Sunday, May 21, 2006

JAWAPAN PENUH KEPADA ENCIK NORDI ACHIE (1)

Oleh: Kassim Ahmad

19 Mei, 2006

Saya telah membaca dengan teliti komen En. Nordin Achie terhadap artikel saya dalam Al-Islam, keluaran April, 2006 (h. 76-79). Saya mengucap ribuan terima kasih kepada beliau kerana berusaha membuat komen yang rasional, ilmiah dan membina. Sepanjang yang saya ingat, inilah sebuah komen di antara yang paling baik terhadap tulisan-tulisan saya yang bersifat keagamaan.

Pada permulaan tulisan saya yang tersebut, saya meningatkan pembaca betapa kita kerap menjadi tidak rasional apabila membincang isu-isu agama. Ini kerana bagi kebanyakan orang, agama soal kepercyaan; tidak boleh dimasukkan perhitungan akal dalam perbincangan-perbincangan ini. Sebenarnya, ini satu anggapan yang silap. Saya gembira kerana nyatalah En. Nordi Achie tidak termasuk ke dalam golongan ini.

Ada lapan, sebenarnya tujuh, perkara yang telah dibangkitkan oleh penulis ini. Saya akan jawab semuanya dengan lengkap.

Pertama, perihal Imam Shafi’e meletakkan Hadith separas dengan Quran, kenyataan saya dalam tulisan itu, dipertikai oleh beliau. Dalam kaedah fikah yang pokoknya diasaskan oleh Imam Shafi’e, dua ajaran pokok dalam Islam dirumuskan sebagai Quran dan Hadis. Yang lain, Ijmak, Qias dan Ijtihad sebagai tambahan. Kedudukan dua ajaran pokok ini didakwa ditentukan dalam sebuah hadis, tetapi hadis ini dibantah oleh sebuah hadis lain yang membataskan ajaran pokok kepada Quran saja (2). Dalam pada itu, mengikut Prof. Ahmad Ibrahim, yang menentukan kesahihan tafsir dan kesahihan Hadis ialah Ijmak, yang ditafsirkan sebagai muafakat Ummah (3).

Oleh kerana kedua-duanya dianggap ajaran pokok dengan Hadis dikatakan memainkan peranan menerangkan Quran, Hadis mestilah tidak boleh bercanggah dengan Quran. Inilah pengertian masyarakat umum, tetapi sebenarnya banyak hadis yang didakwa sahih (khasnya dari Bukhari dan Muslim) bercanggah dengan ajaran Quran (4). Saya akan memberi dua contoh saja di sini, iaitu hukum rejam untuk penzina yang telah berkahwin, dan hukum bunuh untuk orang murtad.

Dalam kes yang kedua, kebebasan beragama itu mutlak dalam Quran; tidak ada hukuman di dunia ini. Hal ini sangat jelas. Oleh yang demikian, hukuman bunuh dalam hadis itu bercanggah dengan ajaran Quran. Mereka yang mendakwa kebebasan ini hanya terbatas kepada sesiapa yang hendak menganut agama Islam, tetapi apabila telah memeluk Islam mereka tertakluk kepada hukuman hadis ini, nyatalah ingin menterbalikkan logika. “Bebas boleh memeluk apa-apa agama, tetapi apabila telah memeluk Islam, tidak bebas keluar!”

Dalam kes pertama, hukuman terhadap pasangan penzina, sama ada telah berkahwin atau tidak, dalam Quran ialah seratus rotan. Hukuman dalam hadis, yang membezakan antara yang telah berkahwin dan yang tidak, ialah rejam hingga mati. Hukuman ini diambil dari Kitab Taurat (6). Hukuman ini nyatalah berbeza dari hukuman dalam Quran. Ia tidak boleh dikatakan sama sekali penjelasan terhadap hukuman Quran. Ini perubahan atau pindaan terhadap hukuman Quran! Di sini nyatalah Hadith telah mengatasi Quran!

Harus diperhatikan bahawa sebenarnya terdapat dua pilihan hukum di sini, kerana dalam Ayat 5 yang berikutnya, kita dibolehkan meringankan hukuman ini hingga menagmpuni mereka, jika mereka bertaubat selepas itu. Di sini saya ingin menyebutkan dua dimensi dalam Quran: iaitu, satu dimensi sejarah dan satu lagi dimensi universal. Tiap benda atau idea itu abstrak selagi ia hanya wujud dalam imaginasi atau khayalan manusia. Tetapi apabila ia dimanifestasikan dalam sesuatu konteks, katalah masyarakat Arab abad ketujuh, atau masyarakat Eropah abad kelapan-belas, barulah benda atau idea itu menjadi konkrit. Demikianlah agama Islam, pada mana-mana zaman pun, pada zaman Nabi Ibrahim, atau zaman Nabi Musa, atau zaman Nabi Musa (jangan lupa mereka semua mukmin dan muslim), atau zaman Nabi Muhamad, ajaran itu abstrak selagi ia tidak dipraktikkan. Apabila ia dipraktikkan, agama itu mesti menangani keadaan yang wujud, di samping ia mahu membawa perubahan. Jadi, undang-undang dan peraturan-peraturannya, kecuali kepada perkara yang pokok, iaitu konsep tauhid, harus mengambil-kira dua dimensi. Pertama, dimensi sejarah atau dimensi realiti yang maujud; kedua, dimensi universal atau idealistik.

Hukuman dalam zaman dulu dalam mana-mana tamadun pun memang keras. Di England dalam abad ke-18, umpamanya, salah satu hukuman terhadap pencuri ialah potong kepala (7), bukan potong tangan, seperti di Semenanjung Arab dalam abad ke-7 Di beberapa tempat, saya telah menyebut Islam telah memberi dua prinsip hukuman, iaitu prinsip-prinsip keadilan atau hukuman setimpal, dan ihsan atau hukuman rahim. Apabila sesuatu hukuman yang dijatuhkan itu memenuhi tuntutan keadilan dan/atau memenuhi kehendak ihsan, maka itulah hukuman Islam (8).

Kedua, perkara Nabi Muhammad contoh yang baik bagi kita dan beliau dikurniakan akhlak yang tinggi. Apakah makna “contoh yang baik” dan “akhlak yang tinggi”? Nordin Achie mahu saya menghuraikannya dengan lebih panjang. Adakah ia terbatas kepada perkara-perkara besar saja, atau termasuk juga perkara-perkara lain, seperti adat orang Arab dan kecenderungan peribadi? Sebelum saya menjawab soalan ini, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa apa yang diikut oleh Nabi Muhammad ialah perintah-perintah Tuhan dalam Quran. Itulah sebabnya, mengikut sebuah hadis yang diriwayat oleh A’isyah, akhlak Muhammad ialah Quran. Hadis-hadis yang kita terima hari ini sebagai sahih, khasnya oleh Bukhari dan Muslim, ialah berita tentang perktaan dan perbuatan Nabi. Kita harus membezakan antara berita dengan kejadian yang sebenar, kerana kedua-duanya mungkin tidak sama. Ukuran yang saya pakai ialah Quran; jika ia selaras dengan ajaran Quran, baru saya terima berita itu sebagai sebenarnya sahih. Penulis kita dan semua sarjana Islam akur dengan ukuran ini, sekurang-kurangnya pada teorinya. Saya telah merujuk kepada risalah saya, Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran yang menghuraikan perkara ini.

Umpamanya, adat orang Arab lelaki ialah memakai serban atau tutup kepala, kerana ini sesuai dengan iklim di sana. Tetapi di Malaysia, dengan hawanya yang panas, ia tidak begitu sesuai. Adakah ini sunnah Nabi yang sunat kita ikut? Saya tidak fikir begitu. Jika Nabi Muhammad seorang Melayu, beliau juga akan memekai pakaian mengikut adat Melayu.

Dalam pada itu, tiap insan mempunyai kesukaan dan kecenderungan sendiri, yang mungkin berebeza dari insan lain, seperti suka makan ketam. Jika Nabi Muhammad suka makan ketam, adakah kita juga sunat memakan ketam?

Tuhan menyuruh kita ikut teladan Nabi Muhammad, selain teladan Nabi Ibrahim, kerana kekuatan iman mereka dan keteguhan perjuangan mereka menegakkan tauhid, termasuklah komitmen mereka kepada keadilan, kebenaran dan perasaan kasih saying sesama manusia. Perekara-perkara inilah yang harus ditekan dan diutamakan, bukan yang lain-lain yang bersifat adat setempat dan sezaman dan kecenderungan individu.

Juga kita dilarang oleh Tuhan membezakan antara nabi-nabi dan rasul-rasul-Nya, yang mana yang lebih baik dan yang mana yang kurang baik (9). Tuhan Maha Kaya. Insan yang diciptakan-Nya yang baik itu banyak, bukan satu. Konsep “insan kamil” yang diajar oleh golongan sufi tidak terdapat dalam Quran, kerana sifat sempurna itu hanya milik Tuhan.

Ketiga, hadis-hadis yang didakwa sahih yang bercanggah dengan ajaran Quran, saya dapati banyak juga. Dalam kiraan kasar, saya letakkan 40 peratusan yang terang-terang bercanggah dengan ajaran Quran. Kita tidak harus lupa akan wujudnya musuh dalam selimut, yang wujud dalam semua masyarakat dalam semua zaman, yang bekerja siang malam, untuk menggagalkan sesuatu ajaran yang baik Ini sunatullah. Ini satu cara yang paling berkesan untuk membezakan antara yang palsu dan yang benar.

Apabila saya bertanya kepada seorang pakar Hadis di Universiti Sains Malaysia, Dr. Muhammad Radzi Hj. Othman, pada tahun 1990 tentang hadis mutawatir (hadis yang mempunyai ramai pelapor dan dengan itu yang benar-benar sahih), beliau menjawab satu saja (10). Oleh yang demikian, mengapa kita mengajar anak-cucu kita menerima beribu-ribu hadis yang sebenarnya tidak sahih dam yang bercanggah dengan ajaran Quran pula?

Keempat, perkara perubahan undang-undang mengikut perkembangan zaman. Memang suatu sunatullah bahawa manusia berubah dan undang-undangnya pun berubah. Dulu kita hidup dalam gua, bercawat dan memperoleh makanan daripada memburu. Selepas itu, kita bercucuk tanam tetapi terpaksa berpindah-randah kerana mencari tanah yang subur (pertanian rendah). Kemudian kita mengamalkan pertanian pertengahan, tidak perlu berpindah-randah lagi tetapi memakai teknologi rendah (kerbau tenggala). Sekarang kita mempraktikkan pertanian tinggi dengan menggunakan teknologi tinggi. Oleh itu, peraturan dan undang-undang masyarakat pun berubah.

Tetapi, dalam konsep perundangan Islam zaman Muhammad ini, paradigma kita ialah Quran, yakni falsafah hidup kita tidak terkeluar daripada paradigma ini. Dari segi ini kita berbeza dari perundangan Barat setelah Europah memisahkan agama dari kehidupan duniawi dari tarikh Perjanjian Westphalia (24 Oktober, 1648) yang menamatkan Perang Agama Eropah yang berlarutan selama tiga puluh tahun. Konsep perundang Islam tidak, atau tidak seharusnya, lari dari konsep undang-undang alamiah (natural law). Tetapi apa yang sebenarnya berlaku ialah sebagian besar dari Syariah dicipta oleh manusia Islam sendiri (kaum fukaha). Ini telah disedari oleh ramai sarjana yang mengkaji perkara ini. Oleh yang demikian, Syariah ini tidak berbeza dari konsep perundangan positif (positive law) Barat. Yang berbezanya kita mendakwa Syari’ah itu perintah Tuhan, sedangkan Eropah mengatakan undang-undang mereka ialah perintah Raja atau Parlimen.

Kelima, dalam hal ini, seperti yang telah saya sebutkan dalam artikel awal saya, kita mesti berbalik kepada konsep perundangan yang cantik yang diajar dalam Quran dalam Ayat 4, Surah 59. Ayat ini menyebut dua sumber undang-undang, iaitu undang-undang dasar (Quran) dan undang-undang tambahan yang dibuat oleh pihak yang berkuasa dalam sesuatu masyarakat untuk melaksanakan undang-undang dasar tadi. Dalam konsep ini, yang berdaulat ialah Tuhan (kerapkali disebut dengan rasulnya kerana Tuhan tidak datang kepada manusia kecuali melalui rasulnya), bukan kerajaan, yang hayamempunyai kedaulatan nisbi. Tetapi kerajaan (frasa yang digunakan di sini pihak yang berkuasa, kerana, dalam zaman Muhammad, belum ada konsep kerajaan sehingga beliau sendiri mendirikan kerajaan setelah beliau berhijrah ke Madinah), sumber perundangan kedua, boleh menggubal undang-undang tambahan denga syarat undang-undang itu tidak bercanggah dengan undang-undang dasar yang termaktub dalam Quran.

Harus kita perhatikan juga bahawa Nabi Muhammad memainkan dua peranan. Pertama, beliau seorang nabi lagi rasul. Tugas beliau ialah menerima dan menyampaikan wahyu Tuhan (Quran) kepada bangsa Arab, dan, melalui bangsa Arab, kepada dunia. Ini telah beliau lakukan dengan sempurna. Kedua, beliau ialah pihak berkuasa, atau pemimpin, kepada bangsa Arab yang akhirnya mengikut beliau. Sebagai pemimpin, beliau bertanggungjawab memimpin bangsanya melaksanakan falsafah hidup atau paradigma Quran. Dalam tugas ini, beliau berjaya besar, tetapi setelah kira-kira tiga ratus tahun, bangsa beliau kembali menyeleweng kepada adat lama (11).

Ayat yang padat dan ringkas ini memberikan suatu konsep perundangan yang sangat cantik. Kepada panduan inilah kita harus kembali untuk menyelesaikan dilema umat Islam, akibat doktrin yang salah yang telah dilakukan oleh nenek-moyang kita kira-kira 300 tahun setelah Nabi Muhammad wafat. Kita tidak perlu pesimistik kerana kesalahan mereka (Imam Shafi’e dan lain-lain). Kita pasti boleh bangkit balik dengan syarat kita tidak mendewakan mereka dan membetulkan diri kita dengan segera dengan berbalik kepada ajaran Quran. Inilah ajaran nabi Muhammad yang sebenar. Walaupun, seperti kata Nordi Achie, Quran itu kalimah Allah, kalimah itu disampaikan melalui kesedaran dan perkataan Muhammad (12). Tuhan sebenarnya tidak bercakap seperti manusia bercakap. Apabila Tuhan bercakap kepada Nabi Musa, adakah nabi Musa nampak Tuhan? Tidak. Beliau hanya dengar suatu suara bercakap dalam bahasa beliau yang menyatakan Dia Tuan Musa (13).

Keenam, perkara “ulama”(diletakkan di antara koma kerana perkataan ini sudah berubah maknanya) yang telah diterima oleh masyarakat Islam sebagai pihak berkuasa dalam urusan agama. Hal ini jelas, kecuali mungkin dalam masyarakat Turki sejak Mustafa Kamal Attaturk menolak mereka dalam Revolusi Kebangsaan Turki pada 1922-24. Dalam semua negara Islam sekarang, golongan “ulama” melaksanakan pernana dan kuasa mereka sebagai “penasihat” melalui institusi-institusi Majlis Agama, Majlis Fatwa dan sebagainya, kecuali di Iran setelah Revolusi Iran pada 1979 apabila kaum mullah mengambil-alih tampuk kerajaan.

Ketujuh dan akhir, perkara kejatuhan umat Islam, kerana terpenjara dalam penjara-istana yang mereka buat sendiri, iaitu apa yang didakwa sebagai Syari’ah atau undang-undang Tuhan. Perkara ini telah saya sentuh di banyak tepat di atas dan tidak perlu saya perpanjang lagi.

Saya tidak mahu menutup jawapan saya ini dalam nada kecewa. Mengikut ajaran Quran, tiada siapa yang patut putus asa, kerana Tuhan Maha Pengampun dan Maha Penyayang dan mengampun semua dosa (14). Oleh itu, kita jangan putus asa untuk mendapat pengampunan Tuhan. Kita boleh menebus semula kejatuhan kita dengan mudah. Ada dua syarat saja. Pertama, kita kena membebaskan diri kita dari semua berhala, kecuali Allah. Jika kita telah mendewakan mana-mana nabi, seperti yang telah dilakukan oleh umat Kristen terhadap Nabi Isa, atau kita telah mendewakan golongan ulama kita, seperti yang telah dilakukan oleh umat Yahudi, kita harus membetulkannya dengan segera. Kedua, kita harus kembali kepada ajaran Quran. Ini tidak bermakna kita perlu menolak Hadith atau Ijmak atau Qias, atau pun falsafah Barat, atau mana-mana ajaran lain, tetapi kita perlu meletakkan ajaran-ajaran ini di bawah kritikan Quran. Syarat-syarat ini boleh kita penuhi, kalau kita mahu. Kita hanya perlu sedar bahawa kita semua, termasuk pemimpin-pemimpin kita, dari kalangan sekular atau agama, dari mana bangsa pun, tidak sempurna. Tuhan saja yang sempurna. Terhadap diri kita dan terhadap pemimin kita, kita mesti sanggup, dalam frasa Quran, “menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan”(15). Inilah saja jalan yang selamat, jalan kejayaan dan jalan kemenangan.

(1) En. Nordin Achie ialah pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah. Komen beliau dimuat dalam majalah Al-Islam keluaran Mei, 2006, h. 76-78.
(2) Lihat Kassim Ahmad, Hadis – Satu Penilaian Semula (HSPS), h. 88-89.
(3) Lihat Ahmad Ibrahim, Islamic Law in Malaya (1965), h. 25
(4) Pembaca yang ingin mengetahi lebih lanjut tentang perkara ini, sila lihat risalah-risalah penulis, Kontroversi Hukum Hudud(KHH) (Julai, 2002) dan Dilema Umat Islam – Antara Hadisdan Quran (DUI) (Ogos, 2002).
(5) Quran, 24: 2.
(6) Lihat Kassim Ahmad, DUI, h. 25.
(7) Lihat Christopher Hibbert, The Rootf of Evil (1966); h. 71.
(8) Lihat Kassim Ahmad, Hadis – Jawapan kepada Pengkritik(HJKP) (1992); h. 72-73. Lihat juga nota 31, h. 73.
(9) Lihat Quran, 2: 136.
(10)Lihat Kassim Ahmad, HJKP, h. 29, nota 12.
(11)Inilah makna ayat Quran yang dahsyat yang berbunyi, “Rasul berkata: ‘Wahai Tuanku, kaumku telah membelakangkan Quran ini.’” (25: 30)
(12) “Inilah perisytiharan seorang rasul yang mulia.” (Quran, 69: 40). Ayat ini diulang sekali lagi dalam 81: 19.
(13) Lihat Quran, 20: 11-44.
(14) Lihat Quran, 39: 53.


Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia yang tinggal di Pulau Pinang. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Sila lawat laman web: www.kassimahmad.blogspot.com

6 comments:

badok said...

Saya nak bertanya 5 pekara sahaja.

1. Bagaimana agaknya Quran mengajar kita mengucapkan dua kalimah sahadah.?
2. Bagaiman agaknya Quran mengajar kita solat?
3. Bagaimana agaknya Quran mengajar kita berpuasa?
4. Menunaikan zakat/fitrah?
5. Menuaikan Haji?

Itu pun kalau saudara mempercayai ttg rukun rukun ini.

t.kasih.

Anonymous said...

Salam Badok,

Jawapan:

1. Ada dalam Quran.
2. Ada dalam Quran.
3. Ada dalam Quran.
4. Ada dalam Quran.
5. Ada dalam Quran.

Yang tak ada dalam Quran ialah apa-apa yang tak disuruh oleh Allah s.w.t. Kalau nak buat jugak takpa, selagi tak bercanggah dengan Quran.

Salam

Benta

The Truth said...

kassim ahmad - idea2nya adalah satu cabaran bagi mereka yg menggelarkan diri mereka ulamak.

Anonymous said...

Salam.

Saja mencelah. Betul ke jawapan no. 1 ada dalam al-Qur'an ? Mana boleh saya menjumpainya ? Tolonglah saya

Wassalam.

Kassim Ahmad said...

Salam Sdr Yang Tak Bernama,

Acuan Syhadah Pertama diberikan dalam ayat 3:18. Syahada Kedua dibatalkan dalam ayat 63: 1-2.
Wassalam,
Kassim Ahmad

Anonymous said...

woi kapir!!!!!!!!!!
nabi kau siapa?...
tak usah nak berlagak pandai la..awak bukan belajar agama! otak yahudi...