Wednesday, February 15, 2006

“MEMAHAMI ISLAM DALAM ABAD KE 21”
Laporan Diskusi dengan Professor Mohamed Arkoun Di ISIS
PADA 13 FEBRIARI, 2006
Kassim Ahmad

Tarikh: 13 Februari, 2006.
Tempat: Pejabat ISIS di Jalan Parlimen KL.
Masa: 10.0 pagi.
Hadir: Sarjana undangan: (1). Prof Mohamed Arkoun, Professor Emeritus Sejarah Pemikiran Islam di Universiti Sorbonne, (2) Prof. Abdelmajid Charfi, professor Emeritus Tamadun Arab dan Pemikiran Islam di Fakulti Sastera Universiti Tunis, dan (3) Prof. Mohamed Charfi, profesor Emeritus di Fakulti Undang-undang Universiti Tunis.
Turut hadir Ketua Pengarah ISIS Dato’ Jawhar Hassan dan Dr. Chandra Muzaffar dari Pertubuhan Gerakan Antarabangsa untuk Sebuah Dunia Adil, yang mempengerusikan sidang itu.

Kira-kira 20 orang ahli akademik dan cerdik-pandai tempatan yang diundang ikut serta.

Bercakap dalam bahasa Inggeris, Prof Arkoun menekan soal perbezaan epistimologi (teori pegetahuan) antara Dunia Islam dan Dunia Barat. Dunia Islam mengendalikan wacana mereka berdasarkan kepercayaan, sedangkan Barat mengkaji agama sebagai suatu fenomena. Dalam masa satu dekad yang lalu, wacana Islam berkisar kepada undang-undang atau Syariah. Perbedaan pendekatan epistimologi ini perbedaan pokok di antara dunia Islam dan dunia Barat yang mengasingkan mereka sekarang yang harus diselesaikan dengan wacana Islam menyesuaikan dirinya dengan pemikiran saintifik moden.

Prof Abdelmajid, bercakap dalam bahasa Arab, menyebut beberapa perkara yang menarik. Beliau berkata wacana Islam tidak berubah dari dulu hingga sekarang, kecuali dalam abad-abad awal, wacana itu bersifat demokratik dan mempunyai banyak aliran dan berlaku perbahasan-perbahasan yang bagus sehingga Khalifah Al-Mutawakkil ( perintah 847-861) mengharamkan aliran Mu’tazilah. Beliau juga menyebut tentang kaedah fekah yang diperkenalkan oleh Imam Shafi’e yang mengakibatkan penyempitkan pemikiran Islam. Hanya 10% daripada syariah, kata beliau, yang berdasarkan Quran; yang lain berdasarkan Hadis dan tafsiran oleh ulama fekah.

Perkara yang akhir yang penting yang beliau sebut ialah perihal gerakan pembaharuan Islam yang dimulakn oleh Sheikh Muhammad Abduh pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 tidak memberi perhatian kepada kaedah fekah Imam Sahfi’e yang menyempitkan fikiran umat Islam. Ini yang menyebabkan gerakan itu gagal mencapai matlamat pembaharuannya.

Pembicara ketiga, Prof Mohamed Charfi, membezakan Islam kepada dua kategori (a) kepercyaan inti, seperti Rukun Islam, yang tidak berubah dan (b) muamalat. Muamalat telah dikembangkan oleh ulama dengan berkomrpomi dengan keadaan-keadaan sosiobudaya yang wujud pada waktu itu dan denga itu tidak universal. Ia mesti disemak semula, dan ini tidak bermakna kita menafikan agama kita. Undang-undang, tegas beliau, berubah-ubah dalam semua masyarakat.

Setelah tiga sarjana undangan ini bercakap, ramai hadirin memberi komen dan membuat soalan dan suatu diskusi yang rancak mengikuti. Di antara yang memberi komen ialah Prof. Syed Hussein al-Attas, Prof Hashim Kamali, Zainah Anwar dari Sisters-in Islam dan Kassim Ahmad dari Forum Iqra’.

Prof. Syed Hussein mensahkan bahwa wacana saintifik telah berlaku dalam Islam dalam zaman moden ini dan tidak harus dibataskan kepada kawasan Asia Barat saja. Kawasan Dunia Melayu juga telah menghasilkan sarjana-sarjana Islam yang progresif. Beliau mengkritik tulisan-tulisan ulama fekah yang yang membicarakan perkara-perkara remeh-temeh yang tidak rasional, termasuk menanggap orang kafir sebagai najis. Namun demikian, beliau berhujah kita boleh menerima kaedah fekah yang telah dirumuskan oleh Imam Shafi’e yang meletakkan Hadis sejajar dengan Quran Beliau mencadangkan supaya sebuah buku fekah baru disusun.

Zainha Anwar dari SIS mempersoalkan kebijaksanaan masyarakat kita memilih suatu mazhab untuk diterima-pakai dalam masyarakat kita yang majmuk. Dalam masyarakat Islam awal terdapat banyak aliran fikiran atau mazhab. Beliau mahu masyarakat Islam di Malaysia mengamalkan demokrasi untuk menyelesaikan banyak masalah yang dihadapinya dan menjadikan Islam lebih diterima oleh generasi muda. Beliau menyebut contoh seorang menteri yang bertukar fikiran tentang Undang-undang Keluarga Islam, setelah bersetuju untuk menyemaknya semula, semata-mata sebagai contoh pemimpin dan cerdik-pandai yang bersedia untuk tunduk kepada tekanan ulama demi untuk mendapat legitimasi!

Prof Hashim Kamali, Rektor baru ISTEC, tidak bersetuju bahawa penekanan wacana Islam dalam dekad-dekad yang lalu bertumpu kepada Syariah. Kita telah mencapai banyak kemenangan dan kita patut berbangga tentan itu, tegas beliau.

Prof. Abdul Muthadhir Abd. Rahim dari ISTEC berkata bahawa sebagai orang Islam, kita tidak boleh berbuat seperti sarjana sekular Barat, yang melihat agama mereka dari segi objektif. Kita juga tidak perlu meminta maaf kepada Barat kerana itu. Berhubung dengan Hadis, beliau menyatakan kita perlu kepada Hadis untuk memahmi Quran, untuk sembahyang dan melakukan ibadah-ibadah lain. Tuhan, kata beliau, memerintah kita dalam Quran supaya menta’ati dan mengikut contoh Nabi Muhammad.

Kassim Ahmad dari Forum Iqra’ menyatakan kegembiraan beliau mendengar kenyataan-kenyataan yang telah dibuat oleh ketiga-tiga sarjana undangan itu, khasnya tentang epistemologi saintifik Islam (yang tidak semestinya sama dengan epistemologi materialis Barat), tentang kaedah perundangan Islam yang berdasarkan tafsiran ayat Quran yang sabjektif dan yang sempit yang dirumuskan oleh Imam Sahfi’e, tentang penyingkiran aliran fikiran rasionalis Islam Mutazilah oleh Khalifah al-Mutawakkil dalam daulah Abbasiah, dan tentang kegagalan gerakan pembaharuan yang dimulakan oleh Sheikh Muhammad Abduh kerana kegagalan mereka mengkritik kaedah perundangan Imam Shafi’e. Beliau menyebut tentang kedudukan mereka yang minoriti dalam masayarakt Islam sekarang, tetapi yang mewakili pihak yang benar yang pasti akan mecapai kebenaran akhirnya. Beliau juga menegur pendapat Prof. Abdul Muthadhir tentang Hadis dan Prof Hashim Kamali tentang keadaan selesa yang, kata beliau, diduduki oleh umat Islam sekarang. Beliau berpendapat umat Islam pasti melakukan perubahan-perubahan dalaman untuk melayakkan diri mereka berfungsi secara dinamik dan kreatif dalam dunia kontemporer.

Nampaknya, tidak ada muafakat tentang apa yang perlu dibuat. Di suatu pihak, terdapat fikiran bahawa wacana Islam sekarang amat jauh terkebelakang, ditinggalkan oleh zaman; di pihak lain, terdapat fikiran bahawa keadaan umat Islam tidaklah seburuk itu dan umat Islam telah mencapai beberapa kemenangan dan mereka tidak perlu meminta maaf tentang keadaan mereka kepada sesiapa.

Majlis tamat pada 1.45 tgh dan diikuti dengan jamuan makan.

Kassim Ahmad


80, Jalan Gajah,
11200 Tg Bunga, P. Pinang,
Malaysia.
TEL. 604-8991155/012-4291152
15 Februari, 2006.

No comments: