PERUBAHAN BERANI YANG DIBUAT OLEH
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG BARU LALU --
BOLEHKAH IA DILAKSANAKAN?
Oleh: Kassim Ahmad
kassim03@streamyx.com
kassim1234@gmail.com
25 Oktober, 2009
(Nota: Ini versi baru yang diperpanjang. -- K.A.)
Dalam sejarahnya selama 60 tahun, inilah kali pertama UMNO meluluskan usul meminda perlembagaan parti yang berani seperti ini. Seperti kata orang sekarang, usul ini bertujuan untuk “merakyatkan” UMNO. Daripada bilangan perwakilan yang terbatas untuk memilih pimpinan tertinggi, iaitu Majlis Tertinggi, usul ini telah memperluas bilangan ini kepada suatu bilangan yang lebih besar. Pada dasarnya, ia akan menukarkan UMNO dari sebuah parti yang elitis kepada sebuah parti yang lebih demokratik dan bertunjangkan kepada cita-cita ahlinya yang sekarang meningkat kepada 3.2 juta orang.
Benarlah seperti yang dikatakakan oleh sesetengah penulas politik di tanahair kita, usul ini hanya boleh diluluskan dalam suasana baru kemenangan besar calun UMNO di kawasan Batang Kali mengalahkan calon parti pembangkang dari PAS. Ini suatu perubahan besar dari aliran politik yang memihak kepada parti-parti pembangkang selepas Pilihanraya Umum ke-12 yang melihat kekalahan UMNO-BN bukan saja di Kelantan, tetapi di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan.
Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Najib Abd. Razak, mengambil-alih pimpinan UMNO dan negara pada waktu negara diselubungi banyak masalah yang dihubungkan kepada Najib. Najib hanya ada satu kekuatan, iaitu warisan kepimpinan bapanya, Tun Abd. Razak, presiden UMNO yang kedua yang juga Perdana Menteri yang kedua. Dalam suasana yang tidak menyebelahi Najib, beliau mengenengahkan slogan: “UMNO mesti berubah, atau direbahkan” Satu lagi ungkapan hikmah beliau yang awal ialah “Tugas saya memerlukan saya berfikir siang dan malam”. Dua perkara yang menyegarkan ini membezakan beliau dari pemimpin-pemimpin lain serta memberi harapan baru kepada rakyat tentang kepimpinan beliau.
Adakah kemenangan UMNO di Bagan Pinang suatu kebetulan, dan bukan suatu perkembangan baru bagi politik Malaysia? Ramai juga rakyat kita yang berfikiran demikian. Mereka ini terbawa-bawa dengan slogan “anti-perkauman” baru yang mendakwa bahawa UMNO, kerana ia parti Melayu, bersifat perkauman, dan perlu ditolak oleh rakyat. Tidak perlulah kita membincang panjang untuk mendedahkan kecetekan fikiran ini.
Soalannya sekarang: “Bolehkah UMNO melaksanakan perubahan berani yang dari segi teorinya sudah diterima oleh parti itu dalam Perhimpunan Agung yang lalu? Ini jurang di antara teori dan praktik. Apakah yang perlu dilakukan untuk menyelaraskan teori dengan praktik? Inilah soalan yang akan kita kupas.
Kita harus ingat bahawa sesebuah parti politik itu seperti suatu ketumbukan perang bagi rakyat kita. Ia berada di barisan hadapan, sepereti kepala keretapi berada di depan, menarik gerabak yang panjang. Ia mengetuai perjuangan nasional kita. Demikanlah UMNO, sebuah parti politik massa. Orang kerap lupa akan hal yang asas ini, apalagi apabila politi sudah menjadi suatu perniagaan dengan ramai golongan koporat menyertainya untuk kepentingan-kepentingan perniagaan mereka. Golongan korup yang masuk UMNO untuk memperkaya diri dan kaum keluarga mereka pun ada juga.
Inilah masalah besar yang dihadapi oleh UMNO sekarang. Seperti dalam kisah legenda di zaman Yunani dulu, kerja ini memerlukan seorang Herculis, seorang mahakuat, untuk “membersihkan” kandang UMNO yang sudah terlalu kotor. Adakah Najib Herculis UMNO sekarang?
Sebenarnya, zaman kita ialah zaman kebangkitan rakyat, bukan saja di negara kita, tetapi di seluruh dunia. Dalam abad-abad ke-20 dan ke-21 ini, manusia sudah sampai ke tahap Kampung Sejagat, sebuah yang, pada praktiknya, bersifat internasional. Penubuhan P.B.B. atas nama "KAMI RAKYAT SEDUNIA ..." dengan Perisytiharan hak Asasi Manusia dan konvensi-konvensi antarabangsa yang lain memberikan kita suatu kerangka undang-undang antarabangsa yang penting, hasil warisan dari zaman silam.
Kekuatan yang sebenar ada pada rakyat yang tenaganya digembelingkan untu mencapai sesuatu tujuan. Kita tidak perlu kepada seorang orang kuat, seperti Herculis dalam legenda Yunani purba ini. Kita perlu kepada seorang pemimpin yang mendukung wawasan rakyat dan yang mempunyai komitmen, keberanian dan kebijaksanaan untuk melaksanakan wawasan ini. Najib perlu menyusun satu regu kepimpinan yang mendukung wawasan beliau. Beliau perlu merumuskan sebuah falsafah perjuangan nasional yang diajar kepada tiga juta ahli UMNO dan kepada rakyat. Falsafah perjuangan nasional inilah yang akan memimpin UMNO dan rakyat kita. Falsafah inilah pepimpin yang sebenar. Siapa juga yang memegang tampuk pimpinan UMNO, dia perlu melaksanakan konsep dan prinsip-prinsip falsafah perjuangan nasional ini.
Bolehkah Najib dan UMNO melakukan perubahan ini, seperti yang dituntut oleh Najib sendiri, atau, seperti kata beliau, UMNO akan direbahkan? Tidak ramai orang yang akan mengatakan Najib dan UMNO boleh berbuat demikian.
Kalau kita memandang ke belakang dan melihat sejarah, kemajuan masyarakat manusia tidak meningkat lurus. Ada kalanya ia meningkat; ada kalanya ia merossot, malah lebih banyak merosot daripada meningkat. Ambil contoh yang paling baik bagi umat Islam. Nabi Muhammad memimpin suatu gerakan perubahan yang revolusioner dalam abad ketujuh di Semenanjung Arab. Satu pimpinan demokratik-republikan – jiwa Islam yang sebenar – hanya bertahan selama tiga puluh tahun setelah beliau wafat! Selepas itu, masyarakat Islam berbalik ke zaman feudal hingga kepada revolusi nasional Turki dalam tahun 1924. Hari ini umat Islam berpecah kepada banyak negara yang mengamalkan banyak bentuk kenegaraan dari feudal, seperti Arab Saudi, kepada kediktatoran tentera, seperti Libya, dan kepada demokrasi berparliamen, seperti Malaysia.
Soalnya mengapa contoh kepimpinan Nabi Muhammad tidak dapat dipertahankan? Jawapan yang ringkas ialah contoh ini tidak dirumuskan menjadi suatu metodologi saintifik, seperti yang telah kita sebutkan di atas, sebuah falsafah perjuangan nasinal yang boleh memimpin masyarakat itu. Dengan berkata demikian, kita langsung tidak menafikan mutu kepimpinan Nabi Muhammad. Apa yang diutrakan di sini ialah hakikat bahawa masyarakat manusia maju melalui proses “jatuh-bangun”, dan tidak secara automatik. Sebab itu, tamadun manusia, yang bermula di Ur dalam Iraq sekarang, masih menemui pemimpin-pemimpin, seperti Bush (kedua-dua bapa dan anak) yang, kerana bencinya dan takutnya kepada Saddam Hussein dan atas hasutan Israel dan Iran, menyerang dan menakluk Iraq. Dari sejak itu, asykar-asykar A.S. sekutunya Inggeris, dan Kerajaan boneka Iraq menghadapi perang gurela bandar yang dipimpin oleh organisasi Saddam Hussein. Dilema mereka sekarang bagaimana hendak keluar dari perangkap yang mereka pasang sediri!
Oleh yang demikian, kita mestilah mewarisi pengalaman-pengalaman manusia yang baik dari zaman dulu, yang sekarang termaktub dalam Piagam P.B.B. dan konvensi-konvensinya. Ini harus merupaakan sebagian daripada falsafah perjuangan kebangsaan yang saya sebutkan di atas.
Satu tugas yang amat sukar, tetapi tidak mustahil dilakukan. Najib, UMNO dan rakyat Malaysia mesti mencubainya.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
12 comments:
Pak Kassim,
Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. telah dirumuskan dalam banyak kitab, hadith dan oleh imam-imam terutama 4 imam yg menjadi mazhab utama. Cuma Pak Kassim sahaja yg menolak rumusan2 ini dan gagal pula memberikan rumusannya sendiri.
Pak Kassim,
UMNO membuat pindaan perlembagaan yg berani? Saya tak setuju. Apa yg dilakukan oleh UMNO sekarang ialah membetulkan kejahatan yg telah dibuat oleh mahathir. Ahli2 UMNO hanyalah sebagai kerbau2 yg ditarik hidung: dulu selama 22 tahun semua ditarik oleh mahathir dan sekarang ditarik oleh najib diiringi gendang2 propaganda rtm dan utusan melalysia.
Bukankah sebelum ini, sejak zaman Melaka org2 melayu ditarik hidung mereka oleh sultan2? Pemimpin2 umno menggantikan sultan2 ini.
Untuk mendapat kepimpinan seperti Nabi Muhammad, kita perlukan insan yang berakhlak mulia dan merendah diri seperti baginda. Yang sanggup meruntuhkan keegoan beragama menurut amalan nenek moyang. Yang cintakan kesatuan sesama manusia tanpa mengira keturunan dan puak dalam beragama. Yang memiliki semangat yang tinggi dalam membuat kebaikan dan tidak mementingkan kemewahan diri, sebaliknya sanggup bersusah-payah untuk kesenangan umatnya.
salam pak kassim, saya tidak bersetuju dengan ulasan anonymous,jelas umno melakukan satu transformasi dalam perlembagaannya namun sejauh mana keberkesanannya itu yang perlu kita tunggu dan justifikasi.
Perubahan berani? Apa yang dah berubah? Belum ada apa-apa, kan? Sekadar menggubal perlembagaan belum tentu sifat dan sikap para pemimpin dan ahli-ahli UMNO akan berubah menjadi lebih elok dari sebelumnya. Untuk merubah manusia kita perlu mengubah nilai-nilai dalam diri manusia itu sendiri dan bukan mengubah sesuatu yang bersifat luaran. Manusia boleh mencari helah untuk mengatasi semua bentuk peraturan dan undang-undang. Hanya nilai-nilai dan conscience diri sendiri saja yang boleh membantu mereka mengelak dari melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.
Jemput lawat http://www.semasa.net
Tuan Hamba Kassim,
Hamba telah di kurniakan hidayah untuk merungkaikan segala permasalahan berkenaan agama. Jika tuan hamba bersetuju dgn fakta2 berikut maka mudahlah hamba terangkan. Al qurana itu diturunkan tanpa baris,tanda dan huruf hamzah. Jadi, siapakah yg merosakkan agama tuhan dgn meletakkan baris dan tanda untuk mengelirukan manusia?
Al qurana di turunkan didlm bahasa arabia, jadi perhatikan adakah tulisan org arab mempunyai baris? Sudah tentu tidak.
Perhatikan nama tuhan kita, jika nama tuhan di dlm al qurana di baca tanpa baris dan tanda ia akan berbunyi Allaha dan bukan Allah. Nama nabi muhammad pula tidak mempunyai apa2 erti bila di letak baris. Tetapi bila di baca tanpa baris ianya berbunyi Mahamada beerti Maha Mulia. Islam itu wujud bila perkataan itu diletakkan baris, bila tanpa baris ia akan berbunyi Asalama bermaksud sy selamat.
Kesimpulannya ialah nabi Mahamada beriman kpd Allaha dan membawa agama Asalama iaitu agama yg lurus dan agama yg di anuti oleh semua nabi2 dan rasul2. Motif mencipta agama ini jelas, terdpt segolongan manusia yg cuba merosakkan agama tuhan yg hebat bertujuan untuk menguasai dunia. Bukankah agama tuhan itu memimpin kerana manusia di dlm agama tuhan itu di janjikan sebagai khalifah di muka bumi?
Pengulas yang budiman,
1. Saya minta supaya semua pengulas baca tulisan saya secara keseluruhan. Jangan baca sekerat2.
2. Jangan guna emosi, tetapi akal rasional. Jawab fakta. Jangan diselimuti buruk sangka.
pakcik (izinkan saya berbahasakan pak kassim pakcik) :
perubahan UMNO, bukan soal 'boleh', namun ianya soal 'mahu'.
lebih mendalam, kalaupun UMNO 'mahu' melakukan perubahan, adakah ianya benar-benar 'mahu' dalam erti kata sebenar.
perspektif saya, UMNO melaungkan 'perubahan' hanyalah untuk memenuhi tuntutan tindakan popular, untuk menampakkan mereka dengar isi hati rakyat yang mahukan perubahan. lihat pada hakikat?? heh.
pathetic.
Sdr Bumi yang budiman,
1. Tidak ada yang tidak boleh jika ada kemahuan.
2. Bukti kemahuan UMNO itu ialah kelulusan usul pindaan perlembagaan.
3. Najib sudah buat beberapa langkah untuk mengurangkan bebanan rakyat miskin.
4. Sama ada Najib akan berjaya atau tidak bergantung kepada regu kepimpinan yang beliau sedang bentuk.
5. Tidak syak lagi, sedikit perubahan politik di Malaysia sudah bermula dengan kemenangan UMNO/BN di dlm pilihanraya kecil baru lalu.
6. Berilah peluang kepada Najib.
Wassalam.
Kpd sdra Amir Shafiq,
Sdra macam tidak sedar akan apa sedang berlaku di negara ini: Kerosakan kpd sistem pentadbiran dan kehakiman adalah sangat serius. Konspirasi polis/sprm/ag/kehakiman yg sedang berleluasa.
Satu drpd kesan yg dpt dilihat ialah kejatuhan kedudukan Malaysia dlm persepsi rasuah dunia drpd no. 47 tahun lepas kpd tingkat ke 56 tahun ini: satu kemajuan yg mendadak di bawah 1 malaysia najib.
Umno didukung oleh org2 bangsat dan apa org bangsat boleh buat?
Orang kafir berhempas pulas hendakkan hak menggunakan perkataan Allah, manakala kumpulan anti-hadis pula bersungguh-sungguh menggunakan perkatan Tuhan sahaja.
Tsk, tsk, tsk
salam Pak Kassim.
moga terus diberikan kudrat kesihatan dan semangat menulis utk kebenaran.
rozan azen mat rasip
amk batu
Post a Comment