KAUM SYIAH: APA
MASALAHNYA?
Oleh: Kassim Ahmad
21 Ogos, 2013
“Tiada paksaan dalam agama” – Quran, 2: 256.
“Jangan buat puak dalam agama” – Quran, 6: 159.
Adakah kita keliru dalam banyak hal?
Di mana ulama kita maka mereka tidak boleh memberi tunjuk ajar kepada
masyarakat? Kita berebut nama Tuhan kononnya perkataan “Allah” khusus nama
Tuhan untuk orang Islam, sedangkan Quran memberitahu kita bahawa segala nama
yang paling baik itu milik Dia (Quran, 17: 110). Surau, rumah ibadah, kita
dakwa milik orang Islam saja. Kita hendak melaungkan azan hingga kita menyakiti
masyarakat bukan-Islam dalam negara kita yang berbilang agama. Tidak hairanlah
orang Islam dianggap seorang oleh masyarakat antarabangsa, dilabel ekstremis dan
terorris, sedangkan perkataan “Islam” itu sendiri bermakna sejahtera!
Kalau kita berpandukan Piagam
Madinah, yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri, dan semestinya kita berpandu
kepadanya, agama ditadbirkan secara autonom oleh penganut-penganutnya, dan
negara tidak masuk campur. Negara tidak boleh beragama; yang beragama itu
rakyatnya. Negara kita berbilang agama: ada Muslim, Buddhis, Taois, Hindu, Kristian, dan lain-lain. Logik dan pantaslah
mereka mentadbirkan urusan agama mereka sendiri. Dalam situasi ini, akan wujud
keamanan dan kesejahteraan yang tulen di antara penganut pelbagai agama.
Kaum Syiah itu suatu puak dalam
agama. Begitu juga kaum Ahli Sunnah Waljamaah. Mengapa kaum Syiah harus dianggap
bahaya? Siapa pun, jika melanggar undang-undang, Syiahkah atau puak agama
lainkah, perlu dihukum. Sekali lagi
harus ditekankan tiada paksaan dalam agama.
Ini ajaran Tuhan.
Umat Islam harus ikut agama Islam seperti yang disempurnakan
oleh nabi besar kita Nabi Muhammad, penutup segala nabi. Ulama kita harus
tunjuk kepada umat Islam di Malaysia agama Islam ini.
Harus diingat bahawa agama Islam
tiba di alam Melayu dalam abad ke-13 dan ke-14. Batu bersurat Terengganu
bertarikh 1303 M. Ini bermakna Islam yang tiba di Alam Melayu Islam pasca
kejatuhan Baghdad pada 1258 ke tangan kaum gasar – pendek kata, Islam yang
telah berubah daripada bentuk asalnya yang disempurkan nabi terakhir, Nabi
Besar Muhammad. Harus diingat lagi bahawa sejarah membuktikan bahawa dalam masa 60 tahun dalam zaman Khalifah
Uthman Ibni Affan semangat juang revolusioner yang tidak takut mati dan yang
menjulang kehidupan baik telah mengangkat bangsa Arab yang tidak terkenal pada
zaman itu menjadi kuasa terbesar di dunia mengalahkan Empayar Parsi dan Empayar
Baizentium.
Demikian hebatnya daya juang
itu.
Gerakan tajdid moden Islam dikira
dari Jamaluddin al-Afghani (m. 1897) dan Muhammad Abduh (m. 1905) – sudah lebih
100 tahun. Mengapakah gerakan ini gagal menjulang Islam ke atas sekali? Tentu
ada sebabnya. Sebab atau sebab-sebab itu tentulah kerana
penyelewengan-penyelewengan yang masih belum dihapuskan dari kehidupan umat
Islam sekarang. Sepatutnya, cerdik-pandai agama kita mejawab soalan ini supaya
umat Islam boleh mengambil tempatnya yang sah di atas sekali. Bukankah agama
Islam itu agama yang direda oleh Tuhan?
1 comment:
Post a Comment