Wednesday, April 19, 2006

MENANGANI MASALAH BIROKRASI

Oleh: Kassim Ahmad
Kasmad172@yahoo.com.my

19 April, 2006

Birokrasi tidak dapat dielak dalam mana-mana organisasi, baik Kerajaan, mahupun swasta. Mereka merupakan kakitangan bergaji organisasi itu dan, pada prinsipnya, tidak termasuk ke dalam pimpinannya. Namun demikian, dalam Kerajaan kita hari ini, ia bukan saja satu masalah; ia sudah menjadi suatu penyakit kronik, yang kalau tidak diubati segera, boleh menggagalkan cita-cita dan dasar negara.

Birokrasi ini terdiri dari rakyat yang telah dididik dalam sistem pendidikan kita, dari mereka yang berkelayakan akademik paling tinggi hingga yang kurang berkelayakan akademik. Jika ada kecacatan dalam sistem pendidikan ini, ia akan zahir dalam birokrasi ini.

Apakah masalah-masalah birokrasi kita sekarang? Pertama, ketidak-cekapan bekerja. Masalah ini terbukti dalam kejadian-kejadian, seperti (a) tidak mengakui terima surat-surat yang diterima daripada orang ramai, (b) tidak atau lambat menjawab telefon dari orang ramai, (c) gagal atau lambat menyelesaikan masalah-masalah yang dikemukan oleh orang ramai. Kedua, ketiadaan kaedah atau sistem bekerja yang betul. Masalah ini terbutki dalam kes apabila pegawai-pegawai yang dihubungi oleh orang ramai tiada dalam pejabat, kerana bercuti atau sedang bermesyuarat dan tiada pegawai lain yang boleh menangani perkara-perkara yang dibangkitakan, dan dalam kes keputusan yang telah diambil tidak atau lewat dilaksanakan. Ketiga dan akhir sekali, dasar Kerajaan disabot melalui pembaziran, rasuah dan penyelewengan. Ambil kes pegawai-pegawai yang dihantar ke luar negara untuk mengkaji sesuatu perkara, katalah sistem pengangkutan awam, sistem pertanian dan sistem penebatan banjir. Apakah hasil-hasilnya? Adakah kita betul-betul telah belajar dan melaksanakan sistem-sistem yang baik dari luar negara ini di negara kita? Kita semua tahu sistem pengangkutan awam di sebuah negara jiran yang baik yang patut kita contohi.

Kata pepatah, tiada masalah yang tidak boleh diatasi. Demikianlah juga dengan masalah birokrasi kita. Tidaklah pantas dan tidak boleh dipraktikkan jika beban in ditanggung oleh Perdana Menteri seorang saja. Sejak beliau mengambil-alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir dan khasnya setelah beliau membentangkan Rancangan Malaysia Ke-9 di Dewan Rakyat, beliau menumpukan perhatian dan mengkritik birokrasi kita supaya ia menjadi lebih baik. Kaedah ini tidak akan berkesan atau berjaya.

Tugas menyembuh penyakit kronik birokrasi kita ialah tugas Kerajaan, parti dan seluruh masyarakat. Khasnya, ia tugas kepimpinan negara. Kita mesti ada suatu sistem yang baik dan berkesan untuk memilih dan mendidik birokrasi ini, supaya tidaklah berlaku kejadian apabila seorang pegawai bercuti, tidak ada pegawai lain yang boleh menangani masalah itu. Semestinya mesti diwujudkan suatu kaedah yang membolehkan beberapa pegawai lain mengambil-alih tugas itu sewaktu beliau bercuti. Perkara ini sangat mudah dilakukan. Mengapa ia tidak dilakukan menunjukkan sistem kita sangat lemah.

Tiap-tiap surat dari orang ramai mesti dijawab dengan segera. Tidak ada sebab ini tidak boleh dilakukan, kerana kita mempunyai banyak kakitangan dan teknologi komunikasi kita sudah meningkat jauh sejak beberapa dekad yang lalu apabila kita masih mengguna mesin taip.

Tiap masalah yang dikemukakan oleh orang ramai mesti diselesaikan dengan segera. Ini pun tidak susah untuk dilakukan. Perihal ia tidak dilakukan menunjukkan kelemahan sistem kita.

Lebih susah untuk diatasi ialah perbuatan sabot yang didorong oleh rasuah dan fahaman pembangkang. Masalah ini boleh diatasi melalui dua cara, iaitu pendidikan dan hukuman yang tegas. Birokrasi, Kerajaan, parti dan masyarakat kita mestilah dididik dengan falsafah humanis untuk berkhidmat kepada rakyat, seperti kita orang Islam berikrar dalam tiap-tiap sembahyang kita untuk berkhidmat kepada Tuhan, tanpa memikirkan ganjaran. Dalam falsafah ekonomi-politik neoliberal Barat yang ikut kita anuti, tiap orang bergelut untuk dirinya sendiri dan jin-jembalang membaham yang belakang sekali! Kita mesti ubah falsafah kebinatangan ini kepada falsafah kemanusiaan. Anehnya, dulu dalam zaman penjajah, pegawai-pegawai Kerajaan membahasakan diri mereke kepada orang ramai sebagai “Yang berkhidmat dengan taat kepada tuan”! Setelah merdeka, nampkanya, sesetengah birokrat kita ingin menjadi Napoleon kecil kepada orang ramai yang menggajikan mereka!

Islam mengajar kita berunding dalam semua masalah. Inilah kaedah yang harus kita pakai untuk menyelsaikan masalah-masalah birokrasi yang telah saya sebutkan. Tiap-tiap jabatan dan kementerian mesti ada mesyuarat mingguan atau bulanan untuk menyelesaikan masalah-masalah jabatan dan kementerian itu. (Sistem ini tentunya sudah ada, tetapi nyata ia tidak membuahkan hasil yang dikehendaki.) Mesyuarat-mesyuarat ini, yang semestinya dipengerusikan oleh ketuanya, mestilah bertujuan untuk menyelesaikan masalah-masalah, mengkaji keputusan-keputusan yang belum terlaksana untuk melaksanakannya dengan segera, dan mengenal-pasti kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk mengatasi kelemahan-kelemahan itu. Mesti dielak supaya mesyuarat-mesyuarat ini tidak menjadi ritual atau adat untuk bermesyuarat semata-mata, sedangkan tujuan mesyuarat diabaikan, apalagi menjadikan mesyuarat-mesyuarat ini untuk tujuan-tujuan lain.

Ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua kementerian, termasuklah menteri-mentarinya mestilah mengambil tanggungjawab penuh terhadap mesyuarat-mesyuarat ini serta melapor ke atas kepada Kerajaan dan kepada parti supaya Kerajaan dan parti senantiasa maklum apa yang sedang berlaku dalam Kerajaan dan boleh mengambil apa-apa tindakan yang perlu untuk membaiki dalam Parlimen, dalam Kerajaan dan dalam Perhimpunan Agung parti.

Kerajaan kita telah mendirikan tiga buah badan untuk membaiki sistem pelaksana dan penyampian, ialah Institut Integriti Nasional, dan dua Badan Bertindak Pelaksana Negara – semuanya dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri. Kita harap badan-badan ini boleh memenuhi tanggungjawab yang diberikan kepada mereka, tetapi kita ingin mengingatkan bahawa badan-badan ini merupakan pembesaran birokrasi kita, yang sudahpun besar, dan memakan belanja tambahan pula! Lebih baik kita menggunakan badan-badan atau institusi-institusi yang sedia ada (mungkin dengan sedikit ubah-suai) dan menggunakan mereka untuk tugas-tugas ini. Perdana Menteri sendiri tidak perlu melibatkan dirinya dengan menjadi pengerusi kepada begitu banyak badan. Ini akan memakan masanya yang sangat berharga yang perlu digunakan untuk perkara-perkara yang lebih penting, seperti membuat dasar dan memastikan pelaksanaan dasar-dasar itu. Sebagai Perdana Menteri, beliau sudah ada kuasa dan tanggunjawab untuk memimpin dan mentadbir negara dengan adil dan saksama. Semua jentera dan sumber-sumber Kerajaan, malah semua rakyat dan sumber-sumber negara, boleh beliau gembelingkan untuk tujuan ini. Inilah yang harus beliau lakukan. Inilah yang dikehendaki oleh rakyat daripada beliau. Inilah misi nasional beliau.

1 comment:

gadis biasa said...

izinkan saya memetik atau menggunakan beberapa ayat utk melengkapkan tugasan...