Sunday, July 30, 2006

LAGI SOAL KEDUDUKAN HADIS/SUNNAH
DALAM PERUNDANGAN ISLAM
JAWAPAN KEDUA KEPADA NORDI ACHIE

Oleh: Kassim Ahmad
1 Ogos, 2006


Saya berasa senang sekali berbahas dengan penulis Sdr Nordi Achie, kerana nyata beliau seorang di antara sarjana-sarjana Islam kita yang berfikiran terbuka dan bersikap rasional apabila membahas soal-soal agama. (Lihat Al-Islam, keluaran Ogos, 2006; h. 74-82.) Jika kebanyakan sarjana Islam kita, termasuk ulama, terbuka dan rasional seperti beliau, banyak masalah umat Islam sekarang akan terungkai dengan mudah.

Ulasan beliau terhadap jawapan saya dalam Al-Islam keluaran Julai, 2006 panjang, membabitkan tidak kurang dari tujuh belas perkara, dan meliputi sembilan halaman majalah itu. Saya akan pilih tiga perkara yang saya anggap besar dan penting untuk saya jawab. Ketiga-tiga perkara ini telah pun saya huraikan dengan secukupnya dalam buku-buku saya, Hadis – Satu Penilaian Semula dan Hadis – Jawapan Kepada Pengkritik. Malangnya, buku pertama telah diharamkan oleh pihak berkuasa dan dengan demikian, suatu perbahasan saintifik dan rasional tidak dapat diadakan untuk membolehkan masyarakat mengetahui di mana letaknya kebenaran. Walaupun buku kedua tidak diharamkan, kedai-kedai buku kita tidak berani menjualnya, kerana mereka menganggap buku itu telah diharamkan!

Pengharaman buku sebagai cara untuk membasmi kepalsuan nyata kaedah yang silap. Cara kita membasmi kepalsuan ialah melalui kritikan sainifik terhadap idea-idea yang salah. Contoh Quran sangat baik. Quran menyanggah idea-idea yang salah, bukan dengan mengelak perbahasan, tetapi dengan menjatuhkan idea-idea salah itu dengan hujah-hujah saintifik dan rasional.

Tiga perkara penting yang saya pilih itu ialah (1) kedudukan Hadis/Sunnah dalam perundangan Islam, (2) kebebasan beragama, dan (3) prinsip hukuman dalam undang-undang Islam.

Kedudukan Hadis/Sunnah dalam Islam bukanlah seperti yang dirumuskan oleh Iman Shafi’e. Tidak ada sarjana Islam, malah tidak ada orang Islam, yang menafi bahawa mana-mana ajaran, sama hadis, ijmak atau qias, yang terang-terang bercanggah dengan ajaran Quran batal. Oleh yang demikian, seperti sepatutnya, kita mengiktiraf bahawa Quran itu sumber nombor satu; sumber-sumber lain terletak pada kedudukan kedua, tidak kira bagaimana kita tulis sumber-sumber lain itu.

Sdr Nordin salah faham tentang perkara pertama dalam soal ini. Kita harus bezakan antara laporan tentang sesuatu peristiwa dengan peristiwa itu sendiri. Kedua-duanya tidak sama. Hadis itu laporan, dan ia belum tentu betul atau palsu sehingga laporan itu memenuhi beberapa syarat. Di antara syaratnya ialah laporan itu disahkan oleh saksi-saksi lain, yakni kita tidak bergantung kepada dakwaan seorang individu. Umpamanya, tiap-tiap ayat Quran disahkan oleh dua orang saksi atau lebih. Inilah yang dikatakan mutawatir. Dalam kes hadis, kesahihan tidak ditentukan oleh kemutawatiran pelapor. Kebanyakan hadis yang didakwa sahih oleh Bukhari dan Muslim bertaraf ahad, yakni pelapornya seorang saja!

Salah satu syarat yang dikenakan oleh sarjana Hadis ialah keselarasanya dengan Quran. Saya bersetuju sekali dengan syarat ini. Malah inilah saja kaedah yang harus kita pakai sekarang, kerana semua orang yang terlibat dalam perkara ini sudah tiada. Saya telah melakukan satu kajian kecil tentang tajuk keselarasan atau tidaknya Hadis dengan Quran. Hasil kajian ini telah saya terbitkan dalam sebuah risalah Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran (Forum Iqra’, Ogos, 2002).

Dua kes percanggah di antara Hadis dan Quran ialah hukum murtad dan perzinaan. Nyata sekali hadis-hadis ini palsu, kerana mustahil Nabi Muhammad membuat sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Quran. Kita tahu bahawa Bukhari mengumpul 600,000 hadis, dan dari 600,000 ini beliau menerima sebagai sahih 6,000 saja, yakni 1% saja! Ini membuktikan bahawa banyak sekali hadis telah direka oleh pelbagai kumpulan dan orang pada waktu itu untuk pelbagai tujuan, termasuk tujuan untuk menyelewengkan umat Islam dari ajaran Islam yang sebenar dengan menggunakan nama besar Nabi Muhammad!

Sdr Nordi bertanya apa bukti bahawa hadis-hadis ini diambil dari kitab Taurat. Buktinya tidak lain ialah kerana hukuman-hukuman ini terkandung dalam kitab Taurat dan bukan dalam Quran; malah Quran menafikannya!

Dalam Quran, kedua frasa “taatilah Allah dan taatilah rasul” dan “taatilah Allah” dipakai silih-berganti untuk makna yang sama, yakni taailah Tuhan dan berpeganglah kepada Quran. (Lihat Quran, 4: 146) Quran, walaupun wahyu Tuhan, disampaikan melalui rasul-Nya, Nabi Muhammad. Oleh itu, frasa “taatilah rasul” kadang-kadang disebut bersama.

Nabi Muhammad memegang dua peranan. Pertama, beliau nabi lagi rasul, yakni beliau menerima dan menyampaikan wahyu Tuhan, iaitu Quran. Kedua, beliau juga pemimpin masyarakat Arab pada waktu itu. Ia dinyatakan dalam frasa ulil-amr, yakni pihak berkuasa atau pemerintah. Dalam tugas inilah beliau menggubal Piagam Madinah yang masyhur itu. Tidak perlu ditegaskan lagi bahawa Piagam Madinah itu selaras dengan ajaran Quran.

Juga sebagai pemimpin, Nabi Muhammad boleh memberi pendapatnya tentang pelbagai perkara yang timbul pada waktu itu, termasuk menghurai dan mentafsir Quran. Namun demikian, ini bukan tugasnya yang utama. Seperti yang telah kita katakan, tugasnya yang untama ialah menyampaikan Quran kepada manusia. (Quran, 5: 99) Berhubung dengan pengajaran dan penghuraian Quran, Quran menerangkan bahawa tugas itu dipegang oleh Tuhan Sendiri, (Quran, 55: 1-2; 75: 16-19; 2: 242) termasuk juga mereka yang Tuhan pilih dari hamba-hamba-Nya (Quran, 35: 32) dan mereka yang asas ilmunya kukuh, tanpa menyebut golongan-golongan tertentu. (Quran, 3: 7)

Saya memetik kenyataan Prof. Ahmad Ibrahim tentang kedudukan ijmak dalam hal-hal kesahihan hadis dan juga keabsahan tafsir. Keunggulan kedudukan ijmak ini meyalahi kaedah saintifik, kerana semua ilmu berkembang dan ia perlu dikemaskini dan dikembangkan oleh tiap generasi. Jika ilmu dipaksakan untuk berhenti pada sesuatu titik sejarah, ilmu itu akan ketinggalan zaman dan masyarakat yang berpegang kepadanya pun akan ketinggalan zaman!

Perkara besar yang kedua ialah kebebasan yang mutlak yang diberi kepada kita oleh Tuhan untuk memilih agama. Hal ini dinyatakan dalam banyak ayat dan jelas sekali. Amatlah menasabah bagi Tuhan tidak memaksa sesiapa untuk menganut atau meninggalkan agama-Nya. Jika seseorang itu dipaksa, ia bermakna penganutan agama itu tidak ikhlas, dan penganut-penganut seperti itu (munafik namanya) tidak akan memperkuat agama itu. Malah pengatut-penganut seperti itu akan merosakkan agama itu, seperti dalam kes musuh-musuh Nabi yang menerima Islam pada peringkat akhir pada waktu Nabi dan pengikut-pengikitnya memasuki kota Mekah dan membebaskannya dari penguasaan kaum oligarki Quraisy yang kafir dan memusuhi Islam.

Sejarah membuktikan bahawa musuh-musuh Islam memerangi Islam bukan kerana prinsip kebebasan beragama ini, tetapi kerana Islam berdiri teguh atas kebenaran dan keadilan. Islam membela kaum yang tertindas dan yang berjuang untuk kebebasan. Inilah yang tidak disukai dan ditakuti oleh kaum penindas pada semua zaman, dan atas asas inilah Islam, Agama Allah dan Agama Kebenaran (dua nama lain bagi agama Islam yang digunakan dalam Quran), akan menang akhirnya.

Hukum bunuh terhadap si murtad yang tiada dalam Quran dan yang ada dalam Hadis nyatalah diambil dari kitab Taurat. Kita tidak tahu apakah hukuman dalam Taurat itu sahih atau palsu, kerana kitab Taurat yang wujud pada zaman kebangkitan Nabi Muhammad hingga sekarang telah pun dipinda.

Kita memang tidak suka jika ada orang-orang Islam, apalagi dari keluarga kita, yang meninggalkan agamanya dan kemudian memeluk agama lain. Tetapi lihatlah kes-kes anak Nabi Nuh, isteri Nabi Lut dan suami Raja Mesir Ramses II semuanya kafir dan memberontak terhadap Tuhan. Hukuman bagi orang kafir ialah Neraka di Akhirat, tetapi tidak ada hukuman di dunia, dan hukuman itu hanya boleh dijatuhkan oleh Tuhan, bukan manusia!

Akhir sekali, perkara hukuman. Dua prinsip hukuman dalm Islam ialah keadilan dan kerahiman. Pengertian keadilan berbeza dari zaman ke zaman dan dari masyarakat ke masyarakat. Terpulang kepada pihak berkuasa untuk menentukan hukuman ini, asalkan hukuman itu memenuhi kehendak prinsip-prinsip keadilan dan kerahiman.

Sebelum saya akhiri jawapan ini, bolehlah saya cuba menjawab pertanyaan Sdr Nordi mengapa Ima Shafi’e membuat doktrin bahawa orang-orang Islam juga wajib memegang kepada Hadis selain dari Quran. Kemungkinan besar, seperti yang dinyatakan oleh Sdr Nordi sendiri, beliau ingin menamatkan “kecelaruan” fikiran yang sedang berlaku dalam masyarakat Islam pada waktu itu. Ini kaedah mudah: “Tutup perbahasan. Terima diktat Hadis.” Tetapi lihatlah apa akibatnya! Akibatnya, percanggahan Hadis dengan Quran terus wujud hingga hari ini, menyebabkan faham kepuakan terus kekal dan masalah tidak selesai. Kaedah yang betul ialah dengan mengadakan kritikan saintifik terhadap Hadis. Saya percaya perkara ini terus berlaku dan kebenaran akan muncul akhirnya. Islam akan menang, tetapi bukan “Islam” seperti yang ditafsirkan dalam kitab-kitab ulama. Islam yang akan menang ialah Islam, seperti yang terkandung dalam Quran, yang dibawa oleh para nabi dan rasul dari awal hingga kepada Nabi Muhammad, penutup segala nabi – agama Allah dan agama kebenaran! Agama inilah yang telah dijaminkan oleh Tuhan akan mengatasi agama-agama lain yang palsu. (Lihat Quran, 48: 28; 9:33; 61: 9 dan 110: 2)



Kassim Ahmad seorang penulis bebas yang tinggal di Pulau Pinang. Beliau boleh dihubungi di alamat: kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau ialah www.kassimahmad.blogspot.com

3 comments:

Anak Deddy said...

Salam.

Semoga penulisan begini diteruskan demi menyelongkar khazanah keilmuan bagi mengatasi kejumudan dalam aktiviti ijtihad. Saya percaya lambat-laun ramai pihak-pihak akan menyahut laungan ijtihad anda bilamana mereka telah ada keberanian terhadap jatidiri masing-masing. Saya yang masih jahil bertaraf muallaf ini akan terus menyokong tulisan saudara. Namun ianya tidak semestinya memberi pengaruh terhadap apa yang saya yakini terhadap ALLAH dan RasulNya, Baginda Muhammad SAW.

Cuma disini saya amat menyokong usaha anda untuk meletakkan kembali kedudukan Al-Quraan sebagai sumber yang utama untuk rujukan tanpa disangkal. Dan selagi sesuatu itu tidak bercanggah dengan AL-Hikmah ini, maka ia digunapakai.
Jika ada percanggahan, Al-Quraanlah secara mutlak dirujuk!

Anonymous said...

saudra kasim ahmah,al-quran merupakan mukjizat agung umat Islam.Ia merupakan panduan dan juga peta bagi kita.Tapi amat malang bagi kita kalau tidak mempercayai hadis nabi saw..sebagai contoh yang paling simple,dalam quran dinyatakan tentang kewajipan solat."dan dirikanlah solat."tapi disini tak dinyatakan how to do that?So,ia diperjelaskan dan diperkukuhkan oleh hadis nabi saw bagaimana solat itu dikerjakan.Ok,jadi teranglah bahawa hadis merupakan sumber rujukan bagi umat sebagai way bagi memperjelaskan lagi maksud ayat2 quran...quran dan hadis merupakan sumber hukum ajaran islam.Amat malanglah mereka yang menolak hadis..Harap semua dapat ambil ikhtibar

Anak Deddy said...

SALAMUN A'LAIKUM..........

Sebagai lanjutan dari komen oleh anonymous(kalau boleh biarlah ada nick atau perkenalkan diri!), ma'af bertanya, dan kalau yang lain boleh bantu, benarkah dalam Al-Quran yang ada 114 surah dan 6,236 ayat hanya mengandungi ayat "dan dirikanlah solat" spt yang sdr/i(?) katakan. Salahkah andaian saya bahawa anda tidak merujuk langsung ayat-ayat Al-Quran mengenai SOLAT?. Ma'afkan saya sekiranya andaian saya ini silap dan mohon AMPUN dari ALLAH Ta'ala sekiranya saya silap faham mengenai ayat-ayatnya yang Muhakamat.

Saya telah membeli sebuah hasilan yang amat berguna dan bermanfa'at, iaitu INDEX AL-QURAN(sebagai panduan mencari ayat Al-Quran)yang berbahasa Malaysia agar senang merujuk, agar tidak meraba-raba mencari kedudukan ayat-ayat dalam Al-Quran.

Buku index ini diterbitkan oleh PUSTAKA JIWA, di susun oleh HAJI MUSTAKIN, sebagai contoh ayat mengenai solat kerana sdr/i mendakwa hanya itu ayat mengenai ibadah solat! Ada 58 ayat mengenai Solat(termasuk bersolat, solatlah, solatnya, solatmu atau sembahyang yang bermaksud solat/h)

Rujuk: 2:3,43,45,83,110,125,153,177,238. 4:77,101,102,103,162. 5:6,12,55,91,106. 6:72. 8:3. 9:5,11,18,54,71. 11:114. 13:22. 14:37,40. 17:78. 19:31,59. 20:14,132. 21:73. 22:35,78. 24:37,56. 29:45. 30:31. 31:4,17. 33:33 35:18. 42:38. 58:13 70:22,23,34. 72:20. 74:43. 75:31. 96:10. 108:5(Sila dengan ihklas perbetulkan)

Tujuan saya membuat susulan ini ikhlas, bagi tujuan membantu untuk melengkapkan fakta. Sila perlengkapkan lagi sekiranya ada ayat-ayat mengenai solat/sembahyang sekiranya saya ada tertinggal. Kemudian minta saudara/i yang tidak bernama ini sama-sama kita bermuhasabah mengenai perintah solat dan bagaimana bersolat mengikut arahan ALLAH yang ada dalam AL-Quran.

Dan Sabda Rasulullah Muhammad SAW, selagi tidak bercanggah(iaitu selari) dengan Al-Quran, WAJIB kita terima.

Mohon ma'af juga sekiranya penyampaian atau gaya bahasa saya tidak mencapai maksud atau disalah ertikan, kerana manusia spt saya tidak sempurna. Kesempurnaan hanya milik ALLAH.

ALLAHU A'LAMMUBISSOWAAB.