Tuesday, July 14, 2009

Masalah Pengajaran Sains dan Matematik

Oleh: Kassim Ahmad
14 Julai, 2009


Dalam masyarakat kita, ada tiga aliran fikiran berhubungan dengan tamadun Barat: tolak keseleruhan, terima keseluruhan, dan kritikal, yakni terima yang baik dan tolak yang buruk. Nyatlah, mereka yang menganjurkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tergolong ke dalam aliran kedua, yang perlu ditolak.

Untuk menyelesaikan masalah ini dengan betul, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada fikiran orang ramai, kerana ini soalan kebenaran. Soalan pokok yang mesti kita jawab ialah: Negara Malaysia ini apa? Adakah kita sebuah negara-bangsa yang merdeka dan berdaulat dengan sebuah wilayah, Bahasa Kebangsaan, sejarah, ekonomi dan budaya yang bersifat khusus (kerana ciri-ciri kebangsaan yang tersebut) dan, pada masa yang sama, universal (kerana kita sebagian dari dunia global)?. Atau kita hanya sebuah wilayah tanpa ciri-ciri kebangsaan dari dunia global yang dikuasai oleh kuasa besar Anglo-Amerika dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasminya?

Perpecahan di kalangaan rakyat kita tentang perkara ini membuktikan bahawa kita masih tidak pasti tentang perkara ini. PAS umpamanya menolak faham kebangsaan, kerana kononnya bersalahan dengan ajaran Islam. DAP pula hanya menerima Malaysia yang dicipta oleh Inggeris. Bagi mereka, Kesultanan Melayu Melaka, Alam Melayu atau Nusantara, dan Dunia Islam yang ada hubungan integral dengan Malaysia tidak wujud. Tetapi, nyatalah kita sebuah negara-bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat dengan misi dan hak untuk membangunkan tamadun atau sub-tamadun kita sendiri dalam sebuah dunia global yang mengiktiraf hak nasional itu.

Kalangan yang menganjurkan dua mata pelajaran ini diajar dalam bahasa Inggeris mengandaikan bahawa Bahasa Kebangsaan kita tidak boleh menjadi bahasa ilmu dalam sains dan matematik. Implikasi dari pendirian ini ialah bahawa Bahasa Kebangsaan kita tidak boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang, kerana Bahasa Kebangsaa kita tidak boleh menyamai, apalagi menandingi, bahasa Inggeris. Nyatalah fikiran ini sama sekali tidak logikal, kerana kedudukan bahasa Inggeris yang utama sekarang bukan kerana bahasa itu, tetapi kerana kreativiti bangsa Anglo-Amerika yang memakai bahasa Inggeris yang telah menjadi lingua franca dunia. Kita harus ingat bahawa sebelum bahasa Inggeris mencapai taraf ini, bahasa-bahasa lain, termauk bahasa Yunani, Latin dan Arab, memainkan peranan bahasa ilmu dunia. Implikasinya, bahasa Inggeris tidak akan terus memainkan peranan ini pada masa depan.

Kita harus berfikir secara persis dalam hal ini. Pertama, kita mahu membangunkan tamadun bangsa Malaysia kita sendiri. Ini mesti termasuk mengembangkan ilmu kita dalam sains dan matematik, yakni menjadikan Bahasa Kebangsaan kita bahasa ilmu dalam kedua-dua sabjek ini. Alasan bahawa kita tidak cukup buku dalam kedua-dua mata pelajaran ini tidak boleh dipakai.

Kedua, kita juga mahu rakyat kita pandai dalam bahasa Inggeris untuk berinteraksi dengan dunia dan untuk mendapat manfaat dari gedung ilmu yang terdapat dalam bahasa Inggeris. Bukan pandai dalam bahasa Inggeris saja yang kita mahu; kita mahu ada sebilangan rakyat kita yang pandai dalam bahasa-bahasa antarabangsa yang lain juga, seperti Perancis, Jerman, Belanda, Jepun, Rusia, Arab, Mandarin, Tamil, dan lain-lain. Namun, dalam banyak bahasa antarabangsa ini, kita mahu bahasa Inggeris diberi keutamaan oleh kerana keluasaan kegunaannya di arena antarangansa dan kerana gedung ilmu yang terdapat di dalamnya. Kita haruslah mengambil langkah-langkah untuk membaiki pengjaran bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita.

Di atas dua tonggak ini, kita bina sistem pendidikan kita. Di sini mungkin ada banyak perkara yang harus diperbaiki. Pertama, pengajaran Bahasa Kebangsaan dan bahasa-bahasa ibunda bagi tiga tahun pertama persekolahan. Tujuannya jelas. Kita mahu letak asas kebangsaan kita pada satu tempat yang cukup kukuh. Jika asas ini tidak kukuh, kita tidak boleh berkembang menjadi sebuah negara-bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Kedua, pengajaran bahasa Inggeris bermula pada tahun keempat. Mutu pengajarannya mesti diperbaiki, seperti mengadakan guru-guru yang mahir dan memakai kaedah pengajaran yang lebih baik. Ketiga, anak-anak kita jangan diajar dengan kaedah menghafal. Ini tidak akan membangunkan daya kreatifnya. Sistem pendidiakn kita hendaklah bertujuan untuk menghasilkan para graduan yang bukan hanya boleh bekerja, tetapi, lebih penting, yang boleh berfikir kreatif dan kritikal. Inilah yang perlu untuk membangunkan tamadun kita, bukan bahasa Inggeris. Keempat, suatu sistem pengajaran bahasa-bahasa antarabangsa yang lain perlu diwujudkan, supaya pelajar-pelajar kita yang ingin melanjutkan pelajaran mereka atau memilih kerjaya mereka, seperti bidang-bidang kesarjanaan atau diplomatik, boleh memperoleh manfaat dari sistem ini. Kelima, satu sistem pemberian biasiswa kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan tanpa mengira kedudukan kewangan ibu-bapa mereka, dan kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan tetapi tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran mereka tanpa biasiswa.

Tidak kira kita dari suku-bangsa apa dan tidak kira kita dari masyarakat bandar atau luar-bandar, sistem pendidikan kita mestilah bertujuan untuk menghasilkan rakyat yang berfikir, baik dan berguna.

Para pemimpin kita hendaklah berani membuat dasar berdasarkan prinsip, bukan berdasarkan kemudahan. Kritikan yang sihat untuk kebaikan mestilah dipraktikkan dalam semua institusi kita, dalam Parlimen, dalam Kabinet, dalam Perhimpunan Agung UMNO, dalam Majlis Tertinggi UMNO, dan lain-lain.

Adakah ini mustahil bagi kita? Jawabnya tidak ada yang mustahil. Apa yang kita mahu, kita buat.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com