nilai-nilai kebebasan melawan perhambaan, kebenaran melawan kepalsuan, keadilan melawan kezaliman dan kerahiman melawan kekejaman dibawa dan diperjuangkan oleh mereka.

Sebaliknya, ketaksuban kepada sesuatu agama atau kepada tafsiran sesuatu agama telah membawa kerosakan besar kepada masayarakat dan tamadun manusia. Contoh-contohnya banyak. Perang Sabil antara orang Kristian dan orang Islam berlanjutan selama dua ratus tahun antara abad ke-11 hingga ke-13, penyiksaan oleh Gereja Kristian terhadap ahli-ahli sains, seperti Galileo, perang saudara antara pengikut-pengikut Khalifah Ali dan Khalifah Othman dalam abad pertama Islam, dan dalam zaman moden, perang antara Iran dan Iraq (1980-1988).

Dalam Quran tiga sikap dianjurkan terhadap agama-agama lain. Pertama, sikap bertelorensi: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (Quran, 109: 6) Kedua, sikap rasional mengadakan perbahasan yang baik: “ … dan debatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.” (Quran, 16: 123) Ketiga, sikap meyakini bahawa kebenaran akan muncul akhirnya melalu proses alamiah (sunnatullah): “Jika ada orang yang membantahmu selepas datang kepadamu pengetahuan, katakanlah, ‘Marilah kita panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, dan kami sendiri dan kamu pun, kemudian marilah kita serukan laknat Tuhan menimpa orang yang berdusta.’” (Quran, 3: 61)

Islam disifatkan sebagai agama yang diredai Allah ( Quran, 3: 19) dan juga agama kebenaran (9: 33; 48: 28; 61: 9) dan agama Allah (110: 2). Soalnya, apakah sekarang kita masih mengikuti Islam seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad, atau kita telah menukar agama itu menjadi agama-agama yang telah menyeleweng, seperti yang telah berlaku kepada umat Nabi Musa (agama Yahudi) dan kepada umat Nabi Isa (agama Kristian)? Satu tanda yang harus kita fikirkan ialah kedudukan umat Islam yang di bawah sekali di dunia hari ini, dibandingkan dengan kedudukan mereka pada nombor satu pada zaman awal Islam (abad ketujuh hingga abad ke-13 (kejatuhan Baghdad)).

Lagi pun, kita harus ingat bahawa Islam itu bersifat universal untuk seluruh dunia, bukan milik khas umat Islam saja. Untuk Islam dianut oleh semua manusia, ia perlu berdialog dan membuktikan kebenarannya kepada seluruh dunia. Sikap menyembunyikan diri kita di sebalik sangkaan dan dakwaan bahawa kitalah yang paling baik tidak rasional dan tidak dapat diterima oleh orang bukan Islam dan juga oleh sesetengah orang Islam sendiri. Di kalangan orang bukan Islam juga terdapat mereka yang percaya kepada Tuhan Yang Esa. (Quran, 2: 62) Perhatikan, sebagai contoh, tokoh India yang besar, Mahatma Ghandhi. Beliau pernah berkata: “Saya Hindu, tetapi saya juga Yahudi, saya juga Kristian dan saya juga Islam.” Maksud beliau dia mempercayai segala yang baik dari semua agama, persis seperti yang disebutkan dalam Surah 2, ayat 62, yang telah kita rujuk di atas.

Harus diingat bahawa kita semua, di satu pihak, ialah hamba Allah – boleh diperintah ke sana kemari. Jika kita, umat Islam, gagal melakukan tugas kita di dunia, amatlah mudah bagi Tuhan Maha Berkuasa menggantikan kita dengan umat lain untuk mengibar panji-panji tamadun. Firman Tuhan: “Jika kamu berpaling tadah, Dia akan menggantikan kamu dengan orang lain, dan mereka tidak akan menjadi seperti kamu.” (Quran, 47: 38) Nyatalah perkara ini sudah berlaku. Malangnya, kita masih tidak sedar. Bahasa Melayu mempunyai ungkapan cantik yang sebenarnya kena ke batang hidung kita sendiri: “bodoh sombong”.

Sudah sampai masanya kita bangun dari tidur kita yang lama dan kembali ke jalan Allah. Kata pepatah Melayu lagi, “Sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.” Kebijaksanaan yang kita warisi daripada nenek-moyang kita haruslah kita manfaatkan. Jangan sia-siakan akal yang diberi oleh Tuhan kepada kita.


Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com