Saturday, December 14, 2013

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-67



PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-67
BAIK DAN BURUKNYA

Oleh; Kassim Ahmad
7 Disember, 2013

            Mengikat Quran, Tuhan menjadikan manusia berbangsa-bangsa. (Quran, 49: 13) Jadi, tidak salah bagi orang Melayu memperjuangkan nasib bangsanya. Perkauman atau asabiah itu sikap melebih-lebihkan bangsa sendiri.
            Perhimpunan Agung UMNO yang ke-67 baru selesai. Ucapan presidennya Najib meletakkan perjuangan itu di atas landasan yang betul. Namun demikian, ada beberapa anjuran yang harus ditolak, kerana bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar yang telah disempurnakan oleh nabi besar Muhammad (Quran, 5:3), penutup segala nabi.
            Quran, kitab suci yang terakhir kepada manusia, yang dipelihara oleh Tuhan Sendiri mengisytiharkan tiada paksaan dalam agama. (Quran, 2: 256). Kedudukan ayat ini selepas Ayat Kursi (255) sangat bermakna. Ia menunjukkan Tuhan, kuasa terhebat di seluruh Alam Raya, memberi kebebasan mutlak kepada manusia sama ada mahu mengikut perintah Dia atau tidak.
Perisytiharan ini memulakan hak asasi manusia, mendahului Perisytiharan Hak Asasi Bangsa-bangsa Bersatu pada 1948 selama 1,300 tahun lebih!. Ayat itu terang-terang menegaskan apa yang ia tegaskan, iaitu agama itu bebas. Siapa yang ingin memeluk Islam atau apa juga agama lain, bebas memeluknya. Ia bertanggungjawab sepenuhnya di atas perbuatan itu. Tetapi jika ia ingin keluar dari agama itu, ia juga bebas keluar. Itulah maknanya. Makna lain, walaupun diberi oleh seorang sarjana besar, batal.
            Oleh yang demikian, mazhab Ahli Sunnah Waljma’ah itu satu puak yang muncul kemudian, berlawanan dengan ajaran Nabi Muhammad. Jadi, tidak betul kalau kita meminda Perlembagaan untuk memasukkan istilah ‘Ahli Sunah Waljama’ah’. Kita harap UMNO dan Kerajaan tidak akan membuat pindaan ini.
            Quran juga melarang kita daripada membuat puak dalam agama. (Quran, 3: 103; 6: 159). Jadi, jangan kita buat puak dan mengisytiharkan puak ini sah dan puak itu tidak. Barangsiapa yang membuat puak dalam agama harus tanggung akibatnya. Tuhan yang menghukum; bukan manusia atau Kerajaan.
            Apabila kita memerintah, Tuhan menyuruh kita memerintah dengan adil. (Quran, 4: 58)  UMNO mula-mula melalui Perikatan dan kemudian melalui Barisan Nasional telah memerintah dengan adil. Satu juta pendatang berbangsa Cina dan India telah diberi kerakyatan apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 1957. Kemurahan orang Melayu ini tidak ada tolok-bandingnya dalam dunia!
            Harus diingat bahawa Persekutuan Tanah Melayu berasal dari Kesultanan Melayu Melaka dengan Melaka sebagai sebuah pelabuhan yang besar di dunia dalam abad ke-15 sebelum ia ditakluk oleh penjajah Portugis, diikuti oleh Belanda dan kemudian oleh Inggeris.
            Islam yang datang ke Malaya itu Islam pasca kejatuhan kota Baghdad, pusat Empayar Islam di Timur, pada 1258, iaitu Islam yang sudah menyeleweng dan kalah. Dengan demikian, ia turut melemahkan bangsa Melayu. Dalam pilihanraya ke-13 pada 5 Mei 2013. Barisan Nasional yang ditunjangi parti UMNO gagal mendapat kemenangan dua-pertiga. Pada ketika itu, sesetengah ahli UMNO sendiri tidak mengundi UMNO, kerana kemerosotannya dibanding dengan UMNO yang asal.
            Dalam Perhimpunan Agung ini, presidennya Najib cuba merekayasa UMNO dengan memperkenalkan sistem perkaderan. Sebelum seorang boleh menjadi ahli UMNO, ia harus melalui kursus tentang UMNO: Falsafah perjuangannya, sejarahnya, misinya dan masa depannya. Ini yang dinamakan presiden sistem perkaderan.
            Oleh sebab kehidupan Islam dibahagikan kepada dunia dan akhirat, maka orang Melayu yang beragama Islam salah faham tentang dua dunia ini, lalu kerana mereka mengutamakan akhirat, mereka mengabaikan dunia ini. Seperti yang diungkapkan di dalam pantun mereka: “//Dunia ini pinjam-pinjaman//Akhirat juga yang sugguhnya.”// Sikap ini bertanggungjawab bagi kemunduran mereka. Dibanding dengan suku-bangsa Cina dan India, mereka terkebelakang. Padahal Islam boleh disifatkan sebagai satu cara hidup revolusioner, tidak takut mati dan mendukung kehidupan. Ini dibuktikan oleh sejarah apabila dalam masa 60 tahun dalam zaman Khalifah Uthman Ibni Affan, bangsa Arab yang tidak terkenal itu melonjak naik menjadi kuasa besar nombor wahid mengalahkan Empayar Parsi dan Empayar Baizantium, dua kuasa besar pada masa itu.
            Gerakan tajdid moden yang bermula dengan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897 ) dan Sheikh Muhammad Abduh (m. 1905) hingga sekarang sudah lebih seratus tahun. Namun demikian, kebangkitan semula Islam belum nampak akan berlaku. Mengapa? Mestilah kerana Islam yang kita amalkan sekarang tidak seperti yang diajar oleh penutup segala nabi, Nabi Muhammad. Ini nyata. Cerdik pandai Islam mestilah menyiasat di mana kita telah tersilap.
            Orang Melayu sendiri mesti menyiasat mengapa mereka terkebelakang dibandingkan dengan suku-kaum Cina dan India. Penyiasatan ini akan menemukan mereka dengan sikap mereka yang tidak memberi perhatian secukupnya kepada kehidupan dunia. Mereka mesti sedar bahawa mereka tidak dapat apa-apa kecuali apa yang mereka usahakan. Alangkah ironisnya suku-bangsa Cina dan India lebih berjaya daripada mereka, walaupun orang Melayu lebih banyak menerima bantuan Kerajaan!
            Dalam pada itu, seperti yang telah saya cadangkan dulu, kita kena susun sistem nasional kita sendiri untuk menggantikan sistem dwi-parti/jamak-parti yang kita tiru dari Eropah yang tidak sesuai dengan semangat kesatuan Islam. 

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com  




No comments: