Thursday, February 18, 2010

POLITIK DI MALAYSIA KINI – CABARABN DAN HARAPAN

Oleh: Kassim Ahmad
kassim1234@gmail.com


16 Februari, 2010

Politik di Malaysia kini kecamuk. Pakatan Rakyat yang memenangi and menguasai lima negeri telah menampakkan apa yang kita sudah ketahui – ketiadaan asas suatu gabungan yang kukuh dan mantap. Mereka sendiri sebenarnya tidak menyangka mereka akan menang begitu besar dalam Pilihanray Umum yang ke-12 . Kemantapan dan kelansungan pakatan oporcunis ini diselubungi tanda-tanya. Idealisme, yang bertanggungjawab bagi perubahan ini, tidak boleh kekal tanpa realisme untuk melahirkan sistem yang lebih adil.

Mari kita selidik anasir-anasir yang bergabung untuk membawa perubahan dalam pilihanraya umum itu. PAS, asalnya serpihan daripada UMNO sudah berubah dari suatu pimpinan yang progresif di bawah Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Dzulkifli Muhammad dalam dekad-dekan 50-an dan 60-an, melalui “Islam Melayu” di bawah pimpinan Asri Muda, kepada pimpinan yang konservatif-agresif dan jumud di bawah “pimpinan ulama” acuan Iran sejak Hj. Yusof Rawa mengambil-alih pimpinan PAS. Oleh kerana pandangan hidup mereka bertunjangkan Akhirat, yang makna sebenarnya kabur dan mereka sendiri tidak tahu, tidak ada konsep dan dasar perkembangan ekonomi dalam sistem mereka.

DAP pula sebuah parti democratik-sosial yang didominasi oleh kaum Cina dengan dasar cauvinis “Malaysian Malaysia” warisan PAP Lee Kuan Yew. Jika mereka berkuasa di Pusat, Perlembagaan kita akan mereka ubah dan banyak dasar akan bertukar. Huru-hara akan berlaku. Kita katakana ini bukan untuk menakutkan rakyat Malaysia kepada DAP. Kita mahu melihat DAP mengubah ideologi dan dasarnya supaya lebih sesuai dengan reality di Malaysia.

PKR pula lahir dari “gerakan reformasi” Anwar Ibrahim (yang telah disingkir dari jawatan Timbalan Presiden UMNO). Gerakan “reformasi” ini menarik pelbagai aliraan ideolgi yang mahukan perubahan, termasuk anasir-anasir sosialis yang berpecah dari Parti Rakyat. Ia bergantung kepada karisma Anwar Ibrahim tanpa suatu ideologi perjuangan dan dasar yang jelas dan kukuh.

Gabungan cacamarba ini bukan tidak boleh berkembang menjadi kukuh dan kuat, tetapi ia memerlukan lebih daripda karisma seorang individu dan tempelan serpihan satu sosialisme. Ia memerlukan rumusan sebuah falsafah politik nasional yang boleh menyatukan rakyat Malaysia dan mewujudkan sebuah sistem pemerintahan yang lebih baik.

Dalam pada itu, kemampuan UMNO dan B.N. untuk bangkit semula masih belum jelas. Penyakit UMNO – “politik wang” – sebenarnya rasuah, pembaziran, pimpinan elitis yang terpisah daripada rakyat, suatu bentuk hegemoni – bolehkah UMNO obati? Pimpinan baru Najib Abd. Razak menunjukkan sedikit harapan. Jika beliau boleh mengikuti jejak-langkah bapanya mendiang Tun Razak, pimpinannya mempunyai harapan yang cerah. Cogankatanya “1 Malaysia: Rakyat didahulukan; Pencapaian diutamakan” menaraik dan sarat dengan makna dan kemungkinan.

Najib menghadapi cabaran yang lebih besar daripada bapanya, kerana kemerosotan UMNO yang teruk dan krisis ekonomi dunia yang parah sekarang. Beberapa dayausahanya yang mengutamakan golongan miskin memberi sinar baru. Amalannya “pergi kepada rakyat” menggalakkan, tetapi beliau kena mengelak pembaziran, seperti yang ditunjkukkan dalam lawatannya ke Melaka baru-baru ini. Malah beliau kena memberi arahan yang jelas dan tegas supaya Kerajaan pimpinannya bukan saja menolak tetapi mahu menghapuskan pembaziran, baik dari segi wang atau gunatenaga. Pembaziran suatu daripada bentuk penyelewengan besar yang meruntun masyarakat kita ke bawah.

Pada dasarnya hanya ada dua jenis politik dalam dunia ini – politik puak humanis yang berjuang untuk melaksanakan keadilan, dan puak oligarki (segelintir) yang menekan massa. Kita tentu tahu sistem politik mana yang kita mahu. Kita mesti ada suatu falsafah politik nasional yang boleh mewujudkan sistem ini serta menididik rakyat kita untuk mewujudkan sistem ini. Falsafah ini mesti merangkumi semua aliran politik nasional dalam negara kita, iaitu nasionalisme Melayu, nasionalisme Malaysia, Kerjaan yang adil berdasarkan permuafakan nasional, dan internasionalisme dan humanisme yang tulen..

Sistem dwi-parti (Kerajaan dan Pembangkang) lahir dari sejarah Eropah yang tidak sama dengan sejarah Dunia Ketiga (yang kena jajah). Oleh itu seruan supaya kita mewujudkan dwi-sistem (sistem dua parti) harus dicurigai. Sistem B.N. lebih mirip kepada sistem nasional yang kita sebut dan yang lebih sesuai dengan sejarah dan tradisi politik Dunia Ketiga.

Kita amabil iktibar dari politik PAS kini. Seperti yang telah kita sebutkan, PAS asalnya serpihan dari UNMO dan telah melalui tahap politik progresif di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin, politik ke-Melayuan dibawah pimpinan Asri Muda, dan politik “pimpinan ulama” acuan Iran sejak Haji Yusof Rawa memegang tampuk pimpinannya hingga hari ini. Oleh kerana kumpulan ini tidak mempunyai dasar ekonomi-politik yang boleh membangunkan rakyat, Kelantan yang mereka tadbir tidak boleh maju dan ketinggalan di belakang. Sekarang di dalam Pakatan Rakyat, masih tidak jelas apakah dasar ekonomi-politik mereka. Kerjasama dengan DAP mengharuskan mereka menyokong dasar cauvinis parti itu. Keresahan timbul sekarang dalam PAS supaya mencari perpaduan dengan UMNO untuk mempertahankan Islam dan kepentingan orang Melayu.

Seperti kata Tun Dr. Mahathir, oleh kerana rakyat kurang percaya kepada parti-parti politik, baik Kerajaan atau pun Pembangkang, maka timbul Badan-badan bukan-Kerajaan (BBK atau NGO) memainkan peranan yang lebih aktif menyuarakan hasrat dan cita-cita rakyat. Kelemahan BBK jelas, iaitu ketiadaan ideologi yang sama dan hanya wujud sebagai kumpulan pendesak yang tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir negara.

Kecamuk politik di Malaysia sekarang, dari satu segi, merupakan refleksi kecamuk politik dunia. Kuasa-kuasa besar yang menguasai Majlis Keselamtan PBB mahu mengongkong Iran daripada menjadi kuasa nuklier. Dulu mereka takut Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein menjadi kuasa nuklier dan mengamcam kewujudan anak emas mereka, Israel. Aneh dan malangya pada waktu itu Iran bersekongkol dengan Barat untuk menghapuskan Saddam Hussein. Berjaya dalam strategi ini, Barat sekarang menghadapkan kemarahannya dan ketidak-adilannya kepada Iran pula. Akan berlakukah satu peperangan besar? Perang nuklier yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel, di satu pihak, dan Iran dan sekutunya, di pihak lain?

Seperti di dunia internasional, kecamuk politik kita boleh mengundang bahaya besar. Satu mala-petaka besar semacam “Mei 13” atau lebih buruk boleh berlaku jika kecamuk politik ini berterusan. Menjadi tugas besar Najib dan tugas besar pimpinan UMNO-BN, termasuk pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat yang rasional, mesti duduk semeja serta merumuskan suatu falsafah politik nasional Malaysia yan g lebih kukuh dan mantap untuk mengatasi kecamuk politik ini serta membolehkan Malaysia terus maju ke hadapan.