Sunday, August 27, 2006

“KEINDAHAN ITU KEBENARAN DAN KEBENARAN ITU KEINDAHAN”
IDEAL DAN REALITI: TAFKUR 50 TAHUN MERDEKA

Oleh: Kassim Ahmad
25 Ogos, 2006

Kata-kata dari pujangga Inggeris, John Keats, yang kita petik di atas, bertujuan untuk menunjukkan kepada kita suatu hakikat yang hari ini kebanyakan kita lupa. Kita terlalu materialistik hingga kita lupa akan kewujudan alam-alam moral dan spiritual yang lebih kekal dari alam materialistik. Kita tidak punya akal lain kecuali menggunakan kuasa atau kekerasan untuk mempertahankan apa yang kita anggap kebenaran. Malah, mungkin apa yang ingin kita pertahankan dengan kuasa itu tidak pun bersifat kebenaran. Ia hanya suatu warisan dari nenek moyang kita – “Islam” seperti yang kita amalkan hari ini, “Islam Baka”, kata orang.

Kita orang Islam patut bersyukur kepada Tuhan, jika kita masih beragama Islam, kerana Islam ialah agama yang direda oleh Tuhan (Quran, 3: 19), Agama Kebenaran (Quran, 48: 28) dan Agama Allah (Quran, 110: 2). Kita mahu melihat agama in mengatasi agama-agama palsu yang lain. Tetapi sebelum Islam dapat mengatasi agama-agama lain dalam dunia global moden yang canggih ini, ia mesti boleh menahan ujian-ujian intelektual dari agama-agama lain, malah ia boleh mengalahkan hujah-hujah agama-agama lain.

Anehnya, kita tidak sanggup berbuat demikian, kerana kita tidak punyai hujah untuk menjawab banyak soalan. Kita mencari perlindungan di sebalik undang-undang (yakni menggunakan kuasa negara) untuk menghalang pendakwah agama-agama lain daripada berdakwah kepada masyarakat Islam. Sebaliknya, kita mahu berdakwah kepada orang-orang bukan Islam untuk mengajak mereka menganut agama Islam.

Adakah sikap dan perbuatan ini adil? Adakah ia adil kepada kita dan kepada orang-orang bukan Islam? Bagaimana kita boleh menjadi adil kepada orang lain kalau kita tidak boleh berlaku adil kepada diri kita sendiri?

Atas alasan keharmonian awam, kita juga menghalang perbincangan isu-isu “sensitif” yang bersifat keagamaan ini. Isu-isu Lina Joy, Murthy dan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama dan sikap-sikap masyarakat, termasuk sikap pemimpin-pemimpin Islam sendiri, membuat masyarakat menjadi tegang. Kita pun tidak punyai jalan keluar yang baik dari perangkap “isu sensitif” yang kita pasang sendiri!

Memang Keats seorang pujangga. Pujangga dan ahli falsafah bercakap terus dari hati dan jiwa puitis atau intelektual dan rasionalis mereka tanpa mengira keadaan realiti masyarakat. Ahli politik mesti mengambil kira keadaan semasa. Kedua-dua kenyataan ini memang betul. Tetapi ahli-ahli politik gemar mengambil jalan mudah. Mereka lupa peranan mereka sebagai pemimpin (konsep “khalifah” dalam Quran) yang mesti mendidik msyarakat kepada keadilan dan kebenaran yang diutamakan oleh ahli falsafah dan pujangga. Pada akhirnya, sikap dan pendirian pujangga dan ahli falsafah itulah yang sebenarnya betul, betul dari segi jangka panjang.

Cuba kita ingat kembali apa yang telah berlaku dalam masyarakat kita dalam masa setahun yang lalu, sejak cadangan penubuhan badan Suruhanjaya Antara Agama dikemukakan. Reaksi awal daripada pemimpin kita ialah: “Tangguhlah dulu.” Setahun kemudian ia menjadi “Lupakanlah cadangan ini! Bahaya!” Ia merbahaya, kerana ia boleh membawa kepada ketegangan kaum dan agama, dan seterusnya boleh membawa kepada pertumpahan darah.

Memang kita tidak mahu pertumpahan darah. Malah apa bentuk kekacauan pun kita tidak mahu. Tetapi kita mesti sedar bahawa kekacauan dan pertumpahan darah berpunca dari sesuatu atau beberapa masalah sosial, yang gagal kita selesaikan. Ambil isu Murthy dan Lina Joy, (isu kebebasan agama atau murtad), isu penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (sebenarnya isu dialog antara agama yang sebenarnya pemimpin-pemimpin kita alu-alukan), isu kedaulatan undang-undang Islam dan isu kedaulatan Perlembagaan Persekutuan (isu sistem).

Isu murtad atau kebebasan beragama itu sebenarnya mudah saja. Adakah Murthy waktu beliau mati itu bergama Islam, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, atau beragama Hindu, seperti yang didakwa oleh isterinya. Perkara ini boleh diselesaikan dengan mengambil keterangan dari kedua-dua belah pihak supaya taraf keagamaan beliau pada waktu ia mati jelas. Kes Azlina Jilani atau Lina Joy pun mudah juga. Beliau telah memeluk Islam dan kemudian ingin keluar dari Islam. Mengikut undang-undan Islam kita sekarang, orang-orang Islam yang ingin keluar dari Islam tidak dibenarkan. Ia dikatakan murtad dan telah melakukan suatu jenayah. Mengikut sebuah hadis, ia perlu dihukum bunuh. Tetapi, pihak berkuasa agama kita harus sedar bahawa hadis palsu ini bercanggah dengan ajaran Quran yang terang-terang mengisytiharkan kebebasan beragama yang mutlak kepada manusia. Hukuman ini dengan sendirinya batal dari segi ajaran Islam yang sebenar.

Akhir sekali, isu yang paling besar: undang-undang apakah yang berdaulat di negara kita? Jawapan yang jelas ialah Perlembagaan Persekutuan. Dalam beberapa hal, Perlembagaan Persekutuan memberi lalu kepada undang-undang Islam, dan ini telah dimaktubkan dalam Artikel 121 (1A) yang menobatkan undang-undang Syari’ah. Peguam-peguam Islam telah berhujah bahawa undang-undang Syaria’h telah mendahului undang-undang sivil, yang telah diperkenalkan oleh kaum penjajah Inggeris, lama sebelum pelbagai kaum penjajah menjajah Malaysia. Ini memang benar. Soalnya bukan undang-undang Islam atau undang-undang sekular Inggeris. Soalnya, undang-undang mana yang lebih adil?

Jawapan kepada soalan ini bukan mudah. Kedua-dua kategori undang-undang ada baik dan buruknya. Kita memerlukan masa untuk membahas dan menguji ketegori-kategori undang-undang ini untuk menggubal undang-undang yang adil dan bersifat kemanusiaan untuk rakyat kita. Di sinilah kita memerlukan kebebasan untuk berbahas. Jika kita menekan kebebasan itu dan menghalang perbahasan, bagaimana kita boleh mendapat undang-undang, atau sistem yang baik bagi negara kita.

Kita sudah merdeka selama 50 tahun. Kita sudah melalui dua generasi. Sepatutnya, generasi tua mendidik generasi muda beerfikiran kristis terhadap warisan lama, ambil dan teruskan yang baik, buang dan gantikan yang buruk dengan yang lebih baik. Dengan demikian barulah kita boleh maju. Malangnya, bukan saja generasi muda, tetapi juga generasi tua juga, telah merosot dari segi moral mereka dalam masa lima puluh tahun ini. Ini kerana penjajahan budaya dan fikiran hedonis yang melanda dari Barat dalam masa itu, dan masyarkat kita tidak punyai benteng intelektual dan budaya yang lebih kuat untuk melawan penjajahan ini.

Tidak syak lagi, dari ajaran-ajaran Quran, kita boleh mengubah-suai sistem separuh sekular dan separuh tradisional yang kita amalkan hari ini menjadi sebuah sistem ekonomi-politik, sosial, intelektual, moral dan spiritual yang jauh lebih baik dari sekarang. Tetapi ini memerlukan sebuah pimpinan politik dan intelektual yang kuat dan visi yang jelas, yang dapat melihat kelemahan-kelemahan dalam kedua-dua sistem, Barat dan Timur, dan membangunkan sebuah sistem yang baru dari ajaran-ajaran yang baik dalam Islam dan dalam semua tamadun. Inilah yang patut kita lakukan. Adakah pemimpin-pemimpin kita mengajak rakyat ke jalan itu?



Kassim Ahmad seorang penulis bebas yang tinggal di Pulau Pinang. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my . Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

4 comments:

Anonymous said...

Pada saya sesaorang itu di anggap murtad dan bukan Islam sebaik sahaja ia berniat, menyebut, dan/atau melakukan perbuatan murtad. maka apa perlu lagi pada pengistisyaran. Adakah kuasa didunia yang lebih tinggi dari dirinya sendiri? Apakah kita perlu satu pihak untuk membuat pengisytiran?

Anonymous said...

Saya setuju sepenuh hati bahawa pembatalan atau penangguhan dialog hanya memburukkan lagi keadaan dan melanjutkan ketegangan.
Dalam analogi sukan, apabila otot kaki dicederakan dan menjadi tegang, otot hendaklah cepat diurut, kalau tidak, lagi lama lagi payah nak sembuh.

Anonymous said...

Akhir sekali, isu yang paling besar: undang-undang apakah yang berdaulat di negara kita?

It depends, on issues relating to the personal law of Muslims, the Islamic law applies. Otherwise the Civil Law Act stipulate that English law applies. In some countries like Egypt and Pakistan, amendments were made in the Constitution that state the applicability of Islamic canonical laws.

Anonymous said...

kurang setuju dengan isu lina joy..

pada pendapat saya tentang isu ni jika dianalogikan seperti situasi di bawah ini :

"individu yg memandu di jalan raya mesti mengikuti segala peraturan dan undang2 jalan raya tanpa sebarang toleransi terhadapnya. jika melanggar sebarang peraturan jalan raya harus dikenakan saman/hukuman"

berbalik pada isu lina joy..dia dilahirkan sebagai seorang muslim dan mesti mengikuti segala undang2 dan peraturan2 yg telah ditetapkan dalam islam tanpa sebarang toleransi terhadapnya..jika melanggar sebarang peraturan dalam islam akan dikenakan hukuman sepertimana yg termaktub dalam undang2 islam..

dalam isu murtad..seseorang muslim tidak boleh keluar dr agama islam walaupon berhujahkan pelbagai alasan..jika melanggarnya,akan dikenakan hukuman..sepertimana peristiwa saidina abu bakar r.a yg memerangi nabi-nabi palsu dan golongan murtad setelah kewafatan rasulullah s.a.w..

ini sudah cukup membuktikan bahawa hukuman akan dikenakan kepada sesiapa yg murtad..

persoalan "tiada paksaan dalam beragama" ditujukan kepada orang bukan islam sahaja..bkn kepada orang islam..ia bertujuan menunjukan toleransi agama islam dalam menarik minat orang bukan islam untuk memeluk islam..

sekian...