Friday, September 30, 2005

[I am interrupting this serialization of Kasim Ahmad's Characterisation... to publish this important speech that he gave recently in Penang. The serialization will resume on October 2, 2005. MBM]

KE MANA KITA?

UCAPAN KEPADA KUMPULAN MELAYU

PULAU PINANG PADA 30 SEPTEMBER, 2005

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana kita dapat berjumpa dalam perjumpaan ini pada malam ini. Tujuan kita pada malam ini sederhana saja. Ini suatu sesi percambahan fikiran, atau ‘brain storming’ di antara sesetangah kita yang prihatin, yang agak bebas fikiran mereka dan tidak terikat kepada mana-mana parti, bukan saja tentang nasib orang Melayu di Pulau Pinang, tetapi juga nasib orang Melayu di seluruh tanah air kita. Malaysia. Keadaan orang Melayu di Pualu Pinang, saya rasa, sudah banyak diperkatakan. Malah pada malam ini pun, ada suatu forum di Dewan Sri Pinang tentang perkara ini. Jadi pada malam ini kita ada dua perjumpaan yang sama tujuannya.

Tetapi saya harap tujuan kita agak berbeza sedikit. Tujuan kita bukan semata-mata hendak berbincang dan kemudian habis hingga satu perjumpaan lain pula. Dari perjumpaan ke perjumpaan tanpa sesuatu hasil!

Negara kita sudah berusia 48 tahun. Kita baru saja merayakan Ulangtahun Kemerdekaan yang ke-48. Kemerdekaan kita ialah hasil pemupukan kesedaran kebangsaan di kalangan rakyat kita yang pada awal abad ke-19 masih belum ada kesedaran kebangsaan pada masa itu. Pemupukan kessedaran ini dilakukan oleh pelbagai golongan – oleh golongan wartawan dan akhbar-akhbar mereka, oleh golongan guru, oleh pelbagai pertubuhan-pertubuhan awal, seperti Sahabat Pena, Kesatuan Melayu Muda, SABERKAS[1], dan akhirnya oleh parti-parti politik, termasuk Parti Kebangsaan Melayu dan UMNO. Jangan kita lupa bahawa pertubuhan-pertubuhan ini semua merupakan sebagian daripada suatu gerakan besar rakyat Asia untuk mencapai kemerdekaan nasional dari bangsa-bangsa penjajah Inggeris, Belanda, Perancis dan Jepun.

Hari ini semua negara Asia sudah merdeka, tetapi masih ramai rakyat Asia hidup dalam kemiskinan dan kemunduran, termasuk di negara kita, yang kita anggap lebih maju daripada sesetengah negara Asia. Mengapakah keadaan ini begini? Tidakkah empat puluh tahun lebih tidak cukup bagi kita untuk membangunkan sebuah ekonomi yang baik yang boleh menampung suatu kehidupan yang bahagia untuk dua puluh enam juta rakyat kita? Biasanya suatu generasi – 30 tahun – sudah cukup untuk membawa perubahan dalam kehidupan sesuatu bangsa.

Apabila kita mengukur kemajuan bangsa kita, kita mesti mengukur secara keseluruhan, bukan dari segi material dan ekonomi semata-mata, tetapi juga dari segi-segi sosial, intelektual dan moral. Apa yang kita untung dari segi material dan ekonomi, kita mungkin rugi dari segi sosial, intelektual dan moral. Umpamnya, ramai anak muda kita terlibat dalam penyakit katagihan dadah dan penyakit kita sudah berada di tengah-tengah kita lebih daripada 20 tahun. Jika kita hitung ini dari segi wang ringgit, mungkin kerugiannya mencapai angka berbilion ringgit! Demikian juga dengan penyakit-penyakit sosial yang lain, termasuk rasuah dan penyelewengan kuasa.

Satu lagi penyakit yang mungkin tidak ramai kita sedar ialah penjajahan fikiran atau penjajahan intelektual. Saya fikir ramai cerdik pandai kita, yang lulus dari universiti, khasnya universiti-universiti Britain dan A.S., dalam masa dua puluh, tiga puluh tahun ini – fikiran mereka tidak ubah dari fikiran Mat Salleh. Jadi, negara kita tidak memerlukan Orang Putih untuk menjajah kita; kita dijajah oleh bangsa kita sendiri!

Masalah yang kita hadapi bukan kerana kelemahan bangsa kita, tetapi kerana kita hidup dalam sistem ekonomi-politik-budaya penjajahan baru. Kita telah merdeka dari penjajahan lama, tetapi kita masuk pula ke dalam penjara penjajahan baru. Kita perlu membebaskan bangsa kita dari penjajahan ini.

Sesetengah orang Melayu merintih keadaan mereka di Pulau Pinang, bukan kerana keadaan mereka jauh lebih buruk dari keadaan mereka di negeri-negeri lain, seperti di Kedah, Perlis, Kelantan atau Terengganu. Ramai orang Melayu Pulau Pinang sudah mendapat pelajaran tinggi, sesetengah sehingga ke Universiti, ramai yang menjadi golongan professional, seperti doktor, jurutera dan peguam, ramai yang menjalan perniagaan makanan di gerai-gerai dan kedai-kedai makaman yang elok dan bersih di banyak Bandar kecil dan ramai yang duduk di rumah-rumah pangsa yang elok-elok. Tetapi, oleh kerana mereka golongan minoriti dibanding dengan kaum Cina dan pengaruh politik mereka tidak sekuat di negeri-negeri lain, maka mereka berasa terancam. Sebenarnya, masalah orang Melayu tidak terletak pada soal kaum atau bangsa. Ia terletak pada soal falsafah politik dan dasar Kerajaan kita.

Kita tidak harus lupa bahawa Malaysia, walaupun asalnya terdri dari Empayar Melayu Melaka, melalui proses penjajahan dan perjuangan anti-kolonial rakyat kita, sekarang sudah berubah menjadi sebuah negara demokratik moden yang majmuk. Apabila kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957, kita sudah bersetuju untuk menerima kaum-kaum pendatang dulu (Cina dan India) sebagai rakyat dengan hak dan tanggungjawab yang sama dengan kita kaum peribumi yang asal. Tugas kita sejak itu ialah membangunkan negara Malaysia Baru menjadi sebuah negara yang maju tempat kita semua boleh hidup dalam aman dan bahagia. Semenjak 1957 kita memasuki tahap apa yang dipanggil tahap ‘mengisi kemerdekaan’, atau lebih tepat mempertahankan kemerdekaan kita serta mencapai kebebasan total, bebas dari segi ekonomi, bebas dari segi intelektual dan bebas dari segi budaya. Inilah tugas kita yang sebenar sekarang. Inilah juga yang menjadi masalah besar kita.

Saya fikir pada malam ini kita patut menumpu fikiran kita kepada masalah ini, iaitu membangunkan sebuah kehidupan yang benar-benar bebas dari semua segi bagi rakyat Malaysia.

Kebanyakan pemimpin yang mengendalikan negara kita sejak kita merdeka terdidik di Barat. Mereka menganggap sistem ekonomi politik yang kita warisi dari Barat itulah sistem yang paling baik – sistem politik demokrasi berparlimen dan sistem ekonomi liberal atau kapitalis yang memberi keutamaan kepada suatu golongan elit kaya. Kebetulan sistem sosialis pula runtuh di Rusia dan China pada akhir dekad kesembilan dalam abad ke-20, kerana keemahan asas sistem itu dan tidak bleh menjadi pilihan kita lagi. Kebanykan pemimpin dan cerdik-pandai di negara kita berfikir sistem ekonomi politik yang kita amalkan ini sudah cukup baik dan tidak perlu diubah. Fikira ini nyata tidak betul dan harus kita ubah.

Namun demikian, kita semua tahu bahawa jika parti UMNO yang menjadi harapan orang Melayu dan tulang belakang Barisan Nasional tidak dapat mengatasi masalah kemerosotan dalamannya (iaitu kehilangan idealisme perjuangan yang diganti dengan korapsi politik dan rebutan kuasa) dalam masa terdekat, UMNO akan hancur. Apabila UMNO hancur, parti manakah yang boleh menggantinya? Tidak ada parti lain dengan falsafah politik dan dasar yang mereka bawa sekarang boleh menggantikan UMNO. Inilah soalan yang harus kita dan rakyat Malaysia yang cintakan bangsa fikir. Saya ajak saudara-saudari memikirkan soalan ini dengan serious pada malam ini, atau mulai malam ini.

Saya ada jawapan saya sendiri dan saya akan berkongsi jawapan ini dengan saudara-saudari sekarang. Saya harap saudara-saudari akan bersetuju dengan saya. Jawapan saya bukan supaya UMNO dan PAS bersatu dan semua parti-parti Melayu bersatu. Soalan yang kita hadapi bukan soal parti mana yang memerintah, tetapi falsafah politih dan dasar mana yang boleh mendatangkan kemajuan kepada 26 juta rakyat Malaysia. Seperti yang saya katakan tadi, Malaysia sebuah negara dan masyarakat berbilang kaum. Politik berdasarkan kaum sudah tidak sesuai lagi dan tidak boleh menylesaikan masalah kita. Kita perlu berfikir melampaui atasan kaum masing-masing sebagai anak Bangsa Malaysia. Kita mahu kebebasan, persamaan dan keadilan bagi semua rakyat kita. Tujuan ini hanya dapat kita capai dengan mewujudkan sebuah sistem ekonomi-politik yang adil, bukan sistem neoliberal yang kita amalkan sekarang, yang sebenarnya tidak lain daripada sistem penjajahan baru.

Kata pepatah, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Pangkal jalan kita ialah Tuhan Yang Esa. Tuhan mengajar kita supaya ikut “jalan yang lurus, jalan mereka yang Engkau restui, bukan mereka yang dimurkai atau mereka yang menyeleweng. (Quran, 1: 1-7). Jalan ini diterangi oleh cahaya, “yang bukan dari Timur, bukan dari Barat.” (Quran, 24: 35) Apakah jalan ini dari segi politik, ekonomi dan sosial? Inilah soalan yang harus dijawab oleh cerdik-pandai kita sekarang. Kita harus menjadi tenaga yang menggerakkan proses mencari dan mendapatkan jawapan ini. Kita akan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin dan cerdik pandai UMNO dan PAS dan semua parti dan dengan semua institusi akademik dan penyelidikan untuk mencapai tujuan ini.

Seperti yang kita tahu, Islam itu suatu cara hidup, yang merangkumi aspek-aspek politik, ekonomi dan sosial. Sejak merdeka, kita mengamalkan Islam sebagai satu cara beribadah saja. Dari aspek-aspek politik, ekonomi dan sosial, kita ikut sistem liberal yang kita pinjam dari Barat. Jika kita terus ikut sistem ini, penghujungnya ialah seperti Britain dan Amerika Syarikat sekarang. Di A.S., kononnya negara yang terkaya di dunia, 13% daripada rakyatnya miskin. Ia tidak berlaku adil terhadap ralyatnya yang berkulit hitam. A.S. mempunyai kadar jenayah yang tertinggi di dunia. A.S dan Britain melindungi negara Israel yang merampas tanah rakyat Palestin and gabungan A.S. dan Britain telah menjadi kuasa imperialis yang terbesar yang paling angkuh di dunia sekarang. Ini sama sekali tidak boleh menjadi contoh bagi kita dalam usaha kita membangun sebuah negara Malaysia yang maju.

Jadi, sistem ekonomi-politik Eropah dan Amerika Syarikat, atau sistem kapitalis liberal bukan sistem yang adil atau sistem “jalan yang lurus” yang Tuhan perintahkan kita ikut. Tuhan juga telah mengingat kita dalam Quran tentang strategi kaum Yahudi dan Kristen terhadap Islam dalam ayat yang yang berbunyi: “Orang Yahudi mahu Kriten tidak akan menerima kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah, ‘Bimbingan Tuhan itulah bimbingan yang sebenarnya. Jika kamu mengikut kehendak mereka walaupun pengetahuan telah datang kepada kamu, kamu tidak akan mendapat sekutu atau pertolongan melawan Allah.” (Quran, 2: 120). Perhatikan ayat ini menyebut agama orang Yahudi atau Kristen. Kita mungkin berfikir bahawa kita orang Islam memang tidak mengikut agama-agama orang Yahudi atau Kristen. Kita harus ingat bahawa liberalisme itu satu cara hidup atau satu agama yang telah diciptakan oleh bangsa Eropah.

Oleh yang demikian, kita umat Islam di Malysia mestilah mencari jalan balik ke jalan yang lurus yang diajar oleh Tuhan kepada kita. Hanya jalan ini akan membawa kita keada kejayaan dan keselamatan pada masa depan. Dalam istilah politik moden, apa yang kita mahu ialah sebuah sistem yang demokratik, republikan, humanis dan adil. Yang kita maksudkan dengan demokratik ialah sebuah pemerintahan yang berdasarkan penyertaan rakyat, republikan bermakna tidak bersifat feudal atau elitis tetapi berjiwa rakyat, humanis bermakan mengutamakan kemanusiaan dan adil bermakna saksama dan tidak berat sebelah kepada mana-mana golongan tertentu. Sebenarnya, ini merupakan impian rakyat jelata di semua zaman.Tetapi sekarang ia merupakan tuntutan rakyat di seluruh dunia. Memang kita boleh capai matlamat yang murni ini sekarang dengan syarat rakyat sedar akan hak mereka, tahu apa dia jalan lurus itu dan sanggup berjuang untuk mencapai matlamat itu.

Apa yang harus kita buat? Pertama, kita harus ingat kita tidak boleh mencapai matlamat besar ini dengan cepat. Ia akan memakan sedikit masa. Tetapi seperti kata pepatah, perjalan seribu batu mesti bermula dengan langkah pertama. Langkah yang kita ambil pada malam ini boleh kita katakan sebagai langkah pertama. Kita tubuhkan suatu badan yang boleh kita namakan Persatuan atau lebih baik Gerakan Pencinta Tanah Air Malaysia. Kita tidak boleh menubuhkan pertubuhan ini sekarang tetapi kita boleh ambil keputusan untuk menubuhkannya dan melantik sebuah Jawatankuasa Penaja untuk memanggil suatu perjumpaan lain untuk menubuhkannya. Gerakan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Tujuannya ialah untuk menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang sistem sosio-ekonomi “jalan lurus” yang kita sebutkan tadi untuk mengganti sistem liberal yang bobrok yang kita anuti sekarang. Ini bermakna kita mesti menggembelingkan tenaga cerdik-pandai kita untuk meneroka “jalan lurus” ini dari pelbagai aspek serta menyiarkan hasil-hasil kajian mereka untuk dibaca dan difahami oleh rakyat.

Seperti yang saya katakan dari awal, kita tidak boleh mengambil pendekatan sempit sesuatu kaum lagi. Kita mesti mengambil pendekatan republikan dan humanis rakyat Malaysia. Tetapi kita bertitik-tolak dari kecintaan kita kepada negara dan bangsa Malaysia, mencari jalan yang lurus di antara jalan-jalan yang menyeleweng berdasarkan kebenaran dan keadilan untuk membangunkan sebuah Malaysia yang adil dalam sebuah dunia baru yang adil.

Inilah fikiran saya tentang apa yang patut kita buat. Saya harap saudara-saudari akan memberi pendapat secara bebas, tetapi biarlah pendapat-pendapat itu menasabah dan membina. Saya tidak mahu kita menghabiskan masa dengan becakap saja tanpa sesuatu kesimpulan yang kongkrit dan berguna keada bangsa kita.

Mungkin sesetengah saudara-saudari bertanya adakah saya hendak mencadangkan penubuhkan sebuah parti politik. Saudara semua tahu saya seorang ahli politik dulu. Sejak kira-kita tahun 1990 saya tidak aktif lagi, walaupun saya seorang anggota UMNO. Saya tidak aktif kerana saya fikir UMNO perlu suatu pembedahan yang besar untuk melayakkan dirinya memainkan peranan yang telah saya sebutkan. Pada malam ini bukan tujuan saya untuk mencadangkan penubuhan sebuah parti politik baru dengan falsafah politik yang saya sebutkan, kerana masanya belum sampai untuk itu. Kita mesti meletakkan asas-asas untuk sebuah gerakan politik seperti itu. Inipun terpulang kepada kita, sama ada kita mahu atau tidak. Pada pendapat saya, kita mesti memulakan perjalanan kea arah itu. Kalau saudara-saudari bersetuju dengan saya, barulah kita ambil langkah pertama dalam perjalan kita yang masih jauh.

KASSIM AHMAD
Bandaraya Tanjung, Pulau Pinang,
30 September, 2005.



[1] Singkatan daripada Syarikat Bekerjasama Am Saiburi (1944-1956), dipimpin oleh Mohd. Khir Johari, Senu Abd. Rahman dan Kasim Muar. Mempunyai 14 tujuan, termasuk mendirikan sebuah kerajaan pemerintahan sendiri, demokratik dan sosialis. (Lihat Ahmad Kamar, “The Formation of Saberkas” dalam Darulaman, Universiti Malaya, Kuala Lumpu, 1979; hlm. 179-184.

No comments: