Sunday, February 25, 2007

DILEMA PEMERINTAHAN KITA

Oleh: Kassim Ahmad

15 Februari, 2007

Kita hendak bercakap tentang pemerintahan kita, sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, selama 50 tahun, boleh dikira dua generasi. Adakah kita lulus ujian pemerintahan ini?

Terdapat sebuah cerita yang indah dalam Quran tentang pemerintahan. Apabila Tuhan menawarkan pentadbiran alam ini kepada makhluk-makhluk-Nya, makhluk-makluk lain, kecuali manusia, menolak tawaran itu, kerana takut tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang berat ini. Manusia, sebaliknya, menerimanya, walaupun penerimaan yang berani ini ditempelak sedikit oleh Tuhan. (Lihat Quran, 33: 72).

Cerita kiasan ini mengandungi makna yang mendalam untuk kita. Pentadbiran negara kita, yang kita terima dari Tuhan, suatu tanggungjawab yang berat, kerana tugas itu ialah untuk mendirikan sebuah negara yang adil untuk semua rakyat kita, tidak kira kaum, agama dan jantina. Tuhan Yang Maha Mengetahui mengkritik penerimaan kita sebagai didorong oleh kezaliman dan kejahilan.

Kata pepatah Inggeris, kuasa menyebabkan korupsi dan kuasa mutlak menyebabkan korupsi mutlak. Tetapi, malangnya, kita perlu kepada kuasa itu untuk mentadbirkan negara dan membawa kebaikan kepada bangsa kita. Kuasa, walaupun merbahaya dan boleh merosakkan, perlu untuk mewujudkan kebaikan di negara kita dan di dunia. Oleh yang demikian, kritikan Tuhan kepada manusia sebagai pemegang amanah atau kuasa dalam ayat itu tidak mutlak. Tuhan tetap membenarkan manusia memegang kuasa. (Sebab itu dalam zaman kita, kita melihat kepala samseng dan kepala penjenayah Bush berkuasa!) Fungsi kritikan itu sebagai ingatan dan amaran bahawa manusia mesti berhati-hati supaya kuasa ini jangan membawa kepada kerosakan, tetapi sebaliknya hendaklah membawa kepada kebaikan.

Dua sifat yang harus kita elak ialah kezaliman dan kejahilan, yang disebut dalam ayat itu. Dari zaman Tengku Abdul Rahman (1956-1970) hingga sekarang Kerajaan kita, mula-mula Perikatan (1956-1973) dan selepas itu Barisan Nasional (1973 hingga sekarang), tegak di atas satu dasar pemerintahan yang pragmatik yang mengambil-kira sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan hak ketuanan Melayu dan hak para imigeran dari kawasan-kawasan kebudayaan China dan India yang menjadi penduduk tetap negara ini yang kebanyakannya masuk dengan kolonialisme Inggeris di Malaya dan Kalimantan Utara (dulunya Kesultanan Melayu Brunei). Dari dasar pragmatik inilah lahir sistem demokrasi beraja berparlimen yang kita lihat hari ini. Sistem demokrasi berparlimen ini kita ambil dari Inggeris. Kita juga turut mengambil sistem ekonomi “pasaran bebas” Adam Smith mereka.

Ini sistem sekular liberal yang tidak sesuai dengan kehendak agama Islam yang kita anut. Islam tidak mengiktiraf pembahagian dunia kepada dua kategori yang mutlak: keduniaan dan keakhiratan. Selaras dengan faham tauhid, dunia atau Alam Raya ini satu, walaupun ia ada banyak bahagian dan peringkat. Perlembagaan Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad untuk mentadbirkan kota Madinah dan kemudian seluruh Semenanjung Arab (negara-bangsa yang pertama dalam sejarah) mengasingkan perkara-perkara agama dan budaya dari pentadbiran pusat serta memberi kuasa autonomi kepada sesuatu komuniti agama dan budaya untuk mentadbirkan urusan-urusan agama dan budaya masing-masing. Pengasingan agama dan politik dari segi ini dianjurkan oleh Islam, tetapi tidak pengasingan ekonomi-politik dari penghakiman akhlak atau moral. Politik dan ekonomi tidak boleh diamalkan dengan mengenepikan moral. Oleh sebab itu, penindasan, penipuan dan kezaliman tidak dibenarkan. Inilah bezanya antara konsep sekularisme Islam dengan konsep sekularisme Barat. Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dalam Perlembagaan Madinah itu bersumber kepada perintah Tuhan dalam Quran, yang berbunyi: “Bagi tiap-tiap masyarakat, Kami wujudkan cara ibadah yang mereka lakukan. Jangan kamu diajak bertengkar tentang perkara ini. Serulah kepada Tuhanmu. Kamu di jalan yang betul.” (Quran, 22: 67)

Dalam sistem demokrasi Barat, yang menjadi batasan kuasa ialah apa yang dipanggil “sekatan dan imbangan” (checks and balances) yang diwujudkan melalui sistem dwi-parti dan pilihanraya. Setelah berjalan beberapa lama, kita melihat bahawa sistem ini gagal memberi keadilan, keselamatan dan keamanan kepada rakyat negara itu dan juga kepada dunia. Sistem ini tidak boleh mewujudkan sebuah masyarakat tanpa diskriminasi kaum, pengangguran dan kemiskinan dan tidak boleh menghapuskan jenayah dan penindasan dalam pelbagai bentuknya. Mengapa? Adakah kerana kelemahan dalam diri manusia itu sendiri maka ia tidak boleh mencapai kesempurnaan?

Sejarah membuktikan kepada kita bahawa manusia boleh dan telah mencapai pemerintahan-pemerintahan dan zaman-zaman yang baik. Contohnya banyak. Dari segi falsafah, taraf manusia sebagai khalifah Tuhan di Bumi menunjukkan bahawa dia boleh mencapai masyarakat yang baik. Untuk mencapai matlamat ini, dia mestilah berjuang untuk meningkatkan dirinya, secara individu dan kolektif, ke taraf moral yang lebih tinggai dari taraf moral haiwan (kepentingan diri Adam Smith) ke taraf moral manusia (kepentingan individu dan kolektif yang sah).

Inilah yang harus menjadi matlamat rakyat dan Kerajaan Malaysia.

Tetapi, setelah lima puluh tahun atau dua generasi, kita masih jauh dari matlamat Masyarakat Yang Baik. Buktinya, semangat perjuangan kebangsaan UMNO lima puluh tahun dulu sudah bertukar menjadi pertarungan sengit untuk merebut pangkat, jawatan dan kekayaan. Amalan rasuah makin menjadi-jadi. Pembaziran tidak berkurangan. Kemiskinan belum dapat dihapuskan. Penganguran makin bertambah. Gejala sosial negatif dan jenayah makin bertambah. Adakah ini yang kita mahu?

Adakah wawasan 2020, “Negara Maju” pada tahun 2020 sama dengan konsep Masyarakat Yang Baik? Jika kita jadikan negara-negara Barat, seperti Amerika Syarikat, Inggeris, Perancis, Jerman daln lain-lain, sebagai contoh-contoh negara maju yang ingin kita capai, nyatalah negara-negara ini mempunyai banyak cacatnya.

Islam mengajar kita mengikut jalan yang lurus. Dalam ekonomi-politik, apakah jalan yang lurus ini? Tentu bukan sistem neo-liberal yang semua negara, termasuk kita, anggotai sekarang; sistem ini berserabut dengan krisis dan sedang menuju keruntuhan. Bukan juga sistem komunis yang telah pun runtuh. Tentu juga bukan sistem teokrasi yang sesetengah umat Islam ingin cuba dalam masa tiga puluh tahun yang lalu.

Apakah ekonomi-politik Islam? Adakah falsafah dan sistem ini sudah jelas kepada kita? Apakah prinsip-prinsipnya? Walaupun hal-hal ini sepatutnya sudah lama kita tangani dan selesaikan, tidak ada masa yang lebih baik untuk kita lakukan, kecuali sekarang. Eloklah kita lakukannya sekarang.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com