ADAKAH
TUHAN YANG ESA ADA NAMA?
Oleh: Kassim Ahmad
15 Oktober, 2013
Walaupun kebanyakan autoriti,
termasuk kamus, menyatakan “Allah” nama khas bagi Tuhan Yang Esa, Quran dan hukum logika menafikannya.
Surah 17, ayat 110 berbunyi: “Panggillah Dia Allah atau panggillah Dia Yang
Maha Pemurah; dengan nama apa juga kamu panggil Dia, milik-Nya nama-nama yang
paling baik.”
Dari segi logika, tidak pantas Tuhan
itu bernama, kerana Dia bukan seperti manusia – ada nama! Dia tenaga murni, tenaga
yang paling kuat. Sebab itu kalau Dia turun ke dunia, dunia akan hancur, kerana
dunia tidak boleh tahan kekuatan tenaga itu.
Sungguh aneh dan menghairankan, ada
orang Islam di negara kita mendakwa bermati-matian bahawa Allah itu milik
mereka saja, bukan milik orang Kristian! Tidakkah ulama mereka tahu bahawa
perkataan ‘Allah’ itu bahasa Arab, ertinya ‘Tuhan itu’, yakni Tuhan Yang Esa?
Dalam agama Hindu, ada banyak Tuhan
dengan nama yang berlainan. Dalam agama Kristian, orang percaya ada tiga Tuhan –
Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Bolehkah mereka gunakan perkataan ‘Allah’
dalam kitab Taurat yang mereka terjemahkan ke dalam bahasa Melayu? Tentu boleh, sebab tidak munasabah dibuat
undang-undang menghadkan pergunaan
perkataan ‘Allah’. Penulis Kristian ini
harus ingat bahawa perkataan ‘Allah’ bahasa Arab yang bermakna ‘Tuhan itu’
dalam bahasa Melayu, yakni Tuhan Yang Esa. Bagi kebanyakan orang Kristian Tuhan
ada tiga; jadi tidak logik bagi mereka menggunakan perkataan ‘Allah’. Ini soal
kejahilan, bukan soal mencuri nama!
Lebih penting daripada perbantahan
dangkal ini, kita harus ingat dan faham bahawa yang beragama itu manusia, bukan
negara. Alangkah aneh Perlembagaan Malaysia mengatakan “Islam agama Persekutuan”.
Tiap negara-bangsa netral dari segi agama, kerana yang beragama itu penduduk
negara itu. Oleh sebab itu, Piagam Madinah yang masyhur itu dan yang digubal
oleh Nabi Muhammad sendiri menyerahkan pentadbiran urusan agama kepada
penganut-penganutnya sendiri, autonomi dengan perkataan lain. Ini boleh mengelak daripada konflik agama,
seperti yang kerap berlaku di negara kita.
Ingin
saya huraikan di sini mengapa saya tidak menggunakan frasa SAW selepas nama
Nabi Muhammad. Penggunaan frasa ini
sebenarnya bersalahan dengan ajaran Tuhan dalam Quran. Kita tidak dibenarkan
membezakan antara para nabi. (Mengapa kita sebut frasa AS selepas nama
nabi-nabi lain?) Lagipun frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin
umumnya. (Quran, 33: 43).
Jadi,
saya ingin bertanya, adakah kita di Malaysia mengamalkan agama Islam seperti
yang diajar oleh nabi besar kita Muhammad? Kegagalan sarjana-sarjana kita membetulkan
kesilapan-kesilapan amalan agama kita (Islam baka, bukan Islam sebenar) sangat
menghairankan!
KASSIM
AHMAD penulis bebas Malaysia. Laman web belaiu www.kassimahmad.blogspot.com
2 comments:
Post a Comment