Thursday, June 23, 2005

REN28R:060605

Islam Hadhari Suatu Aliran Fikiran

Oleh: Kassim Ahmad
kassim@pc.jaring.my

Saya merasa terpanggil untuk mengulas tulisan Astora Jabat dalam “Bicara Ahad” lalu. (Lihat Mingguan Malaysia, 5 Jun, 2005) Dalam tulisan itu, beliau menyebut “Islam Hadhari” sebagai suatu aliran fikiran atau, dalam istilah agama, mazhab. Saya bersetuju dengan pendapat ini. Namun demikian, ada suatu perkara yang lebih serius daripada perbezaan pendapat yang harus diperhatikan dalam perkara ini.

Kita semua maklum bahawa agama Islam itu satu, bukan dua, atau tiga atau lebih. Kesatuan ini terletak pada fahaman asas Islam. Dalam semua sistem kepercayaan atau ilmu, terdapat dua bahagian: iaitu bahagian asas, dan bahagian bukan asas, atau bahagian tambahan.

Apakah fahaman asas Islam? Bahawa kita mengiktiraf kewujudan Tuhan Yang Esa, dan tiada kewujudan-kewujudan lain daripada Tuhan Yang Esa. Ini tidak bermakna kita menafikan kewujudan alam. Ini bermakna kewujudan alam itu relatif atau nisbi dan sementara, terbit daripada kewujudan Tuhan Yang Esa. Tanpa Tuhan Yang Esa, alam tidak wujud dan tidak boleh wujud.

Namun demikian, rukun iman yang enam (yang dirumuskan dalam teologi Islam) menyebut kepecayaan-kepercayaan kepada para malaikat, kepada para nabi dan rasul, kepada kitab-kitab suci, kepada Hari Qiamat dan kepada qada dan qadar sebagai tambahan kepada keprcayaan kepada Tuhan Yang Esa. Semua yang lima lagi itu terbitan daripada kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa. Jika tiada kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa, kepercayaan kepada yang lima lagi itu tidak logik dan tidak ada. Oleh yang demikian, kita katakan fahaman yang asas dalam agama Islam ialah kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa.

Dalam Quran, kita perhatikan istilah ‘beriman’ (kepada Tuhan Yang Esa) seringkali, walaupun tidak selalu, dikaitkan dengan istilah ‘berbuat baik’. Mengapa demikian? Ini kerana manusia makhluk yang tidak boleh dipisahkan daripada perbuatannya. Perbuatan manusia menggambarkan kepercayaannya. Dengan kata-kata lain, kepercayaan manusia mengawal dan menentukan perbuatannya. Oleh sebab itu, Quran kerap menggabungkan kedua-dua konsep: “Mereka yang beriman dan berbuat baik” akan selamat, yakni akan memasuki syurga. (Lihat Quran, 2:112, 62; 16:97; 46:13; 64:9; 98:7-8)

Quran telah mendefinasikan perkata ‘beriman’ dan ‘berbuat baik’ secara kongkrit dalam ayat 177, Surah Al-Baqarah, yang sepenuhnya berbunyi: “Kebaikan itu bukan menghadapkan wajahmu ke Timur atau ke Barat. Kebaikan itu beriman kepada Allah, Hari Kemudian, para malaikat, kitab-kitab suci dan kepada para nabi, dan memberikan wang yang mereka sayang kepada sanak-saudara, anak yatim, orang miskin, musafir, pengemis dan untuk membebaskan hamba-abdi; mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat; mereka yang menepati janji apabila mereka berjanji; mereka yang tabah menghadapi bencana dan kesusahan dan dalam masa persengketaan. Merekalah orang yang benar. Merekalah orang yang takwa.”

Perhatikan bahawa ayat ini ditujukan kepada ramai atau kolektif dan untuk mencapai banyak daripada matlamat yang disebut di dalamnya, kita memerlukan sebuah sistem ekonomi dan politik yang baik, seperti membebaskan hamba-abdi dan menolong anak yatim dan orang miskin. Malah kita memerlukan sains dan teknologi yang tinggi untuk menghadapi masa-masa bencana, kesusahan dan peperangan. Ini semua memerlukan sebuah sistem sosial yang baik.

Berbalik kepada perkara wujudnya pelbagai aliran fikiran dalam agama, ini dibenarkan, kerana ini fitrah manusia. Namun demikian pluralisme pendapat berlaku hanya dalam perkara-perkara tambahan atau terbitan dari fahaman yang asas keimanan kepada Tuhan Yang Esa.

Apa yang harus kita perhatikan ialah pemahaman kepada pelbagai mazhab, walaupun tidak wajib, sudah menjadi sesuatu yang hampir wajib dalam masyarakat Islam sekarang. Malaysia, umpamanya, berpegang teguh kepada mazhab Syafi’e dan mereka yang berpegang kepada mazhab-mazhab lain dipandang serong. Lebih serius daripada itu, perpecahan kepada dua puak besar Ahli Sunnah Wal-Jamah dan Syiah. Oleh kerana perpecahan kepada banyak puak dan mazhab ini dan pegangan yang taksub kepada mazhab dan puak masing-masing, maka umat Islam menjadi lemah dan mundur.

Sejak kita merdeka, umat Islam di negara kita terbahagi kepada dua aliran fikiran yang besar, iaitu aliran fikiran moden (yang diwakili oleh UMNO dan sekutunya) dan aliran fikiran ortodoks (yang diwakili oleh PAS dan sekutunya). Sekarang aliran fikiran moden ini hendak dilembagakan dalam konsep “Islam hadhari”. Sebagai suatu aliran fikiran dalam Islam yang tidak dikuduskan (yakni tidak diwajibkan bagi semua orang Islam di negara kita), ia sah.

Nyatalah, tujuan konsep “Islam hadhari” ini ialah untuk melayakkan Islam sebagai pegangan umatnya dalam dunia moden untuk mengatasi fikiran jumud dan beku yang menyelubungi umat ini dari teologi ortodoks yang dirumuskan lebih seribu tahun dulu. Tetapi jalan yang lebih baik untuk mencapai tujuan baik ini ialah dengan kita umat Islam semua kembali kepada fahaman Islam yang asas, iaitu beriman kepada Tuhan Yang Isa dan mencari petunjuk dari kitab suci-Nya yang terakhir yang kesahihannya Dia jaminkan Sendiri – Quran.

Apabila kita berbuat demikian, kita boleh bersatu dan bekerjasama dengan semua puak dan semua mazhab dalam Islam, malah dengan semua orang yang percaya kepada Tuhan Yang Esa dalam semua agama. Bersatu tidak bererti bersetuju dalam semua perkara. Kita hanya perlu bersetuju tentang perkara atau perkara-perkara pokok, seperti, mengikut ayat 2: 62, beriman kepada Tuhan, beriman kepada Hari Kemudian dan berbuat baik.

“Islam hadhari” harus dianggap tidak lebih dari satu aliran fikiran, sepertimana “Islam PAS” harus dianggap tidak lebih dari satu aliran fikiran dalam masyarakat Islam kita. Kedua-dua aliran fikiran ini boleh bersatu untuk mencari kebaikan, bukan saja bagi umat Islam, tetapi bagi seluruh rakyat berbilang kaum dan agama, di Malaysia.

3 comments:

moloyue said...

Sdra Kassim,
Bila ada masa lapang sekali sekala saya menjenguk ke laman web sdra. Tujuannya ialah pertama untuk melihat jika saya dapat faham dan menilai apa yang dituliskan. Dan, kedua memandangkan sdra telah banyak sekali menulis terutama mengenai subjek hadis saya tertarik untuk melihat “conviction” sdra.
Sudah tentu saya tidak sempat membaca semua penulisan sdra tetapi drpd beberapa artikel yang saya baca saya tak dapat menerima lojik atau alasan yang diberikan.
Pertama, tafsiran Quran yang digunakan sama ada dari segi terjemahannya mahupun dari segi konteksnya. Dan, kedua dari segi ‘argument” yang digunakan.
Cuba lihat artikel bertajuk “Islam Hadhari Suatu Aliran Fikiran” bertarikh 23 Jun, 2005. Sdra mengatakan dlm sesuatu system kepercayaan terdapat perkara asas dan bukan asas dan oleh itu dlm rukun iman yang 6, rukun pertama adalah asas dan yang lain adalah bukan asas atau tambahan. Kepada saya keenam-enam rukun iman itu adalah asas dan disusun mengikut keutamaan. Oleh itu jika kita tidak menerima satu daripadanya sama ada yang kelima atau keenam maka rosaklah asas Islam seeorang itu. Premis yang menyatakan bahawa rukun iman adalah terdiri daripada perkara asas dan bukan asas atau tambahan adalah salah.
Begitu juga dengan rukun islam, kesemua 5 rukun adalah asas. Bukan rukun pertama mengucap dua kalimah syahadah sahaja adalah asas dan yang lainnya iaitu solat, puasa, zakat dan haji adalah bukan asas atau tambahan. Semua lima rukun mesti dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan (tentunya syarat-syarat terperinci adalah berdasarkan hadis-hadis). Puasa, zakat dan haji adalah mengikut kemampuan tetapi bukannya perkara-perkara bukan asas yang boleh ditinggalkan begitu sahaja.
Saya bukanlah seorang ilmuan Islam dan saya menulis setakat yang saya tahu dan yakin. Mengenai penggunaan ayat-ayat Quran bagi menyokong pendapat sdra saya berpendapat tafsiran/terjemahannya tidak tepat(mungkin sengaja disesuaikan untuk menyokong pendapat sdra) dan diluar konteks maksudnya. Ini samalah dengan apa yang kita lihat kadang-kadang di Malaysia seseorang buKan Islam yang tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Islam cuba memberikan pendapat mengenai amalan Islam dan menyokongnya dengan petikan daripada Quran.

moloyue said...

Kalau Islam Hadhari dianggap sebagai satu mazhab maka ia tidak sepatutnya dipanggil Islam Hadhari sebab kita tidak panggil mazhab Shafie sebagai “Islam Shafie” atau mazhab Hambali sebagai “Islam Hambali”. Yang keduanya, mazhab Shafie mahupun Hambali adalah satu-satu system hukum-hukum Islam yang lengkap berbanding dengan “Islam Hadhari” yang hanya merupakan satu konsep yang pincang lagi “simplistic” yang kita tidak tahu dari mana asal usulnya.
Sekali lagi saya nak tegaskan bahawa 6 rukun iman adalah merupakan asas-asas aqidah seseorang Islam dan bukannya rukun yang pertama sahaja adalah asas dan yang lainnya sebagai bukan asas atau tambahan. Jika kita mula dengan premis yang salah maka yang lain berikutnya semuanya salah.
Kewujudan pelbagai aliran pemikiran dalam Islam adalah dibenarkan tetapi mestilah mengikut batas-batasnya. Itulah sebabnya kita boleh sembahyang mengikut imam dari lain-lain mazhab (4 mazhab) dan sembahyang itu tidak lari dari amalan-amalan asasi dalam sembahyang. Kalau tiada batas dan kalau diharuskan sebarang aliran dalam 5 perkara lain daripada 6 rukun iman maka jadikan orang Islam sebagai orang Kristian - terlalu banyak “mazhab” dan satu mazhab tidak boleh sembahyang di gereja “mazhab” yang lain. “Mazhab” dalam ugama Kristian telah menjadi satu ugama yang lain, yang asing.
Kenyataan Sdra Kassim bahawa pengikut satu mazhab (Shafie contohnya) memandang serong kepada pengikut mazhab lain adalah tidak tepat sama sekali. Orang-orang Melayu (mazhab Shafie) tidak bermasaalah langsung sembahyang di masjid orang India (mazhab Hambali) dan begitu sebaliknya.
Saya juga tidak bersetuju dengan pendapat Sdra bahawa PAS dan UMNO mewakili aliran pemikiran ortodoks dan moden, masing-masing. Pada saya perbezaannya ialah satu adalah parti Islam dan satu lagi parti kebangsaan secular. Ini juga jelas daripada nama parti masing-masing.
Dari artikel tersebut saya merumuskan Sdra mahukan Islam itu menjadi sebuah system kepercayaan yang begitu umum dan longgar supaya ia boleh “accommodate” semua orang sejauh mana mereka menerima bahawa Tuhan itu Esa. Islam apa itu? Mungkin apa yang di perlukan ialah mewujudkan satu ugama baru seperti Bahai, misalnya. Mengapa ganggu Islam?

idzham said...

saudara kassim, adakah anda sememangnya seorang yang anti hadis?