ADAKAH SALAH MENGADAKAN DIALOG ANTARA AGAMA?
Oleh: Kassim Ahmad
13 April, 2010
kassim1234@gmail.com
Jawatankuasa Khas Dialog Antara Agama yang telah ditubuhkan oleh Kabinet telah dibantah oleh PERKASA dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak atas alasan bahawa Islam sebagai agama negara Malaysia duduk di bawah bidang kuasa Majlis Raja-raja Melayu, bahawa Islam ialah agama yang direda oleh Tuhan (Quran, 3: 19) dan dengan itu tidak sama dengan agama-agama lain, dan agama Islam tidak boleh dibincang oleh orang-orang bukan Islam dan orang-orang yang tidak faham Islam. (Lihat Utusam Malaysia, 13 April, hlm 1 & 2) Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menyatakan bahawa Jawatankuasa Khas itu bertujuan menganjurkan persefahaman antara agama dan tidak mempunyai kuasa, kecuali untuk memberi nasihat kepada Kerajaan semata-mata. (Lihat The Star, 13 April, hlm 8)
Apakah bantahan PERKASA dan Majlis Fatwa Negeri Perak itu menasabah? Untuk menjawab soalan ini, fikiran rasional berdasarkan fakta dan akal rasional diperlukan, bukan emosi, apalagi ketaksuban.
Sejarah telah membuktikan bahawa agama boleh membawa kepada kebaikan yang besar, tetapi ia juga boleh membawa kepada keburukan yang besar. Ajaran para nabi dan rasul, khasnya nabi-nabi dan rasul-rasul yang besar, seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad, telah membawa kebaikan yang besar kepada masyarakat dan tamadun manusia. Nilai-nilai kebebasan melawan perhambaan, kebenaran melawan kepalsuan, keadilan melawan kezaliman dan kerahiman melawan kekejaman dibawa dan diperjuangkan oleh mereka.
Sebaliknya, ketaksuban kepada sesuatu agama atau kepada tafsiran sesuatu agama telah membawa kerosakan besar kepada masayarakat dan tamadun manusia. Contoh-contohnya banyak. Perang Sabil antara orang Kristian dan orang Islam berlanjutan selama dua ratus tahun antara abad ke-11 hingga ke-13, penyiksaan oleh Gereja Kristian terhadap ahli-ahli sains, seperti Galileo, perang saudara antara pengikut-pengikut Khalifah Ali dan Khalifah Othman dalam abad pertama Islam, dan dalam zaman moden, perang antara Iran dan Iraq (1980-1988).
Dalam Quran tiga sikap dianjurkan terhadap agama-agama lain. Pertama, sikap bertelorensi: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (Quran, 109: 6) Kedua, sikap rasional mengadakan perbahasan yang baik: “ … dan debatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.” (Quran, 16: 123) Ketiga, sikap meyakini bahawa kebenaran akan muncul akhirnya melalu proses alamiah (sunnatullah): “Jika ada orang yang membantahmu selepas datang kepadamu pengetahuan, katakanlah, ‘Marilah kita panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, dan kami sendiri dan kamu pun, kemudian marilah kita serukan laknat Tuhan menimpa orang yang berdusta.’” (Quran, 3: 61)
Islam disifatkan sebagai agama yang diredai Allah ( Quran, 3: 19) dan juga agama kebenaran (9: 33; 48: 28; 61: 9) dan agama Allah (110: 2). Soalnya, apakah sekarang kita masih mengikuti Islam seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad, atau kita telah menukar agama itu menjadi agama-agama yang telah menyeleweng, seperti yang telah berlaku kepada umat Nabi Musa (agama Yahudi) dan kepada umat Nabi Isa (agama Kristian)? Satu tanda yang harus kita fikirkan ialah kedudukan umat Islam yang di bawah sekali di dunia hari ini, dibandingkan dengan kedudukan mereka pada nombor satu pada zaman awal Islam (abad ketujuh hingga abad ke-13 (kejatuhan Baghdad)).
Lagi pun, kita harus ingat bahawa Islam itu bersifat universal untuk seluruh dunia, bukan milik khas umat Islam saja. Untuk Islam dianut oleh semua manusia, ia perlu berdialog dan membuktikan kebenarannya kepada seluruh dunia. Sikap menyembunyikan diri kita di sebalik sangkaan dan dakwaan bahawa kitalah yang paling baik tidak rasional dan tidak dapat diterima oleh orang bukan Islam dan juga oleh sesetengah orang Islam sendiri. Di kalangan orang bukan Islam juga terdapat mereka yang percaya kepada Tuhan Yang Esa. (Quran, 2: 62) Perhatikan, sebagai contoh, tokoh India yang besar, Mahatma Ghandhi. Beliau pernah berkata: “Saya Hindu, tetapi saya juga Yahudi, saya juga Kristian dan saya juga Islam.” Maksud beliau dia mempercayai segala yang baik dari semua agama, persis seperti yang disebutkan dalam Surah 2, ayat 62, yang telah kita rujuk di atas.
Harus diingat bahawa kita semua, di satu pihak, ialah hamba Allah – boleh diperintah ke sana kemari. Jika kita, umat Islam, gagal melakukan tugas kita di dunia, amatlah mudah bagi Tuhan Maha Berkuasa menggantikan kita dengan umat lain untuk mengibar panji-panji tamadun. Firman Tuhan: “Jika kamu berpaling tadah, Dia akan menggantikan kamu dengan orang lain, dan mereka tidak akan menjadi seperti kamu.” (Quran, 47: 38) Nyatalah perkara ini sudah berlaku. Malangnya, kita masih tidak sedar. Bahasa Melayu mempunyai ungkapan cantik yang sebenarnya kena ke batang hidung kita sendiri: “bodoh sombong”.
Sudah sampai masanya kita bangun dari tidur kita yang lama dan kembali ke jalan Allah. Kata pepatah Melayu lagi, “Sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.” Kebijaksanaan yang kita warisi daripada nenek-moyang kita haruslah kita manfaatkan. Jangan sia-siakan akal yang diberi oleh Tuhan kepada kita.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
5 comments:
Salam Pak Kassim,
Semoga Pak Kassim dan keluarga dirahmati Allah selalu.
Perbuatan Mufti Perak ini sangat bertentangan dgn ajaran Islam. Kalu kita nak org bukan Islam hormat Islam kita kena ensure depa paham dulu Islam. Nak hormat lagu mana kalu depa tak paham. Bila depa cuba nak paham Islam, puak2 pendita Islam jugalah yg bantah kunonnya Islam tu "exclusive" utk depa saja. Walhal kan ka ajaran Allah itu utk suma makhluk.
Bila depa tak hormat Islam, puak2 pendita ni jugak yg dok menyalak satu Malaya kata Islam depa di hina, di cerca dsb. Suruh kerajaan ambik tindakan sbb puak kafir tak hormat Islam. Kunonnya Islam depa telah dicemari..
Saya juga amat kesal dgn sikap angkuh dan sombong pendita2 Islam ni. Pikiran depa cukup cetek. Tapi masih ingat depa lebih pandai dari org lain.
salam,
"sesungguhnya mereka melemparkan Al Quran di belakang punggung mereka.
mereka ada hati, tetapi tidak mahu memahami, mereka ada telinga tetapi tidak mahu mendengar, mereka ada mata, tetapi tidak mahu melihat, sesungguhnya mereka ini lebih sesat, bahkan lebih sesat daripada binatang ternak.
jika kamu menghalaupun, tetapi ia akan mengjulurkan lidahnya"
"padaiyappa"
saya sedih melihat pelakuan PERKASA a.k.a Ibrahim Ali dalam perkara ini. Mencemarkan Islam demi pengaruh politik.
Terima kasih Pak Kassim atas artikel yang indah ini.
MZP
Salam,
Bayangkanlah untuk berbincang pasal Islam sesama yang beragama Islam pun, ramai yang bersikap kebudak-budakan, macam manalah mereka nak berani berdialog antara agama lain dengan matang?
Hanya Allah sahaja yang tahu bila agaknya masyarakat Islam hari ini akan terbuka mindanya.
salam,
sayang sekali. kerana kejahilan dan ego, peluang kita untuk memperkenalkan Islam dan memperlihatkan kebenarannya hilang begitu. sekiranya yakin islam itu benar, tidak perlu dikhuatiri untuk berhujah dengan orang-orang bukan islam dan golongan yang "tidak faham islam". melayu masih dalam kongkongan fikiran mereka, tidak mahu diusik dari tempat selesa.
Post a Comment