KEMATIAN
CHIN PENG:
BAGAIMAN
KITA MENILAI PERJUANGANNYA?
Oleh: Kassim Ahmad
18 Septmber, 2013
“Tunjukilah kami jalan yang lurus;
jaln mereka yang Engkau restui, bukan mereka yang Engkau murkai, atau mereka
yang sesat.” – Quran, 1: 6-7.
Dari perspektif yang mutlak, Parti Komunis
Malaya (PKM) tidak lain dari satu cabang gerakan komunis internasional yang
tidak ada masa depan. Ia sebuah ideologi antarabangsa yang ajalnya telah
ditetapkan. Chin Peng sebagai ketua PKM telah salah pilih ideologi ini sebagai ideologi
perjuangannya. Malah dia degil dan tidak mahu menerima nasib yang menimpa
ideologi ini apabila ideologi ini menemui ajalnya dalam tahun-tahun 1989-1991.
Orang-orang seperti beliau tidak
sedar bahawa mereka bertindak, seperti binatang mengikut naluri, bukan akal.
Manusia makhluk istimewa, Homo sapiens,
mengikut istilah saintifiknya, kerana ia mempunyai akal rasional. Dia muncul di
dunia kira-kira satu juta tahun dulu. Dalam bahasa Quran, ia khalifah, makhluk yang yang boleh menentukan nasibnya sendiri.
Inilah makna dua ayat suci dalam
surah Fatihah yang kita petik di atas.
Manusia belajar mengikut kaedah
jatuh bangun. Tidak ada jalan lain. Dia harus elak jalan yang silap apabila dia
sedar jalan itu silap. Inilah kelebihan manusia daripada binatang. Dia makhluk rasional.
Sesetengah orang menganggap PKM
pejuang kebebasan, kerana ia menentang penjajah Jepun dalam Perang Dunia II dan
menentang penjajah Inggeris selepas Pihak Berikat menang dalam Perang Dunia II.
Orang-orang ini lupa bahawa PKM menentang Jepun dan Inggeris bukan kerana
hendak membebaskan Malaya dari penjajahan. Ia hendak menubuhkan sebuah republik
komunis di Malaya untuk diletakkan di bawah penjajahan China Komunis atau Rusia Soviet. Dengan kata-kata lain, dari suatu penjajahan
ke suatu penjajahan lain. Terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau,
seperti kata pepatah.
Kita tahu dalam sejarah telah wujud
pelbagai penjajahan. Kerajaan Melayu Melaka mula-mula telah dijajah oleh
Portugis, kemudian oleh Belanda, kemudian oleh Inggeris. Dalam Perang Dunia II
ia dijajah oleh Jepun. Portugis tidak
menawan Melaka untuk membebaskan Melaka dari taklukan orang Melayu, kerana
orang Melayu anak negeri yang mendirikan Melaka. Demikianlah Belanda, Inggeris
dan Jepun itu penjajah.
Oleh kerana manusia dijadikan Tuhan
makhluk yang bebas, keadaannya yang sebenar itu kebebasan. Keadaan perhambaan
itu bukan fitrahnya dan tidak natural.
Kalimah syahadah kita “Tidak tuhan melainkan Allah” itu bermakna kita mengisytiharkan
pembebasan yang total dari semua
tuhan palsu kecuali Tuhan yang Sebenar, Pencipta sekalian alam. Demikianlah
besar dalam dalamnya erti syahadah itu. Dua
yata suci yang kita petik di atas memerintahkan kita mencari jalan yang lurus
dari dua jalan yang menyeleweng, iaitu jalan yang Tuhan murkai (jalan mereka
yang memberontak terhadap Tuhan: kaum komunis termasuk ke dalam golongan ini), dan mereka yang sesat. Mereka yang sesat
merujuk kepada mereka yang tidak memberontak melawan Tuhan, tetapi mereka yang
ingin mencari jalan yang lurus tetapi tidak menemuinya.
Coba lihat kesan pemberontakan
terhadap Tuhan. Dalam Rusia Soviet dan Eropah Timur berapa besar kekejaman yang
berlaku di bawah rejim-rejim mereka. Demikian juga di dalam negara China
Komunis. Lebih dekat, coba lihat apa yang berlaku di Indonesia dalam zaman
Sukarno apabila Parti Komunis Indonesia dibenarkan sebagai sebuah parti yang
bergerak bebas. Begitu juga di negara kita. Kita sudah tentang kekejaman PKM.
Adakah ini bermakna kita memang
tidak boleh membenarkan ideologi komunisme bebas dalam negara kita? Bukankah
ini menafikan hak asasi untuk kaum komunis dan bertentangan dengan Piagam
Bangsa-bangsa Bersatu? Tetapi satu perkara kita mesti ingat. Hak kebebasan kolektif
tidak boleh menafikan hak kebebasan individu. Kedua-duanya wujud dalam satu
kesatuan yang harmonis.
------------------------------------
KASSIM
AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com.
1 comment:
Post a Comment