SENJATA NUKLIER – MENGAPA A.S-BRITAIN-ISRAEL
BOLEH ADA DAN IRAQ DAN IRAN TIDAK BOLEH ADA?
Kassim Ahmad
6 Jun, 2006
Nampaknya, senjata nuklier, kalau dimiliki oleh kuasa-kuasa besar Barat, termasuk anak emas mereka Israel, dibolehkan dan sah, tetapi kalau dimiliki oleh Iraq, Iran dan Korea Utara, sudah menjadi bahaya dan perlu dicegah oleh “masyarakat anatarabangsa” (baca: kuasa-kuasa besar). Baru-baru ini A.S. sudah berjaya mendapatkan sokong semua anggota Majlis Keselamatan PBB untuk memujuk Iran menamatkan usaha membangunkan teknologi nukliernya sendiri dengan mendapat ganjaran dari kuasa-kuasa besar Barat.
Soalan di atas soalan pokok yang patut kita tanya. Dunia tahu bahwa negara kolonial Israel yang dipaksakan ke atas dunia Arab oleh kuasa-kuasa besar ini memiliki senjata nuklier, di samping mereka sendiri mempunyai senjata itu. Senjata ini memang sangat merbahaya, kerana ia boleh membunuh dan merosakkan secara besar-besaran. Senjata ini merupakan suatu ancaman dan ugutan kepada semua negara lain yang ingin bebas dari konkongan Empayar A.S.-Britain-Zionis.
Dunia juga tahu bahawa negara pertama yang telah menggunakan senjata ini ialah A.S. sendiri ke atas Jepun pada penghujung Perang Dunia Kedua. Tidak ada sebab A.S. menggugurkan bom-bom atom ini ke atas Hiroshim dan Nagasaki, kerana pada waktu itu, perundingan menyelah kalah oleh Jepun sedang pada peringkat akhir. A.S. menggugurkan bom-bom pembunuh besar ini semata-mata sebagai ugutan dan amaran kepada mana-mana kuasa lain (pada ketika itu Kesatuan Soviet) yang mahu mencabarnya. Dari sini, kita boleh melihat sifat kerakusan sistem kolonial Barat, yang bermula kira-kira pada abad kelima belas dan yang sekarang berada pada peringkat akhirnya.
Sistem ini tidak mengerti kerjasama antarabangsa. Ia hanya mengerti kekerasan dan paksaan. Tentunya kekerasaan dan paksaan ini dibungkus dalam pakej “demokasi”, “kebebasan” dan “hak asasi”. Inilah yang menghalang ramai orang mengenali sifat jahatnya yang sebenar. Dalam cerita mithos Islam, ia dikenal sebagai Dajjal, yakni penipu. Dalam cerita itu, pada Akhir Zaman, Dajjal akan muncul dan mengandar syurga dan neraka di bahunya. Sesiapa yang mengiktirafnya sebagai Tuhan akan diberi ganjaran syurga. Sebalikya akan dicampaknya ke dalam nerakanya.
Bersalahan dengan fahaman kebanyakan orang, kita dengan tegas mengiktiraf hak semua bangsa yang merdeka memiliki senjata nuklier. Ini sama sekali bukan kerana kita sukakan peperangan. Sebalikya, kita mahu menghapuskan peperangan. Tetapi, hakikatnya dan anehnya, jalan kepada perdamaian abadi ialah dengan kita bersedia untuk mempertahankan diri kita dengan senjata nuklier. Apabila lebih banyak negara di luar blok imperialis A.S.-Britain-Israel memiliki senjata nuklier dan boleh mempertahankan diri mereka dari pencerbohan kuasa imperialis ini, pada waktu itu, senjata nuklier dengan sendirinya tidak boleh dipakai lagi! Imperialis yang gila seperti George W. Bush-Tony Blair dan gerombolan neokonnya juga mahu hidup! Dulu mereka fikir mereka saja patut hidup dan orang lain boleh mati! Sekarang mereka akan mati! Oleh itu, mereka akan berdamai! Inilah logik imperialis.
Satu pelajaran untuk umat Islam ialah mereka harus bersatu untuk menjadi kuat supaya mereka boleh menjadi umat yang bebas “menyerukan kebaikan” dan “melarang kejahatan”. Baru dengan demikian akan wujud sebuah dunia yang aman dan adil.
Setelah menggulingkan pemimpin Iraq Saddam Hussein secara haram, A-S-Britain-Israel mahu menyerang Iran pula. Apa kata dunia? Sepatutnya, dunia mesti menuntut Bush dan Blair dibawa ke Mahkamah Antarabangsa untuk dibicara atas tuduhan penjenayah perang dan Saddam Hussein dibebas dan dinobatkan balik sebagai Presiden Iraq. Belum kedengaran suara demikian. Apa yang sedang berlaku di Iraq, tiga tahun setelah George Bush dengan angkuhnya mengisytiharkan menang, ialah perang gurila dalam bandar. Perang gurila ini sudah pun mengalahkan “gergasi” militer dunia ini. A.S. hari ini sukar hendak menyerang Iran, persis kerana tentangan hebat yang telah bangkit di Iraq.
Di antara 1981-1988, kerana hasutan kaum imperialis ini, Iran dan Iraq berperang. Mengikut rekod, Iraq tidak mahu berperang dengan Iran, dan meminta berdamai sebaik saja perang itu berlaku. Permintaan damai ini diulang tiap-tiap tahun oleh Iraq dan tiap-tiap tahun ditolak oleh Iran. Perang ini suatu tragedi besar bagi umat Islam.
Umat Islam sepatutnya menolong satu sama lain. Yang salah, kita tolong betulkan kesalahan itu. Yang betul, kita tolong perkuatkan dia. Apabila Saddam Hussein mengajak Teheran, sebelum Perang Teluk Pertama, mengadakan satu Pakatan Strategik untuk menentang pencerobohan A.S-Britain-Israel, mengapa Teheran tolak? Ini satu kesilapan besar. Selepas itu apa jadi? Libya menyerah kepada telanan kuasa-kauasa Barat dan melepaskan haknya untuk membuat senjata nuklier. A.S. dan sekutunya ketawa, tetapi apa yang Libya dapat? Selepas itu Saddam Hussein digulingkan dan mereka jangka suatu halangan besar kepada kemaraan cita-cita hegemoni mereka di Asia Barat dan di dunia terhapus. Hakikatnya tidak!
Apa akan jadi sekarang? Apapun akan jadi, umat Islam harus berpegang teguh kepada perjuangan yang hak dan berjuang dengan tabah untuk mewujudkan sebuah dunia yang aman dan adil. Dunia yang aman dan adil ialah sebuah dunia tanpa imperialisme dan kolonialisme dan tanpa penindasan dalam apa bentuk pun.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas yang tinggal di Bandaraya Tanjung, Pulau Pinang, Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com
1 comment:
ni la gambar anak dato2 yg tgh famous skrang...
sumber http://www.myspace.com/DonNedim
Post a Comment