Tuesday, March 24, 2015

SURAT KPD PM TT HUDUD





1504 Persiaran Kulim Golf, Kulim Golh @ Country Resort,
09000 Kulim, Kedah, Malaysia. Tel.04.4031871. Faks.04-4080035



Dengan Potlaju 



23 Mac, 2015.



  

Yang Amat Berhormat

Dato’ Sri Mohd. Najib Abdul Razak

Perdana Menteri Malaysia
,
Blok Utama Bangunan Perdana Putera,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62502 Putrajaya, Malaysia.
Tuan Perdana Menteri,
Hukum Hudud

            Dengan ringkasnya, saya menulis ini untuk menarik perhatian Tuan kepada beberapa perkara tentang apa yang dipanggil Hukum Hudud:-
            Pertama, hukum ini tiada disebut dalam Quran. Perkataan hududu’l-Lah disebut dalam Quran 14 kali. Tiada satu pun merujuk kepada apa yang dikatakan oleh sesetengah ahli hukum Islam sebagai hukuman tetap. Maknanya yang sebenar, ‘sempadan Allah’, yakni tiap perbuatan ada satu sempadan yang tidak boleh dilampaui. Umpamanya, tiap orang yang normal kena bekerja. Mudarat kalau ia tidak bekerja; tetapi kalau ia bekerja terlalu kuat, mudarat juga. Demikian bagi semua perbuatan. Wujud satu sempadan yang tidak boleh dilampaui.
            Kedua, perintah Tuhan yang utama dalam Quran bagi semua hakim supaya menghukum dengan adil. 
            Ketiga, tiada hukuman yang tetap, apa lagi yang kejam, zalim dan ketinggalan zaman. Hukuman bergantung kepada jenayah yang dilakukan, kepada keadaan penjenayah, dan kepada budi-bicara hakim. Jadi, tidak logik ada hukuman yang tetap.
            Keempat, kita kena kaji semula semua yang kita warisi dari generasi dulu untuk mengelak kesilapan yang telah mereka lakukan.
            Saya melampirkan bersama surat ini (i) artikel yang saya tulis dalam blog saya, dan (ii) risalah tentang hukum hudud yang telah saya tulis dalam tahun 2002.
                Harap surat ini mendapat perhatian Tuan.
                Terima kasih.
                Yang ikhlas,

            (Kassim Ahmad)

Monday, March 09, 2015

KEBEBASAN BERAGAMA




KEBEBASAN BERAGAMA
Oleh: Kassim Ahmad
8hb Mac, 2015

                “Tiada paksaan dalam agama: jalan yang betul sekarang jelas dari jalan yang salah.”
                                                                                                                                                      Quran, 2: 256.
                Islam telah mengisytiharkan kebebasan beragama lebih 1,400 tahun dulu, mendahului Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia oleh Bangsa-bangsa Bersatu. Deklarasi PBB dibuat pada tahun 1948 selepas Perang Dunia II. Namun demikian, tafsiran yang diberi oleh kebanyakan ahli hukum Islam tentang ayat masyhur yang kita petik di atas bahawa orang Islam tidak boleh menukar agamanya. (Lihat Utusan Melayu, 5 Mac, 2015; hal. 10) Apabila saya melihat beberapa tafsir tentang ayat di atas, kebebasan menukar agama tidak disebut. Yang disebut tidak boleh dipaksa orang bukan Islam untuk menganut agama Islam. Dalam perisytiharan PBB tadi yang terdiri dari 30 perkara, hak menukar agama disebut dalam Perkara 18.
                Logiklah Tuhan tidak memaksa manusia untuk beriman kepada-Nya, kerana paksaan untuk beriman tidak boleh dihukum pada Hari Pembalasan kelak. Hanya jika iman itu dipegang dengan sukarela dan bebas barulah penolakan iman boleh dihukum.
                Nyatalah juga, kebebasan ini mutlak. Tidak ada kebebasan jika orang Islam tidak boleh menukar agamanya. Kebebasan bermakna bebas masuk (Islam) dan bebas keluar. Bebas masuk, tetapi tidak bebas keluar, bukan bebas namanya. Hadis yang menyatakan, “Barangsiapa menukar agamanya, bunuhlah dia,” bukan saja sanadnya lemah, tetapi disepakati oleh kebanyakan ahli hukum Islam bahawa Nabi Muhammad tidak pernah membunuh kerana murtad semata-mata. Peristiwa riddah dalam zaman Khlifah Abu Bakr itu, bukan kerana murtad, tetapi kerana pemberontakan terhadap negara.
                Seribu empat ratus lebih sejarah Islam telah melihat perpecahan Islam kepada dua puak: puak apa yang dipanggil ortodoks majoriti, iaitu puak Ahli Sunnah Wal-Jama’ah (ASWJ), dan puak minoriti bukan ortodoks Syiah, yang bermusuhan antara satu sama lain. Hari ini agama Islam sudah mendapat nama busuk kerana undang-undangnya yang zalim, seperti potong tangan untuk pencuri dan rejam dengan batu untuk penzina. Kebanyakan undang-undang yang kejam ini datang dari hadis, bukan Quran. Hukuman potong tangan untuk pencuri dalam Quran (5:38) merujuk kepada hukuman zaman dulu apabila manusia masih dalam era babarsime. Umpamnya di England dalam abad ke-19, salah satu hukuman untuk pencuri bukan potong tangan, tetapi potong kepala!
Harus diperhatikan bahawa Quran ada dua dimensi, dimensi sejarah, yakni terikat dengan zaman Quran diturunkan kepada Muhammad yang berbangsa Arab dalam abad kelapan. Keterikatan ini sementara, dan diatasi setelah zaman universal bermula. Satu lagi dimensi, dimensi universal dengan dua jenis hukuman, iaitu hukuman berdasrakn kesaksamaan, dan hukuman berdasr ehsan. (Quran, 42: 40)  Dua jenis hukuman ini memang telah diwarisi kepada generasi moden semua negara yang bertamadun.
Bukan dalam artikel ini hendak saya bincang perkara ini dengan terperinci, memetik daripada semua peguam dari semua mazhab dalam semua zaman. Tujuan saya hendak menerangkan perintah Tuhan dalam kitab suci-Nya yang terakhir. Hanya satu perkara lagi yang hendak saya sebut. Perhatikan peletakan ayat ini. Ayat ini ayat 256 dalam surah Al-Baqarah. Persis sebelum ayat ini, diletak ayat 255, Ayat Kursi yang masyhur itu, yang mengisytiharan kebesaran dan kekuasaan Tuhan Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa. Bermakna Dia, Pencipta Alam Raya, Yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa, tidak memaksa manusia beriman kepada-Nya, manusia mana pula boleh memaksa?

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com